Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 7, 2014

Vorteks #54 - Rahsia Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53]




Inspektor Bakar berpakaian preman melangkah masuk melalui pintu lobi hospital. Hospital Arahjaya. Hospital di mana Johan sedang dirawat. Hospital yang sama juga menempatkan Bawi yang masih belum sedarkan diri.
Inspektor Bakar kemudian berhenti melangkah dan berdiri tegak sambil melihat jam di tangan. Beberapa saat kemudian, Inspektor Bakar dihampiri dua orang lelaki yang merupakan pegawai bawahannya, juga berpakaian awam.
“Selamat petang, tuan.” Kedua-dua pegawai tadi tunduk sedikit tanda hormat.
“Selamat petang. Bagaimana dengan Bawi?” Inspektor Bakar mula bertanya.
“Dia masih belum sedarkan diri, tuan. Kata doktor yang merawat, kemungkinan dia tidak akan sedarkan diri dalam masa yang terdekat ini,” lapor salah seorang pegawai bawahan tadi. Inspektor Bakar hanya mengangguk sebagai respon.
“Saya mahu bilik Bawi dirawat sentiasa diawasi dua pegawai kita, setiap masa. Faham?”
“Faham, tuan!”
“Bagaimana pula dengan budak bernama Yusran itu?” tanya Inspektor Bakar lagi.
“Kami sudah tempatkan seorang pegawai mengawal mereka. Setakat ini, dia masih tidak sedarkan diri. Dia ditemani seorang lelaki yang dipanggil Profesor Shah. Pakciknya, Profesor Erman, pulang ke rumah. Kami sudah letakkan satu pasukan peronda untuk memantau Profesor Erman di rumahnya. Setakat ini tiada aktiviti yang mencurigakan.”
Inspektor Bakar sekali lagi mengangguk sebagai respon laporan tersebut.
“Bagus. Teruskan memantau semua yang terlibat. Walaupun saya tak rasa mereka bersalah, tapi mereka seperti ada sesuatu yang dirahsiakan.”
“Maksud tuan, dua orang profesor dan budak yang ditembak tu?” tanya salah seorang pegawai bawahan.
“Ya. Apapun yang mereka sembunyikan, saya mahu tahu.”

Di koridor tingkat satu unit rawatan rapi (ICU) Hospital Arahjaya:
Prof. Shah memasukkan beberapa keping duit syiling ke dalam mesin minuman layan diri. Dia menekan butang kopi hitam sebagai pilihan minuman. Setelah beberapa saat bunyi mekanikal dan air bersilih ganti, secawan kopi panas diisi di dalam cawan kertas siap untuk diminum. Prof. Shah memegang cawan itu dengan berhati-hati. Dihembusnya air di dalam cawan itu sebelum dihirup sedikit untuk dirasa.
“Ah, tak sedap! Aku rindu saat aku duduk di meja bersama secawan kopi panas premium bertemankan alunan muzik klasik. Kenapa aku perlu berada di hospital yang penuh dengan bau antiseptik ni?” Prof. Shah mengeluh panjang. Dia kemudian teringatkan perbualannya bersama dengan Prof. E awal tengahari tadi.
“Shah, kau tolong aku boleh? Aku kena balik dan sediakan segala kelengkapan yang perlu. Kau tunggu di sini dan tolong tengok-tengokkan Johan. Kalau ada apa-apa, kau terus call aku. Okey?”
Last time I checked, aku tak terima arahan dari kau, Erman,” balas Prof. Shah.
“Tolonglah, Shah. Aku tak boleh buat semua perkara ni seorang diri. Aku cuma boleh harapkan kau seorang.” Prof. E cuba meyakinkan Prof. Shah.
Lama Prof. Shah memandang Prof. E. Setelah beberapa saat, Prof. Shah bersetuju dan mengangguk kepala.
“Aku akan tolong atas sebab janji yang telah kau persetujui. Tapi jangan kerana aku bersetuju nak tolong, kau ambil kesempatan terhadap aku pula.”
Prof. E tersenyum mendengar kata-kata Prof. Shah itu. “Aku tahu kau seorang yang boleh diharap...”
Prof Erman segera meninggalkan Prof. Shah dan hilang dari pandangan.
“Erman, aku rasa kau ada sembunyikan sesuatu. Perangai kau terus berubah setelah kau baca Fail J yang aku bagi. Kau jadi baik terhadap aku, dan kau terlalu ambil berat terhadap budak Johan itu. Apa sebenarnya yang sedang kau rahsiakan?” Prof. Shah berbisik berseorangan.

Di rumah Encik Ahmad, di Bandar Selatan:
“Ibu, bila kita nak pergi ke hospital?” tanya Intan kepada ibunya. Puan Nora, Intan dan adik kecilnya, Farhan, sedang menikmati minum petang di meja makan.
“Kita tunggu ayah balik dulu, ya. Ayah kata dia kena ke balai polis untuk beri keterangan. Nanti dia selesai, dia balik, kita ajak dia sama-sama pergi ke hospital,” balas Puan Nora sambil menyuapkan anak lelakinya makan.
“Tapi orang nak tengok Yusran. Orang nak teman Yusran. Orang nak tahu keadaan Yusran,” desak Intan.
“Sabar dulu, sayang. Ibu pun nak jumpa wira yang selamatkan anak ibu itu. Ibu mahu berterima kasih banyak-banyak kepada dia. Tapi kita tak boleh keluar dari rumah ini sesuka hati. Polis suruh kita hati-hati. Ada seorang lagi penjahat yang masih bebas di luar sana.”
Puan Nora cuba menerangkan dengan sabar dan tenang. Puan Nora sedar, jika dia tersalah sebut sesuatu, dia mungkin akan mengundang kembali ingatan ngeri dalam fikiran Intan. Anak perempuannya itu hampir menjadi mangsa rogol dan bunuh. Bukan mudah untuk terus mengukir senyuman selepas berlaku perkara hitam sebegitu.
“Yusran betul-betul seperti wira. Dia muncul secara tiba-tiba dan berkali-kali selamatkan orang. Kalau bukan kerana dia, mesti orang tak duduk dekat sini melihat wajah ibu, adik dan ayah.” Intan senyum kepada ibunya. Ibunya hampir tidak dapat menahan air mata melihat anaknya begitu cekal dan tabah. Puan Nora lalu menghulurkan tangannya memegang tangan Intan. Mereka berdua memegang erat tangan sesama sendiri.

Di bilik loteng rumah Prof. Erman, di Bandar Selatan:
Prof. E kelihatan sedang duduk di meja kerjanya yang penuh dengan kertas-kertas laporan dan fail sambil menekup muka. Beberapa kali keluhan kedengaran sebagai tanda tidak puas hati mengenai sesuatu.
“Aku tiada keyakinan ianya akan berjaya, tapi aku tiada pilihan. Cuma ini sahaja jalan yang aku ada.”
Prof. E kemudian menyambar sehelai kertas terkandung beberapa graf dari timbunan kertas di atas meja dan meneliti tajam corak garis graf tersebut.
“Kalau percaturan aku ini benar, aku bukan sahaja mampu tunaikan janji aku, malah aku juga dapat selamatkan kau seterusnya meletakkan penamat kepada kajian yang sudah aku bazirkan berpuluh-puluh tahun mengkajinya.”
Prof. E memakai kembali cermin matanya dan meneruskan kerjanya. Dia kemudian mengambil satu fail yang berlabel ‘Fail J’ dan mengamati isi di dalamnya.
“Fail J ini adalah kunci segala-galanya. Di dalamnya menerangkan mengapa kajian aku selama ini tidak mempunyai sebarang perkembangan yang signifikan. Kalaulah aku dapat Fail J ni lebih awal lagi...”
Prof. E melegakan belakang badannya dengan bersandar. Dia memerhati sekeliling bilik dan kemudian mengeluh panjang.
Keadaan di dalam bilik loteng itu kelihatan sedikit pelik. Semua barang-barang di dalam bilik itu disusun rapat menghimpit sekeliling dinding, meninggalkan kawasan lapang yang luas di tengah. Satu bulatan berdiameter 4 meter dilukis menggunakan kapur. Kawasan bulatan itu dikosongkan tanpa sebarang barangan kecuali satu kerusi kayu yang berada di tengah-tengah bulatan.
“Aku akan hantar kau kembali ke masa depan, Johan. Bertahanlah.”

21 Mac 2004, jam 1730. 30 jam sebelum Kilat Thor.





BERSAMBUNG...[55]





1 comment:

  1. bau antiseptik hospital... ugh, yeah, i hate that smell too...

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: