Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 3, 2014

Vorteks #51 - Masa Kecemasan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50]




“Aku rasa ini bukan idea yang bagus. Kita berada dekat sangat dengan rumah yang kita rompak pagi tadi.” Kata-kata dari mulut Galah itu dibalas dengan pandangan tajam dari Bawi.
“Aku tak peduli. Bila aku kata budak-budak tu bakal rasakan akibatnya, aku tak akan tarik balik.”
“Tapi kalau budak-budak tu dapat sampai sini pun, polis ada ramai dekat rumah tu.”
“Kau takut polis?” tanya Bawi.
“Mestilah. Aku tak mahu ‘masuk’ lagi.” Galah merujuk kepada penjara, tempat yang sudah menjadi rumah keduanya.
Bawi mengabaikan Galah. Pandangannya tertumpu kepada kelibat sesuatu di hadapannya yang berjarak 100 meter. Kelibat seorang lelaki tua dan seorang gadis, berada seberang jalan menuju ke arah rumah Encik Ahmad.
“Itu budak perempaun keparat tadi,” merujuk kepada Intan yang sedang bersama dengan Prof. E. Bawi jadi teruja. Dia memperbetulkan tempat duduknya di dalam kereta dan cuba memulas kuncinya untuk menghidupkan enjin. Galah juga turut teruja melibat perlakuan Bawi di sebelah.
“Kau nak buat apa, Bawi?” tanya Galah.
“Kita akan datang dekat dan cari budak lelaki seorang lagi tadi. Bila nampak budak lelaki tu, aku akan tembak mati dia dan mana-mana saksi dan bawa lari budak perempuan itu.” Bawi masih lagi dalam usahanya untuk menghidupkan enjin kereta. Berkali-kali dia memusingkan kunci, tapi apa yang kedengaran adalah bunyi enjin yang tersekat-sekat dan mati sebelum dihidupkan.
Beberapa kali percubaan untuk menghidupkan enjin kereta masih gagal. Kesabaran Bawi sudah sampai ke batasannya. Dia lantas keluar dari kereta dengan pistol erat di tangan.
“Bawi, jangan buat kerja gila!” jerit Galah dari dalam kereta. Namun Bawi tidak mengendahkannya dan terus menapak laju menuju ke arah tempat Intan berada. Galah tak senang duduk, dia berpindah dari tempat duduk penumpang ke tempat duduk pemandu. Dia juga berkali-kali cuba untuk menghidupkan enjin, namun tetap tidak berjaya.
Sementara, Bawi semakin menghampiri Intan.

Bawi melepaskan picu keselamatan pistolnya. Glock 19 bukanlah susah untuk dikendali. Sambil melangkah laju ke depan, tangan bawi lurus mengacukan pistol itu ke arah Intan. Dia melihat seorang perempuan datang memeluk Intan dan diikuti pula oleh seorang lelaki.
“Itu tentu ibu bapa budak itu. Baguslah. Biar aku selesaikan semuanya sekaligus.”
Lurus tangan Bawi hanya fokus mengacukan pistolnya ke arah Intan. Dia tidak peduli, pasti ada darah perlu ditumpahkannya. Dendam dia dengan budak lelaki yang menjatuhkan maruahnya ketika di dalam hutan tadi akan ditanggung oleh budak perempuan itu. Sayangnya, Bawi belum sempat meratah tubuh budak itu. Tidak apa, masih ramai lagi mangsa ranum di luar sana.

“Matilah kau, perempuan!”
Bawi hanya berada di jarak 15 meter dari kedudukan Intan dan keluarganya. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar yang berada berdekatan dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.
Bawi melepaskan satu das tembakan.
Tembakan Bawi mengenai seseorang yang tiba-tiba datang menghadang.
Inspektor Bakar dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas menerima dua tembakan.
Walaupun sudah rebah berlumuran darah, Bawi tersenyum puas. Niat dia mahu menjadikan Intan galang ganti kepada dendamnya terhadap Johan tidak kesampaian kerana tembakannya disambut oleh orang yang sepatutnya. Tembakan itu disambut oleh Johan yang datang menjadi perisai kepada Intan.
Bawi hilang kesedaran.

“YUSRAN!”
Bergema jeritan Intan melihat seorang lelaki dikenalinya rebah di hadapannya. Kejadian berlaku begitu pantas, setiap yang menyaksikannya masih dalam keadaan terkejut. Encik Ahmad, Puan Nora, dan Prof. E masing-masing masih lagi kaku, terkejut dengan apa yang sudah berlaku. Prof. Shah lari mendapatkan Johan yang sudah hilang kesedaran di atas jalan.
“Cepat, kita bawa dia ke hospital,” gegas Prof. Shah.

Dengan bantuan kereta pacuan empat roda polis sebagai pengiring, Johan dengan segera dapat dibawa ke Hospital Arahjaya. Johan terus di bawa ke bilik pembedahan wad kecemasan hospital untuk diselamatkan. Bawi yang masih bernyawa juga dimasukkan ke dalam wad yang sama.

Suasana sayu memenuhi ruang menunggu wad kecemasan. Intan masih tidak berhenti menangis di pelukan ibunya, Puan Nora. Encik Ahmad di sebelah Puan Nora cuba menenangkan anaknya. Di hujung koridor, Prof. E berdiri sendirian sambil bersandar di dinding menunggu khabar berita dari bilik pembedahan. Inspektor Bakar menghampiri Prof. E.
“Maafkan saya, Prof. Saya difahamkan Yusran itu anak saudara Prof, betul?” tanya Inspektor Bakar. Prof. E hanya mengangguk setuju tanpa suara.
“Saya tak pasti, tapi adakah anak saudara Prof ialah orang yang berada dalam video ini?” Inspektor Bakar menunjukkan sebuah rakaman video dari telefon bimbitnya. Video tersebut adalah salinan video yang Prof. E sendiri rakam semasa Johan sedang menyelamatkan Intan dari Bawi dan Galah di rumah terbiar di pinggir Bandar Timur.
Prof. E menonton video itu sampai habis tanpa perasaan. Dia tidak keluarkan satu pun perkataan sejak dari menjejakkan kaki di hospital tadi.
“Bagaimana? Lelaki dalam video ini ialah anak saudara Prof, kan? Boleh saya tahu kenapa dia boleh berada di tempat kejadian?”
Prof. E memandang Inspektor Bakar dengan pandangan yang dingin.

“Tuan Inspektor...” satu suara dari belakang Inspektor Bakar datang mencelah. Suara itu milik Prof. Shah.
“Maafkan saya jika saya terlalu direct, tapi dalam bilik bedah sana ada dua nyawa sedang bertarung untuk meneruskan hidup masing-masing. Satu nyawa milik seorang anak muda yang baru sahaja menjadikan dirinya perisai kepada budak perempuan yang diculik. Seorang lagi ialah penjenayah yang, pada saya, patut dibiarkan menggelupur mati di tepi jalan tadi.” Ayat Prof. Shah yang tajam dan keras menarik perhatian Inspektor Bakar. Dia kemudian menghalakan badannya ke arah Prof. Shah.
“Saya rasa tuan is one good cop. Kalau saya, saya takkan bawa penjenayah itu datang sini untuk dirawat. But in the other hand, saya kenal pistol yang penjenayah pakai untuk tembak mangsa tadi. Itu pistol Glock. Pistol Glock adalah pistol yang biasa digunakan pihak polis. Selepas saya tanya-tanya satu dua soalan kepada anak buah tuan, saya dapat tahu cerita ada dua anak buah tuan yang sudah dirampas pakaian dan senjatanya oleh dua penjenayah yang tuan buru.”
“Apa poin encik?” tanya Inspektor Bakar kepada Prof. Shah.
My point is, as a good cop, daripada tuan sibuk buat sesi soal jawab di hospital ini sementara ada di dalam sana nyawa yang masih tidak tentu keadaannya, adalah lebih baik tuan pergi keluar dan cari seorang lagi penjenayah yang sedang bebas dengan pakaian dan senjata polis akibat dari kecuaian anak buah tuan sendiri. Penjenayah boleh lari, tapi orang yang ditembak takkan ke mana-mana.”
Inspektor Bakar sentap dan terdiam. Selepas melawan renungan dengan Prof. Shah, akhirnya Inspektor Bakar pergi meninggalkan kedua-dua Profesor tersebut.
Thank you, Shah.”
Don’t thank me yet. Kita hanya panjangkan masa sebelum pihak polis sedar tentang identiti sebenar Johan. Kita kena fikirkan sesuatu.” Prof. Shah bersandar di sebelah Prof. E.

Beberapa puluh minit kemudian, seorang doktor keluar dari bilik pembedahan membawa berita. Prof. E, Prof. Shah, Encik Ahmad, Puan Nora dan Intan yang berada dalam dakapan ibunya menyerbu doktor tersebut untuk mengetahui keadaan pesakit.
“Siapa ahli keluarga?” tanya doktor.
“Saya. Bagaimana?” balas Prof. E ringkas.
“Berita baiknya, walaupun peluru bergerak menghampiri jantung pesakit, namun tiada organ yang terjejas. Peluru dapat dikeluarkan. Pesakit dapat diselamatkan.” Kata-kata doktor tersebut membuatkan semua narik nafas lega dan gembira, kecuali Prof. E.
“Berita buruknya?” tanya Prof. E.
Soalan itu membuatkan yang lain terdiam. Keadaan menjadi suram semula. Semua menanti jawapan dari doktor. Doktor tersebut kelihatan teragak-agak untuk membuka berita buruk yang ada.
“Begini, peluru yang dikeluarkan tidak sempurna. Kami didapati terdapat satu serpihan peluru berada di bahagian lumbar badannya.”
“Jadi?”
“Kami tiada kepakaran untuk mengeluarkan serpihan tersebut kerana prosedurnya yang terlalu rumit. Jadi, kami akan panggil pakar dari luar Arahjaya. Paling awal, pembedahan akan dijalankan dalam masa satu hari setengah. Itupun, peratusan kejayaan pembedahan hanyalah 50-50. Kalau berjaya sekalipun, pesakit mungkin akan mengalami lumpuh.”





BERSAMBUNG...[51]





2 comments:

  1. Assalammualaikum wbt.

    Bila baca cerpen ni, teringat masa kanak-kanak dulu suka layan buku cerpen. Rumah usang di atas bukit. Ngehee.

    Ye le, masa dulu tak dak gajet gajet internet ni semua, bila cuti sekolah, ayah bagi buku banyak, tak dak mainan mainan, jadi cuti tu dok layan baca buku ja bila boring. Haha.

    Selamat hari jumaat yang baik :)

    ReplyDelete
  2. Tak sabar nak tahu apa kesudahan cerita ni...

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: