Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 7, 2014

Vorteks #58 - Masanya Sudah Tiba.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57]




Naik buntu fikiran Puan Nora apabila asyik dihujani pertanyaan daripada anak perempuannya. Intan kerap kali bertanyakan tentang perihal ayahnya yang masih tidak memberi jawapan tentang rancangan untuk melawat Yusran di hospital.
“Ayah mana, ibu? Dah malam dah, kenapa ayah tak cakap apa-apa lagi? Macam mana kita nak melawat Yusran kalau ayah tak cakap apa-apa?” desak Intan. Puan Nora tiada jawapan untuk soalan-soalan Intan itu. Dia pun sudah berkali-kali cuba menelefon Encik Ahmad, tapi deringan tamat tanpa berangkat. Risau juga hati dibuatnya. Masakan tidak, seorang lagi penjenayah masih bebas di luar sana. Dia tidak dapat membayangkan jika berlaku sesuatu perkara buruk terhadap suaminya.
“Sabar Intan. Ibu pun sudah banyak kali call ayah kamu, tapi dia tak angkat.” Perit hatinya melihat wajah kecewa Intan. Perit lagi memikirkan di mana keberadaan suaminya sekarang. Tapi, apa yang perlu dan dapat Puan Nora lakukan hanyalah bertenang dan mengawal keadaan di rumah.
Puan Nora sekali lagi menekan punat di telefon dan mendengar deringan di hujung talian.
“Ayahnya, angkatlah telefon...”

22 Mac 2004, jam 2136, di bilik loteng rumah Prof. Erman. 1 jam 54 minit sebelum Kilat Thor.
Encik Ahmad dapat merasakan telefon bimbit di dalam saku seluarnya bergetar. Namun, badannya kaku disebabkan keadaan genting yang sedang dihadapinya. Dari pandangan matanya, dia berada di belakang Inspektor Bakar yang sedang mengacukan pintu ke arah Prof. E dan Prof. Shah. Manakala, Yusran kelihatan terduduk tidak sedarkan diri di atas kerusi di tengah-tengah bilik.
“Jangan bergerak, kamu berdua ditahan atas pertuduhan melakukan kes penculikan,” tegas Inspektor Bakar.
“Inspektor, ini bukan seperti apa yang tuan nampak,” Prof. Shah cuba menenangkan keadaan. Prof. E di sebelah perlahan-lahan menghampiri Prof. Shah sambil tangannya mencapai sesuatu di belakang badan.
“Melarikan pesakit dari hospital dianggap satu jenayah, tidak kira siapa pun pelakunya,” nada suara Inspektor Bakar semakin tinggi. Dia juga perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik. Setapak demi setapak. Encik Ahmad masih berada di belakangnya mengekori.
Sedar tidak sedar, Prof. E sudah berada di belakang Prof. Shah. Dia kemudian menyilangkan siku kiri erat ke leher Prof. Shah sambil mengeluarkan pistol yang berada di belakang badannya menggunakan tangan kanan. Pistol poin 38 BlackHawk itu diacukan ke arah Inspektor Bakar.
Ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad terkejut dengan tindakan Prof. E itu.
“Saya tidak berniat mahu biadab. Tapi kalau perlu, saya akan lepaskan tembakan ini kepada sesiapa sahaja yang menghalang saya, termasuk tuan inspektor sekalipun,” Prof. E memberi amaran.
“Prof sanggup menembak seorang polis? Besar kesalahan itu.”
“Tiada masalah jika polis tersebut pecah masuk ke dalam rumah saya tanpa kebenaran. Di mahkamah nanti saya akan katakan saya salah anggap dia sebagai perompak. Saya amat yakin tuan inspektor tiada sebarang waran untuk memecah masuk rumah saya ini. Betul, kan?” terang Prof. E.
“Kau jadikan aku tebusan, Erman?” kata Prof. Shah yang meronta-ronta dibelenggu siku Prof. E.
“Maafkan aku Shah. Kau bukan tebusan, cuma sebagai perisai aku.”
“Itu langsung tidak melegakan hati,” balas Prof. Shah.
 “Prof Erman, jangan rumitkan keadaan. Kita masih boleh berbincang,” Inspektor Bakar mencadangkan.
“Tuan letakkan pistol tuan dan kita berbincang. Kalau tidak, saya tidak teragak-agak untuk menembak tuan dan Encik Ahmad di belakang tuan. Saya tidak bergurau.”
Keadaan bilik jadi sangat tegang. Renungan Prof. E jelas menunjukkan yang dia tekad dan tiada keraguan. Dia kelihatan bersedia jika perlu melepaskan tembakan. Inspektor Bakar juga sedar Prof. E bukan bergurau.
“Baiklah. Saya tahu Prof bukan orang jahat. Saya akan letakkan pistol ini dan kita berbincang, okey?” Inspektor merendahkan badannya sebelum meletakkan pistolnya dari tangan ke atas lantai. Tindakan itu diambil kerana dia berdepan dengan risiko sampingan yang tinggi. Dia bertanggungjawab terhadap keselamatan Encik Ahmad, Prof. Shah sebagai tebusan dan juga Johan. Jika Inspektor Bakar masih berdegil, keadaan mungkin bertukar buruk.
Pistol di lantai kemudian ditendang ke arah Prof. E oleh Inspektor Bakar. Kedua-dua Inspektor Bakar dan Encik Ahmad mengangkat kedua-dua tangan mereka tanda menyerah.
“Encik Ahmad, ambil tali di tepi pintu itu dan ikat tangan Inspektor Bakar ke belakang.”
Menerima arahan dari Prof. E, Encik Ahmad menuruti. Prof. E kemudian menyuruh Prof. Shah mengambil tali yang sama dan mengikat tangan Encik Ahmad pula. Kedua-dua Inspektor Bakar dan Encik Ahmad disuruh duduk di atas lantai. Pistol Inspektor Bakar diberikan kepada Prof. Shah.
“Maafkan aku, Shah. Keadaan memaksa,” merujuk kepada perlakuan Prof. E menjadikan Prof. Shah sebagai perisai manusia.
“Tak apa. Aku faham. Tapi kau perlu jelaskan banyak perkara, Erman,” balas Prof. Shah.

Prof. E menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Maafkan saya, Inspektor, Encik Ahmad. Saya cuma mahu diberi masa 2 jam, kemudian saya akan serah diri jika saya ada buat apa-apa kesalahan. Ini semua untuk kebaikan semua, terutamanya untuk Johan.”
“Johan? Siapa Johan?” tanya Inspektor Bakar.
Prof. E dan Prof. Shah saling berpandangan.
“Begini, budak lelaki ini bernama Johan, bukan Yusran. Kami terpaksa sembunyikan identitinya atas sebab-sebab tertentu,” jawab Prof. E.
“Sebab-sebab tertentu? Apa sebabnya?” lagi dari Inspektor Bakar.
As crazy as it sounds, budak ini datang dari masa depan. Lebih tepat lagi, 8 tahun akan datang,” jelas Prof. Shah pula.
Mata Inspektor Bakar dan Encik Ahmad terbeliak. Suasana menjadi diam buat beberapa saat sebelum Inspektor Bakar tergelak kecil.
“Oh, rupanya aku terlibat dalam jenayah psikotik.” Inspektor Bakar menyambung kembali gelak tawanya. Encik Ahmad tidak menunjukkan sebarang reaksi. Prof. E hanya berdiam diri. Prof. Shah tersenyum sedikit.
“Apa semua ini? Sebuah cult yang percaya manusia boleh merentas masa? Ajaran sesat?” sambung Inspektor Bakar.
“Aku juga anggap semua ini gila pada mulanya. Tapi jika ianya gila, cuba kau jelaskan bagaimana budak Johan ini boleh selamatkan anak perempuan Encik Ahmad bukan sekali tapi dua kali,” Prof. Shah memberhentikan gelak tawa Inspektor Bakar.
“Tiga kali, sebenarnya,” celah Prof. E.
Inspektor Bakar terdiam. Encik Ahmad masih terkejut.
“Pertama, Johan selamatkan Intan semasa Intan hampir dilanggar kereta beberapa hari lalu. Kan, Encik Ahmad?”
Encik Ahmad mengangguk.
“Kedua, dia berjaya melarikan Intan dari sarang persembunyian penculik. Inspektor sendiri lihat rakaman video yang saya tinggalkan, kan?” sambung Prof. E.
“Ketiga, Johan menghalang tembakan ke arah Intan tempoh hari.”
Wajah Inspektor Bakar dan Encik Ahmad bertukar serius.
“Saya pertaruhkan reputasi saya yang mengkaji fenomena ini selama berpuluh tahun ke atas budak ini. Gila dia, gilalah saya. Semua soalan akan terjawab kurang dua jam lagi.”
“Tapi bukankah Yusran, bukan...Johan itu sedang tenat dan perlu jalani pembedahan? Kenapa dia perlu berada di sini?” tanya Encik Ahmad.
“Kami mahu hantar dia pulang ke lapan tahun akan datang. Satu-satunya masa yang sesuai ialah pada malam ini,” jawapan ringkas Prof. E mengejutkan Encik Ahmad dan Inspektor Bakar.

Prof. Shah datang menghampiri Prof. E. “Kau yakin semuanya akan berjalan lancar? Bila nampak hanya kerusi yang tersedia di sini, aku mula jadi sangsi dengan kau, Erman.”
“Aku sendiri tiada keyakinan, tapi kita hanya perlu tunggu dan lihat. Percayalah dengan aku,” bisik Prof. E.

22 Mac 2004, jam 2250. 40 minit sebelum Kilat Thor.
Hampir satu jam Inspektor Bakar dan Encik Ahmad diikat dan ditawan Prof. E dan Prof. Shah. Inspektor Bakar hanya memerhatikan kelibat kedua-dua profesor itu dari atas lantai. Mereka berdua sedang sibuk dengan sesuatu di meja kerja. Inspektor Bakar kemudian mengalihkan pandangan kepada Encik Ahmad di sebelahnya. Encik Ahmad kelihatan menggerak-gerakkan badannya dek kerana kesejukan.
“Encik Ahmad. Kalau awak boleh longgarkan ikatan tangan saya, saya mungkin ada peluang rampas balik pistol dari mereka,” bisik Inspektor Bakar, perlahan. Encik Ahmad memandang ikatan tangan Inspektor Bakar di belakang.
“Tangan saya juga terikat kuat. Risikonya tinggi. Saya tak berani. Kita tunggu sahaja berapa lama Prof E katakan tadi.”
“Tapi, mereka mungkin menipu. Mereka mungkin berniat akan bunuh kita semua jika segalanya tidak berjaya. Kita kena bertindak cepat.”
“Walaupun Prof Erman nampak sebegitu, tapi saya yakin dia tidak mungkin sampai tahap mahu membunuh. Lagipun, kita tidak rugi apa-apa kalau beri mereka sedikit lagi masa,” kata Encik Ahmad penuh keyakinan.

Udara bilik menjadi semakin sejuk. Prof. E dan Prof. Shah sedang berbincang di meja kerja mengenai perancangan seterusnya.
“Apa yang kita nak buat kalau semua ini tidak berjaya, Erman?” tanya Prof. Shah.
“Maksud kau?”
“Polis dan bapa budak perempuan itu. Mereka sudah tahu banyak. Lagipun, Johan dalam keadaan kritikal,” jelas Prof. Shah.
“Kita tiada pilihan selain berjaya.”
“Tapi kau kata kau serahkan segala-galanya kepada alam.”
“..dan Tuhan. Kalau Dia izinkan, segalanya akan jadi lancar. Tapi kalau berlaku sebaliknya, aku akan tanggung segalanya, Shah. Aku tak akan kaitkan nama kau.”
Mendengar kata-kata Prof. E itu membuatkan perasaan Prof. Shah bercampur baur. Dia tidak tahu sama ada patut rasa lega dengan jaminan Prof. E atau risau dengan ketidakpastian yang ada.

“Apa... Apa sedang berlaku?”
Satu suara lemah kedengaran membuatkan semua kepala berpaling ke satu arah. Suara itu datang dari tubuh yang berada di atas kerusi di tengah-tengah bilik. Suara itu datang dari Johan.
Johan sudah sedarkan diri.
“Apa sudah berlaku?” tanya Johan sekali lagi. Suaranya lemah, mungkin masih berasa sakit dari luka tembakan. Dia melihat Encik Ahmad dan seorang yang tidak dikenalinya terduduk di lantai berhadapan dengannya. Bila dipaling kepalanya ke kiri, dia ternampak Prof. E dan Prof. Shah di meja kerja. Kesemua mereka sedang memandangnya dengan muka terkejut.
“Johan, kau sudah sedar?” tanya Prof. E. Prof. E menghampiri Johan dengan segera.
“Hani... Intan... Intan bagaimana? Dia selamat?” tanya Johan.
“Intan selamat. Dia selamat. Penjahat sudah ditembak,” jawab Prof. E.
“Sedar dari koma dan perkara pertama kau tanya ialah budak perempuan itu. Dia betul-betul penting, ya?” senda Prof. Shah pula. Encik Ahmad kelihatan terharu dengan Johan.
“Koma? Apa sudah terjadi?” tanya Johan sekali lagi.
“Kau ditembak, kau koma. Tapi sekarang kau berada di loteng rumah aku. Aku mahu hantar kau balik.” Prof. E cuba menjelaskan segalanya dengan ringkas.
“Oh, patutlah satu badan rasa sakit, kena tembak rupanya.” Johan tersenyum dalam kesakitan.

“Yusran!” Inspektor Bakar bersuara. Johan memandang Inspektor Bakar.
“Encik siapa?” tanya Johan dalam nada perlahan menahan sakit.
“Saya Inspektor Bakar, pegawai polis yang bertugas menyiasat ke atas semua yang berlaku.” Johan hanya mengangguk mendengar jawapan itu.
“Awak dijadualkan untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru yang masih berada di dalam badan awak. Tapi Prof Erman dan rakannya melarikan awak dari hospital dan bawa awak ke sini atas satu tujuan yang saya tak pasti. Boleh awak beritahu saya lebih lanjut?” soal Inspektor Bakar. Prof. Shah ingin menghalang soal siasat itu, tapi dihalang Prof. E.
“Inspektor, Encik Ahmad. Kalian mungkin sudah tahu, nama saya bukan Yusran, tapi Johan. Saya datang dari masa depan tahun 2012, lapan tahun dari sekarang. Pada mulanya saya tidak pasti kenapa saya di bawa ke tahun ini, tapi akhirnya saya sedar saya ditakdirkan untuk menyelamatkan Intan dari bahaya. Jika Prof E bawa lari saya dari hospital ke sini, saya yakin tujuan dia adalah untuk hantar saya pulang ke zaman saya. Saya yakin Prof E boleh lakukannya kerana dia sudah berjanji dengan saya.” Prof. E tersenyum mendengar jawapan Johan.
“Tapi kenapa anak saya? Kenapa Intan?” tanya Encik Ahmad.
Johan tersenyum lama sebelum menjawab, “Encik Ahmad, saya tidak boleh berikan maklumat lebih lanjut mengenai Intan pada masa hadapan, tapi cukuplah saya beritahu bahawa Intan bakal menjadi seseorang yang penting suatu hari nanti. Menyelamatkan dia sekarang akan memberi impak besar kepada ramai orang, terutamanya diri saya sendiri.”
“Begitu penting sehingga awak sanggup gadaikan nyawa, sanggup ditembak?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Ya. Pada saya, Intan seorang yang istimewa. Peranan saya mungkin sudah selesai sampai sini, tapi seterusnya terpulang kepada keputusan Intan dan orang sekelilingnya, termasuk Encik Ahmad. Nasihat saya, ambil masa dan dengar apa yang Intan mahukan. Biarkan dia buat keputusan sendiri mengenai apa yang dia mahu lakukan dengan hidupnya, dan dalam masa yang sama, sokong dia sepenuhnya. Encik Ahmad boleh buat sebegitu, kan?”
Encik Ahmad mengangguk. “Johan, terima kasih. Terima kasih kerana sanggup gadaikan nyawa untuk Intan. Saya terhutang budi dengan awak. Budi yang tidak mungkin dapat saya balas.”
Johan hanya tersenyum mendengar kata-kata Encik Ahmad.
“Macam mana saya nak tahu semua yang dicakapkan awak boleh dipercayai?” tanya Inspektor Bakar yang masih dalam keraguan.
“Tiada cara. Kau cuma perlu tunggu dan lihat,” celah Prof. Shah.

Keadaan bilik loteng dirasakan semakin berubah. Bilik menjadi begitu sejuk sehingga nafas yang dihembuskan melalui hidung dan mulut membentuk asap, membentuk wap air.
“Apa sudah jadi? Kenapa bilik jadi sejuk tiba-tiba?” tanya Prof. Shah kepada Prof. E.
“Ini ialah fenomena awal sebelum Kilat Thor. Udara menjadi sejuk akibat dari penurunan jumlah tenaga di persekitaran. Perbezaan tenagalah yang membuatkan Kilat Thor akan menyambar.”
“Prof Erman, saya masih tidak percaya semua ini. Jika niat awak bawa Johan ke sini adalah untuk hantar dia ke masa depan, bukankah bermakna kita semua di sini juga akan dibawa bersama?” celah Inspektor Bakar. Prof. Shah mengangguk dan bersetuju dengan soalan itu sambil menunggu jawapan dari Prof. E.
“Saya sangat yakin kita tidak akan terlibat. Tapi, sebagai langkah berjaga-jaga, kita tidak boleh berada dalam lingkungan bulatan yang saya lukiskan dengan kapur di lantai.” Prof. E menerangkan signifikan bulatan tersebut.
“Tuan Inspektor jangan risau. Kita hanya perlu percayakan Prof. E. Dia sudah buatkan yang terbaik.” Johan mengalihkan pandangannya dari Inspektor Bakar ke arah Prof. E.
“Prof, saya berterima kasih kepada Prof atas segalanya. Pada mulanya, saya sendiri anggap saya merentas masa lapan tahun sebelumnya adalah sesuatu yang gila. Nasib saya baik sebab berjumpa dengan Prof. Tanpa Prof, mungkin sia-sia saya di bawa ke sini. Mungkin saya akan jadi tidak siuman dengan segala perkara yang tidak masuk dek akal ini. Cuma saya harap, selepas semua ini berakhir, Prof dapat kembali ke kehidupan yang sepatutnya Prof lalui. Kehidupan bersama isteri dan anak. Pergilah cari mereka. Rendahkan ego dan minta maaf kepada mereka. Mulakan hidup baru. Seseorang yang baik seperti Prof juga berhak mendapat kebahagiaan.”
Prof. E hanya berdiam diri. Dia sedar apa yang diperkatakan Johan itu benar-benar belaka.
“Tak sangka kau dapat lecture dari budak muda,” Prof. Shah berjenaka.

“Prof. Shah.”
Prof. Shah tersentak namanya dipanggil Johan.
“Nampak gaya macam Prof sudah berbaik dengan Prof Erman. Baguslah”
“Mana ada berbaik...” celah Prof. Shah.
“Tiada guna bermusuh dengan seseorang kerana peristiwa lama. Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin. Jika kita terus dibelenggu masa silam, kita yang rugi.”
Prof. Shah hanya mendiamkan diri, merenung wajah Johan tanpa sebarang respon. Prof. E di sebelah hanya tersenyum memerhati. Johan juga tersenyum melihat reaksi Prof. Shah.
“Kenapa kau bercakap macam orang nak mati?” senda Prof. Shah sekali lagi.

Bilik terasa semakin sejuk. Asap sejuk mula muncul entah dari mana. Bilik juga menjadi suram. Cahaya dari lampu menjadi semakin malap tanpa sebab nyata.
“Baiklah, masanya sudah tiba. Jauhkan diri dari sempadan bulatan di lantai.”
Prof. E menghampiri Inspektor Bakar dan Encik Ahmad. Dia kemudian melonggarkan ikatan tali di tangan mereka berdua. Selepas ikatan dilonggarkan, Inspektor Bakar meleraikan tali di tangannya kemudian menolong melepaskan ikatan di tangan Encik Ahmad. Sambil mahu berdiri, mata Encik Ahmad dan Inspektor Bakar tertumpu ke arah Johan. Mereka tergamam melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling Johan.
Asap sejuk yang tadinya bergerak rawak, kini mula bergerak mengelilingi Johan sebagai pusat.
“Johan, aku tunggu kau di sini selepas lapan tahun. Kami akan rawat kecederaan kau bila kau sampai nanti. Jumpa lagi.” Prof. E mengangkat tangannya sebagai tanda selamat.
“Sela...”

PLAAANNNGGGGG!
Belum pun sempat Johan menghabiskan ayatnya, loteng rumah Prof. E disambar cahaya kilat dan diikuti petir yang kuat. Cahaya memenuhi segenap ruang di bilik loteng itu. Semua yang ada di situ tidak mampu menahan silau sinar cahaya sehingga memaksa mereka semua menutup mata. Cahaya itu bersinar selama beberapa saat sebelum kemudiannya hilang serta merta.
Kilat besar itu mengakibatkan seluruh taman perumahan putus bekalan elektrik. Malah suasana menjadi riuh apabila kebanyakan kereta di sekeliling telah berbunyi penggeranya kesan dari dentuman petir tadi.
Pedih kerana disinar cahaya secara tiba-tiba, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad membuka mata mereka perlahan-lahan. Selepas mata dibuka, di sebalik samar-samar asap sejuk yang masih berbaki, apa yang mereka nampak hanyalah kerusi kayu kosong dengan sepasang baju dan seluar milik hospital yang dipakai Johan tertinggal di atasnya.
Johan sudah hilang.
Prof. E menghampiri kerusi tersebut.
“Mana Johan? Mana budak itu?” tanya Inspektor Bakar.
Sambil memegang baju yang tertinggal, Prof. E berkata dengan senyuman terukir di bibir, “Johan sudah pulang.”


22 Mac 2004, jam 2332. 2 minit selepas Kilat Thor.



BERSAMBUNG...[59]





2 comments:

  1. betul ke dah pulang?? hmmm...
    sekali kena hantar balik ke masa silam. hahaha.
    kena tunggu sambungan minggu depan ni. :D

    ReplyDelete
  2. *membaca sambil minum teh ais... slurppp*

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: