Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 14, 2014

Vorteks #59 - Masa Silam, Masa Kini, Masa Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58]




Natijah daripada cahaya kilat besar yang menyambar loteng rumah Prof. E, bekalan elektrik di seluruh kawasan perumahan itu telah terputus. Walaupun kejadian sebegitu selalu berlaku setiap lapan tahun di kawasan itu, tapi kali ini jumlah cahaya yang memancar dan bunyi dentuman petir amat luarbiasa. Kebanyakan penduduk setempat cuba meninjau apa yang sudah berlaku. Ada yang keluar dari rumah dan melihat sekeliling, ada juga yang hanya meninjau keluar dari beranda rumah.
Intan tidak terkecuali.
Intan berlari ke beranda rumah untuk melihat apa yang sudah berlaku. Sesampainya dia di beranda, perkara pertama yang menarik perhatiannya adalah kereta biru yang berbunyi penggeranya di hadapan rumah Prof. E. Kereta itu dikenali Intan. Itu kereta milik ayahnya.
“Ibu! Ibu!” jerit Intan ke dalam rumah. Puan Nora kemudian datang sambil mendukung Farhan.
“Kenapa?” tanya Puan Nora.
“Itu!” sambil Intan menuding jarinya ke arah kereta biru tadi.

22 Mac 2004, jam 2333. 3 minit selepas Kilat Thor.
“Tipu. Tak mungkin dia boleh hilang begitu sahaja,” Inspektor Bakar mempersoalkan apa yang dia lihat. Encik Ahmad di sebelah masih terkaku diam, juga tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Walaupun aku sendiri sudah bersedia untuk semua ini, tapi aku masih juga rasa ragu-ragu,” kata Prof. Shah dari tepi meja. “Erman, adakah semuanya berjalan seperti kau duga?”
“Ya.” Prof. E duduk melihat sesuatu dalam timbunan pakaian yang ditinggalkan Johan di atas kerusi. “Semuanya berjalan seperti yang aku duga, malah lebih baik dari itu.”
Dengan menggunakan penyepit seakan-akan forseps, Prof. E mengambil sesuatu dari timbunan pakaian tersebut.
“Lihat.” Prof. E menunjukkan sesuatu ke arah Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Itu...Itu serpihan peluru. Adakah...?” Inspektor Bakar tergagap.
“Ya, datang dari Johan. Dia pergi dan berjaya tinggalkan kita serpihan peluru dari badan dia,” jelas Prof. E.
“Kau tahu tentang ini, Erman?” Prof. Shah meminta kepastian.
“Tidak. Tapi aku boleh duga. Semasa hari pertama dia muncul di sini tempoh hari, dia berada dalam keadaan bogel dan lapar. Aku teka, hanya dia sahaya yang ‘dibenarkan’ merentas masa. Bahan lain ‘bukan dia’ seperti baju tidak akan dibawa sekali. Sebab itu serpihan peluru ini dapat ditinggalkan.” Riak muka kagum bercampur tidak percaya jelas kelihatan di muka ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar, dan Encik Ahmad.
“Untung dia pergi dalam keadaan perut kosong. Kalau tidak, kita kena pasti kena berurusan dengan najis dan bahan makanan yang belum hadam di sini.” Prof. E cuba berjenaka, tapi tiada reaksi daripada yang lain. Masing-masing masih terkejut.

Selepas membiarkan Inspektor Bakar dan Encik Ahmad menenangkan diri, Prof. E datang menghampiri mereka.
“Inspektor. Seperti yang saya janji, saya serah diri saya. Tangkaplah saya atas apa sahaja kesalahan yang ada. Saya akan mengaku kesemuanya.” Prof. E menghulurkan tangannya kepada Inspektor Bakar, tunggu untuk digari. “Yang pasti, Prof. Shah tiada sebarang kaitan dengan semua ini.”
Prof. Shah dan Encik Ahmad terlopong melihat tindakan Prof. E. Inspektor Bakar pula kelihatan sedang berfikir sambil merenung wajah Prof. E.
“Maaflah, Prof Erman. Saya tak boleh nak tahan awak. Tiada kesalahan yang boleh saya sabitkan.” Inspektor Bakar menolak tangan Prof. E.
“Tapi...”
“Macam mana saya nak tahan awak atas pertuduhan menculik pesakit di hospital, sedangkan pesakit itu tidak wujud di dunia ini.”
Logik Inspektor Bakar itu menguntumkan senyuman di wajah Prof. E dan Prof. Shah.
“Banyak yang saya nak tanya awak, Prof Erman, tapi sekarang saya sudah penat. Untuk hari ini, kita tamatkan di sini sahaja. Boleh?”
Prof. E hanya mengangguk. Dia bersyukur akhirnya Inspektor Bakar percayakan dengan apa yang dia perkatakan.
Setelah pistol yang dipegang Prof. Shah dipulangkan kembali kepadanya, Inspektor Bakar melangkah ke arah pintu untuk pulang.
“Inspektor Bakar!” panggil Prof. E. Inspektor Bakar yang sudah berada di muka berpaling.
“Harap semua yang berlaku di sini tadi dapat dirahsiakan. Perkara seperti ini memang tidak patut dihebah-hebahkan,” pinta Prof. E.
“Saya tahu. Lagipun, daripada sibuk mencanang cerita tentang lelaki dari masa depan, lebih baik saya fikirkan apa yang patut saya tulis dalam laporan nanti.” Inspektor Bakar mengeluh panjang sebelum berlalu hilang di sebalik pintu.
“Encik Ahmad?” Prof. E beralih kepada lelaki yang berada di sebelahnya itu.
“Walaupun masih terkejut, tapi saya rasa saya faham apa yang sudah terjadi. Jangan risau. Saya juga tidak mahu dilabel gila dengan membawa berita ada orang datang dari lapan tahun akan datang semata-mata untuk selamatkan anak saya.” Encik Ahmad kelihatan lebih tenang dari tadi.
“Masalahnya sekarang, apa perlu saya beritahu Intan...”

“Cepatlah, ibu. Ayah mesti ada di sana.” Intan menarik tangan ibunya yang sedang mendukung Farhan dan berjalan laju ke arah rumah Prof. E. Belum sempat Intan mahu mengetuk pintu rumah Prof. E, pintu itu sudah terbuka. Lelaki yang membukanya juga terkejut melihat Intan di muka pintu.
“Intan! Nora!” tegur Encik Ahmad merujuk kepada anak dan isterinya.
“Ayah! Apa ayah buat di rumah Prof? Kenapa ayah tak balik ke rumah? Kenapa ayah tak datang ambil kami untuk ke hospital melawat Yusran?” soal Intan bertubi-tubi. Encik Ahmad masih cuba untuk mencari jawapan yang patut dia perkatakan.
“Mari balik ke rumah kita. Ayah akan ceritakan segalanya di rumah,” terang Encik Ahmad.
Di dalam rumah, Prof. E dan Prof. Shah memerhati mereka sekeluarga dari satu sudut gelap.
“Adalah lebih baik untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika. Terutamanya dengan Intan,” terang Prof. E.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah. Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu.

Encik Ahmad melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Puan Nora meletakkan Farhan di atas ribanya sambil mengambil tempat. Intan terlebih dahulu duduk, tidak sabar mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh ayahnya. Walaupun ruang tamu masih bergelap, namun terdapat sumber cahaya datang dari lampu kecemasan automatik yang terpasang di depan rumah. Cahaya itu tidak terang, namun masih membenarkan setiap dari ahli keluarga Encik Ahmad untuk untuk melihat wajah masing-masing.
“Intan sayang. Ayah baru berjumpa dengan Prof Erman. Yusran terpaksa di rawat lebih lanjut di luar negara. Kita tidak dapat bertemu dengan dia dalam masa terdekat ini. Mungkin lebih lama dari sepatutnya,” jelas Encik Ahmad.
Berita tersebut membuatkan Intan tergamam. “Ke mana dia dihantar, ayah?”
“Ayah tak pasti,” kata Encik Ahmad sambil menggelengkan kepala.
Tidak dapat menahan lagi, Intan menangis teresak-esak. Suasana sayu menyelebungi ruang tamu, namun Encik Ahmad dan Puan Nora hanya berdiam diri dan membiarkan Intan terus menangis.
“Ini semua salah orang. Ini semua salah orang. Kalau orang tak kena culik, Yusran tak akan jadi macam tu.” Intan menekup wajahnya. Tersedu-sedu Intan menangis diselangi dengan raungan kecil. Puan Nora menggosok belakang Intan, cuba menenangkannya.
Encik Ahmad tidak mampu untuk melihat anaknya terus bersedih dan menyalahkan diri.
“Tapi Intan, Yusran ada sedar dari koma sebelum dia dihantar pergi. Dia ada tinggalkan pesan untuk Intan. Dia kata satu hari nanti dia sendiri akan cari Intan. Sementara menunggu hari itu, Intan perlu terus ke depan...”
Serta merta Intan diam, terhenti dari tersedu. Encik Ahmad juga terhenti dari terus berkata-kata.
Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin,” kata Intan tiba-tiba. Encik Ahmad dan Puan Nora tergamam melihat Intan.
“Itulah pesan yang Yusran tinggalkan. Itu prinsip yang dia ajar kepada Intan. Kata dia, dengan prinsip itu, tidak kira apa pun pengalaman, rintangan dan cabaran yang kita hadapi, kita akan dapat hadapi dengan jayanya.”
Kagum mendengar kata-kata anaknya itu, Encik Ahmad mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, itulah yang Yusran pesan. Dia mahu Intan terus kuat dan kejar cita-cita Intan.” Walaupun terpaksa menipu, tapi melihat Intan berubah dari berwajah sedihnya sebentar tadi sangat melegakan hati Encik Ahmad. Padanya, buat masa sekarang, biarlah Intan tidak diberitahu lagi tentang kebenaran segalanya.

------

25 Mac 2004, jam 0810, di Sekolah Menengah Bandar Selatan (2). 3 hari selepas Kilat Thor.

“Awak pasti awak okey, Intan?” tanya Aida. Dia dan Intan sedang berjalan bersama-sama memasuki kelas mereka selepas tamat perhimpunan harian sekolah.
“Saya okey. Dah dua hari saya duduk rumah tak buat apa-apa. Ayah pun tidak pergi kerja semata-mata nak temankan saya. Kalau saya cuti lagi, terganggu pula kerja ayah nanti. Lagipun dah banyak pelajaran yang saya terlepas.”
Di sekolah, hangat dengan khabar angin terdapat seorang pelajar diculik, tapi hal sebenar tentang siapakah gerangan yang diculik hanya beberapa guru dan Aida sahaja yang tahu.
“Rajin betul awak. Kalau saya, lagi seronok kalau duduk di rumah.”
Mereka berdua tergelak bersama-sama.
“Oh, ya.” Intan memalingkan kepada ke arah Aida.
“Semalam, tiba-tiba ayah ada tanya apa yang saya teringin nak buat. Awak tahu apa yang saya jawab?”
“Apa?” tanya Aida.
“Saya beritahu dia tentang tawaran abang awak tu. Tentang jadi model majalah Remaja Kini.”
“Jadi, apa yang ayah awak cakap?” Aida berwajah teruja.
“Dia setuju.” Menjerit Aida mendengar kata-kata Intan itu. Dia memeluk Intan kerana terlalu gembira. “Tapi ayah bagi syarat...”
“Apa syaratnya?”
“Pelajaran jangan diabaikan.”
“Ala, awak budak pandai. Saya yakin awak boleh. Biar saya uruskan awak. Nanti saya beritahu abang saya, okey?”
Intan tersenyum lebar. Akhirnya perjalanan dia mengejar impian masa kecilnya akan bermula.

27 Mac 2004, jam 1000, di sebuah kawasan kampung di Bandar Timur. 5 hari selepas Kilat Thor.
Pintu sebuah rumah diketuk. Beberapa saat kemudian, kedengaran tapak kaki menuju ke pintu tersebut. Pintu dibuka. Wanita separuh umur yang membuka pintu itu kelihatan terkejut melihat gerangan yang mengetuk pintu.
“Assalamualaikum. Awak sihat?”
“Er...Erman. Abang.” Wanita tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Prof. E sedang berdiri tersenyum memegang sejambak bunga.
“Saya tahu awak tak berapa suka bunga. Tapi saya tak ada idea nak bawa apa untuk awak. Boleh saya masuk?”
“Silakan, abang. Silakan.”
Dalam jarak 20 meter dari situ, kelihatan Prof. Shah memerhatikan semuanya dari jauh. Dia tersenyum. Tapi senyumannya sedikit kelat.
“Aku tak tahu apa patut aku rasa. Aku sepatutnya gembira, tapi kenapa dalam masa sama aku berasa sedih?”
Prof. Shah menghidupkan enjin kereta. Dia kemudian menekan butang ‘on’ pada pemain mp3 keretanya. Bergema segenap ruang kereta dengan melodi piano Musim Bunga ‘La Primavera’ hasil ciptaan Antonio Vivaldi. Prof. Shah memejamkan mata menikmati muzik kegemarannya sebelum berlalu pergi meninggalkan kawasan kampung itu.

Sementara itu, sesuatu sedang berlaku di dalam sebuah studio rakaman di Pusat Bandar.
“Aku ada idea baru untuk lagu baru. Aku sudah dapat ilham,” desak seorang lelaki terhadap seorang produser. Produser tersebut hanya menggarukan kepalanya.
“Masa kau sudah lepas, Yus. Kau kena terima hakikat.”
“Tapi, lagu ni bakal hit. Aku jamin.” Lelaki yang dipanggil Yus itu menghulurkan beberapa kertas tertulis not-not muzik dan beberapa baris lirik.
“Kau pinjamkan dulu studio kau. Nanti bila aku sudah kaya, aku bayar balik semuanya TIGA KALI GANDA.”
Frasa ‘TIGA KALI GANDA’ itu menarik perhatian produser tersebut. Dia kemudian membaca not-not muzik dan baris lirik yang diberikan Yus.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

“Mana kau dapat idea buat lagu ni?” tanya si produser.
“Aku dapat ilham masa tumpang lori sayur tempoh hari.”
“Tapi ini bukan lagu rock. Ini macam lagu balada,” kata produser itu.
“Memang. Aku nak buat ‘comeback’ dengan lagu balada,” balas Yus. Produser itu masih ragu-ragu.
“Kau cuba dulu. Tak rugi. Percayalah. Aku janji.” Produser itu menarik muka apabila mendengar perkataan ‘janji’ datang dari mulut Yus. Dari pengalaman terdahulu, perkataan ‘janji’ tidak bererti apa-apa kepada Yus. Tapi, susunan muzik dan baris lirik yang ditulis Yus itu tidak boleh dipertikaikan kehebatannya. Selaku produser, dia nampak potensi dalam lagu tersebut.
“Baiklah. Aku cuba. Tapi dengan satu syarat. Aku nak kau comeback sebagai kumpulan FRU, bukan Yusran. Tiada siapa mahu dengar lagu dari ‘Yusran yang bermasalah’. Okey?”
“Okey!”
“Dah buang semua jambang-jambang dekat muka tu. Serabut aku tengok.”
“Okey!”
Persetujuan termeterai.

17 April 2004, jam 2000, di kediaman Encik Ahmad, Bandar Selatan.
Intan berdiri di tingkap dan meninjau suasana di luar. Hujan turun tidak lebat tapi cukup untuk membasahi bumi. Melihat titisan air hujan berlumba-lumba berlinang di kaca tingkap membuatkan Intan teringatkan seseorang. Seseorang yang hilang tanpa jejak.
Lamunan Intan terhenti dan beralih ke arah telefon bimbit di tangannya yang berbunyi. Ada satu pesanan ringkas masuk.
Hani, esok jangan lupa. Pukul 9 pagi saya dan abang datang jemput di rumah.
Pesanan ringkas dari Aida, selaku pengurus peribadi tidak bertauliah. Aida juga yang memberikan nama ‘Hani’ kepadanya. Kata Aida, ‘Hani’ kedengaran lebih komersial. Intan tiada bantahan memandangkan Hani juga sebahagian dari namanya, Intan Farhani. Nama Hani juga mengingatkannya terhadap Yusran di mana di awal pertemuan mereka, Yusran tersilap sapa dia sebagai ‘Hani’. Mulai sekarang dia akan dikenali sebagai Hani, nama yang melambangkan kekuatan dirinya. Mulai sekarang Intan akan menempuh perjalanan dalam usaha merealisasikan impiannya dari kecil, menjadi model seperti ibunya.

Intan hanya tersenyum selepas membalas pesanan ringkas tersebut.
Dia kembali merenung ke luar tingkap.
Sudah hampir sebulan tiada khabar berita dari Yusran. Hampir sebulan juga Intan terkenangkan penyelamatnya itu setiap hari. Kadangkala air mata menemani. Kadangkala senyuman mengisi. Tapi yang pasti Intan tidak pernah menunjukkan riak sedihnya di hadapan sesiapapun. Di hadapan orang, dia perlu kelihatan kuat dan tabah. Cukuplah hanya dia sahaja yang tahu betapa rindunya dia dengan seseorang.
Dari tingkap, dia cuba meninjau rumah Prof. E. Namun, apa yang dia nampak cuma rumah yang tidak berlampu. Benarlah kata ayahnya bahawa Prof. E sudah berpindah keluar dari kejiranan itu. Tiada siapa tahu bila dan bagaimana. Sedar-sedar sahaja rumah Prof. E sudah kosong dan tidak berpenghuni. Hal demikian merumitkan lagi usaha Intan untuk menjejak Yusran. Dia tidak tahu mana lagi titik mula dalam usahanya untuk menjejak Yusran.
Namun Intan tidak akan putus asa.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
Biarpun sebulan, biarpun setahun, biarpun sepuluh tahun, Intan akan tetap berusaha mencari Yusran. Dia juga percaya Yusran akan berpegang kepada janjinya untuk bertemu kembali satu hari nanti. Tidak kira berapa lama, Intan pasti akan tunggu.


Lapan tahun kemudian...



BERSAMBUNG...[60]





1 comment:

  1. arrgghh!! x sabar nak tunggu next episod!! hahaha

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: