Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 28, 2016

Nama Aku cEro.





Salam.

Tiada komik minggu ini.

Ini adalah entri terakhir tahun 2016
dan aku secara rasminya berjaya post entri pada rabu setiap minggu tahun ini.
TAHNIAH BUAT AKU.

Mulanya aku mahu minta maaf dahulu.
Kalau kalian perasan, aku semakin jarang reply komen dan juga singgah blog kalian yang membaca kebelakangan ni.
Aku nak salahkan sambungan internet yang siput di tempat aku ini
tapi aku akan salahkan sepenuhnya kepada diri sendiri kerana kurang ambil inisiatif lain.

Maafkan aku.

Disebabkan ini adalah entri terakhir 2016,
biar aku kongsikan sesuatu peribadi tentang diri sendiri.




Nama aku cEro.
cEro adalah alter ego yang sudah lama aku pakai bermula beberapa tahun dahulu.
Dan beberapa tahun selepas itu aku buat keputusan untuk memisahkan cEro dan diri aku sebenar atas beberapa sebab yang tidak mahu aku senaraikan.

Semasa ambil keputusan untuk menjadikan cEro sebagai satu entiti/identiti berasingan,
aku sudah dapat agak segalanya bukannya mudah.

Dalam satu episod Criminal Minds ada memberitahu,
seorang perisik (spy) hanya boleh ada dua identiti lain selain dirinya pada satu tika yang sama.
Miliki identiti lebih daripada itu akan menjadi bebanan kepada minda dan psikologi dan mungkin akan menggugat kesihatan mental si perisik.

Aku mula faham kenapa begitu boleh berlaku.

Aku tak kata aku spy, aku juga tidak menidakkan.
Tapi memiliki satu kehidupan normal sebagai diri sendiri dan dalam masa sama wujudkan satu cerminan diri yang bernama cEro sedikit sebanyak bukanlah perkara yang mudah.

Mungkin kalian tak rasa susahnya kekalkan alter ego cEro kalau cEro sekadar cerminan maya diri sendiri.
Ya, aku adalah cEro.
Kebanyakan cerita cEro dalam blog ini adalah cerita benar diri aku walaupun memang wujud elemen tokok tambah untuk perasaan dramatik.

Dengan kata lain, aku adalah cEro tapi cEro tak semestinya aku.



Biar aku beri beberapa contoh:

Kalian mungkin tahu aku terlibat dengan penghasilan komik indie di bawah nama Buasir Otak: The Komik?
Jilid pertama komik itu sudah memasuki pasaran mainstream di mana Alaf21 sukacita untuk menerbitkan dan memasarkannya ke kedai buku.

Satu hari aku ke kedai buku dengan kawan dan terlihat buku Buasir Otak: The Komik dipamerkan di rak jualan. Perasaan melihat nama 'cEro' tertulis di muka depan kulit sebaris dengan nama pelukis komik yang lain sangat mengujakan aku. Terasa sedikit bangga di dalam diri. Aku snap dua tiga gambar untuk kenangan. Aku sangat mahu beritahu kawan aku tadi bahawa buku itu ada nama aku tapi...

...takkan aku nak umum aku adalah cEro? kan?
Jadi aku kena tahan keterujaan yang ada dan pura-pura tidak jumpa apa-apa.




Kejadian itu tidak terhad terhadap aku ke cEro tapi juga sebaliknya untuk cEro ke aku.

Atas sebab-sebab tertentu, nama aku tertera naik di kaca TV atas satu pencapaian yang aku lakukan. Pada kali pertama ternampak nama aku naik TV, aku rasa bangga sangat, juga snap beberapa gambar. Aku sangat mahu bercerita tentangnya di blog ini tapi...

...yang naik itu nama aku. Kalau aku cerita di blog samalah macam aku umumkan nama sebenar aku siapa, kan?
Maka sekali lagi aku terpaksa tahan keterujaan diri dan pura-pura tiada benda membanggakan berlaku pada diri aku.




Dan disebabkan aku dan cEro menghuni di dalam otak yang sama,
maka aku selalu sedikit tidak percaya bila orang kata sukakan aku.
Bila seseorang kata dia suka aku, aku tak pasti dia suka aku sebagai aku atau suka aku sebagai cEro. Dan bila aku tanya mana satu, mereka tidak mampu beri jawapan yang memuaskan hati aku. Kalau dia suka cEro, maka kemungkinan besar dia tak suka aku yang sebenar dan kalau dia suka aku, mana mungkin dia suka aku sebab aku tak banyak reveal tentang diri sendiri macam mana nak suka orang yang kita tak tahu dan tak kenal, jadi kemungkinan besar dia maksudkan dia suka cEro.

cEro aku gambarkan sebagai orang yang berkeyakinan tinggi tapi diri aku sendiri sebenarnya bukanlah sebegitu jadi you cannot like me for the attributes I show in cEro. Kami serupa tapi kami tak sama.

See? Complicated kan?




Begitu juga berkawan.

Kita semua seronok berkawan dengan orang yang suka minat yang sama.
Aku suka melukis dan komik. Malangnya orang sekitar aku bukan dalam kelompok itu.
Namun dengan menggunakan nama cEro, aku dapat kenal ramai orang yang mempunyai minat yang sama dengan aku. Aku sangat gembira dapat kawan baru yang boleh bertukar-tukar idea, tapi...

...disebabkan aku mahu kekalkan anonimiti diri, aku terpaksa pilih kawan.
Ikutkan hati aku nak kawan dengan semua orang, berjumpa dengan semua orang tapi malangnya lagi ramai orang aku kenal rapat bermakna lagi tinggi risiko rahsia aku akan terbongkar.

Aku sudah beberapa kali sertai meet up atas kapasiti sebagai cEro.
Banyak yang tanya aku soalan peribadi. Ikutkan hati aku boleh sahaja tipu tapi kalau tipu aku berdosa. Kalau aku jawab benar pula aku seolah-olah bongkar rahsia sendiri jadi aku ambil keputusan untuk tidak menjawab mana-mana soalan bersifat menggali.

Bukan. Aku tak kata kalian mulut tempayan,
tapi memang wujud situasi di mana orang 'tidak sengaja bercerita' tentang diri aku sebenar tanpa dia sedar. Hal ini berkali-kali sudah berlaku. Setakat ini aku boleh kawal tapi aku tak pasti di masa hadapan apatah lagi bilangan orang yang tahu rahsia siapa cEro semakin bertambah.




Terlanjur bercerita tentang rahsia,
di sini aku nak ingatkan secara mesra, kepada kawan-kawan yang kenal siapa cEro, aku harap-harap-harap-harap sangat dan merayu agak kalian supaya simpan rahsia itu tidak kira apa pun berlaku. Pisahkan aku dengan cEro. Lihat kami sebagai dua entiti berbeza yang tiada kaitan dan jangan sesekali panggil aku cEro di alam nyata dan jangan sesekali panggil nama aku di alam maya.

Aku beri kepercayaan tinggi kepada kalian si pemegang rahsia.
Tolong simpannya sebagai amanah walaupun kita mungkin ada perselisihan faham sana sini.

Aku paling risau dengan spesies begini:
"Aku ada satu rahsia tapi kau jangan beritahu orang lain tau."

Aku sudah bertemu dengan banyak spesies begini dan ada di kalangannya adalah rakan baik aku tapi aku terpaksa senaraihitamkan mereka kerana spesies beginilah yang kadang-kadang menjadi agen menyebaran rahsia tanpa mereka sedar.

Dan aku minta maaf kalau orang itu ada di kalangan kalian yang sedang membaca ini.

Aku ada sebab kenapa aku perlu rahsiakan identiti diri.
Walau apapun sebabnya, tidak kira masuk akal atau tidak,
tidak kira sebabnya kecil ataupun melibatkan soal nyawa
aku sangat harap kalian boleh simpan rahsia itu.




Dan aku cukup tak suka orang ugut aku dengan rahsia aku,
"Aku tahu kau siapa jadi ikut kata aku hahahahaha"
Maaflah.
Kau tahu rahsia aku sebab aku juga tahu sebahagian rahsia kau.
Kau betul-betul ingat aku beritahu rahsia aku dekat kau senang-senang ke?
Contohnya, orang yang tahu muka aku bermakna aku juga tahu muka dia.
Orang yang tahu nama aku bermakna aku juga tahu nama dia.
Orang yang tahu nombor telefon aku bermakna aku juga tahu nombor telefon dia.
Ini namanya pertukaran sama nilai.
Satu perkara yang aku tahu aku sangat bagus lakukan ialah menggali maklumat.
Jadi fikir dua kali dulu sebelum ugut aku dengan rahsia aku.




Aku sudah nekad tidak akan wujud saat di masa akan datang di mana aku akan reveal siapa cEro yang sebenarnya dan ambil tampuk identiti cEro sambil mengumumkan nama sendiri.

Jadi kalau satu masa nanti semua ini tidak lagi berada di bawah kawalan aku, aku hanya ada pilihan untuk meninggalkan salah satu identiti.

Aku tidak mungkin akan tinggalkan identiti diri sendiri, jadi pilihan yang tinggal adalah meninggalkan identiti cEro.

One day, kalau keadaan memaksa, cEro mungkin akan aku hilangkan dari alam maya.





Nama aku cEro.
cEro adalah alter ego yang sudah lama aku gunakan.
Gembira dapat berkenalan.
Jumpa lagi di tahun hadapan.





.




Dec 21, 2016

Cukup Kuat Untuk Menempuhnya.



Salam

Beberapa hari lalu abang aku ada buat sedikit sambutan hari lahir anak dia merangkap anak buah aku.
Semua ahli keluarga dapat berkumpul meraikannya.

Maka dapatlah aku bertemu dengan anak buah aku yang berumur 7 tahun seorang ni.





Anak buah aku gelar diri dia Abang sebab dia ada adik.
Semua orang panggil dia Abang, aku je tak panggil dia Abang sebab aku rebel.
Aku bahasakan diri sebagai Uncle kepada dia,
jadi bakal isteri aku akan dipanggil Auntie (info tak penting!)

Abang ni tahu aku suka Lego.
Dia selalu selongkar bilik simpanan Lego aku bila balik ke rumah Mak Abah aku.
Selalu dia pujuk aku suruh bagi dia satu dua Lego Minifigure aku,
tapi sebab aku ni kedekut sayangkan koleksi aku,
aku pekakkan je telinga buat tak dengar permintaan dia.
Kalau dia desak juga, aku akan kata suruh Daddy dia belikan kat dia.
Bila sebut pasal Daddy, dia terus tak nak minta sebab Daddy dia garang (kot)

Sekali Daddy dia hadiahkan dia set Lego Classic yang ada 1000 pieces masa sambutan hari jadi dia yang lepas.
Original pulak tu.
Pastu tayang-tayang dekat aku adoyaiiiiii
Kalaulah dia bukan anak buah aku dah lama aku buat smackdown!

Tapi disebabkan dia hadapi saat susah sepanjang tahun 2016 ini
aku rasa hadiah mahal yang mampu buat dia tersenyum lebar memang berbaloi.
Tak sangka abang aku (Daddy kepada Abang) boleh tahan penyayang juga orangnya.
Padahal dulu masa kecik asyik bergaduh kalah main guli dengan aku hahahahaha.

Aku pernah cerita tentang anak buah aku si Abang ini di sini.
Aku tak pernah bertanya direct dengan Daddy Umi dia tentang perkembangan Abang
tapi dari apa yang aku dengar dari adik beradik lain,
aku dapat agak zaman kanak-kanak si Abang ni bakal dihabiskan dengan berulang alik ke hospital.

Zaman kanak-kanak adalah yang paling indah bagi sesetengah manusia kerana zaman itu adalah masa di mana kita sangat kudus dan tidak dipengaruhi anasir jahat luar.
We had nothing to worry. Our mind were free!

Main guli, main askar dalam longkang, main kereta Tamiya,
panjat pokok, main polis sentri, baling selipar,
jenguk rumah crush dekat tingkat 3,
tersipu-sipu nampak crush masa dekat pasar malam,
bayangkan,
semua ini si Abang mungkin tak dapat nak rasai sebab sibuk berulang alik untuk rawatan sakitnya.

Dan disebabkan sakit dia,
dia sudah tidak ke sekolah.
Sekarang aku jadi risau dengan pelajaran dia.

Tapi melihat dia dapat mainan kegemaran dan terus buka ajak Uncle dia main sama,
melihat dia tekun membina entah apa dari timbunan 1000 blok Lego yang ada,
melihat dia mampu siapkan sebuah lori ciptaannya tanpa bantuan orang dewasa,
aku tahu masa depan Abang masih jauh lagi untuk dia tempuhi
dan dia cukup kuat untuk menempuhnya.



Lego seribu ketul, kalau hilang 100 pun tak perasan, kan?
Hehehe
**niat jahat gosok-gosok tangan**




.




Dec 14, 2016

Ayam, Abah dan 'Inilah Kehidupan'.



Salam,

Tak ada komik sebab cuti panjang jadi aku pun berseronok bercuti.




So if you read my blog (which is you should)
beberapa minggu lepas aku bercerita tentang ayam jantan yang dibela Abah aku yang diberi nama Ayam.

Baca tentang Ayam di sini.

Baiklah aku tahu kalian sibuk tak ada masa nak ulangkaji cerita Ayam jadi aku ringkaskan: Abah aku bawa balik ayam dari kampung sebab nenek (dipanggil Tok) pindah rumah dengan niat awalnya mahu disembelih buat lauk tapi disebabkan sudah beberapa hari jaga jadi Abah aku terasa sayang nak sembelih dan dia buat keputusan untuk jadikan ayam itu sebagai haiwan peliharaan di rumah.

Apa yang bakal kalian baca selepas ini ialah sequel kepada cerita Ayam itu.

Nak disambung cerita,
alhamdulillah Emak dan Abah dan Tok dan adik dapat peluang untuk menunaikan umrah.
InsyaAllah kalau ada keizinan-Nya mereka akan berangkat pada awal tahun depan.
Beberapa hari sahaja nak masuk tahun depan,
jadi sekarang semuanya sedang sibuk bersiap.

Satu isu besar sebelum pergi adalah jagaan Ayam.

Tak seperti haiwan peliharaan lain (kucing contohnya),
Ayam perlukan jagaan manusia.
Bawa keluar sarang, kasi lepas bebas di laman belakang dan bila masuk waktu beri makan dedak, semua itu diuruskan Abah dan kadang-kadang Emak.
Jadi bila mereka tiada di rumah, maka tiada siapa boleh jaga Ayam.




Hujung minggu lalu Abah bertanya,
"Ada idea nak selesaikan isu Ayam?"

Emak menjawab.
"Kita sembelih sahaja buat lauk."

Muka Abah berubah.
Dia betul-betul sudah sayangkan Ayam tapi rasanya dia sedar itu adalah jalan terbaik.

Lalu,
Abah memandang aku seraya berkata,
"Ang sembelih laa, boleh?"

Mungkin Abah tak sampai hati nak sembelih sendiri ayam kesayangannya.
Pada dasarnya aku tahu sembelih ayam,
tapi aku sendiri pun sudah terasa attached dengan Ayam ni jadi aku segera gelengkan kepala tanda tidak mahu.

Aku kata,
"Kalau tolong pegang bolehlah. Tapi nanti lauk tu Alang takkan makan tau."

Emak aku pula berkata,
"Sebijik perangai macam arwah Tok Wan dulu."

Emak beritahu, lepas arwah Tok Wan bersara dan tamat tugas sebagai ketua kampung, dia bekerja sembelih ayam di pasar basah di pekan. Arwah tidak akan makan ayam yang disembelihnya. Itu prinsip dia dan jangan ditanya kenapa.
Sama macam aku juga, aku tak akan makan haiwan yang aku sembelih atau aku nampak disembelih.
Sebab tu aku kurang berminat nak tolong orang sembelih lembu ketika musim Raya Korban (walaupaun alasan utamanya ialah MALAS).

Kemudian,
Abah buat satu cadangan yang sangat brilliant,
"Beberapa hari lagi Abah dan Emak akan balik ke kampung menjenguk Tok dan selesaikan dokumen umrah dia. Apa kata kita bawa Ayam balik sama dan beri Ayam kepada orang lain di kampung tu. Sama ada mereka nak ambil buat jaga atau nak sembelih, itu terpulang kepada mereka."

Emak dan aku angguk tanda setuju.






Abah dan Emak akan balik ke kampung bersama Ayam pada hari ini (14 Disember) bermakna cuti hujung minggu lepas adalah hari terakhir aku boleh bermain dengan Ayam.

Aku duduk mencangkung sebelah Ayam.
Dulu dia lari sebab tak kenal, tapi kali ini dia menghampiri aku.
Aku rasa dia sudah mula kenal aku.
Ada beberapa kali dahulu aku pernah bagi dia makan.
Haiwan ni, tak kira haiwan apa pun, akan kenal dengan mereka yang beri mereka makan,
jadi kalau Ayam kenal aku pun aku tak terkejut.

Aku sentuh badan dia, kepala dia.
Kekadang dia tak selesa dia geleng-geleng kepala.
Kekadang dia rasa suka dia terkepak-kepak teruja.
Fikir balik, ayam comel yang berketok-ketok ni adalah cucu cicit langsung Tyrannosaurus Rex yang merupakan raja daratan satu zaman dahulu.
T-Rex tu ganas, tapi Ayam ni comel.
Kontra sangat. Tergelak kecil aku.

Tapi memikirkan juga itu adalah kali terakhir kami akan bertemu
dan selepas ini sama ada dia akan jadi peliharaan orang lain
atau menjadi lauk makanan orang lain,
membuatkan aku sedikit syahdu tersentuh.

Bila difikirkan balik (lagi), Ayam cuma seekor ayam.
Kalau dia bercampur dengan ayam jantan lain,
aku yakin aku tak dapat beza pun mana satu Ayam mana satu bukan.
Sedangkan manusia pun aku cukup susah nak cam, apatah lagi ayam.

Tapi itulah kehidupan.
Ramai yang datang dalam hidup kita (mungkin manusia mungkin ayam),
keluarga, saudara, kawan,
tapi pasti satu masa semua itu akan pergi.

Ada yang pergi bersebab, ada yang pergi tanpa sebab.
Tapi apa-apa pun kita yang tinggal ini perlu terus hidup ke depan.





Aku sedikit rasa sugul menaip entri ini.
Sungguh aku tak sangka seekor ayam pun mampu membuatkan aku terkesan sebegini sekali.

Tapi aku tak nak akhiri entri ini dengan perasaan tak best.
Jadi,
apa kata kita main satu game.
Game ini aku dapat dari internet.
Game ini dinamakan Chicken Game.
Game ini seperti di bawah:




Siapa kalah?
Angkat tangan! Hehehehe





.






Dec 7, 2016

Comel Gila!


Salam,
siapa sini pernah duduk depan cermin lepas tu puji diri sendiri kacak/cantik/comel?

**cEro angkat tangan**





Okey,
ini kisah versi panjangnya.

Aku ada dua ikat rambut.
Satu jenis getah kain, satu jenis getah sintetik.

Aku selalu ikat rambut guna yang getah sintetik kalau nak menunggang motosikal sebab jenis getah macam tu pegang kuat dan tak senang tercabut.
Jadi rambut takkan menggerbang kena tiup angin.
Keburukan dia pula, bila nak buka, rambut tersangkut-sangkut.

Yang jenis getah kain pula aku selalu pakai waktu santai lepak-lepak keluar jalan.
Jenis ni lebih selesa sebab tak rasa tertarik.
Tapi kelemahan jenis ni ialah cepat kendur.
Baru pakai smeinggu dua dah membesar macam rambut aku ni besar sanggul mak datin.

Baru-baru ni ikat rambut aku yang getah sintetik itu putus.
Itulah natijah bila lelaki dapat getah. Tak reti nak tarik elok-elok.
Dulu beli banyak, tapi sebab pakai satu je jadi yang lain aku tak pasti dah campak mana,
cari pun tak jumpa.
Maka,
aku pun pakailah yang jenis getah kain semasa menunggang moto.
Habis tunggangan, buka helmet terus rambut menggerbang macam Kak Ros.
Barulah aku perasan yang ikat rambut aku jatuh di tengah jalan.

Jadi,
habislah aku tak ada satu pun ikat rambut.

Tak boleh jadi.
Aku kemudian ke pasaraya nak beli ikat rambut.
Banyak juga habis masa di bahagian ikat rambut (aksesori wanita).
Pelik promoter dekat situ tengok aku belek-belek barang bahagian perempuan.
Tapi demi rambut, aku butakan sahaja hahaha.

Sebab tak jumpa jenis getah sintetik,
aku beli dua set ikat rambut getah kain.

Bila ikat rambut sudah banyak ni,
balik rumah aku pun cuba ikat rambut dua, twintails.
Ohhhh maaaaiiii....!!!
COMEL GILA! **puji diri sendiri**
Kalau aku jumpa perempuan macam aku, dan aku lelaki,
aku mesti akan jatuh hati dekat diri sendiri hahahaha (apa aku taip ni?)



Masa mula-mula tulis blog ni beberapa tahun lalu,
aku ada terfikir banyak perkara untuk aku ceritakan di blog.
Tapi tak pernah terlintas di fikiran aku yang satu hari aku akan bercerita tentang ikat rambut dan puji diri sendiri comel dalam entri yang sama macam hari ini.




Oh ya,
aku pernah dapat hadiah ikat rambut daripada seseorang.
Masih tersimpan elok dalam sampul yang dia berikan.
Aku sangat menghargai hadiah itu.

Soalannya, sebagai tanda menghargai,
patutkah aku pakai ikat rambut itu
ataupun lebih baik aku simpan dengan baik sebagai sebuah hadiah?






.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: