Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 28, 2014

Vorteks #57 - Persediaan Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56]




Amarah dan maruah Inspektor Bakar seperti dicabar. Dia tidak mahu sekadar melihat kereta ‘penjenayah’ meluncur pergi dan hilang di depan matanya. Dia masih tidak putus asa.
“Ikut saya ke kereta. Kita kejar.”
Inspektor Bakar bersama dua anak buahnya meluru ke sebuah kereta polis. Sekali lagi Inspektor Bakar berasa marah apabila melihat keempat-empat tayar kereta polisnya itu telah kempis akibat dibocorkan.
“Mana kereta kamu berdua?” tanya Inspektor Bakar kepada kedua-dua anak buahnya. Mereka bertiga kemudian bergerak bersama-sama ke sebuah lagi kereta polis yang tidak jauh dari situ. Menjerit kuat Inspektor Bakar kehampaan apabila sekali lagi melihat kereta polis itu juga telah pancit kesemua tayarnya.
“Kenapa ni, Inspektor Bakar?” ada suara menyapa dari belakang. Apabila Inspektor Bakar menoleh, kelihatan Encik Ahmad berdiri tercengang di belakangnya memegang sebentuk kunci kereta di tangan.
Inspektor Bakar kembali tersenyum.

Drive laju sikit, Shah. Aku takut polis dapat kejar kita nanti,” Prof. E memberi peringatan. Johan yang tidak sedarkan diri diletakkannya di sebelah dengan tali pinggang keledar terikat kemas.
Do not worry. Semasa menunggu signal kau tadi, aku sudah pancitkan kesemua kereta polis yang ada di parking area, termasuklah yang dipandu Inspektor Bakar. That should buy us some time.”
“Tapi lebih baik kalau kita tak pandang rendah pada Inspektor Bakar. Aku sendiri hampir tertangkap oleh dia di lobi tadi. Kalau dia perasan lebih awal, sudah tentu aku bukan di sini sekarang.”
Prof. Shah ternampak sesuatu dari cermin pandang belakangnya. Dia kemudian bertukar melihat ke cermin sisi pula sebelum kembali melihat ke cermin pandang belakang kembali. Prof. E tertanya-tanya dengan kelakuan pelik Prof. Shah.
“Ah, malangnya!” keluh Prof. Shah.
“Kenapa?” tanya Prof. E.
“Kita seperti sedang dikejar.” Prof. Shah memijak pedal minyak di kaki, membuatkan kereta yang dipandu terus memecut dengan lajunya.

Hampir seratus meter di belakang ada sebuah kereta berwarna biru sedang memotong kereta-kereta lain satu demi satu pada kelajuan yang tinggi. Kelihatan yang sedang memandu ialah Inspektor Bakar. Encik Ahmad berada di tempat duduk penumpang.
“Siapa yang kita kejar? Saya nak ke hospital, nak melawat anak saudara Prof Erman,” tanya Encik Ahmad kepada Inspektor Bakar.
“Ada satu kereta berwarna silver sudah membawa lari Yusran keluar dari hospital. Saya percaya itu perbuatan Prof Erman sendiri.”
Encik Ahmad terkejut mendengar penjelasan Inspektor Bakar.
“Tapi kenapa? Kenapa perlu bawa lari anak saudara sendiri yang bakal jalani pembedahan beberapa jam lagi?” Encik Ahmad kebingungan.
“Saya sendiri tak pasti, tapi rasanya kita akan tahu jawapannya kalau dia dapat ditangkap.”
Kereta Encik Ahmad yang dipandu Inspektor Bakar semakin menghampiri kereta yang dipandu Prof. Shah.

“Aku rasa itu Inspektor Bakar pinjam kereta orang awam. Kita pusing-pusing dulu sekitar kawasan sini supaya dapat kelirukan dia. Elak memasuki pusat bandar waktu sekarang. Sekarang waktu puncak, jalanraya akan dipenuhi kereta. Kalau boleh, elakkan juga lampu isyarat. Kena berhenti di lampu isyarat bermakna kita takkan selamat.” Panjang lebar Prof. E memberi peringatan kepada Prof. Shah yang sedang memandu. Prof. Shah hanya tersenyum.
“Kau jangan risau, Erman. Aku tahu apa perlu aku buat. Kita ada berapa lama masa?”
“Dalam sejam lebih, kemudian kita kena balik ke rumah aku untuk persediaan.”
Sambil tersenyum, Prof. Shah menambah pecutan keretanya dan memasuki susur masuk lebuhraya. Hospital Arahjaya berada di selatan Bandar Barat bersempadanan dengan utara Bandar Selatan dan barat Pusat Bandar. Cara terbaik untuk mengelak kesesakan waktu puncak ialah dengan memasuki lebuhraya tertutup yang menghubungkan empat bandar utama Arahjaya. Di lebuhraya bukan sahaja kurang kenderaan, malah tiada lampu isyarat. Kereta juga boleh dipandu laju dengan risiko kemalangan yang dapat diminimumkan.
“Kalau masuk lebuhraya, kereta aku ini tidak akan kalah.”
Selepas memasuki lebuhraya, Prof. Shah memicit satu punat di bahagian bawah stereng. Tiba-tiba enjin kereta yang dipandu Prof. Shah berderum kuat sebelum kereta itu memecut dengan lebih laju. Prof. Shah tergelak besar, kepuasan.
“Aku tak tahu pula kau suka ubahsuai kereta,” kata Prof. E.
“Banyak yang kau tak tahu tentang aku, Erman.” Prof. Shah menyambung gelak ketawanya.

“Nampaknya kereta silver itu masuk ke lebuhraya,” kata Encik Ahmad sambil menunjukkan susur masuk lebuhraya. Inspektor Bakar yang sedang memandu di sebelah mendengus panjang.
“Mereka tak berniat nak serah diri. Tak apa. Kita akan kejar sampai berjaya.”
Kereta biru yang dipandu Inspektor Bakar turut memasuki lebuhraya. Namun, selepas melepasi tol, kereta berwarna perak tadi sudah hilang dari pandangan mereka.
Sedar dirinya gagal mengejar, Inspektor Bakar menghempas tapak tangannya ke stereng kereta, kemarahan. “Tak guna. Kita sudah kehilangan mereka. Kereta mereka pecut laju.”
Inspektor Bakar memperlahankan pemanduannya. Dia memberhentikan kereta di kiri lebuhraya dan kemudian membuat panggilan kepada balai polis tempat dia bekerja. Inspektor Bakar mengarahkan supaya diadakan sekatan jalanraya di jalan-jalan terpilih sekitar Bandar Selatan, Pusat Bandar dan Bandar Barat. Dia juga mengarahkan supaya diletakkan unit peronda di setiap susur keluar lebuhraya. Namun, jauh di sudut hati Inspektor Bakar, dia sedar bahawa cara begitu tidak akan berkesan jika orang yang diburunya sudahpun berada di luar kawasan operasi.
“Kita akan ke Balai Polis Utama Arahjaya. Di sana saya akan pulangkan kereta ini kepada awak, Encik Ahmad. Maaf susahkan awak.” Inspektor Bakar kembali memandu memasuki jalan.
“Tuan Inspektor, tadi tuan kata kemungkinan yang bawa lari Yusran ialah pakciknya, Prof Erman, kan?” soal Encik Ahmad. Inspektor Bakar mengangguk.
“Saya rasa, kalau Prof Erman, hanya ada dua tempat sahaja dia selalu ada. Universiti tempat dia mengajar dan juga rumah dia. Saya tahu sebab hampir setiap hari saya perhatikan dia. Dia tiada kehidupan lain,” terang Encik Ahmad. Inspektor Bakar tertarik perhatian.
“Kita boleh cuba periksa dulu dua tempat itu. Tak rugi pun kalau periksa sana, kan?” sambung Encik Ahmad. Inspektor Bakar setuju.
“Kita ke universiti dulu.”

22 Mac 2004, jam 2110. 2 jam 20 minit sebelum Kilat Thor.
Kereta berwarna perak yang dipandu Prof. Shah berhenti di hadapan pagar rumah Prof. E di Bandar Selatan. Setelah memerhatikan keadaan sekeliling, kedua-dua Prof. E dan Prof. Shah perlahan-lahan memapah Johan yang masih tidak sedarkan diri keluar dari kereta dan dibawa masuk ke dalam rumah. Kudrat dua orang pertengahan abad memapah seorang lelaki muda bukannya mudah. Tambahan pula mereka perlu berhati-hati kerana masih terdapat serpihan peluru di dalam badan Johan. Kedua-dua profesor itu mengambil masa yang lama hanya untuk memapah Johan naik ke tingkat atas. Johan kemudian di bawa ke bilik loteng rumah, bilik di mana Prof. E menyimpan segala maklumat tentang kajiannya berkenaan fenomena merentas masa.
Setelah pintu bilik loteng dibuka, Prof. Shah yang buat pertama kali melangkah masuk ke bilik sulit tersebut sedikit terperanjat.
“Kita letakkan Johan di kerusi itu,” kata Prof. E merujuk kepada sebuah kerusi yang berada di tengah-tengah bilik. Badan Johan diletakkan dan dibetulkan kedudukannya supaya stabil.
“Mana?” tanya Prof. Shah.
“Mana apa?” balas Prof. E.
“Mana mesin masa kau?” jelas Prof. Shah.
“Mesin masa apa?” balas Prof. E.
“Mesin masa. Bukankah kau kaji fenomena merentas masa? Sepatutnya ada mesin masa yang besar dalam bilik kajian kau ni, atau paling kurang sebuah mesin sebesar tab mandi. Kenapa hanya ada kerusi kayu di tengah bulatan kapur?”
“Kerusi kayu penebat elektrik terbaik. Malah, tiada skru dalam kerusi kayu itu. Seratus peratus kayu. Aku tak mahu gunakan kerusi besi. Bahaya.”
Prof. Shah garu kepala. “Are you joking, Erman? Aku tanya mana mesin masa. Mana?” Nada suara Prof. Shah semakin meninggi. Prof. E hanya tersenyum.
“Inilah mesin masanya, Erman. Ini!” Prof. E mendepakan tangannya.
“Ini? Apa? Kerusi?” Prof. Shah masih tidak jelas.
“Bukan. Bukan kerusi. Tapi alam. Alam kita.”
“Alam? Apa maksud kau?” Prof. Shah semakin buntu.
“Tiada kuasa manusia setanding rahsia alam. Alam ini sendiri yang menghantar Johan datang, dan alam ini juga yang akan mengambil Johan pulang. Sebenarnya, kajian aku masih tidak lengkap. Walaupun aku sudah fahaminya secara teori, tapi aku masih gagal untuk mengaturkan model makmal kajian aku. Bukan...Sebenarnya, aku tak akan berjaya untuk mengaturkannya.”
Prof. Shah terduduk mendengar penjelasan Prof. E. Raut wajahnya kelihatan kecewa.
“Maafkan aku kalau kau kecewa. Tapi janji aku tentang akan berkongsi segala maklumat tentang kajian ini kepada kau, akan tetap aku kotakan. Janji aku tetap janji.” Kata-kata Prof. E itu tidak mengubah riak muka Prof. Shah.

Tiba-tiba, pintu bilik loteng itu dibuka. Dua lelaki memasukinya.
“Jangan bergerak, kamu berdua ditahan atas pertuduhan melakukan kes penculikan.”
Kedua-dua Prof. E dan Prof. Shah berpaling ke arah suara itu. Kelihatan Inspektor Bakar berdiri di pintu mengacukan pistol ke arah mereka. Encik Ahmad berada di belakang Inspektor Bakar kelihatan buntu.

22 Mac 2004, jam 2135. 1 jam 55 minit sebelum Kilat Thor.



BERSAMBUNG...[58]





No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: