Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 24, 2014

Vorteks #53 - Masa Merah.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52]




Suasana di dalam hutan itu sungguh sunyi. Tiada bunyi unggas, juga tiada bunyi desiran angin bergeser dengan dedaunan. Udara seperti kaku dan tidak bergerak. Hanya yang  kedengaran adalah bunyi Intan menapak memijak patah dahan-dahan kering di permukaan tanah hutan.
Intan berseorangan memerhati kiri dan kanan. Berbaju T lusuh dengan seluar kapas nipis, Intan dengan perlahan meneruskan langkah menuju ke depan. Hutan tempat dia berada kini terlalu sunyi. Malah suasananya terlalu kelam, suram dan lembap, terasa seperti ditelan kegelapan sedikit demi sedikit. Intan takut. Namun dia tetap melangkah ke depan sambil memerhatikan persekitaran.
Tiba-tiba Intan terlanggar sesuatu di hadapannya. Seseorang. Satu tubuh berdiri tegak di hadapan Intan sambil matanya menatap tajam. Tubuh itu milik lelaki yang dikenalinya. Lelaki yang pernah berniat jahat terhadapnya. Lelaki yang dipanggil Zul.
Intan terkejut. Intan takut. Dia spontan memusing badan dan berlari ke arah bertentangan. Intan berlari melintasi pokok renek, tunggul, batang kayu reput, timbunan daun-daun kering, apa sahaja yang berada dalam perjalanan akan ditempuhinya. Intan berlari sekuat hati tanpa peduli sama ada dirinya dikejar Zul atau tidak. Padanya, lagi jauh dia bergerak, lagi selamat dirinya daripada menjadi mangsa pemuas nafsu.
Dek kepenatan, rentak langkah lariannya menjadi semakin perlahan. Daripada pecutan menjadi lari-lari anak. Kemudian dari lari-lari anak menjadi sekadar berjalan pantas. Sehingga satu tahap, kakinya hanya melangkah satu demi satu dengan perlahan meredah lantai yang penuh dengan daun-daun kering. Nafas Intan tercungap-cungap kepenatan.
Sehingga kudrat dirasakannya betul-betul berada di hujung kemampuan, barulah Intan berpaling ke belakangnya melihat sama ada dia dikejar oleh Zul atau tidak. Tiada. Tiada Zul. Hanya asap kabut yang semakin menebal di belakangnya. Intan memberhentikan langkahnya. Dia menunduk dan membongkokkan badan melepas lelah dan keringat badan. Nafasnya laju, selaju dadanya yang berombak turun naik.
Semasa dia sedang membongkok kepenatan, Intan perasan ada sesuatu berada di hadapannya. Dia mengangkat kepala. Kali ini tiba giliran kelibat seorang lelaki berbadan besar dan seorang lagi berbadan kurus tinggi berada di hadapannya. Bawi dan Galah. Mereka berdua memandang tepat ke arah Intan sambil menggenggam pistol di tangan.
Intan sekali lagi terkejut. Punggung Intan jatuh ke tanah. Intan terduduk. Matanya terbeliak melihat dua lelaki di hadapannya. Dia sedar tiada apa dia boleh buat lagi. Tenaganya kontang untuk terus bangun dan berlari, apatah lagi untuk mengatasi kekuatan dua lelaki. Intan hanya mampu mengeluarkan air mata.
Intan pasrah. “Tolonglah.”
Suasana sekeliling tiba-tiba menjadi cerah. Cahaya bersinar dari mana-mana. Cahaya putih itu semakin terang dan terik sehingga menyilaukan mata. Hutan yang sebelumnya gelap dan kelam menjadi begitu terang dan bercahaya. Begitu terang sehinggakan persekitaran kelihatan hilang disinari cahaya, termasuklah pokok-pokok dan juga penjahat berdua yang berada di hadapan Intan. Hilang ditelan cahaya.
Intan dapat merasakan badannya seperti ringan dan terapung perlahan-lahan. Tangannya seperti dipegang seseorang. Intan menoleh ke arah empunya tangan yang memegangnya tetapi suasana yang silau menyukarkan pandangan. Intan pasti ianya bukan milik salah seorang dua penjahat tadi. Walaupun erat, tapi tangan tersebut memegang dengan penuh kehormatan dan tanpa kekerasan. Intan seperti terbang dibawa oleh tuan tangan tersebut.
Suasana semakin silau dan Intan tiada pilihan kecuali memejam mata.
Mata Intan dipejam.

“Intan...”
Satu suara menyapa. Intan membuka matanya.
Alangkah terkejutnya Intan selepas mendapati dia kini sedang berada di tepi pantai. Tiada lagi hutan, tiada lagi penjahat, tiada lagi cahaya putih yang menyilaukan. Bajunya juga sudah bertukar. Intan kini memakai gaun maksi serba putih berkaki ayam. Kakinya memijak lembut di atas pasir-pasir pantai yang halus. Pipinya ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari arah laut yang berair jernih kebiruan. Kering semua kesan air mata.
Intan mendongak melihat langit. Matahari memancar suam, menyorok di sebalik awan. Langit sungguh indah seperti sesuatu yang hanya boleh dilihat di atas kanvas lukisan dinding. Biru langit disulam putih awan berserta garisan perak yang memberi bentuk, sangat indah tak tergambarkan. Bersertakan pula hamparan laut membiru dengan deruan ombak memukul pantai berpasir bersih. Segalanya kelihatan indah.

“Intan...”
Suara yang sama kedengaran. Intan menoleh ke kanan.
“Awak...” Intan membalas sapaan. Intan merenung wajah lelaki yang berada si sebelahnya itu. Lelaki tersebut berbaju kemeja putih dan berseluar putih. Senyumannya sangat menenangkan.
Mereka berdua berdiri berhadapan sesama sendiri.
“Intan, awak selamat di sini,” kata lelaki tersebut.
“Awak selamatkan saya? Kenapa?” tanya Intan.
“Tak perlu bersebab. Jika seribu kali awak dalam bahaya, maka seribu kali saya akan datang selamatkan awak,” jawab lelaki itu.
“Tapi...kenapa saya?” Intan berkeras bertanya.
“Awak istimewa. Awak istimewa kepada orang. Awak istimewa kepada....saya.” Lelaki tersebut menghulurkan tangan kanannya untuk disambut. Intan sambil tersenyum ceria ingin membalas huluran tangan tersebut.
Angin kencang datang secara tiba-tiba. Tangan lelaki tersebut terhenti sebelum sempat disambut Intan. Intan melihat wajah lelaki tersebut. Wajahnya kelihatan kaku seperti tidak bernyawa. Satu titik merah muncul di dada baju lelaki itu. Daripada sebesar titik menjadi sebesar duit syiling. Daripada sebesar duit syiling tompok merah itu merebak menjadi sebesar pinggan dan kemudian terus membesar memenuhi seluruh baju lelaki itu. Baju lelaki tersebut tidak lagi berwarna putih, sebaliknya berwarna merah. Merah darah. Bukan sahaja baju, malah seluar turut dijangkiti warna merah darah seluruhnya.
Intan terkejut dan takut. Tanpa disedari Intan mengundur ke belakang sehingga kakinya terkena gigi air. Dilihatnya air pantai tersebut. Warnanya bukan lagi jernih kebiruan, tetapi bertukar merah darah. Seluruh laut bertukar merah darah. Matahari memancar cahaya merah. Langit yang sebelumnya indah turut bertukar merah. Seluruh kawasan penuh dengan merah.
Lelaki di hadapan Intan semakin hilang ditenggelami merah. Dihulurnya tangan ke hadapan untuk disambut namun belum sempat Intan mencapainya, lelaki itu hilang ditelan kemerahan. Yang tinggal hanya tompok merah darah yang semakin membanjiri kawasan sekitar. Seluruh kawasan beransur-ansur ditelan kemerahan.
Intan takut. Dipejamkannya mata sebelum menjerit.

“YUSRAN!”
Intan mencelikkan mata. Dia terjaga dari tidurnya, terjaga dari mimpinya. Dia berada di atas katil di dalam biliknya di rumah. Ibunya yang menemaninya tidur di sebelah turut terjaga mendengar jeritan Intan. Dengan segera Puan Nora memeluk anaknya yang masih terkeliru antara mimpi dengan realiti. Serta-merta air mata membasahi pipi Intan. Intan kemudian memeluk kembali Puan Nora dengan erat dan menekup mukanya ke dada ibunya itu.
“Tak apa, sayang. Tak apa. Semuanya cuma mimpi.” Puan Nora mengusap-usap kepala Intan yang masih menggeletar terkejut.

“Yusran...”



BERSAMBUNG...[54]





Jan 17, 2014

Vorteks #52 - Masalahnya ialah Masa


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51]




Hanya air mata yang berlinang. Tiada suara yang mampu terkeluar dari Intan apabila melihat sekujur badan terbaring di atas katil hospital. Terdapat satu tiub berhubung dari mesin ke mulut, beberapa tiub lagi disambungkan ke lengan, dan berselirat wayar terlekat di dada. Ianya bukanlah satu permandangan yang sedap dipandang Intan. Apatah lagi pemilik tubuh itu ialah seorang lelaki yang pernah menyelamatkannya dan kini lelaki tersebut tidak sedarkan diri selepas menghalang tembakan yang sepatutnya ditujukan ke arahnya.

Bilik unit rawatan rapi yang menempatkan Johan masih tidak dibenarkan doktor untuk dikunjungi, akan tetapi para pengunjung boleh meninjau keadaan di dalam melalui tinkap kaca khas dari bilik menunggu di sebelah. Intan hanya berdiri tegak di tepi tingkap untuk melihat Johan yang terbaring di dalam. Puan Nora dan Encik Ahmad duduk di kerusi berhampiran Intan manakala Prof. E dan Prof. Shah hanya berdiri di penjuru bilik.
Encik Ahmad berdiri dan berjalan menghampiri Prof. E.
“Prof, saya sangat-sangat berterima kasih kerana menemui anak saya. Terima kasih.” Encik Ahmad menunduk sedikit kepalanya tanda berterima kasih. Prof. E hanya mengangguk.
“Semua perbelanjaan untuk anak saudara Prof, saya akan tanggung sepenuhnya. Saya akan pastikan dia mendapat rawatan yang terbaik. Prof jangan risau.”
“Terima kasih. Tapi kos pembelanjaan bukan masalah utama,” balas Prof. E.
“Saya rasa lebih elok Encik Ahmad bawa Intan pulang berehat. Dia pasti sangat penat dengan segala apa yang sudah berlaku. Bawa Puan Nora sekali. Berehatlah di rumah. Nanti ada apa-apa berita, saya akan hubungi Encik Ahmad.”
Encik Ahmad bersetuju dengan cadangan Prof. E. Dia menghampiri Intan yang masih berdiri tegak meninjau keadaan Johan.

“Intan, mari kita balik berehat. Intan mesti penat, kan? Lagipun, adik masih ada di rumah. Nanti kalau Yusran sedar, Prof. Erman akan panggil kita di rumah.” Encik Ahmad dengan lembut memegang bahu Intan sambil memujuk.
“TIDAK. Orang tak nak balik. Orang nak teman Yusran.” Intan menepis tangan Encik Ahmad, membantah untuk pulang ke rumah.
Prof. E menghampiri Intan dan berkata, “Intan, baliklah dulu. Kita tak boleh buat apa-apa pun kalau hanya berdiri di sini.”
“Tapi, Yusran tak pernah tinggalkan saya semasa selamatkan saya tadi, kenapa saya tak boleh buat perkara yang sama? Dia sentiasa ada bila saya perlukan dia, dia melindungi saya bila saya dalam bahaya, kenapa saya tak boleh buat perkara yang sama kepada dia?” balas Intan.
Prof. E berdiri sebelah dan menggosok-gosok kepala Intan sambil berkata, “Intan balik rumah dan banyakkan berdoa kepada Tuhan Yang Maha Esa supaya Yusran sembuh dengan segera. Itu lagi baik dari berdiri tegak di sini, kan?”
Prof. Shah di penjuru bilik terkejut mendengar kata-kata Prof. E. Setahu dia, sekian lama mengenalinya, Prof. E ialah seorang saintis yang menentang konsep agama dan ketuhanan. Dia hanya berpegang kepada prinsip sains dan logik pemikiran. Kata-kata sebegitu tidak akan muncul dari mulut Prof. E yang dulu.
“Berapa banyak kau dah berubah, Erman,” bisik sendiri Prof. Shah.

Intan hanya berdiam diri. Dia merasakan lututnya semakin lemah akibat dari berdiri terlalu lama. Pandangan matanya menjadi kabur dan semakin gelap. Badannya menjadi lembik dan tanpa sempat disedarinya, dia pitam. Prof. E sempat sambut tubuh Intan sebelum jatuh ke lantai. Segera, Encik Ahmad memanggil doktor berhampiran datang memeriksa keadaan Intan.
“Dia tiada apa-apa. Hanya kepenatan. Kami boleh masukkan dia ke dalam wad untuk berehat.” Penerangan ringkas dari doktor tersebut membuatkan Encik Ahmad dan Puan Nora mearik nafas lega.
“Lebih baik Encik Ahmad bawa dia balik ke rumah sementara dia masih belum sedarkan diri. Inilah kesempatannya.” Mendengar cadangan Prof. Shah, Encik Ahmad bersetuju membawa anaknya pulang. Betul. Mereka tiada fungsi jika hanya berdiri di situ. Adalah lebih baik pulang dan berehat sementara menunggu berita seterusnya.
Encik Ahmad sekeluarga keluar dari bilik menunggu itu meninggalkan dua profesor berada bersama.

“Kau pun, kalau nak balik, aku tak kisah,” kata Prof. E kepada Prof. Shah.
It’s okay. I’m fine here,” balas Prof. Shah. “Aku ada satu soalan untuk kau, Erman.”
“Apa dia?” balas Prof. E.
“Bila kau kata kepada bapa budak tu ‘kos pembelanjaan bukan masalah utama’, apa yang sebenarnya kau maksudkan?”
Soalan Prof. Shah itu membuatkan Prof. E menghela nafas panjang.
“Masa.”
“Apa?” tanya Prof. Shah semula untuk kepastian.
“Masa.”
“Masa?”
“Ya, masa. Johan perlu sembuh sebelum malam 23 haribulan.”
Prof. Shah menjadi sedikit keliru. “Malam 23 sebab berlakunya fenomena kilat Thor tu?”
Prof. E bergerak ke kerusi tempat Puan Nora duduk tadi dan melabuhkan punggungnya ke kerusi itu. “Malam 23 itu, kilat Thor akan muncul. Aku akan hantar Johan balik ke masa dia pada malam tu.”
“Tapi, kan lagi baik tunggu dia sembuh dulu?” soal Prof. Shah.
“Tidak, kilat Thor hanya berlaku setiap lapan tahun di satu-satu tempat yang spesifik, jadi kalau kita terlepas peluang ini, kita kena tunggu lapan tahun lagi. Johan tidak boleh tinggal lapan tahun lagi sebab sekarang ada wujud DUA Johan dalam satu masa. Masalah pasti akan timbul nanti.” Prof. E menberi penjelasan.
“Tapi, dalam keadaan Johan sekarang, tak mungkin dia boleh sembuh dalam masa sehari dua ni. It’s impossible!” balas Prof. Shah.
“Aku tahu. Aku tahu. Tapi, aku sudah janji kepada Johan untuk hantar dia pulang.”
Induced coma? Kita biarkan dia tidur selama lapan tahun,” cadang Prof. Shah.
“Tidak, Johan bantah cara itu. Lagipun risikonya sangat tinggi untuk digunakan dalam jangka masa lama. Lapan tahun sangat lama. Otak dia boleh cacat nanti.”
 “Tak boleh ke kau buat sesuatu. Contohnya bawakan kilat Thor tu ke sini, cipta kilat Thor kau sendiri? Kau habiskan masa berpuluh-puluh tahun untuk kaji benda ni, tak mungkin kau tak ada satu eksperimen simulasi kilat Thor kau sendiri?”
“Secara teorinya, sebab kenapa ianya digelar ‘kilat Thor’ adalah kerana kilat itu mempunyai jumlah tenaga yang terlalu besar sehingga mampu mengoyak dimensi. Jumlah tenaga sebegitu besar tidak mampu dihasilkan dalam eksperimen. Semua yang aku kaji hanyalah teori. TEORI.”
Prof. E menekup mukanya, buntu.
Suasana bilik menunggu itu menjadi suram.
“Jadi, kilat Thor tidak boleh di bawa ke sini,” keluh Prof. Shah.
Prof. E mengangkat muka memandang Prof. Shah. Wajah Prof. E kelihatan ceria tersenyum.
Brilliant, Shah. BRILLIANT!” Prof. E berdiri dan menepuk belakang Prof. Shah.


“Jika kita tak boleh bawa kilat Thor ke Johan, kita bawa Johan ke kilat Thor.”



BERSAMBUNG...[53]





Jan 15, 2014

Tanpa Tajuk #8


Hai, nama aku cEro.
cE berbunyi 'se' macam dalam 'forty-seven',
ro berbunyi 'ro' macam dalam 'ronin'.
Ini adalah entri tanpa tajuk ke-8.



Entri tanpa tajuk ialah entri ringkas berkisar tentang perkara sekeliling aku.
Perkara-perkara yang aku anggap remeh dan ringkas yang terlalu pendek untuk dijadikan satu entri khas tapi terlalu bernilai untuk aku buang dari benak ingatan.
Semua dikumpulkan di dalam satu post.

Tanpa melengahkan masa,
mari kita mula....





1. Projek 2014.

Aku sedang sibuk.
Selain sibuk dengan kehidupan realiti yang membosankan,
aku juga sedang bertungkus lumus menyiapkan bukan satu,
tapi DUA projek.
Projek itu berkait rapat dgn blog ini.
Tak ada apa banyak yang boleh aku bongkarkan,
cuma aku berharap dapat sokongan kalian semua bila projek itu terlaksana.
By sokongan, aku maksudkan, mungkin kalian boleh start menabung mulai sekarang...
Hehehehe...

Dan aku baru belajar cara nak embed tweet. Hehehe....





2. Event.

Suatu hari, aku dilabel sombong.
Sebabnya, ada beberapa event yang dibuat kawan-kawan dan diinvite dalam Facebook, aku tak hadirkan diri.

Sombong mungkin perkataan yang mudah,
tapi biasanya aku ada dua alasan kukuh kenapa tak datang event-event tersebut.

Pertama,
basically, tarikh event-event ni akan diambil berdasarkan kelapangan.
Biasanya hujung minggu atau tarikh cuti.
Waktu yang sama juga biasanya ada jemputan majlis perkahwinan kawan dan kenalan.
Jangan lupa, walimatul urus kalau dijemput wajib datang.
Jadi, aku tak ada pilihan.

Kedua,
kalau aku datang, aku akan jadi lelaki yang berdiri tegak di hujung bilik atau di bawah pokok membelek-belek kuku.
Nak kata anti-sosial, aku suka crowds...
Nak kata introvert, no.
Aku cuma tak biasa nak mula bergaul...
Tapi, kalau dah kenal, aku mungkin orang paling bising di dalam kumpulan.
(keyword: mungkin)

Alasan kedua paling boleh diterima.
Kecuali kalian mahu seorang mengidap SAD memeriahkan majlis kalian,
silalah jemput aku. Hehehe...

Tapi jangan pula lepas ni tak jemput aku langsung.





3. Instagram.

Tak, ini bukan berita nak bagitahu aku sudah ada Instagram.
Sudah ramai cuba menghasut aku register Instagram,
ramai itu juga yang kecewa.

Dua alasan aku tak nak ada Instagram ialah:

Pertama,
aku tak ada sebab untuk ada. Mostly orang yang aku nak stalk semuanya boleh distalk tanpa instagram. Hahaha. (creepy ayat ni)

Kedua,
kehidupan aku tak begitu menarik untuk didokumentasikan dalam bentuk gambar.
Aku dapat bayangkan kalau aku ada Instagram,
aku mungkin cuma ada dua orang yang follow.

Tapi itu cuma alasan.
Sebab sebenarnya adalah
aku sudah menyaksikan bagaimana Facebook dan Twitter berjaya memutuskan ikatan persahabatan antara kawan yang sudah lama rapat.
Aku rasa aku tak perlu Instagram untuk perkara yang sama.

Tapi akan datang siapa yang tahu....





4. Kal Ho Naa Ho.

Sabtu minggu lepas (11 Jan 2014) aku layan Kal Ho Naa Ho dekat TV.
Kal Ho Naa Ho adalah sebuah filem hindustan lakonan Shahrukh Khan, Preity Zinta dan Saif Ali Khan berkisar tentang bagaimana cinta mampu menakluk dunia. Pew pew pew.
(Ok, itu bukanlah sinopsis yang betul)

Aku peminat hindustan SRK.
Aku berkali-kali dah tonton cerita ni.
Yang menarik ialah, walaupun dah banyak kali aku tonton cerita ni, ninja tetap akan datang potong bawang sebelah aku.
Bergenang beb.
Walaupun dah tahu apa jadi lepas sesuatu babak,
tetap bergenang.
Agaknya, kalau 20 tahun akan datang aku tonton lagi cerita ni,
mesti ninja masih datang berkunjung.

It's a good movie. Great instead.
Tak banyak cerita yang mampu buatkan aku bergenang airmata jantan.
Dan seingat aku,
tak ada langsung cerita Melayu/Malaysia yang mampu buat aku bergenang.

Kalian pernah bergenang tengok cerita Melayu/Malaysia?
Cuba bagitahu aku, aku try tengok nanti....

xxxxxx


Baiklah, itu sahaja untuk kali ini.

Sebelum itu, boleh aku minta tolong sesuatu tak?
Baru-baru ni aku dah capai milestone 300 likes dalam Facebook Page blog ni.
Next milestone ialah 500.
So, bolehkah kalian hadiahkan aku like kalian?
Aku tahu, macam poyo je mintak dalam blog suruh like segala bagai, kan?
Tapi, please.
Aku pasti ialah tak merugikan kalian.
Banyak perkara menarik di Facebook Page tu.
Antaranya ada Ministry of Fun. Best tau!
Please!
Please!
Please!



.




Jan 5, 2014

Apa yang (Tidak) Berlaku Pada Tahun 2013.




Bila aku ditanya "Kenapa azam di awal tahun?"
Aku jawab dengan soalan "Kenapa tidak?"



Kenal Brian Brushwood?
Dia merupakan hos rancangan Scam School di channelnya dalam YouTube.
Scam School adalah rancangan yang mengajar anda menjadi baik.
*batuk batuk*
Aku ada cerita tentangnya sebelum ini.

Dalam salah satu videonya yang berjudul 'Why Resolutions are DUMB',
Mr. Brushwood tekankan ada tiga elemen yang perlu ada dalam azam supaya azam itu tidak dilabel DUMB:
  1. Spesifik.
    Pastikan azam kita spesifik dan teliti untuk setiap perkara.
    Sebagai contoh, azam 'nak jadi lebih baik' tidak spesifik.
    Tekankan lebih dari segi usaha yang boleh dilakukan untuk kita jadi 'lebih baik'.

  2. Boleh dihitung.
    Azam 'nak jadi lebih baik' tidak boleh dihitung.
    Letakkan suatu nilai kuantiti, sebagai contoh 'nak kerjakan solat sunat paling kurang dua rakaat setiap hari', 'nak jogging tiga sesi 20 minit setiap minggu', ataupun 'nak kumpul duit sekurang-kurangnya RM 10 ribu sebelum bulan Ogos'.

  3. Ada tarikh tutup.
    Tarikh tutup penting sebagai penyukat.
    Pada tarikh tutup, kita boleh label azam kita sama ada berjaya atau terkandas.
    'Nak kerjakan solat sunat paling kurang dua rakaat setiap hari' boleh diberikan tarikh tutup seperti 'selepas bulan Januari, aku akan solat sunat paling kurang dua rakaat setiap hari tanpa gagal'. Maka, sebelum tamat Januari, kita boleh suaikan diri dan merancang waktu bila paling sesuai untuk mengerjakan solat sunat tanpa menyebabkan kegiatan seharian kita terganggu.



"Eleh! Benda tu kan basic. Semua orang boleh fikirkannya."

Itu yang aku fikirkan.
Itu yang semua orang fikirkan.
Tapi benarkah?

Jom kita singkap balik entri mengenai 6 resolusi aku untuk 2013.



  1. Lakukan 25 Perkara Baru.
    Tahun 2012 aku nak buat 50.
    Tapi sebab angkanya terlalu tinggi, aku turun jadikan 25.
    Rupanya 25 pun bukan satu yang aku mampu tercapai.
    Aku mampu capai hanya 9 perkara baru aku lakukan.
    Mungkin hidup aku terlalu bosan atau aku sekadar malas,
    tapi aku akan bawa azam ini ke tahun 2014 kini.

    Jadi,
    aku anggap azam ini TERKANDAS untuk tahun 2013.


  2. 10 Kali Derma Darah.
    Ini adalah contoh azam yang tepat.
    10 kali derma darah dalam 2013.
    Kalau tak capai 10 sebelum tamat 2013, aku dikira gagal.
    Kalau capai 10, aku berjaya.
    Spesifik, boleh dihitung, dan ada tarikh luput.

    Tahun 2013, dalam 10 kali percubaan,
    aku berjaya derma darah 9 kali.
    Semuanya disebabkan tempoh berehat 6 bulan untuk operation pada tahun 2012.
    Jadi,
    azam ini juga dikira TERKANDAS.


  3. Penuhkan Tabung.
    Ini adalah contoh azam yang lemah.
    Lebih-lebih lagi, aku ada banyak tabung.
    4 tabung, dan salah satu darinya boleh dipecah jadi tiga.
    Maka, adakah 'penuhkan tabung' bermakna penuhkan semua tabung yang ada?
    Adakah kalau aku dapat penuhkan satu tabung, azam aku dikira berjaya?
    Kekurangan maklumat spesifik macam ni buatkan azam ini lemah.

    Kalau digabung semua isi tabung,
    aku rasa tabung paling besar aku boleh dipenuhkan.
    Tapi, disebabkan azam ini azam yang lemah,
    maka,
    aku anggap azam ini juga TERKANDAS.


  4. Habiskan Baca Buku yang Ada.
    Ini ialah antara pencapaian terhebat aku.
    Tahun 2013 merupakan tahun di mana aku berjaya habiskan satu novel yang aku mula baca 2 tahun lepas.
    Malah, ada beberapa buku lagi menyusul selepasnya.
    Rupanya, membaca taklah seteruk mana.

    Tapi, dari segi azam,
    frasa 'habiskan baca buku yang ada' agak lemah.
    Sedikit spesifik mungkin menjadikannya lebih baik.
    Tapi, dalam penerangan aku mengenainya di dalam entri itu
    jelas diterangkan aku mahu habiskan baca novel yang dihadiahkan kawan pada 2 tahun lepas.
    Dan aku berjaya.

    Azam ini dikira BERJAYA dilaksanakan.


  5. Upgrade Lesen B Penuh.
    Antara angan-angan aku ialah memiliki motosikal kuasa besar.
    Jadi, memiliki lesen B penuh adalah kemestian.
    Namun, nak upgrade dari B2 kepada B penuh bukannya mudah.
    Selain dari kos yang agak tinggi, aku juga tiada masa untuk praktis.

    Dari segi azam,
    ianya sangat jelas dan tepat.
    Sehingga tamat 2013, aku masih tiada lesen B penuh.
    Maka,
    malangnya azam ini dikira TERKANDAS juga.


  6. Belajar Bahasa Asing.
    Ini juga antara azam yang lemah.
    Maksud sebenar 'belajar' boleh didebat.
    Adakah ianya bermaksud 'mula belajar'?
    Adakah ianya bermaksud 'tamat belajar'?
    Adakah perlunya pengesahan rasmi dan professional (seperti sijil)?
    Adakah hanya sekadar tahu satu dua perkataan baru sudah dikira 'belajar'?

    Apa-apapun,
    aku memang sudah mula belajar sendiri satu bahasa asing ni.
    Tapi, aku dapat rasakan belajar sendiri bukanlah satu idea yang bagus.
    Belajar bahasa perlukan guru. Guru yang benar.
    Setakat online, buku dan YouTube, takkan ke mana.

    Aku akan improvise azam ini
    dan bawanya ke tahun 2014.
    Tapi, untuk 2013
    azam ini juga dikira sebagai TERKANDAS.



Maknanya,
dari enam azam mudah,
aku hanya mampu capai satu. SATU!
Ini menunjukkan betapa kurang motivasinya hidup aku.
Hehehe...
Kalau azam-azam itu lebih spesifik dan tepat,
mungkin ada yang boleh dikira BERJAYA satu dua lagi.

Tahun 2014 ni,
aku hanya bawa azam yang terkandas ke depan
dan tambah beberapa lagi azam yang aku tak boleh kongsi.


Okay,
cukup cerita tentang azam.
Aku dapat rasakan kalian dah cukup bosan dengan topik azam, kan?

Cuma,
bagaimana dengan azam kalian untuk 2014?
Betul-betul bermotivasi atau cuma semangat di awal Januari?



.




Jan 3, 2014

Vorteks #51 - Masa Kecemasan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50]




“Aku rasa ini bukan idea yang bagus. Kita berada dekat sangat dengan rumah yang kita rompak pagi tadi.” Kata-kata dari mulut Galah itu dibalas dengan pandangan tajam dari Bawi.
“Aku tak peduli. Bila aku kata budak-budak tu bakal rasakan akibatnya, aku tak akan tarik balik.”
“Tapi kalau budak-budak tu dapat sampai sini pun, polis ada ramai dekat rumah tu.”
“Kau takut polis?” tanya Bawi.
“Mestilah. Aku tak mahu ‘masuk’ lagi.” Galah merujuk kepada penjara, tempat yang sudah menjadi rumah keduanya.
Bawi mengabaikan Galah. Pandangannya tertumpu kepada kelibat sesuatu di hadapannya yang berjarak 100 meter. Kelibat seorang lelaki tua dan seorang gadis, berada seberang jalan menuju ke arah rumah Encik Ahmad.
“Itu budak perempaun keparat tadi,” merujuk kepada Intan yang sedang bersama dengan Prof. E. Bawi jadi teruja. Dia memperbetulkan tempat duduknya di dalam kereta dan cuba memulas kuncinya untuk menghidupkan enjin. Galah juga turut teruja melibat perlakuan Bawi di sebelah.
“Kau nak buat apa, Bawi?” tanya Galah.
“Kita akan datang dekat dan cari budak lelaki seorang lagi tadi. Bila nampak budak lelaki tu, aku akan tembak mati dia dan mana-mana saksi dan bawa lari budak perempuan itu.” Bawi masih lagi dalam usahanya untuk menghidupkan enjin kereta. Berkali-kali dia memusingkan kunci, tapi apa yang kedengaran adalah bunyi enjin yang tersekat-sekat dan mati sebelum dihidupkan.
Beberapa kali percubaan untuk menghidupkan enjin kereta masih gagal. Kesabaran Bawi sudah sampai ke batasannya. Dia lantas keluar dari kereta dengan pistol erat di tangan.
“Bawi, jangan buat kerja gila!” jerit Galah dari dalam kereta. Namun Bawi tidak mengendahkannya dan terus menapak laju menuju ke arah tempat Intan berada. Galah tak senang duduk, dia berpindah dari tempat duduk penumpang ke tempat duduk pemandu. Dia juga berkali-kali cuba untuk menghidupkan enjin, namun tetap tidak berjaya.
Sementara, Bawi semakin menghampiri Intan.

Bawi melepaskan picu keselamatan pistolnya. Glock 19 bukanlah susah untuk dikendali. Sambil melangkah laju ke depan, tangan bawi lurus mengacukan pistol itu ke arah Intan. Dia melihat seorang perempuan datang memeluk Intan dan diikuti pula oleh seorang lelaki.
“Itu tentu ibu bapa budak itu. Baguslah. Biar aku selesaikan semuanya sekaligus.”
Lurus tangan Bawi hanya fokus mengacukan pistolnya ke arah Intan. Dia tidak peduli, pasti ada darah perlu ditumpahkannya. Dendam dia dengan budak lelaki yang menjatuhkan maruahnya ketika di dalam hutan tadi akan ditanggung oleh budak perempuan itu. Sayangnya, Bawi belum sempat meratah tubuh budak itu. Tidak apa, masih ramai lagi mangsa ranum di luar sana.

“Matilah kau, perempuan!”
Bawi hanya berada di jarak 15 meter dari kedudukan Intan dan keluarganya. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar yang berada berdekatan dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.
Bawi melepaskan satu das tembakan.
Tembakan Bawi mengenai seseorang yang tiba-tiba datang menghadang.
Inspektor Bakar dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas menerima dua tembakan.
Walaupun sudah rebah berlumuran darah, Bawi tersenyum puas. Niat dia mahu menjadikan Intan galang ganti kepada dendamnya terhadap Johan tidak kesampaian kerana tembakannya disambut oleh orang yang sepatutnya. Tembakan itu disambut oleh Johan yang datang menjadi perisai kepada Intan.
Bawi hilang kesedaran.

“YUSRAN!”
Bergema jeritan Intan melihat seorang lelaki dikenalinya rebah di hadapannya. Kejadian berlaku begitu pantas, setiap yang menyaksikannya masih dalam keadaan terkejut. Encik Ahmad, Puan Nora, dan Prof. E masing-masing masih lagi kaku, terkejut dengan apa yang sudah berlaku. Prof. Shah lari mendapatkan Johan yang sudah hilang kesedaran di atas jalan.
“Cepat, kita bawa dia ke hospital,” gegas Prof. Shah.

Dengan bantuan kereta pacuan empat roda polis sebagai pengiring, Johan dengan segera dapat dibawa ke Hospital Arahjaya. Johan terus di bawa ke bilik pembedahan wad kecemasan hospital untuk diselamatkan. Bawi yang masih bernyawa juga dimasukkan ke dalam wad yang sama.

Suasana sayu memenuhi ruang menunggu wad kecemasan. Intan masih tidak berhenti menangis di pelukan ibunya, Puan Nora. Encik Ahmad di sebelah Puan Nora cuba menenangkan anaknya. Di hujung koridor, Prof. E berdiri sendirian sambil bersandar di dinding menunggu khabar berita dari bilik pembedahan. Inspektor Bakar menghampiri Prof. E.
“Maafkan saya, Prof. Saya difahamkan Yusran itu anak saudara Prof, betul?” tanya Inspektor Bakar. Prof. E hanya mengangguk setuju tanpa suara.
“Saya tak pasti, tapi adakah anak saudara Prof ialah orang yang berada dalam video ini?” Inspektor Bakar menunjukkan sebuah rakaman video dari telefon bimbitnya. Video tersebut adalah salinan video yang Prof. E sendiri rakam semasa Johan sedang menyelamatkan Intan dari Bawi dan Galah di rumah terbiar di pinggir Bandar Timur.
Prof. E menonton video itu sampai habis tanpa perasaan. Dia tidak keluarkan satu pun perkataan sejak dari menjejakkan kaki di hospital tadi.
“Bagaimana? Lelaki dalam video ini ialah anak saudara Prof, kan? Boleh saya tahu kenapa dia boleh berada di tempat kejadian?”
Prof. E memandang Inspektor Bakar dengan pandangan yang dingin.

“Tuan Inspektor...” satu suara dari belakang Inspektor Bakar datang mencelah. Suara itu milik Prof. Shah.
“Maafkan saya jika saya terlalu direct, tapi dalam bilik bedah sana ada dua nyawa sedang bertarung untuk meneruskan hidup masing-masing. Satu nyawa milik seorang anak muda yang baru sahaja menjadikan dirinya perisai kepada budak perempuan yang diculik. Seorang lagi ialah penjenayah yang, pada saya, patut dibiarkan menggelupur mati di tepi jalan tadi.” Ayat Prof. Shah yang tajam dan keras menarik perhatian Inspektor Bakar. Dia kemudian menghalakan badannya ke arah Prof. Shah.
“Saya rasa tuan is one good cop. Kalau saya, saya takkan bawa penjenayah itu datang sini untuk dirawat. But in the other hand, saya kenal pistol yang penjenayah pakai untuk tembak mangsa tadi. Itu pistol Glock. Pistol Glock adalah pistol yang biasa digunakan pihak polis. Selepas saya tanya-tanya satu dua soalan kepada anak buah tuan, saya dapat tahu cerita ada dua anak buah tuan yang sudah dirampas pakaian dan senjatanya oleh dua penjenayah yang tuan buru.”
“Apa poin encik?” tanya Inspektor Bakar kepada Prof. Shah.
My point is, as a good cop, daripada tuan sibuk buat sesi soal jawab di hospital ini sementara ada di dalam sana nyawa yang masih tidak tentu keadaannya, adalah lebih baik tuan pergi keluar dan cari seorang lagi penjenayah yang sedang bebas dengan pakaian dan senjata polis akibat dari kecuaian anak buah tuan sendiri. Penjenayah boleh lari, tapi orang yang ditembak takkan ke mana-mana.”
Inspektor Bakar sentap dan terdiam. Selepas melawan renungan dengan Prof. Shah, akhirnya Inspektor Bakar pergi meninggalkan kedua-dua Profesor tersebut.
Thank you, Shah.”
Don’t thank me yet. Kita hanya panjangkan masa sebelum pihak polis sedar tentang identiti sebenar Johan. Kita kena fikirkan sesuatu.” Prof. Shah bersandar di sebelah Prof. E.

Beberapa puluh minit kemudian, seorang doktor keluar dari bilik pembedahan membawa berita. Prof. E, Prof. Shah, Encik Ahmad, Puan Nora dan Intan yang berada dalam dakapan ibunya menyerbu doktor tersebut untuk mengetahui keadaan pesakit.
“Siapa ahli keluarga?” tanya doktor.
“Saya. Bagaimana?” balas Prof. E ringkas.
“Berita baiknya, walaupun peluru bergerak menghampiri jantung pesakit, namun tiada organ yang terjejas. Peluru dapat dikeluarkan. Pesakit dapat diselamatkan.” Kata-kata doktor tersebut membuatkan semua narik nafas lega dan gembira, kecuali Prof. E.
“Berita buruknya?” tanya Prof. E.
Soalan itu membuatkan yang lain terdiam. Keadaan menjadi suram semula. Semua menanti jawapan dari doktor. Doktor tersebut kelihatan teragak-agak untuk membuka berita buruk yang ada.
“Begini, peluru yang dikeluarkan tidak sempurna. Kami didapati terdapat satu serpihan peluru berada di bahagian lumbar badannya.”
“Jadi?”
“Kami tiada kepakaran untuk mengeluarkan serpihan tersebut kerana prosedurnya yang terlalu rumit. Jadi, kami akan panggil pakar dari luar Arahjaya. Paling awal, pembedahan akan dijalankan dalam masa satu hari setengah. Itupun, peratusan kejayaan pembedahan hanyalah 50-50. Kalau berjaya sekalipun, pesakit mungkin akan mengalami lumpuh.”





BERSAMBUNG...[51]





Jan 1, 2014

Brave New World


Dua ribu empat belas.
Tahun di mana hari dan tarikhnya sama dengan hari dan tarikh pada tahun aku dilahirkan.



Selamat tahun baru.

Kita lambai pergi 2013 dengan senyuman.
Pada aku, 2013 adalah tahun aku mencari tapak untuk berpijak.
Banyak perkara aku belajar tentang diri pada tahun 2013.
Banyak penambahbaikan aku lakukan untuk diri sendiri.
Antara yang paling signifikan adalah aku sudah belajar untuk menanam impian.
Satu impian yang tidak pernah aku ada sejak dari lahir lagi.
Impian untuk masa depan.

2013 juga merupakan tahun yang, pada aku, penuh dengan perasaan.
Rasa benci, suka, gembira, takut, sedih, marah...Semua ada.
Politik, persahabatan, kekeluargaan, kasih sayang,
Semuanya main peranan kuat sepanjang tahun 2013.

2013 sedikit sebanyak mendewasakan pemikiran aku.

Bagaimana tahun 2013 pada kalian?




Selamat datang 2014.
Tahun yang aku jangkakan bakal mengundang pelbagai cabaran.
Tahun yang bakal menguji aku dari segala aspek,
terutamanya tentang semangat tidak berputus asa.
Ya, aku mahu jadi seseorang yang tidak akan pernah putus asa dalam tahun 2014.

Jadi,
bagaimana jangkaan kalian untuk tahun 2014?



Ayuh,
sama-sama kita mahu ke hadapan.
Sama-sama kita menempuh cabaran yang bakal mendatang.

...dan teruskan menyokong aku di blog ini, ya!




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: