Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 21, 2014

Vorteks #56 - Masa Semakin Hampir.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55]




Kereta yang sedang dipandu Prof. Shah berhenti secara mengejut di hadapan pintu utama Hospital Arahjaya. Prof. Shah memanjangkan tangan membuka pintu belakang. Muncul masuk Prof. E memapah sekujur badan yang tidak sedarkan diri. Pintu kemudian ditutup dengan segera.
Go, go. GO!” jerit Prof. E. Prof. Shah kemudian memijak pedal minyak sepenuhnya, membuatkan kereta yang dipandunya memecut dengan pantas ke depan. Sejurus selepas kereta itu memecut, kelihatan kelibat Inspektor Bakar keluar dari pintu utama hospital dan kemudian marah kepada diri sendiri kerana tidak sempat menahan Prof. E.

Beberapa jam sebelum itu...
22 Mac 2004, jam 0805. 14 jam 45 minit sebelum Kilat Thor.
“Ayah, bila kita nak pergi melawat Yusran di hospital?” Intan bertanya kepada Encik Ahmad yang sedang membaca surat khabar di meja makan. Puan Nora yang sedang menyapukan jem ke permukaan roti juga mengalihkan pandangannya ke arah Encik Ahmad, menanti jawapan dari mulut suaminya itu.
“Ayah tak pasti, nanti ayah tanya Prof Erman sama ada Yusran dibenarkan melawat atau tidak. Ayah dapat berita, pembedahannya akan dijalankan malam ni.”
Riak wajah Intan jelas kecewa dengan jawapan ayahnya itu. Dia mahu melawat Yusran sesegera mungkin. Jika boleh sekarang, maka sekarang juga dia mahu pergi.
“Intan sayang. Intan jangan risau. Lepas ayah bertanyakan kepada Prof. Erman, kita akan pergi melawat Yusran. Dia mungkin perlukan sokongan kita sebelum menjalani pembedahan, kan? Lagipun dia kan hero kepada anak ayah ni.” Encik Ahmad mengusap kepada Intan. Sekuntum senyuman terukir di bibir Intan. Paling tidak , jawapan tadi dapat meredakan keterujaan Intan untuk melawat Yusran di hospital.
“Baiklah, ibunya. Saya ada beberapa hal lagi perlu diselesaikan dengan pihak polis. Awak dan anak-anak bersiaplah. Kalau cepat selesai, maka cepatlah kita ke hospital. Nanti apa-apa, saya call rumah.” Puan Nora mengangguk tanda faham. Selepas Puan Nora salam suaminya, dan diikuti oleh Intan, Encik Ahmad berlalu keluar dari rumah bersama beg bimbit kerjanya.

22 Mac 2004, jam 1034, di Hospital Arahjaya. 12 jam 56 minit sebelum Kilat Thor.
“Apa maksud kau cari jalan supaya mereka tangguhkan pembedahan?” Suara Prof. Shah menjadi tinggi mendengar kata-kata Prof. E di sebelah lain talian. Prof. Shah sedang berada di lobi hospital untuk membuat panggilan kepada Prof. E. Satu hari suntuk dia berada di hospital memantau keadaan Johan yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Matanya menjadi lebam, sengal menjalar seluruh badan. Prof. Shah sudah berada di tahap maksimumnya.
“Kalau pembedahan itu dijalankan malam ini, kita tak boleh nak bawa pulang Johan ke rumah,” balas Prof. E di sebelah talian.
“Adalah lebih baik kau datang sini dan selesaikan semuanya dengan pihak pengurusan hospital. Lagipun kau kan ‘pakcik’ dia, you have the power to consent or not to consent the operation.” Ada betulnya cakap Prof. Shah itu. Prof. Shah seorang tidak akan mampu untuk mengubah apa-apa keadaan di hospital.
“Baiklah, lepas aku selesai urusan di sini, aku akan ke sana dengan segera,” jelas Prof. E.
Prof. Shah mematikan talian.

22 Mac 2004, jam 1430, di Bandar Selatan. 9 jam sebelum Kilat Thor.
Telefon di atas meja Prof. E berdering.
“Tentu si Shah lagi ni. Dia memang tak boleh sabar langsung,” ngomel Prof. E sendirian. Dia dengan segera mengangkat telefon dan menjawab panggilan.
“Prof. Erman, ini saya, Ahmad.” Suara di hujung talian bukanlah milik Prof. Shah.
“Ya Encik Ahmad. Apa boleh saya tolong?”
“Begini. Intan nak sangat-sangat melawat Yusran. Kami dengar dia akan jalani pembedahan malam ini. Jadi, boleh kami datang melawat sebelum pembedahannya?”
Prof. E buntu untuk memberi jawapan.
“Beginilah, Encik Ahmad. Saya sendiri tak pasti boleh melawat atau tidak, tapi saya akan ke sana sebentar lagi. Nanti saya beritahu sama ada boleh melawat atau tidak, ya?”
“Kalau begitu, baiklah. Intan nak sangat bertemu dengan Yusran. Kami belum berkesempatan nak berterima kasih kepada dia.”
“Saya faham, dan saya rasa Johan,...er...Yusran pun faham.”
Selepas Encik Ahmad mengucapkan terima kasih, Prof. E mematikan talian.
Prof. E kemudian membuka laci meja kerjanya dan mengambil sesuatu sebelum meletakkannya ke dalam poket dalam jaket yang dipakainya.
“Aku harap aku tak perlu gunakan benda ni,” kata Prof. E sambil menepuk-nepuk poket jaketnya yang terisi sepucuk pistol.

22 Mac 2004, jam 1630, di Balai Polis Utama Arahjaya. 7 jam sebelum Kilat Thor.
Berkali-kali Inspektor Bakar meneliti senarai nama pada skrin sebuah komputer. Ianya merupakan senarai dari pangkalan data untuk penduduk Arahjaya yang diperolehnya dari Jabatan Pendaftaran.
“Tiada rekod lelaki bernama Yusran dengan usia dan wajah seperti dia. Malah, Prof. Erman hanya ada isteri dan anak lelaki yang sudah lama tidak tinggal bersama. Dia tidak ada saudara mara yang lain, apatah lagi seorang anak saudara.”
Inspektor Bakar memicit ruang antara kedua-dua matanya yang kepenatan. Berada di hadapan komputer untuk masa yang lama sememangnya memenatkan. Tambahan pula, pegawai polis sepertinya sudah biasa dengan tugasan luar dari tugasan atas meja.
Inspektor Bakar kembali merenung skrin komputer.
“Siapa sebenarnya Yusran itu?”
Setelah lama berfikir, Inspektor Bakar mendapat satu idea untuk memastikan identiti lelaki bernama Yusran itu.
“Kalau aku dapat cap jari si Yusran itu, tentu kerja aku akan jadi lebih mudah.” Inspektor Bakar kemudian bangun dari kerusinya, dicapainya jaket yang tersidai di kerusi tadi dan berlalu pergi menuju ke Hospital Arahjaya.

22 Mac 2004, jam 1745. 5 jam 45 minit sebelum Kilat Thor.
Telefon bimbit Encik Ahmad bergegar di dalam kocek seluar. Dia lupa untuk mematikan mod senyap telefon bimbitnya selepas keluar dari balai polis awal siang tadi. Namun begitu, dia sedar akan gegaran tersebut dan mengeluarkan telefonnya untuk melihat siapakah gerangan yang sedang memanggil.
Perkataan ‘Rumah’ muncul di skrin telefon.
“Hello. Abang. Nora ni,” suara perempuan di hujung talian.
“Ya, awak. Kenapa?”
“Anak kita banyak kali bertanya bila nak melawat hospital. Dia desak saya suruh telefon tanya,” jelas Puan Nora.
Encik Ahmad tiada jawapan. Dia hanya mampu berdiam diri.
“Intan kata dia sanggup pergi ke hospital sendiri naik teksi kalau abang sibuk,” sambung suara di talian.
“Maaflah, tapi Prof Erman tak beri apa-apa jawapan lagi,” jelas Encik Ahmad, ringkas.
“Tak apalah, Nora. Awak beritahu Intan, saya sendiri akan ke hospital bertanyakan keadaan Yusran sama ada boleh dilawat atau tidak. Kebetulan, saya sudah dekat dengan hospital. Kalau boleh melawat, saya sendiri akan balik ambil semua di rumah. Jangan keluar rumah. Seorang penjenayah masih lagi terlepas. Bahaya kalau nak naik teksi. Faham?”
“Baiklah, saya akan terangkannya kepada Intan,” kata Puan Nora sebelum menamatkan panggilan.

22 Mac 2004, jam 1830, di Hospital Arahjaya. 5 jam sebelum Kilat Thor.
“Datang pun engkau. Lama aku tunggu,” kata Prof. Shah kepada Prof. E dalam nada perli. Prof. E baru sahaja masuk ke kawasan menunggu wad unit rawatan rapi.
“Aku sudah bercakap dengan doktor. Pembedahan Johan akan berlangsung jam 9 malam ini. Jam 8 malam dia perlu berada di bilik persiapan,” kata Prof. E.
“Kau bagi kebenaran untuk teruskan pembedahan?” tanya Prof. Shah.
“Mereka kata, ini berkaitan dengan kes polis, maka consent dari waris tidak diperlukan. Waris hanya akan diberitahu,” jawab Prof. E.
“Jadi, macam mana kita nak bawa Johan balik ke rumah?” Prof. Shah dan Prof. E berpandangan sesama sendiri.
“Kita gunakan ini.” Prof. E menunjukkan pistol di dalam poket jaketnya.
“KAU GILA? Kau tahu tak berlambak polis ada di lobi semata-mata nak pasang mata memantau si Johan tu? Walaupun dia bukan suspek, tapi kehadiran dia menjadi tanda tanya,” herdik Prof. Shah.
“Kita hanya akan gunakannya bila perlu sahaja. Sekarang, kita perlu pastikan Johan dapat di bawa keluar dari bilik ICU tu sebelum pukul 8 malam.”
How?” tanya Prof. Shah.
Don’t worry. I have an idea. Kau hanya perlu ke bawah dan sediakan kereta di hadapan pintu utama pada pukul 7 lebih nanti, lepas aku bagi isyarat.”
Prof. Shah mendengar selanjutnya perancangan dari Prof. E.
You’re crazy, Erman. You owe me big time. Big time!

Inspektor Bakar sedang berjalan dari lobi menuju ke wad ICU. Sambil berjalan, dia memeriksa telefon bimbitnya jika ada pesanan atau panggilan tidak berjawab dari anak buahnya. Tiba-tiba tangannya terlanggar bahu seorang doktor yang sedang menolak laju pesakit di atas kerusi roda dalam keadaan tergesa-gesa. Telefon bimbit Inspektor Bakar terjatuh ke lantai, membuatkan telefon tersebut berpisah kepada beberapa bahagian.
“Maafkan saya,” kata Inspektor Bakar itu kepada doktor tersebut. Doktor tersebut hanya diam dan tidak bersuara, malah terus laju menolak kerusi roda pesakitnya itu.
“Hm, at least pandanglah aku. Sibuk sangat agaknya doktor zaman sekarang ni,” bisik Inspektor Bakar perlahan sambil mengutip bahagian-bahagian telefon bimbitnya di lantai.
“Tuan!”
Ada suara memanggil Inspektor Bakar dari hujung koridor. Ianya datang dari salah seorang dari dua anak buahnya yang ditugaskan untuk memerhati Johan. Inspektor Bakar dihampiri anak-anak buahnya itu yang tercungap-cungap akibat berlari.
“Kenapa?” tanya Inspektor Bakar.
“Yusran...Yusran sudah hilang. Doktor dan jururawat bertugas kata dia sudah dibawa pergi oleh seorang lelaki yang menyamar dengan berpakaian doktor dan memiliki sepucuk pistol.”
“APA? BILA?” tanya Inspektor Bakar dalam nada tinggi.
“Baru saja. Baru saja tadi.”
Inspektor berpaling ke belakang, teringatkan doktor yang menolak pesakit di atas kerusi roda dengan tergesa-gesa tadi.
“Kamu berdua, ikut saya!” Inspektor Bakar dan dua anak buahnya berlari menuju ke lobi hospital, mencari kelibat ‘doktor’ tadi. Kelihatan dari jauh ‘doktor’ tadi sedang memapah pesakitnya di pintu masuk utama hospital.

Kereta yang sedang dipandu Prof. Shah berhenti secara mengejut di hadapan pintu utama Hospital Arahjaya. Prof. Shah memanjangkan tangan membuka pintu belakang. Muncul masuk ‘doktor’ tadi sambil memapah sekujur badan yang tidak sedarkan diri. Pintu kemudian ditutup dengan segera.
Go, go. GO!” jerit ‘doktor’ itu. Prof. Shah kemudian memijak pedal minyak sepenuhnya, membuatkan kereta yang dipandunya memecut dengan pantas ke depan. Sejurus selepas kereta itu memecut, kelihatan kelibat Inspektor Bakar dan dua anak buahnya keluar dari pintu utama hospital. Inspektor Bakar kemudian marah kepada diri sendiri kerana tidak sempat menahan ‘doktor’ tersebut.
“Kau memang gila, Erman. Datang hospital bawa pistol, culik pesakit, lari dari polis hanya untuk satu eksperimen yang tidak tentu hasilnya. Macam mana aku boleh terlibat dengan kau ni, Erman?”
“Merungutlah banyak-banyak. Tapi apa yang aku nampak dari cermin pandang belakang tu hanyalah senyuman kau, Shah. You are enjoying this!” balas ‘doktor’ tadi sambil membuka baju samarannya.
Prof. Shah tersenyum lebar sambil memandu dengan pantas menuju ke Bandar Selatan.


22 Mac 2004, jam 1925, berhampiran Hospital Arahjaya. 4 jam 5 minit sebelum Kilat Thor.



BERSAMBUNG...[57]





2 comments:

  1. ok,menarik. *lysa xii-hatiigatl

    ReplyDelete
  2. menarik2..x sabar nak tunggu next episode.

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: