Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 29, 2016

Kosong Haribulan Mac.


Salam.
Happy Leap Day.
Nak tanya, 'leap day' dalam bahasa ialah hari lompat, kan?
Ataupun ada istilah BM lain untuk leap day?
Kita anggap je laa 'hari lompat' tu legit. Hahahahahahaha.





Yang mana sudah lebih empat tahun melayan blog aku ini mesti teringat aku pernah post entri yang lebih kurang sama, bercerita tentang tahun lompat pada empat tahun yang lalu.
Kalau rasa nak baca entri itu, kenalah usaha sikit mencari.
Aku tak akan tinggalkan link ke entri tersebut sebab aku suka effort.
Bukankah kegigihan sentiasa membuahkan hasil?

Hehehe.

Empat tahun adalah satu tempoh masa yang sesuai untuk menilai balik sesuatu.
Sebab itu kebanyakan acara sukan besar (seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia) berlangsung setiap empat tahun.
Satu penggal untuk presidensi Amerika Syarikat pun hanya empat tahun.
Aku nak bagi contoh Pilihanraya Umum Malaysia,
tapi kita semua tahu kerajaan masa kini suka drag tempoh jadi panjang.
Perkara yang patut berlaku setiap empat tahun mungkin hanya berlaku selepas 5 atau 6 tahun.

Mari kita jangan bercerita tentang politik, nanti SKMM block pula.



Jadi,
empat tahun adalah tempoh paling sesuai untuk menilai perkembangan diri.
Dan tarikh apa yang lebih sesuai selain dari hari lompat 29 Feb yang hanya ada setiap empat tahun, kan?

Mengenang balik,
empat tahun lalu aku masih lagi terkapai-kapai dalam dunia blog dan juga kehidupan.
Tiada apa yang berlaku 29 Februari 2012,
jadi aku tanam misi untuk menjadikan 29 Februari 2016 sebagai 'sesuatu'.
'Sesuatu' yang aku maksudkan mungkin pertukaran fasa dalam hidup.
Dalam ayat yang kurang dramatik, aku nak kahwin pada 29 Februari 2016.

Tapi jodoh itu rahsia milik Yang Maha Besar.

Rupanya, 'sesuatu' itu juga tidak berlaku pada 2016.
Aku masih lagi terkapai-kapai, sama macam pada tahun 2012.
Nak tunggu hari lompat seterusnya, iaitu pada tahun 2020,
aku tak rasa aku mampu. Terlalu jauh. Usia tak menunggu aku.

Kalau boleh sekarang juga aku nak kahwin.
Aku selalu bayangkan hari-hari aku mesti seronok kalau aku tak seorang diri.
Tapi kahwin bukan perkara main-main yang boleh dipandang mudah.
Aku bakal bertanggungjawab menjaga seseorang,
dan dia juga perlu tahan bersama aku yang...hmmm...how to put it nicely...like shit?
Aku tak mahu hubungan yang sia-sia.
Bina punya gah hanya untuk ego sendiri, itu aku tak mahu.
Aku mahu hubungan yang sentiasa melengkapi.
Tidak mungkin sempurna, tapi bersama dia aku akan jadi penuh.
Si dia yang memberi, dan juga membuatkan aku memberi.
Yang menerima, dan juga membuatkan aku menerima.

Wujudkah jodoh untuk aku di luar sana?
Itu satu rahsia yang bukan milik aku.

Tapi, hakikatnya sekarang,
kalau aku jadi perempuan, aku pun tak akan pilih aku sebagai suami.
Masih banyak lelaki ini perlu baiki.

Namun kita semua manusia.
Asalkan belum tiba ajal, kita semua ada peluang untuk menjadi lebih baik.
Better me, better you, better us.
Jangan jadikan 'jadi diri sendiri' sebagai alasan untuk jadi tahi.

Why be yourself if you can be better?

Aku berharap untuk empat tahun akan datang,
aku masih boleh berdiri tegak memandang depan dan tersenyum.
Dan di sisi kiri aku terdapat seorang srikandi, penyebab kepada senyuman aku tadi.
Dan kalau ada rezeki, tangan aku sedang mendukung tanda cinta dan kasih sayang kami.
Saham akhirat untuk kehidupan aku seterusnya.


Oooooookeeeeyyyy!
Cukup kot melayan perasaan.
Get up and take a step. Walk forward,
for the next 4 years!



Tahun 2020,
dulu aku bayangkan tahun 2020 akan ada kereta terbang.
Mana kereta terbang? Mana? MANA???






.




Feb 24, 2016

Sekali Sentap!



Salam.

Siapa antara kalian yang tahu nama fenomena isi terkopek dari tepi kulit kuku jari tu?
Alaa, yang bila kita tarik dia jadi makin panjang dan berdarah tu?
Yang bila dah berdarah, kena air, pedihnya bukan kepalang tu?






Maaf kalau gambar di atas membuatkan selera makan kalian lari.
Siapa suruh makan sambil baca blog aku. Hahaha.
Sesetengah orang, empati dia sangat tinggi sampai jadi seriau satu badan walau hanya melihat gambar.

Dalam bahasa Inggeris, fenomena itu dipanggil hangnail.
Tapi sampai ke sudah aku tak tahu nama dia dalam bahasa Melayu.
Arwah Cikgu Wan Sazali mesti sangat kecewa dengan aku. Al-Fatihah buat beliau.
**sapu air mata**

First of all,
obviously gambar terakhir dalam komik 4 panel di atas itu bukan jari aku.
Sekali pandang sudah tahu itu jari perempuan.
Dan jari aku tak seputih seperti di dalam gambar.
Aku perlu mula makan produk kecantikan yang mengandungi merkuri, mungkin?

Kedua,
luka dalam gambar diambil dari instagram medschoolposts,
maka kredit sepenuhnya kepada mereka.

Ketiga,
juga obviously luka tersebut bukan dari hangnail yang ditarik kuat.
Lukanya terlalu dalam dan panjang, mungkin datang daripada bahan lain seperti paku atau gerigi tepi makanan dalam tin yang dibuka kasar.
Untuk itu, sila hati-hati apabila berurusan dengan bahan yang tajam.

Keempat,
sebagai sebahagian daripada plan 'beyond the limitation' aku,
aku sedang cuba nak dalami ilmu buat komik hitam putih.
Sebab dari dulu asyik berwarna sahaja,
rupanya buat komik hitam putih (dan kelabu) lagi susah.
Sebelum ni aku buat komik hitam putih dengan grayscale-kan komik berwarna,
so macam tak kira hitam putih sangat laa.Kan?

Tapi buat komik hitam putih memudahkan sebab sebelum ini, mewarna adalah part paling memakan masa. Next time kalau aku dapat tingkatkan momentum, mungkin dapat hasilkan komik dengan lebih pantas daripada sebelum ini.

Jadi apa pendapat kalian tentang percubaan komik hitam putih aku?
Ibu jari ke atas atau jari tengah ke atas ibu jari ke bawah?

Dan siapa tahu panggilan 'hangnail' dalam bahasa Melayu?
Semalaman aku mencari tapi tak dapat jawapannya.




.




Feb 17, 2016

Kacakness!


Salam.

Kacakness ialah kekacakan.
Saya harap saya tidak menyinggung perasaan mana-mana pencinta Bahasa Melayu dengan penggunaan perkataan cimera ini.
Saya juga ingin memohon maaf kepada kesemua guru subjek Bahasa Malaysia saya kerana inilah apa yang berlaku jika anak murid anda mendapat A2 dalam SPM untuk subjek BM.

Tanpa berlengah masa,
mari kita menyelami kacakness of cEro...







Aku ada satu tabiat suka gulung seluar dan lengan baju bila duduk di rumah.
Entahlah. Aku kurang suka seluar yang labuh menyapu-nyapu lantai.
Tapi dalam masa sama aku tak suka pakai seluar pendek.
Jadi, gulung seluar sampai ke betis merupakan tabiat keras aku bila di rumah.

Maka,
satu isu yang selalu berbangkit ialah kealpaan aku untuk melepaskan gulungan seluar tersebut ke bawah apabila mahu keluar rumah.
Kalau pakai baju biasa okey lagi sebab aku sudah terbiasa selekeh.
Kalau tak ada keperluan untuk aku berhias, aku biasanya akan selekeh.

Tapi satu hari itu memerlukan aku untuk berpakaian formal.
Punyalah ramai orang jeling-jeling kubertentang, mata kita sama memandang...
Ingatkan ramai orang pandang aku sebab aku kacak,
which is memang dalam hati aku anggap aku kacak bila pakai baju formal.
Realitinya ramai orang pandang sebab seluar aku bergulung ke atas.
Sebelah saja pulak tu, nampak bulu kaki pulak tu.

Malunya bukan kepalang.
Kalau akulah yang melihat, mesti aku kata orang tu kurang 'sihat'.

Maka jatuh merudumlah self esteem dan level keperasanan aku hari tu.
Baru je ingat saham aku makin melambung, rupa-rupanya ke lombong.


Baiklah adik-adik,
pengajarannya hari ini ialah:
1) tak salah perasan diri kacak,
2) tak salah gulung kaki seluar sampai betis,
3) jangan abaikan subjek Bahasa Malaysia untuk SPM.

Wait...
Aku rasa macam aku ada lupa isi penting entri ni.
Aku nak cerita pasal apa ek sebenarnya?





.




Feb 10, 2016

Muka Kosong?



Salam.

Dalam entri acah-acah seram yang aku tulis sebelum ini,
aku ada kata yang cerita tersebut 'dekat' dengan aku.
Bukan sebab aku pernah alaminya.
Bukan sebab wataknya (Trisha dan Foziah) ada kena mengena dengan aku.
Juga bukan sebab aku pernah masuk bilik study aspuri.

Sebabnya ialah
hantu muka kosong merupakan momokan zaman kanak-kanak aku yang paling aku takuti.






Kita semua ada momok yang menjadi igauan zaman kanak-kanak kita.
Ada yang takutkan hantu di bawah katil sampai perlu tidur berselimut satu badan.
Ada yang takutkan pocong putih melompat-lompat di waktu malam.
Ada yang takutkan bayang-bayang daripada lilin di dalam bilik gelap.

Aku pula, menghuni carta paling atas antara momok-momok paling ditakuti zaman kanak-kanak aku adalah hantu muka kosong.

Ya, aku tahu.
Hantu muka kosong tak sepopular pocong, langsuir, hantu penanggal dan pontianak.
Tapi idea hantu berbadan normal tapi bila dipandang mukanya kosong tanpa mata, hidung dan mulut sangat menyeramkan (at least pada aku).

Bayangkan,
wajah-wajah familiar macam keluarga, jiran dan hero kegemaran TANPA MUKA.

Bayangkan juga,
kita menegur abang kita dari belakang.
Dan dengan perlahan dia pusing menampakkan mukanya
hanya untuk mendapati yang muka dia itu KOSONG!

Ya, momok yang paling aku takuti bukannya berwajah hodoh dan bergigi tajam
tapi yang tiada wajah langsung.

Thanks to my Abah sebab semai benih ketakutan muka kosong itu walaupun aku tahu Abah tak berniat buruk.

Masa aku kecil dulu,
hanya sebut 'muka kosong' sahaja sudah mampu membuatkan aku menangis ketakutan.
Even masa taip entri ni pun aku rasa sedikit tak selesa.

Walaupun sekarang usia sudah purba dewasa,
tapi sedikit sebanyak 'muka kosong' agak terkesan dalam diri aku.
Aku tak suka melukis orang tanpa muka sepenuhnya.
Paling kurang perlu ada satu garisan untuk mulut.
Lukisan muka tanpa mata dan mulut sedikit mengganggu pemikiran dan emosi aku.
Even satu smiley emoji pun kena ada at least titik dan garisan, kan?

Tapi itu momok zaman kanak-kanak aku,
kalian pula bagaimana?
Apakah momok/hantu yang pada kalian paling menakutkan pada zaman kanak-kanak dulu?






.




Feb 3, 2016

Misteri Bilik Study Jam Tiga Pagi.

Salam.

Bertemu kita sekali lagi di dalam Siri Angker.

Seramnya sesebuah cerita itu tidak hanya bergantung kepada isi dan jalan ceritanya sahaja. Malah terdapat juga faktor luar lain yang memain peranan. Antara faktor luar yang dapat aku kenal pasti ialah faktor ketinggian imaginasi pendengar, suasana persekitaran ketika mendengar, dan juga perasaan ‘dekat’ dengan cerita yang disampaikan.

                Untuk minggu ini, aku akan berkongsikan sebuah cerita yang (pada aku) sangat dekat dengan diri aku. Cerita ini disampaikan oleh seorang kenalan perempuan yang pernah menginap di asrama puteri (aspuri) di sebuah sekolah berasrama penuh.

Sudah menjadi kebiasaan, pelajar di sekolah berasrama akan berkongsi menggunakan kemudahan yang tersedia ada di asrama untuk kehidupan seharian. Bilik basuh, bilik TV, bilik mandi dan bilik belajar (bilik study) tidak menjadi hak milik sesiapa, semuanya dikongsi tidak kira oleh pelajar senior mahupun pelajar junior.

Semakin menghampiri waktu peperiksaan, sama ada peperiksaan besar, peperiksaan penggal mahupun sekadar ujian bulanan, bilik study akan menjadi tumpuan ramai. Dek kerana peraturan keras asrama melarang sebarang lampu dibuka selepas jam 12 malam, hanya di bilik study sahaja pelajar dibenarkan menyambung usaha menelaah buku pelajaran dan menyiapkan tugasan persekolahan.

Cerita bermula apabila Trisha dan Foziah merancang untuk mengulangkaji pelajaran di bilik study selepas jam 12 malam nanti.

“Kena cepat tau, Tri. Kalau lambat nanti tak dapat meja bawah kipas,” kata Foziah.

“Alaa, Fo. Kau pergilah chop dulu letak buku ke, botol air ke. Aku nak lipat baju yang aku baru angkat dari ampaian tadi dulu,” balas Trisha.

Mereka berdua bukannya selalu menghabiskan masa di bilik study. Kalau diikutkan, tidur lebih menyeronokkan. Tapi memikirkan ujian bulanan yang hampir tiba, dan masih banyak lagi bab dari subjek Sains Tingkatan Tiga yang belum mereka kuasai, nikmat tidur terpaksa diketepikan dahulu.

Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi.

Bilik study penuh dihuni pelajar yang ingin mengulangkaji. Hampir setiap kerusi yang disediakan diduduki pelajar. Meja juga dipenuhi dengan buku-buku pelajaran. Suasana sedikit hingar-bingar kerana ada pelajar yang masih berbual-bual dan belum memulakan aktiviti mengulangkaji. Kadang kala terdengar suara meminta keadaan supaya diam, tapi diamnya takkan bertahan lama. Maklumlah, bila berkumpul sesama kawan, ada sahaja topik perbualan yang mahu diceritakan.

Trisha berjalan laju dari dormnya menuju ke bilik study. Dia sedar dia sedikit lewat. Dalam hatinya terbayang wajah tidak puas hati Foziah dan seribu alasan yang bakal dikeluarkannya. Sesampai sahaja Trisha di bilik study, merayap matanya mencari kelibat Foziah. Nampaknya Foziah gagal mendapat kedudukan strategik di bawah kipas kerana ketiga-tiga spot bawah kipas sudah dikuasai pelajar-pelajar yang lebih senior. Lalu mata Trisha tertumpu ke arah satu kelompok meja di sebelah tingkap. Ternampak susuk badan Foziah tertunduk membaca nota dengan telinganya disumbat fon telinga.

“Woi, sorry lambat. Banyak pula baju kena lipat tadi,” sergah Trisha. Melihat Trisha di sebelah kirinya menarik kerusi untuk diduduki, Foziah menanggalkan sebelah fon telinganya dan kemudian berkata;

“Ah, banyak kau punya alasan. Sudahlah kita tak dapat tempat bawah kipas. Kena pula duduk tepi tingkap. Tak best tahu, duduk tepi tingkap. Banyak cicak.”

Ya. Keburukan duduk di tepi tingkap ialah kewujudan cicak yang kadang kala tak peduli akan kehadiran manusia. Sama ada mereka mahu bergaduh, bernyahtinja, mengawan, mahupun sekadar duduk diam tanpa gerakan, langsung tidak dipedulikan manusia yang berada berhampiran.

Tanpa membuang masa, Trisha terus membuka buku Sains dan memulakan sesi menelaah. Secara peribadi, Sains bukanlah satu subjek kegemaran baginya. Dia lebih gemarkan subjek bahasa dan sejarah. Namun bab pertama subjek Sains Tingkatan Tiga sangat menarik perhatiannya. Sekali sekala terdengar Trisha tergelak kecil melihat entah apa rajah di buku rujukannya itu.

Jam sudah menunjukkan pukul lima minit selepas satu pagi.

Belum pun habis satu bab, mata Trisha sudah menjadi berat. Syaitan bergayut di bulu mata membuatkannya terasa mahu memejam. Trisha berpaling ke arah Foziah di sebelah yang kelihatan sangat fokus dengan apa yang dibacanya.

“Fo, aku mengantuklah. Ada gula-gula tak?” Tanya Trisha.

“Tak adalah, Tri. Minumlah air masak yang aku bawa ni.” Foziah menghulurkan botol air mineral yang dibawanya. Trisha meneguk dua tiga kali dengan harapan dapat menghilangkan rasa mengantuknya, tapi ia hanya bertahan selama dua tiga minit sahaja.

“Fo, aku rasa aku nak nap sekejap. 5 minit. Nanti kau kejut aku boleh?” pinta Trisha.

“Okey,” jawab Foziah, ringkas.

Trisha pun menolak bukunya ke tepi. Berbantalkan lengan, dia merebahkan kepalanya ke meja dan selepas beberapa saat, hilang diulik mimpi.

Lima minit sudah berlalu, Foziah mengejutkan Trisha dari tidurnya.

“Tri, dah lima minit dah. Bangunlah. Kata nak sambung study.”
Merasakan tidurnya masih belum cukup untuk dihabiskan, Trisha meminta tambahan 5 minit. Foziah hanya menggelengkan kepala, menurut saja kehendak Trisha itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 1.45 pagi.

Trisha terjaga dari tidurnya sendiri tanpa dikejut Foziah. Dengan mata kuyu, dia memerhatikan sekeliling bilik study. Jumlah pelajar sudah berkurangan, mungkin sudah ramai yang menghabiskan sesi ulangkaji mereka dan pulang ke bilik dorm masing-masing. Trisha kemudian menjeling ke arah Foziah di sebelah. Foziah mengadap ke tingkap sambil bertongkatkan lengan kirinya membaca nota di tangan.

Melihat Foziah yang tekun mengulangkaji, Trisha senyum seorang diri. Namun desakan matanya yang semakin layu memaksa Trisha untuk kembali berbantalkan lengan dan menyambung nap-nya.

“Lima minit lagilah,” ujar hati Trisha kepada diri sendiri.

Setelah beberapa ketika, Trisha sekali lagi terjaga dari tidurnya. Melihat sekeliling, tiada lagi pelajar lain yang berada di bilik study itu selain dirinya dan Foziah di sebelah.

“Alamak, aku terlajak tidurkah?”
Trisha melihat jam di dinding. Jarum pendek ke arah angka tiga manakala jarum panjang tegak di angka dua belas. Sudah pukul 3 pagi.

“Fo, dah pukul tiga dah. Kenapa kau tak kejut aku, wei?”
Trisha menolak bahu Foziah tanda tidak puas hati. Masakan tidak, satu bab pun tidak dihabisnya mengulangkaji. Sedar-sedar saja sudah pukul tiga pagi.

Tindakan Trisha itu tidak diendahkan Foziah. Foziah masih lagi bertongkatkan tangan kirinya mengadap tingkap di sebelah kanan sambil membaca nota.

“Kenapa kau tak kejut aku, Fo. Habislah aku. Banyak lagi tak baca ni…”

“Kau dah bangun?”
Suara garau dari Foziah itu sedikit mengganggu Trisha.
“Aku bukan tak nak kejut kau, tapi aku suka tengok kau tidur tadi.”

Tangan kiri Foziah diturunkan ke atas meja. Kepalanya masih memandang ke kanan. Perlahan-lahan kepala Foziah berpaling ke arah Trisha di sebelah.

“Tapi malangnya aku tiada mata untuk tengok kau tidur dengan nyenyaknya, Trisha.”

Trisha terkejut melihat wajah Foziah. Wajah Foziah yang memaling ke arahnya itu tidak mempunyai mata, hidung dan mulut. Wajahnya kosong. Namun walaupun wajah itu kosong, tapi jelas di permukaan kulitnya, wajah itu sedang tersenyum dan tepat memandang ke arah Trisha.

“Kau sambunglah tidur. Biar aku teman kau di sini lagi.”

Dari cerita penghuni aspuri yang lain, terdengar jeritan yang kuat memecah hening pagi dari arah bilik study pada jam tiga pagi. Trisha dijumpai kaku keseorangan di bilik study keesokan paginya. Foziah tidak pernah datang ke bilik study pada malam itu kerana tertidur di katil di bilik dorm-nya.


Selamat mengulangkaji pelajaran di waktu malam. Pastikan anda kenal siapa yang menemani anda di sebelah.




Lagi di dalam Siri Angker:

#1 Misteri Jiran Rumah Atas.
#2 Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah.
#3 Misteri Bilik Basuh Blok B.




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: