Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 14, 2014

Vorteks #55 - Masa Datuk dan Cucu.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54]




“Abah, jangan dimanjakan sangat budak kecil tu. Nanti besar dia jadi degil,” kata ibu Johan yang sedang menyidai kain di ampaian. Johan, berumur 4 tahun pada masa itu, sedang bermain dengan datuknya di halaman rumah.
“Apa salahnya seorang atuk nak luangkan masa dengan cucu kesayangannya,” kata datuk Johan sambil mencuit pipi cucu lelakinya itu. Ibu Johan hanya mampu tersenyum melihat telatah dua lelaki itu.
Johan kemudian melompat ke belakang datuknya meminta di gendong.
“Oh, Han nak atuk onbu ya?” kata datuk Johan. Johan mengangguk.
“Abah, jangan ajar cucu abah tu perkataan pelik. Nanti besar dia jadi pelik,” tegur ibu Johan. Datuk Johan, sambil menggendong cucunya di belakang, bergerak ke arah ibu Johan.
Onbu bukan perkataan pelik. Ianya perkataan Jepun bermaksud gendong,” jelas datuk Johan.
“Ya, saya tahu onbu tu gendong. Tapi anak saya tu bukan orang Jepun,” balas ibu Johan.
“Tapi emak kamu orang Jepun,” balas datuk Johan pula. Perbualan di antara ibu dan datuk hanya diperhatikan oleh Johan.
Peristiwa berkenaan merupakan memori paling awal dalam ingatan Johan. Johan membesar rapat bersama datuknya. Banyak yang dipelajari daripada datuknya. Waktu kecil Johan banyak dihabiskan bersama datuknya.


“Atuk, jom main dekat taman,” pelawa Johan yang berumur 6 tahun. Sambil tersenyum, datuk Johan merendahkan badannya, menyamakan paras pandangan antara mereka berdua.
“Kerja sekolah sudah siap? Nanti kalau belum siap, ibu marah,” tutur datuk Johan, lembut.
“Belum. Nanti lepas mainlah Han buat. Kita pergi main dulu.”
“Tak boleh, Han. Jom kita buat kerja sekolah sama-sama dulu. Lepas siap kerja sekolah, baru kita keluar main.”
“Tapi...” Johan masih mencuba untuk berunding.
“Tak apa, Han. Atuk boleh tolong Han buat. Cepat sikit siap,” celah Atuk.
“OKEY!” jerit Johan kegembiraan. Mereka berdua naik ke tingkat atas, menuju ke bilik bersama-sama.
Waktu kecil Johan, bapanya jarang berada di rumah. Selalunya selepas seminggu kerja di luar kawasan baru bapanya pulang. Maka, datuk Johan mengambil keputusan tinggal bersama-sama menemani Johan dan ibunya. Disebabkan itu, Johan lebih rapat dengan datuknya berbanding bapanya sendiri.


“Han. Oh, Han! Mana cucu atuk ni?” panggil datuk Johan.
Johan yang sedang berada di dapur meluru ke arah datuknya yang berada di ruang tamu.
“Assalamualaikum, Atuk. Atuk dah balik? Atuk pergi mana? Han baru balik sekolah, tapi cari-cari Atuk tak ada,” kata Johan yang ketika itu berusia 7 tahun.
“Hah, Atuk ada satu hadiah untuk Johan. Jom ikut Atuk ke luar rumah.”
Datuk Johan menghulurkan tangan, kemudian disambut oleh Johan. Mereka berdua keluar ke laman luar rumah.
Tadaaa!” Datuk Johan menunjukkan sesuatu di halaman rumah. Wajah Johan bertukar dari terkejut kepada gembira dan teruja. Johan meluru ke arah hadiah itu.
“Wah, basikal!” Johan memegang hendal basikal berkenaan.
“Basikal ini untuk Johan ke, Atuk?”
“Sudah tentulah. Atuk baru belikan tadi, untuk Johan.”
Kebetulan ibu Johan sedang berada di pintu melihat semuanya. “Abah, jangan manjakan sangat Johan tu. Lagipun dia mana tahu tunggang basikal.”
Menyedari kata-kata ibunya itu benar, mimik muka Johan bertukar cebik.
“Han jangan risau. Atuk boleh ajarkan. Nak?” Kata-kata datuk Johan itu serta merta menukarkan riak wajah Johan kembali ceria. Johan berkali-kali mengangguk kepala tanda bersetuju dengan pelawaan datuknya.
“Hah, sebelum pergi main, tukar baju sekolah tu dulu. Nanti berpeluh baju jadi masam,” nasihat ibu Johan sambil tersenyum. Johan bergegas naik ke tingkat atas untuk tukar baju meninggalkan ibu dan datuknya. Beberapa saat kemudian, dia turun semula dengan berpakaian lebih kasual.
“Mari, Atuk.”
Datuk Johanlah merupakan insan yang mengajarnya menunggang basikal. Bukan itu sahaja, banyak lagi skil-skil hidup yang diajar datuk kepada Johan. Merawat luka kecil, menanam pokok di laman, membancuh simen, menggergaji kayu dan papan, semua diajar oleh datuk Johan kepadanya semenjak dari kecil lagi.
Sebab itulah Johan amat menyayangi datuknya.


Datuk Johan sedang membaca buku di beranda rumah. Johan yang berumur 12 tahun menghampiri datuknya sebelum berkata, “Atuk, mari kita mandi.”
Datuk Johan membalas pelawaan Johan dengan senyuman. Dia kemudian meletakkan buku bacaannya ke tepi dan memusingkan badan mengadap Johan.
“Atuk boleh mandi sendiri, Han. Atuk bukannya tak pandai mandi.”
“Tapi Han nak tolong Atuk. Dulu Han kecil, Atuk selalu tolong Han mandi.”
“Tapi Atuk bukan budak kecil macam Han dulu. Atuk dah tua.”
“Han tak peduli. Han nak tolong Atuk mandi juga.” Johan melepaskan tuil brek yang mencengkam roda kerusi datuknya. Johan kemudian menolak kerusi roda yang diduduki datuknya ke arah bilik mandi. Datuknya tiada pilihan lain kecuali terpaksa menurut kehendak cucu kesayangannya itu. Walaupun Johan bersikap degil dan tidak peduli, namun datuk Johan langsung tidak berkecil hati dengan Johan. Malah dia berbangga kerana cucunya masih mahu bersamanya walaupun dia kini sudah berkerusi roda.
Datuk Johan mengalami lumpuh bahagian bawah badan dan sebahagian otot muka akibat dari kesan serangan angin ahmar.
Selesai mandi, datuk Johan memanggil Johan untuk duduk berbual bersama-sama.
“Johan, Atuk rasa Johan memang ada sikap degil tak dengar kata,” datuk Johan mula bicara.
“Emak kata degil Han datang dari Atuk juga.” Mereka berdua gelak bersama-sama.
“Degil tak salah. Yang salah ialah degil tidak kena pada tempatnya. Kalau Han nak jadi degil, degillah ketika menghadapi cabaran. Jadi degil dengan tidak berputus asa sehingga berjaya. Jadi degil untuk membawa kebaikan kepada orang yang kita sayang. Itu namanya degil bertempat.”
Johan mengangguk sambil senyum mendengar nasihat datuknya.
“Han janji. Han hanya akan degil bila kena pada tempatnya. Han hanya akan degil bila perlu bawa Atuk masuk mandi atau bawa Atuk untuk makan.” Mereka berdua tergelak sekali lagi..
“Suatu hari nanti, Han akan bertemu dengan seseorang yang Johan rasa berbaloi untuk jadi degil. Jadi degil demi kebahagiaan dia, jadi degil demi keselamatan dia. Waktu itu, Johan tidak boleh berputus asa. Johan tidak boleh menyesal. Johan kena terus berusaha menuju ke depan. Okey?”
“Atuk. Banyak sangat perkataan ‘degil’. Johan tak faham.”
Sekali lagi mereka berdua berbalas gelak ketawa.


“Atuk. Adakah ini degil yang Atuk ceritakan? Johan tidak berputus asa menyelamatkan seseorang yang Johan anggap berbaloi. Johan tidak berputus asa. Johan tidak pernah menyesal. Malah, Johan rasa puas dan berbangga. Johan hanya terus berusaha menuju ke depan.”
Sejalur air mata berlinang membasahi pipi Johan yang sedang terbaring tidak sedarkan diri di dalam wad unit rawatan rapi.





BERSAMBUNG...[56]





1 comment:

  1. dey,berapa banyak degil maw tulis da?

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: