Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 28, 2015

Hazers Gonna Haze.


Salam.

Pada saat aku taip entri ini untuk di'schedule'kan
jerebu sudah semakin reda.
Berita kata hanya satu tempat sahaja yang IPU tidak sihat.
Batu Pahat katanya.

Harap jerebu akan terus menerus reda dan hilang
dan langit biru cerah indah dapat kembali diintai.








'Hazers' mengingatkan aku semasa zaman kolej dulu.
Aku sertai kelab teater.
Salah satu prop untuk teater ialah smoke/fog machine a.k.a hazer.

Semua orang anggap hazer fungsinya untuk beri asap
kekonon ala-ala efek kayangan ataupun alam mimpi atas awan gitu.
Tapi sebenarnya,
fungsi hazer adalah untuk memberikan bentuk kepada cahaya lampu.

Lampu bawah keadaan biasa tidak dapat dilihat
kecuali setelah lampu itu jatuh ke atas permukaan.
Tapi dengan adanya haze (asap) dari hazer,
kita akan nampak efek lampu itu umpama jalur cahaya.
Sangat berkesan untuk meningkatkan suasana dramatik dan penceritaan teater.

Konsep yang sama juga berlaku apabila cahaya panas matahari menyinar celah langsir dan kita nampak debu yang berterbangan bersinar-sinar.



Okay, apakah neraka cEro ni,
lukis pasal topeng jerebu tapi membebel pasal teater.
Selalu bebel lari dari tajuk.
Hahaha.

Tapi itulah.
Bila aku cerita dekat kawan aku yang aku pernah masuk kelab teater
dia bantai gelak berguling-guling keras perut.
Dia kata tak mungkin aku budak sains nerd cermin mata ada pusing-pusing
boleh join kelab teater kolej.



Anyway, back to cerita jerebu,
kucing jantan aku selsema berhingus dan sering bersin
semuanya disebabkan jerebu.
Bila dia berdiri sebelah aku,
aku dapat dengar nafas dia macam Darth Vader
cuma bezanya dia berwarna oren, Darth Vader basically warna hitam.

Agak-agak ada tak mask untuk kucing?
Mesti comel kalau ada.

Aku sendiri pun selalu gatal tekak disebabkan jerebu.
Kalau yang tunggang moto, pastikan kalian pakai jaket tutup tangan
dan kalau boleh pakai topeng muka dengan visored helmet.
Asap jerebu yang jatuh ke kulit buatkan kulit rasa panas, perit dan kering.
Risiko penunggang nak dapat lagi tinggi dari pemandu yang duduk dalam kereta beraircond.

Oh ya, kepada semua
banyakkan minum air juga. 12 gelas penuh setiap hari.
Basuh muka, tangan dan kaki bila balik dari luar.
Jangan lupa juga berkumur.

Yang mana pakai topeng muka yang pelik-pelik tu,
teruskanlah pakai selagi jerebu masih ada.
Biarkan saja apa orang nak kata. Pelik ke, lawak ke.

Haters gonna hate. Right?


Mungkin pesanan-pesanan di atas tak kena sebab jerebu dah reda.
Tak apalah.
Kalian baca sampai habis pun dah cukup bagus. Hahaha





.




Oct 26, 2015

Gem The Gem.


Salam.




25 Oktober 2015, kucing aku mati.

Namanya Gem.
Seekor kucing betina domestik biasa tapi berbulu agak lebat dan kembang.
Nama Gem datang dari perkataan 'Gemuk' kerana masa dia kecil,
dia gemuk berbanding adik-beradik sebayanya.

Tapi semakin besar, badan dia semakin kurus.
Muka dia pun kelihatan bosan dan tidak bermotivasi.
Jadi dari 'gemuk', kami tukar nama jadi Gem yang juga boleh datang dari perkataan 'Gembira', dengan harapan supaya kehidupan dia lebih ceria.

Tiap kali panggil makan, Gem yang pertama akan datang.
Tak padan dengan kurus, tapi dia makan banyak.
Sebab makan banyak, dia juga berak banyak.
Memang fakta kucing betina domestik hanya suka duduk dalam rumah
jadi tempat berak kegemaran dia adalah bilik air rumah.

Nasib baik pandai berak dalam tandas.
Kalau berak atas kusyen, kan susah...

Gem ada sedikit kesukaran dalam hidup dia.
Dia seperti tak pandai kawal pundi kencing.
Tempat yang dia selalu lepak selalunya akan dibasahi air kencing yang keluar tanpa dikawal.
Walaupun bukanlah cabaran besar bagi kami manusia,
tapi siapa suka bila karpet yang dibentang menjadi basah dengan kencing.

Ini menjadikan Gem sebagai kucing yang paling kurang kami minati.
Tapi sebab sudah jadi sebahagian dari keluarga,
tak pernah terniat kami mahu hantar ke mana-mana.
Kami jaga sedaya kami walaupun ada ketika kesabaran tercabar dan tercalar.

Tiada keraguan adik-beradik Gem yang lain dapat layanan lebih mesra dari dia.




Pada pagi 25 Oktober lepas, pintu rumah aku diketuk jiran.
Kata jiran, ada kucing berdarah di bawah kereta dia.
Jiran aku itu juga membela kucing yang hampir sama warna
tapi dia takut nak melihat lebih teliti kucing itu kucing siapa.

Kami tak pernah duga itu Gem kerana Gem selalunya hanya berada di rumah.
Dia jarang keluar.
Untuk dilanggar di luar, kami lebih risaukan kucing jantan kami yang lain.
Tapi bukan Gem.

Selepas memberanikan diri,
kami lihat di bawah kereta yang disebutkan tadi.
Tidak salah, itu memang Gem.
Gem yang kuat makan dan tak dapat kawal kencing.
Gem kami.

Terlintas memori semalamnya,
aku memarahi Gem sebab dia kencing atas alat penimbang berat.
Aku hambat dia dengan penyapu,
walaupun tak kena (yang disengajakan) tapi jelas wajah Gem ketakutan.

Aku mengaku,
waktu itu aku dibayangi nafsu amarah.
Selepas beberapa ketika aku rasa kesal dengan kelakuan aku itu
namun ego aku menyatakan bahawa aku tidak berbuat apa salah
jadi ianya perkara kecil yang harus aku lupakan.

Namun setelah melihat Gem dalam keadaan rahangnya lari, berdarah
membuatkan hati aku tersentap kuat.
Jelas ianya luka dilanggar.
Mungkin sipi kereta. Mungkin juga motosikal.

Yang pasti Gem sudah pergi.
Menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kaku keras di hadapan mata aku.

Gem ditanam.
Adik-beradik Gem yang lain juga berada di sekitar tempat kami menanam Gem
mungkin juga memberi penghormatan mereka yang terakhir.




Sesalan menerjah masuk ke dalam hati aku.
Bayangkan interaksi terakhir aku dengan Gem adalah menghambat dia dengan penyapu.
Ekspresi mukanya pada aku yang terakhir adalah wajah ketakutannya.

Kini Gem sudah tiada.
Tiada lagi untuk berak di bilik air.
Tiada lagi kencing di atas karpet.
Tiada peluang lagi aku nak minta maaf atas kekasaran aku menghambatnya dengan penyapu.

Jantung aku berdegup kencang.
Hati aku tak tenteram.
Aku lari masuk bilik dan duduk di sudut menekup muka.
Air mata tidak berlinang, tapi aku yakin ianya bergenang.

Lagi menyakitkan hati aku ialah
jauh sudut hati, aku rasa lega Gem sudah tiada.
Tiada lagi aroma busuk yang menusuk hidung bila dia berak di bilik air.
Tiada lagi kesusahan membasuk karpet akibat kencing Gem.
Tidak perlu lagi jerit lolong memarahi perangai pelik Gem.

Jahatnya aku. Aku berasa lega dengan kematian Gem?
Waktu tu aku tidak peduli,
egokah, jantankah, aku tidak peduli...
Aku menangis sunyi di dalam bilik. Sendiri.

Menangis sebahagiannya kerana sudah tiada lagi Gem dalam hidup aku.
Tapi selebihnya kerana keburukan aku yang berasa lega kerana Gem tiada.

Aku rasa aku amat jahat.
Aku rasa aku tak layak membela haiwan.
Aku perasan diri aku sebagai pencinta haiwan hanya kerana aku bela tiga empat ekor kucing.
Tapi adakah mereka benar-benar selesa dengan aku?
Adakah mereka selamat dengan aku?
Mesra dengan aku?
Cintakan aku?

Jelas Gem perlukan perhatian lebih memandangkan dia mempunyai kesukaran.
Tapi apa yang aku buat adalah memarahinya.
Baikkah aku? Layakkah aku digelar manusia?



Kematian Gem sangat terkesan kepada aku.
Gem buat aku berasa mahu reevaluate,
menilai semula semua tindakan aku sebelum ini.
Perangai aku.
Perbuatan aku.
Impian aku. Cita-cita aku.
Masa depan aku.
Siapa aku sayang, siapa aku benci.
Siapa aku patut sayang, siapa patut aku tidak benci.
Semuanya...

Aku berkeputusan untuk hidup tanpa kebencian lagi.
Kalau ada yang patut dibenci, itu adalah diri aku sendiri.
Aku akan hapuskan semua senarai benci aku
dan cari permulaan baru.

Thanks to Gem,
aku tahu aku bukanlah sebaik yang aku sangkakan
dan langkah pertama untuk berubah ialah mahukan perubahan.

Gem,
you are my gem.
Thank you, Gem. Thank you.





.




Oct 21, 2015

"Ikut kau. Aku tak kisah..."



Salam,
pernah tak kalian ada perasaan nak tumbuk seseorang di muka?
Pernah? Tak pernah?
Baiknya dia tak pernaaaahhhh....







Kita semua ada jenis kawan yang macam ni.
Indecisive. Berhaluan kiri.
Suruh kita buat keputusan
tapi bila kita buat keputusan, dia tak mahu ikut.

Jenis macam ni yang selalunya buatkan aku nak tumbuk muka dia
tapi ada tiga benda yang menghalang aku dari teruskan niat itu:
1) agama, 2) undang-undang dan 3) sosiobudaya.

Macam yang aku kata dalam entri Semua Ada!,
kalau aku sentiasa menuruti segala kemahuan mental aku,
rasanya beratus orang dah pernah merasa penumbuk aku ni.

Sebab aku ni tak ramai kawan
takkan laa pula aku nak kasi penumbuk ke muka kawan-kawan yang tinggal ni...
Kesian aku nanti buat majlis kahwin tak ada orang nak datang.


Dalam bab memilih tempat makan contohnya,
aku mudah.
Aku tak boleh makan ketam sebab alergik
dan tak suka makan udang sebab tak sedap.
So asalkan tempat makan tu ada pilihan lain dari dua makanan tu,
aku OK asalkan masih di dalam kemampuan bajet.

Tapi ada orang yang jenis banyak kerenah.
Tengahari mesti makan nasi putih.
Malam tak mahu makan mamak.
Petang tak nak makan dekat kedai XX sebab nanti ada lori sampah lalu so selera pun akan hilang.
Kedai YY pula tak boleh sebab banyak kucing nanti bulu kucing berterbangan masuk dalam makanan.

Jenis yang macam ni,
kalau senaraikan 100 kedai pun, dia dapat cari 1000 keburukan.

Sebab tu aku lagi suka orang tu yang tetapkan tempat makan.
Asalkan masih berada di dalam kemampuan dompet akulah tapi.
Hehehe.


Kalian pula?
Ada kawan yang macam ni; memilih tempat makan?
Ataupun korang sendiri yang memilih tempat makan?
Apa yang kalian tak boleh makan?
dan apa yang kalian tak suka makan?

Siapa setuju dengan aku bahawa udang tak sedap?
**cEro dibaling kerusi**





.




Oct 14, 2015

Kamen Rider cEro.



Salam.
Pernah tak kalian buat sesuatu yang memalukan semasa kecil
dan sangat memalukan sehinggakan walaupun selepas hampir 20 tahun
kenangan itu masih lagi terasa sangat memalukan?







Angkat tangan siapa perasan yang lukisan cEro makin malas!
**angkat tangan**

Angkat tangan siapa yang tak peduli!
**cEro angkat tangan**


Memory is a weird thing.
Kita akan lebih ingat perkara yang sangat kita tak mahu ingat
daripada perkara yang kita rasa kita perlu ingat.
Mungkin ini alasan kenapa aku cukup payah nak ingat fakta dalam buku sejarah semasa di sekolah menengah tempoh hari.


Jadi,
kena gelak dengan Abah sendiri sebab guna 'topeng khas' dia sambil berangan nak jadi Kamen Rider (a.k.a Masked Rider, atau lebih klasik Suria Perkasa Hitam atau Kesatria Baja Hitam, bergantung kepada mana satu timeline zaman kanak-kanak kalian berada) sememangnya satu memori yang tak mudah hilang dari dalam otak walaupun selepas kita menjalani lobotomy sekalipun.

Okey, mungkin tak perlu jauh sampai ke lobotomy.

But weirdly (again),
memori yang pada awalnya kita rasa memalukan
selepas melalui tempoh masa tertentu
boleh bertukar menjadi satu memori yang mampu membuatkan kita tersenyum.

Sebagai contoh,
kenangan sakit perut tercirit-birit sampai lesu
mungkin satu pengalaman yang pahit dan menyakitkan
tapi bila sampai satu masa, kita kenang kembali
ianya boleh mengundang senyum di bibir, kan?

Macam senior aku bernama Niswan pernah cakap,
"Kenangan buruk ni, satu hari nanti, boleh bertukar jadi kenangan yang mampu membuatkan kita bergelak ketawa bersama kawan."

Tapi pakai topeng untuk jadi Kamen Rider rasanya
bukanlah satu kenangan buruk pun, kan?
Ianya satu cerita yang seronok untuk diceritakan kepada cucu-cucu satu hari nanti, kan?

Kalian pun.
Kenangan pahit seperti putus cinta atau kena tinggal dengan pasangan
mungkin bukannya satu kenangan yang enak dan seronok untuk diingat.
Menangis siang malam mata lebam skip breakfast lunch dinner supper.
Tapi percayalah one day, bila kita sudah bertemu bahagia
kenangan itu akan membuatkan kita terfikir
"Kenapalah aku bodoh sangat skip makan waktu tu..." sambil tersenyum.

So don't give up.
Don't ever give up!

Jadi,
kalian ada kenangan buruk yang bertukar menjadi kenangan indah?

Dan apa Kamen Rider kegemaran kalian?
Aku suka Kamen Rider Kabuto.
"おれが そばに いる"
Jyeeeeaaahhh!





.




Oct 7, 2015

Misteri Bilik Basuh Blok B.


Salam.

Kehidupan di asrama memang tidak akan lekang dari cerita angker dan seram. Aku yakin semua sekolah dan asrama ada cerita seram tersendiri. Malah kalau ceritanya lebih kurang sama sekalipun, bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini adalah kerana cerita seram di asrama diturunkan melalui lisan seperti dari seorang senior kepada juniornya, atau dari seorang warden/ustaz/cikgu kepada anak-anak muridnya (bergantung kepada keadaan).

Dan seperti cerita lisan yang lain, cerita seram asrama juga tidak terlepas dari tokok tambah yang kadang kala sedikit melampau bertujuan untuk menjadikan jalan ceritanya menarik dan berkesan. Mungkin sebenarnya peristiwanya bersifat kecil, seperti contoh ternampak bayang haiwan berlari, kemudian disensasikan melalui lisan yang berulang kali, sehinggalah menjadi cerita makhluk hitam besar setinggi bangunan 4 tingkat yang bermata merah. Alaa, macam konsep permainan telefon buruk.

Pendahuluan tamat. Sekarang kalian tahu bahawa cerita seram asrama bukanlah 100% realiti.

Kali ini, aku ingin berkongsi antara kisah seram yang pernah diceritakan oleh senior aku semasa di asrama dahulu. Satu kisah seram yang berlatarbelakangkan bilik basuh asrama.

Aspura (semua tahu ianya singkatan kepada 'asrama putera', merujuk kepada asrama pelajar lelaki) sekolah aku mempunyai empat blok; Blok A, B, C dan D. Dengan setiap blok mempunyai 4-6 dorm, dan setiap satu dorm berkapasiti antara 10-20 orang pelajar, menjadikan jumlah penghuni asrama lebih kurang 300 orang pelajar.

Namun, di Aspura hanya terdapat dua bilik basuh; satu di Blok B dan satu lagi di Blok D. Setiap bilik basuh hanya ada tiga tempat basuh dan setiap tempat basuh hanya ada dua paip air, menjadikan pada satu masa, bilik basuh hanya mampu menampung 12 orang pelajar.

This is just math. You can skip it actually. Hehe.

Kekurangan tempat basuh menjadikan bilik basuh sentiasa penuh dengan pengguna semasa hujung minggu. Maklumlah, hujung minggu adalah masa yang paling sesuai untuk membasuh semua baju busuk pelajar asrama yang dikepam di dalam locker masing-masing. Hal ini menjadikan bilik basuh sebagai tempat rebutan pada hari sabtu dan ahad. Bila berbicara tentang rebutan, maka yang menang sudah tentulah pelajar senior. Tiada konsep siapa cepat dia dapat. Jika senior datang, pelajar junior perlu beri ruang. Itu lumrah, at least itulah yang berlaku pada masa aku dulu. Hahaha.

Jadi, untuk menyelesaikan tugasan membasuh pakaian, pelajar junior perlulah menjadi kreatif dalam mencari masa membasuh.

Kisah seram ini berkisarkan tentang dua pelajar junior membasuh pakaian. Atas tujuan dramatik, aku berikan nama mereka Safuan (dipanggil Wan) dan dan Tengku Usman (aka T.U, disebut Tu).

Pukul tiga pagi, Safuan bersendirian berada di tempat basuh paling dalam di bilik basuh Blok B, menyental kotoran yang terlekat di pakaiannya. Ini merupakan cara kreatifnya mencari masa untuk membasuh pakaian. Pukul tiga pagi sangat sesuai kerana pada waktu ini, semua orang sedang nyenyak tidur dan tiada lagi warden yang meronda (of course lah, warden pun kena tidur juga, kan?). Baju yang dibasuh juga boleh disidai sementara di dalam bilik basuh sebelum akan dibawa ke ampaian kain di belakang asrama apabila hari mula cerah nanti.

Sedang khusyuk Safuan membasuh, seorang lagi menjengah di pintu bilik basuh, bertuala sambil menjinjing baldi berisi pakaian. Tidak lain tidak bukan, itu ialah Tengku Usman, teman satu dorm dengan Safuan.

"Eh, Wan. Awal kau bangun? Aku ingat aku bangun paling awal..." sapa Tengku Usman.

"Kau nak membasuh juga ke?" tanya Safuan.

"Mestilah. Takkan nak pergi memancing pula kot!" seloroh Tengku Usman dengan jenaka yang klise untuk orang yang sudah terang lagi bersuluh. Tengku Usman meletakkan baldinya di tempat basuh bersebelahan dengan Safuan. Dibukanya paip, air berderu keluar mengisi baldi dan membasahi isinya.

"Berani kau turun seorang diri ke bilik basuh ni pagi buta macam ni ya, Wan"
Safuan tersenyum tanpa jawapan.

"Aku bukan apa, banyak benda aku dengar pasal bilik basuh ni."
Kata-kata Tengku Usman membuatkan dahi Safuan berkerut tiga. Kuajaq betoi pergi buka cerita macam tu pagi-pagi macam ni.

"Kau jangan main-main, Tu. Kita tengah dalam bilik basuh ni," Safuan beri amaran. Tengku Usman tersenyum sambil memberus seluarnya.

Suasana terdiam seketika di antara mereka berdua.

"Hmmm hmmmm hmmmmmmm!" Tengku Usman mula humming satu lagu. (Aku tak tahu humming dalam BM. Kamus kata humming = senandung, tapi aku rasa kurang tepat sebab humming sekadar bunyi, senandung macam nyanyi perlahan-lahan)

Muka Safuan berubah. Dia tahu irama lagu yang di-humming oleh Tengku Usman itu.

"Air pasang malam surut pukul lima..." Tengku Usman kini bukan sekadar humming, malah menyanyikan liriknya sekali.

"Nyonya bangun pagi, siram pokok bunga..." Nyanyian Tengku Usman membuatkan Safuan berdiam diri. Siapa selesa kalau dengar lagu seperti itu pagi-pagi buta di bilik basuh, kan?

"Pokok bunga melur tanam tepi kolam...
Itik bertelur ayam mengeram..."

"Tu, boleh tak tukar lagu? Atau lagi bagus kalau kau tak nyanyi langsung. Takut nanti warden terdengar, masak kita." Safuan cuba mencari alasan mematikan nyanyian Tengku Usman.

"Okey-okey! Aku nyanyi lagu lain. Lagu yang moden sikit..."
Safuan mendengus panjang mendengar jawapan Tengku Usman itu. Yang nak kena menyanyi juga tu, dah kenapa? Tak faham betul...


"Ke manaaaa...Bintang beribu..."
Tengku Usman mula menyanyikan lagu Ukays bertajuk Seksa.

"Di malam ini..Tiada satupun yang kelihatan kecuali kelam..."

Irama nyanyian Tengku Usman semakin perlahan, suaranya menjadi semakin bass, semakin dalam, seolah-olah sengaja mahu membuatkan hati berdebar.

"Mungkinkah... hujankan turun... menemani malam...
Makin sepilah... malamku ini... Tiada teman bicara..."

Tengku Usman pusingkan kepalanya ke arah Safuan dan bertanya,
"Kau takut ke, Wan? Kau takut ke aku nyanyi macam tu?"

Safuan tanpa memandang ke arah Tengku Usman, menggelengkan kepalanya.
"Tak Tu. Tak!"

"Kalau tak, biar aku sambung lagi..." jelas Tengku Usman.

"WALAUPUN... LENAKU PANJANG!
Eh, bukanlah!
Sepatutnya macam ni lirik dia..." Tengku Usman sambung lagi.

"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!" Tengku Usman berpaling ke arah Safuan semula.
Tengku Usman ingin melihat reaksi ketakutan di muka Safuan. Niatnya memang mahu menyakat kawannya itu. Dalam hatinya sudah berketawa kecil, menanti reaksi dari Safuan.

"Leherku panjang?" tanya Safuan sambil memusingkan kepalanya ke arah Tengku Usman.

"MACAM NI?"

Tiba-tiba leher Safuan menjadi panjang seperti ular yang berlingkar. Semakin panjang, semakin panjang sehingga memenuhi ruang di bilik basuh. Kepala Safuan yang bergigi taring panjang dan berambut gerbang laju menerjah ke depan muka Tengku Usman.

Maka menjeritlah Tengku Usman ketakutan. Niat Tengku Usman mahu mengenakan Safuan tidak kesampaian kerana rupanya dialah yang terkena.


Seperti klise cerita seram yang lain, aku pun habiskan cerita kali ini dengan plot tergantung. Apa yang jadi kepada Tengku Usman, tiada siapa tahu, dan tiada siapa dapat ceritakan dengan tepat.

Selamat membasuh baju di tengah malam.


"WALAUPUN... LEHERKU PANJANG!"









.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: