Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 25, 2013

Tiga Kuasa Tiga


"Yang sebenarnya, Dragon Ball ada tujuh biji semuanya."
Kalau kalian peminat siri Dragon Ball, kalian akan tahu Dragon Ball bukan hanya tujuh biji, tapi 21.




Aku anggap zaman kanak-kanak aku amat seronok.
Bukan hanya sebab aku tiada masalah besar yang perlu difikirkan.
Juga bukan sebab aku tak perlu risau tentang harga barang naik.
Tapi antara sebab aku rasa zaman kanak-kanak aku seronok adalah kerana aku membesar bersama-sama dengan Dragon Ball.

Namun,
itu bukanlah sebab utama kenapa zaman kanak-kanak aku seronok.
Sebab utamanya ialah daya akal kreatif dan imaginatif semasa aku kanak-kanak (dan kanak-kanak lain) sangat tinggi.
SANGAT TINGGI sampai tahap kita mampu hidup dalam imaginasi sendiri.

Sebagai contoh terbaik ialah
daya imaginasi aku pada zaman kanak-kanak semasa aku pertama kali terdengar perkataan 'kuasa tiga'.

Ini imaginasi aku tentang 'tiga kuasa tiga':









Tiap kali aku terdengar 'kuasa tiga', aku akan tergelak seorang.
Sampai sekarang.

Tapi,
semakin dewasa, kreatif dan imaginatif semakin hilang.
Kalian fikir kalian kreatif? Fikir semula...
Kalian tak sekreatif seperti sewaktu zaman kanak-kanak dulu, kan?

Kalau matang perlu dibayar dengan itu, aku rela jadi kanak-kanak seumur hidup.

Dan siapa tak layan Dragon Ball masa kecil dulu tak awesome.

InsyaAllah, aku akan ceritakan cerita lebih lanjut tentang cerita di atas dalam masa terdekat ini.
Nantikannya.




.




Dec 20, 2013

Vorteks #50 - Semasa Kepulangan...


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49]




“Rasanya, sakit tak kalau kena tembak?”
Soalan Azlan menarik perhatian Johan. Johan yang sedang menulis nota di meja belajarnya dengan serta-merta meletakkan pennya dan berpusing menghadap Azlan yang sedang berbaring di atas katil. Teman sebilik Johan di kolej itu kelihatan sedang membaca buku komik.
“Kenapa tiba-tiba kau tanya?” Soalan Azlan dibalas dengan soalan dari Johan.
“Komik ni. Hero dia ditembak di dada, tapi masih boleh melawan balik dengan bergayanya.”
“Komik, Lan. Apa yang kau expect?”
Azlan tukar posisi dari berbaring kepada duduk.
“Dari segi fizik balistik, aku tahu bagaimana sesebuah pistol berfungsi dan jenis-jenis peluru yang boleh meninggalkan kesan paling teruk kepada mangsa. Aku belajar engineering. Aku tahu bagaimana mekanisme trajektori peluru dari dalam senjata, ke luar senjata, dan seterusnya mengenai target. Tapi apa yang lebih menarik minat aku adalah apabila peluru tersebut masuk ke dalam target, contohnya manusia. Sedangkan kena cubit dengan awek pun sakit, inikan pula ada peluru masuk dalam badan.”
Johan tersenyum. Azlan yang tipikal, selalu bertanyakan soalan trivia yang kadangkala tak pernah difikirkan orang.
“Kau sebagai pelajar medic, mesti tahu kan?” Azlan memandang Johan, menunggu jawapan.
Selepas menghembuskan nafas panjang, Johan menjawab, “Kesan dari tembakan selalunya bergantung kepada saiz senjata yang digunakan. Tapi secara general, luka ditembak selalunya datang dari laluan peluru yang masuk ke dalam badan. Ianya seperti badan kita ditebuk. Seolah-olah daging dibelah hidup-hidup. Dan lebih mengerikan adalah sesuatu yang dipanggil shock wave. Shock wave ini mampu buatkan organ penting kita rosak dan pecah walaupun peluru tidak menuju ke arah organ tersebut. Ianya umpama gelombang yang merebak bila kita baling batu ke dalam air, tapi dalam kes ini, air itu adalah daging kita, tubuh badan kita.”
Azlan tergamam.
“Kalau kau tanya sakit tak kena tembak, jawapan aku tentulah sakit. Tapi aku tak pernah rasa. Orang yang pernah rasa saja tahu sakitnya macam mana. Teringin nak rasa ke, Lan?” tanya Johan. Azlan menggelengkan kepala.
“Dengar penerangan kau pun dah rasa seriau satu badan.”

Mengenang memori Johan bersama Azlan membuatkan dia bersyukur. Awal hari tadi Johan hampir merasa sakitnya badan dilalui peluru. Kini, dia sudah selamat bersama Intan di sebelah melihat kelibat dua orang lelaki tu yang keluar dari sebuah kereta.
“Prof. Erman!” Intan bersuara gembira.
Prof. E sambil tersenyum meluru sebelum memeluk Intan dan Johan. Sedikit janggal di pihak Intan dan Johan, namun dibiarkan sahaja. Mungkin itu cara Prof. E menunjukkan rasa empatinya.
“Syukurlah kamu selamat. Syukurlah.” Tak pasti, tapi Johan melihat mata Prof. E seperti bergenang dengan air mata. Demi mengelakkan suasana janggal, Johan cuba alih tumpuan.
“Prof. Shah, terima kasih kerana datang. Tak sangka Prof boleh duduk berdua dengan Prof. E tanpa melibatkan perang,” gurau Johan. Prof. Shah dan Johan ketawa kecil sambil berjabat salam.
 “Intan, ini Prof. Shah. Dia kawan Prof. E.” Tergelak sedikit Prof. Shah mendengar kata-kata Johan. Kawan? Belum tahap itu lagi rasanya.
“Tanpa lengahkan masa, marilah kita pulang. Ibu bapa kamu sudah menunggu di rumah,” kata Prof. E kepada Intan. Intan gembira mendengar kedua-dua ibu bapanya selamat di rumah.

Jam di dinding menunjukkan hampir pukul dua pagi, namun Encik Ahmad dan isterinya masih berada di ruang tamu menunggu khabar berita dari Inspektor Bakar. Encik Ahmad mahu tahu perkembangan selepas Encik Alex ditahan. Sekali-sekala Encik Ahmad meninjau ke luar rumah, melihat kalau-kalau Inspektor Bakar sudah tiba. Tiada Inspektor Bakar. Hanya terdapat tiga pegawai polis yang berkawal di sekitar.
Lain pula cerita dengan isteri Encik Ahmad, iaitu Puan Nora. Selepas menemani Farhan tidur di bilik, dia terus turun ke ruang tamu dan duduk di sofa, tidak berganjak. Wajahnya kelihatan sugul, matanya masih bengkak dan merah akibat banyak menangis. Puan Nora seperti masih menyalahkan diri sendiri akibat dari kegagalannya menyelamatkan Intan dari dibawa pergi penculik.

Terdapat bunyi deruan enjin kenderaan di luar pagar rumah. Encik Ahmad melihat ke luar melalui tingkap. Kelihatan Inspektor Bakar keluar dari pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik polis. Encik Ahmad terus meluru ke pintu untuk menyambut Inspektor Bakar, sekaligus untuk mengetahui perkembangan siasatan. Pintu dibuka, Inspektor Bakar dijemput ke ruang tamu.
“Bagaimana?” tanya Encik Ahmad, tidak sabar.
Setelah menarik nafas panjang, Inspektor bakar mula melapor. “Setelah didesak, Alex memberi pengakuan. Dia mengaku mengupah seseorang untuk pecah masuk ke dalam rumah Encik Ahmad bertujuan untuk menakut-nakutkan Encik Ahmad sekeluarga, tapi dia tidak mengaku mengarahkan mereka menculik anak Encik Ahmad.”
“Mungkinkah dia menipu, Inspektor?” tanya Encik Ahmad.
“Kami rasa tidak. Pada kami, kejadian penculikan ini adalah inisiatif penjahat yang diupahnya sendiri. Namun, Alex mengaku ikut serta dengan rancangan orang yang diupahnya itu dan teruskan dengan penculikan.”
“Penjahat itu? Dapat kesan?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Alex hanya berhubung dengan Zul dan tidak pernah berurusan dengan dua lagi rakan jenayah Zul, iaitu Bawi dan Galah. Selepas Zul ditemui mati, Bawi dan Galah gagal kami kesan.”
“Anak kami? Intan?” Puan Nora mencelah dari belakang.
“Maafkan kami. Sehingga kini kami masih belum dapat jejak di mana Intan berada.”
Puan Nora kembali duduk di sofa. Kecewa.

Suara perbualan antara Inspektor Bakar dengan Encik Ahmad semakin hilang dan tenggelam dalam fikiran Puan Nora. Entah untuk keberapa pusingan, air matanya kembali berlinangan. Puan Nora tidak dapat membayangkan kejadian buruk yang menimpa anak perempuan kesayangannya itu. Selamatkah? Penatkah? Cederakah? Dahagakah? Laparkah? Terlalu banyak soalan tanpa jawapan.
Tiba-tiba, naluri keibuan Puan Nora seolah-olah tersentak. Dia dapat merasakan sesuatu sedang memanggilnya dari luar. Hilang akal? Adakah ini kesan dari beberapa episod kekecewaan yang melampau? Apapun, ianya tidak diendahkan Puan Nora.
Secara tiba-tiba dan tergesa, Puan Nora berlari melintasi suaminya dan Inspektor Bakar dan menuju ke pintu rumah. Dibukanya pintu tersebut dan dengan berkaki ayam, Puan Nora berlari keluar ke arah pintu pagar. Tiga orang pegawai polis yang berjaga turut mengiringinya di belakang. Sampai di pintu pagar, Puan Nora memberhentikan langkahnya dan tergamam melihat sesuatu.
Encik Ahmad turut mengikuti isterinya yang berkelakuan pelik itu. Inspektor Bakar berada di belakang Encik Ahmad. Langkah kedua-dua mereka juga turut terberhenti selepas memandang sesuatu di hadapan.

“Assalamualaikum, Ibu. Ayah.”
Intan yang diselubungi selimut di badan sedang menyeberangi jalan menuju ke rumahnya sambil diiringi Prof. E di sebelah.
Dari pagar, Puan Nora dan Encik Ahmad berlari ke tengah jalan, menyambut kepulangan anak mereka. Mereka bertiga berpelukan. Kedengaran suara Puan Nora dan Intan berteriak menangis kegembiraan. Encik Ahmad juga tidak mampu menahan sebak dan turut berlinang air matanya. Tersentuh hati semua yang menyaksikannya. Prof. E di sebelah turut tersenyum puas. Kerjanya menemukan kembali seorang anak kepada ibu bapanya sudah selesai.

“Awak siapa?” tanya Inspektor Bakar sambil menghulurkan salam kepada Prof. E.
“Saya jiran Encik Ahmad,” balas Prof. E sambil menuding jari ke arah rumahnya di belakang. “Saya terjumpa Intan di Pusat Bandar, berjalan sendirian tanpa arah tuju.”
Tiba-tiba Prof. E dipeluk Encik Ahmad.
“Terima kasih, Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad memeluk erat Prof. E. Prof. E hanya mampu tersenyum sambil mengusap belakang badan Encik Ahmad sebagai tanda segala-galanya sudah reda.

Segala peristiwa itu disaksikan Johan dan Prof. Shah dari dalam kereta di hadapan rumah Prof. E. Mereka berdua juga terharu melihat pertemuan semula keluarga Encik Ahmad itu.
“Jadi, segalanya sudah selesai. Penjahat sudah tertangkap. Yang diculik sudah dipulangkan,” kata Prof. Shah.
“Penjahat sudah tertangkap? Betulkah?” tanya Johan.
“Ya. Dengar kata dalangnya adalah musuh perniagaan Encik Ahmad,” jawab Prof. Shah.
“Bawi dan Galah?” tanya Johan lagi.
“Siapa Bawi dan Galah?” Prof. Shah kebingungan.
Serentak semasa itu, Johan terlihat kelibat seseorang di seberang jalan sedang berjalan menghampiri kelompok keluarga Encik Ahmad dengan laju sambil mengacukan sesuatu.
“Oh, tidak.” Johan meluru keluar dari kereta meninggalkan Prof. Shah kebingungan. Dia berlari menuju ke arah tempat Encik Ahmad sekeluarga berpelukan.

“Matilah kau, perempuan!”
Bawi hanya berada di jarak 15 meter dari kedudukan Encik Ahmad sekeluarga sambil mengacukan pistol. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.

Bawi melepaskan satu das tembakan.
Tembakan Bawi mengenai seseorang.
Inspektor Bakar dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas menerima dua tembakan.
Satu lagi tubuh rebah ke bawah.

“Azlan, rupanya kena tembak tidaklah sakit mana.”

Johan terbaring tidak sedarkan diri berlumuran darah di atas jalan.



BERSAMBUNG...[51]





Dec 18, 2013

The Arch-Nemesis: Rage at Dawn





Kadang-kadang aku terfikir,
adakah kebergantungan terhadap teknologi sesuatu yang baik atau sebaliknya?






Alarm di pagi hari sangat menyakitkan hati.
Apatah lagi kalau alarm tersebut datang dari henset yang juga menyakitkan hati.
Double menyakitkan hati.
Sakit hati kuasa dua.
Tambahan pula, disebabkan henset ni, 320Gb memori laptop hilang sebab rosak.

Tapi,
aku ada alasan kuat untuk masih terus menggunakan henset aku ni walaupun macam-macam perkara sudah terjadi.
Alasan paling mudah ialah henset ni kecil berbanding henset-henset terkini di pasaran yang besar gedabak macam pinggan.
Siapa yang nak sumbat pinggan dalam poket, kan?

Namun,
alasan paling kukuh untuk aku terus menggunakan henset ini mungkin ialah kebergantungan.
Pada aku, dia bukan sekadar henset.
Dialah album peribadi aku.
Dialah pelayar internet untuk aku.
Dialah kamera, dialah alarm, dialah mp3 player.
Dialah tempat aku simpan nota-nota ringkas idea.
Dialah buku telefon, dialah lampu suluh.
Dialah tempat aku simpan list birthday kawan-kawan.

Dialah peneman aku ketika aku sakit, sihat, penat, sedih, gembira.
Ketika aku di ruang tamu, di bilik, di jamban masa meneran,
di hospital, di jalanraya, di dalam kereta, di atas motosikal.

Walaupun sudah ada henset baru, henset aku ini masih bersama aku sebagai organizer.

Antara banyak-banyak barang aku,
dialah yang paling selalu berada di sisi aku.
Aku rasa, bukan henset ini sahaja, begitu juga henset-henset kalian, kan?

Dari sudut yang berbeza, kebergantungan kita pada henset menjadikan henset adalah sahabat paling baik untuk kita, kan?

Tapi,
ini masih tidak mengubah fakta bahawa henset aku ini menjengkelkan.

Mungkin aku ada love-hate conflict dengan henset sendiri.
Ayat di atas bunyi sangat forever alone, kan?



Lagi mengenai Archenemy:
The Insignificant Misadventure of cEro with his Phone.
The Arch-Nemesis: Ep. 1 - The Unsettling Issue
The Arch-Nemesis: Ep. 2 - Night of Wut




.




Dec 15, 2013

Rambut Oh Rambut #5 [Oh Rambut Idaman]




Hello,
nama aku cEro.
Sebutannya 'se' (seperti dalam tosey) dan 'ro' (seperti dalam semberono)
Lagi bagus kalau sambil sebut tu kalian masukkan sekali slang Asturian atau Spanish.
Sedap sikit dengar.

Aku adalah pemilik tunggal blog ini.

Jika kalian baca blog aku dari dulu,
kalian akan perasan antara isu yang selalu timbul dalam blog ini selain dari kisah cinta yang tidak kesampaian, entri-entri lukisan yang disulami dengan lawak yang kurang memberangsangkan dan cerita tentang diri yang tidak siapapun peduli
ialah isu rambut.



Di atas adalah karakter yang aku selalu pakai untuk mewakili diri aku sendiri.
Rambut yang aku lukis untuk karakter tersebut adalah yang paling hampir dengan keadaan rambut aku sekarang.
Rambut aku lurus tak lurus, kerinting tak kerinting.
Yang pasti, hujungnya akan bergulung ala-ala rambut palsu hakim mahkamah.
Aku suka rambut aku.
Tambahan pula, aku tak berapa minat sikat rambut.
Rambut aku yang tak tersikat masih lagi kelihatan boleh diterima orang.
Jadi, aku OK.

Namun,
aku pun ada rambut idaman.







Rambut Belah Tengah

Rambut belah tengah adalah rambut idaman aku masa sekolah rendah.
Tak salah aku, masa tu memang 'in' habis rambut ni.
Katanya, semua disebabkan BackStreet Boys yang cukup popular waktu tu.
Siapa tak kenal Nick Carter kan?
Tapi, aku lebih terpengaruh dengan Future Trunks dari Dragon Ball.

Tapi, sebab masa tu aku sekolah rendah lagi.
Peraturan sekolah rendah, rambut tak boleh lebih kening.
Selaku pengawas yang berdedikasi, aku kena ikut peraturan.
Barulah boleh tangkap budak yang rambut panjang masa perhimpunan.
Hahaha.







Afro

Believe it or not, ada satu tahap dalam hidup aku di mana aku sukakan rambut afro.
Afro, rambut kembang besar bulat yang selalunya bouncy.
Since aku pun tak berapa nak putih, jadi aku rasa rambut afro sangat kena dengan aku.
Ada tengok filem Ada Apa Dengan Cinta?
Ingat kawan sekelas Rangga yang cool gila rambut afro tu?
Dialah pencetus minat aku dengan afro.

Tapi, malangnya.
Rambut afro kena bermula dengan kinky hair, rambut kerinting ala-ala orang afrika.
Orang yang tak berambut kinky, kalau nak buat afro, susah nak maintain.
Kena rajin. Aku tak rajin.
Jadi, idaman tinggal idaman.







Dreadlocks

Dari sejarahnya, Dreadlocks terbentuk apabila rambut yang memanjang tidak disikat dan dibasuh, membuatkan rambut tersebut terbelit dan terlilit sesama sendiri.
Tapi rambut jenis ini juga boleh dibuat di salon.

Dreadlocks mula menarik minat aku selepas aku baca manga Eyeshield 21.
Salah satu watak dalam cerita tersebut bernama Agon.
Agon seorang genius dalam sukan American Football, seorang pemain serba boleh, mampu berada di mana-mana posisi.
Disebabkan kegeniusan dia, dia menjadi seorang yang bongkak, sombong dan kaki perempuan.

Agon Kongo berambut dreadlocks.
Aku, sebenarnya, nak jadi macam Agon.
Tapi, rambut dreadlocks untuk orang macam aku,
sama ada akan dihalau keluar dari rumah ataupun kena putus keluarga.








Rambut belah tengah, rambut afro dan rambut dreadlocks.
Ketiga-tiganya merupakan rambut idaman aku.
Tapi, ketiga-tiga jenis rambut ini hanyalah idaman yang bermusim.
Sekarang dah tak idaman dah.
Tapi, aku ada satu rambut idaman sepanjang zaman, sampai sekarang....


...iaitu,




Macam kenal je..Macam kenal je..

Mohawk

Semua orang tahu rambut Mohawk macam mana.
Tapi tak ramai orang tahu, Mohawk ada banyak variasi.
Mohawk yang kononnya orang muda buat ala-ala tarik rambut tegak ke tengah tu dipanggil fauxhawk, dahulu pernah dipopularkan oleh David Beckham.
Sesetengah peminat mohawk anggap fauxhawk itu bukan mohawk sebenar.

Tapi, mohawk yang aku minat lebih radikal.
Aku minat 'fanhawk', mohawk berbentuk kipas.
Kalau bahasa aku dulu-dulu, aku panggil rambut trojan.
Tapi mungkin tidaklah sebegitu keras macam berus macam kita selalu nampak budak-budak punk buat.
Sekadar cukup selesa untuk berada di atas kepala, sudahlah.

Tapi, aku sudah dewasa.
Apa yang menghalang aku dari memiliki rambut mohawk idaman?


Faux Pas

Dari empat jenis rambut di atas, tiga daripadanya adalah faux pas.
Rambut afro, dreadlocks dan mohawk secara umumnya tidak diterima dari segi sosial.
Sesiapa yang mempunyai rambut sebegini akan dipandang masyarakat.
Pandangan yang diberikan termasuklah pandangan positif dan (terutamanya) pandangan serong.
Hakikatnya, manusia memang menilai seseorang dari pandangan luaran.
Dengan kata lain, kalau ingin memiliki rambut seperti ini,
keyakinan diri kena tinggi.
Kena tahan pandangan mata yang sentiasa memerhati.
Kena tahan kata cemuh yang sentiasa dilempari.

Selain itu,
di dunia ini seperti ada satu 'unspoken rule'
di mana apabila berbicara tentang lelaki kemas,
kita akan mula terfikir lelaki yang berambut pendek.
Lelaki yang tidak berambut pendek akan dilabel tidak kemas.
Syarikat-syarikat korporat mengkehendakkan semua pekerja lelaki berambut pendek.
Sektor awam ada peraturan tentang tatacara dan etika pemotongan rambut.
Mak mertua sentiasa mencari bakal menantu lelaki yang berambut pendek.
Awek-awek jenis kontrol selalu suruh pakwenya potong rambut bila rambut panjang.

Dengan kata lain,
lelaki berambut afro, dreadlock dan (real) mohawk akan dipandang rendah masyarakat.

Aku pun tak tahu kenapa.
Seperti perempuan dilabel sebagai pemandu yang teruk,
lelaki pula dikehendaki berambut pendek untuk diterima di setiap peringkat sosial.

InsyaAllah,
bila aku berjaya tawan dunia ni,
aku akan ubah peraturan tersebut.

BERIKAN KEBEBASAN RAMBUT KEPADA LELAKI.






Lagi Rambut Oh Rambut:
Rambut Oh Rambut #4 [Diari Rambut Ahad]
Rambut Oh Rambut #3
Rambut Oh Rambut #2
Rambut Oh Rambut

Lagi mengenai rambut:
Cikgu Anita dan Epal Washington
Pendek? Bengong!
'Spiky' jadi 'Spooky'




.




Dec 8, 2013

Permainan Kelaparan: Menangkap Api.


Kadang-kadang, aku kuat berangan.
Agaknya, bagaimana kalau aku jadi tribute untuk Hunger Games...



Tentu aku paling awal terbunuh.



Ok, tak lawak.
Tapi, siapa dapat tahan penangan Katniss Everdeen, kan?

Bagi yang sudah tonton The Hunger Games: Catching Fire
mungkin boleh ingat scene yang aku ubah di atas.
Part tu, satu panggung jerit terkezut.
Aku pun.

Oh, aku bukanlah peminat kepada cerita The Hunger Games,
tapi aku suka idea jalan ceritanya
di mana seorang perempuan menjadi pencetus kepada revolusi.
Ianya memberitahu bahawa tak kira jantina, umur, atau kedudukan,
seseorang mampu mengubah dunia asalkan ada semangat dan kecekalan.

Ok, kidding...
Sebenarnya aku peminat Jennifer Lawrence sejak kemunculan dia dalam X-Men: First Class.
Aku even beli badge X-Men masa singgah Big Bad Wolf kelmarin.
Aku tertunggu-tunggu filem X-Men tahun depan.
Aku peminat X-Men terutamanya Wolverine.
Cita-cita aku nak ada jambang macam Wolverine.
Kalau aku ada jambang, aku nak berambut botak.

Nampak tak macam mana aku boleh jauh menyimpang dari topik utama.
Itulah keistimewaan aku. Mungkin super power kot.

Baidewey,
aku dengar next installment untuk Hunger Games (Mockingjay) ada dua bahagian: Part 1 dan Part 2.
Marketing betul producer filem ni..
Nak korek untung banyak lettew...



C-Card #5:
Post ni aku lukis lama dah, masa awal-awal aku tengok Catching Fire lagi. Tapi oleh sebab macam ada unsur-unsur spoiler, jadi aku kepam dulu dalam draft sampai laa sekarang ni di mana sekarang sudah masuk minggu ketiga tayangan. Kalau sampai sekarang korang tak tengok lagi cerita ni, maknanya korang bukan fan, jadi tak apalah kalau aku spoil sikit-sikit. As much as I hate my ex-girlfriend, aku pun benci spoiler. Aku faham, keterujaan sesetengah umat yang kononnya dah tengok satu-satu cerita ni, then sibuk nak buat ulasan dekat Facebook dan Twitter. Dude, kecuali anda adalah pengkritik filem yang profesional, tak ada siapa pun kisah dan nak baca ulasan anda yang ntahapehape itu.



.




Dec 6, 2013

Vorteks #49 - Takdir dan Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48]




Nafasnya dihembus kencang.
Encik Alex memang tidak selesa apabila terkurung di ruang yang sempit, apatah lagi dalam jangka masa yang lama. Klaustrofobia? Tidak. Encik Alex hanya tidak selesa dengan sesuatu yang tidak dapat dijangka. Ditahan polis sejurus selepas sampai di depan pagar rumah Encik Ahmad, kemudian dikurung di dalam bilik kecil di balai polis bertemankan hanya kerusi dan meja, diterangi cahaya dari lampu yang tergantung di siling, mana ada manusia yang akan selesa dalam keadaan sebegitu. Apatah lagi terdapat satu cermin besar yang dipercayainya cermin dua hala. Encik Alex percaya dia sedang berada di dalam bilik soal siasat polis.
Apa agaknya yang polis tahu? Adakah Zul tertangkap? Adakah sebab dia tertangkap, aku tak dapat menghubunginya? Terlalu banyak persoalan yang difikirkan Encik Alex. Walaupun resah, tapi dia harus kekal tenang kerana dia tahu ada mata yang sedang memerhatikannya di sebalik cermin itu.

Setelah hampir 90 minit Encik Alex dikurung bersendirian, Inspektor Bakar masuk dengan satu gelas berisi air kosong di tangan kanan. Diletaknya gelas itu di hadapan Encik Alex yang sedang berpeluh dingin. Encik Alex memandang tepat ke arah wajah garang Inspektor Bakar. Dari wajahnya sahaja, Encik Alex tahu Inspektor Bakar bukan seorang yang boleh dibuat main.
“Minum. Awak nampak haus,” Inspektor Bakar memulakan kata. Segera, gelas itu disambar dan air di dalamnya diteguk Encik Alex sehingga punggung gelas berada di atas.
“Terima kasih, Tuan.” Inspektor Bakar senyum melihat gelagat Encik Alex.
“Awak haus. Saya berikan air. Itu satu perbuatan yang baik, betul?” Inspektor Bakar melabuhkan punggungnya ke atas sebuah lagi kerusi.
“Betul, Tuan,” balas Encik Alex.
“Sekarang, saya mahu awak juga buat baik kepada saya. Boleh?”
“Saya cuba, Tuan.”
“Baiklah, kita mulakan dengan satu soalan. Saya harap awak buat baik dengan saya dengan tidak menipu saya.”
“Baiklah.”
“Apa hubungan awak dengan Zul?”
Encik Alex terkejut mendengar soalan pertama dari Inspektor Bakar. Kepalanya ligat mencari jawapan yang selamat.
“Saya tidak kenal sesiapa yang bernama Zul.” Dari nada suara yang terketar-ketar, Inspektor Bakar sudah tahu apa yang difikirkan Encik Alex.
“Kan saya sudah kata, jangan menipu.” Encik Alex menunduk diam.
“Biar saya ulang soalan saya supaya awak boleh lebih faham. APA HUBUNGAN AWAK DENGAN ZUL, BAWI DAN GALAH.”

Bawi dan Galah sedang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan. Dengan gelap malam dan tersorok di bawah pokok, mereka kelihatan sedang menunggu sesuatu. Bawi sibuk memerhati kawasan sekeliling, manakala Galah sedang membelek-belek pistol Glock 19 di tangan.
“Tak sangka, hanya dengan merampas pakaian polis, kita boleh dapat ambil kereta orang awam sesuka hati,” kata Galah. Dia cuba acah-acah mengacukan pistolnya ke luar, tapi tindakannya itu dimarahi Bawi di sebelah.
“Bangang. Kalau polis nampak, macam mana?”
Terkecut Galah dimarahi Bawi. Masih terbayang-bayang difikiran Galah bagaimana Bawi dengan hati keringnya merampas nyawa Zul siang tadi. Dia tidak mahu jadi seperti Zul. Jalan terbaik baginya adalah untuk tidak membangkitkan kemarahan Bawi.
“Daripada kau sibuk membelek pistol polis itu, apa kata kau tinjau sama kawasan sekeliling. Mereka pasti akan lalu jalan ini untuk pulang ke rumah,” kata Bawi. Matanya masih sibuk memerhati keadaan sekeliling. Setiap kereta yang berlalu, pasti akan ditinjaunya siapa penumpang di dalam. Setiap orang yang berjalan pergi akan ditatap wajah mereka agar tidak terlepas walau seorang. Semuanya kerana dendam.
“Kau pasti mereka akan lalu sini? Mana tahu, mereka pergi ke balai polis dulu, buat laporan.” Galah mahukan kepastian.
“Kalau dia pergi lapor polis dulu sekalipun, dia pasti akan pulang ke rumah. Dia pasti akan lalu jalan ini. Waktu itu, kita tamatkan segalanya,” balas Bawi.
Bawi dan Galah sedang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan, hanya 100 meter dari rumah Encik Ahmad.

Di sebuah pondok menunggu bas di Pusat Bandar, Intan dan Johan masih menunggu. Diikutkan, jika segalanya lancar, Prof. Erman akan ambil masa kurang setengah jam perjalanan. 30 minit sudah berlalu, bermakna Prof. E akan sampai pada bila-bila masa. Namun, beberapa faktor harus diambil kira, termasuklah kemampuan Prof. E untuk memandu malam dan keupayaan kereta yang dipandu memandangkan usia kereta itu sepadan dengan tuannya. Mengenangkan bagaimana Prof. E dan keretanya, Johan tergelak sendirian.
“Apa yang awak gelakkan?” tanya Intan sambil membetulkan baju Johan yang dipakainya.
“Tiada apa-apa. Saya cuma bayangkan Prof dan keretanya,” jawab Johan. Intan turut tersenyum.
“Awak tak sejuk? Awak cuma bersinglet.”
“Tak apa. Awak lebih perlukannya.”
Intan terdiam. Suasana janggal berlegar di keliling mereka berdua. Tiada topik yang boleh dibicarakan. Tiada subjek untuk dibualkan.

Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
“Eh?” Johan terkejut mendengar apa Intan ungkapkan. Tiba-tiba.
“Betul, kan? Itu prinsip awak yang awak beritahu saya tempoh hari, kan?”
Johan masih terkejut, tapi diangguknya tanda setuju.
“Saya ada terfikir. Setelah apa yang saya lalui; diserang oleh penculik di rumah, melihat ibu saya dipukul depan mata, dikurung di sebuah rumah usang, hampir dirogol tiga lelaki durjana, dan kemudian dikejar lari ke dalam hutan tebal, semua ini adalah pengalaman pahit yang tak akan saya lupakan. Saya mungkin akan tersedar pada tengah malam dek kerana mimpi ngeri, atau saya mungkin tak dapat tidur langsung disebabkan ketakutan, atau lebih teruk, saya mungkin akan jadi kurang siuman dan hilang akal...”
Intan menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung, “...Tapi, manusia perlu terus ke depan, kan? Masa silam saya mungkin akan menghantui saya, tapi saya tetap kena tempuh, kan? Supaya saya tak ulangi mana-mana kesilapan, kan? Supaya masa depan saya terus terjamin, bukan?”
Intan memandang tepat ke mata Johan. Johan mengangguk. Mereka berdua saling bertukar senyum.
“Jadi, saya mahu minta izin awak. Saya mahu pegang prinsip yang sama dengan apa awak pegang. Saya pasti, dengannya, saya mesti dapat tempuh liku-liku susah dalam kehidupan saya yang seterusnya.”
It’s not mine. It’s yours,” kata Johan. Lembut.

Hani. Prinsip itu saya dapat dari awak, dan sekarang awak pula dapat dari saya. Kelakar. Sangat kelakar bagaimana takdir dan masa memainkan peranan masing-masing. Kelak, dengan prinsip yang sama, awak bakal memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang lain di luar sana.


Lamunan Johan tersentak. Bunyi hon dari kereta tua memecah suasana. 



BERSAMBUNG...[50]




Dec 1, 2013

Jawapan tEka-tEki #18 'Bas Sekolah'


Kini, sudah sampai giliran untuk jawapan tEka-tEki.
Adakah anda sudah bersedia untuk jawapannya?



Baiklah.
Kepada yang belum bersedia untuk membaca jawapannya
dan mahu ke entri soalan, sila klik sini.
Ketahuilah,
keseronokan tEka-tEki bukan terletak pada jawapan
tetapi terletak kepada usaha kita mencari jawapan.
(Pergh! Ayat berfalsafah bagai...)

Ini soalannya:
Perhatikan imej di bawah.



Bayangkan itu adalah bas sekolah yang pernah kita naik setiap pagi semasa kecil untuk ke sekolah.
Jika bas itu bergerak ke hadapan,
ke arah manakah akan bas itu tuju?
Ke kiri gambar atau ke kanan gambar?


Mudah.
Sama ada ke kiri ←
atau ke kanan →



Jawapannya?
Ke kanan →

Kenapa?

Dalam soalan tEka-tEki,
bila aku kata...
Abaikan lukisan aku yang taraf budak tadika ini
dan cuba gunakan imaginasi anda bayangkan ianya bas yang sebenar.
...aku bukan saja-saja kata.
Aku betul-betul maksudkannya.
Imaginasi memainkan peranan yang penting dalam tEka kali ini.

Bas yang sebenar, tak seperti lukisan aku, akan dipenuhi dengan detail-detail yang membolehkan kita terus menjawab mana depan mana belakang.
Bentuk bas, side mirror, kedudukan ekzos, pintu pemandu
dan yang paling penting ialah PINTU MASUK BAS.

Dari lukisan aku itu, tidak terdapat pintu, termasuk pintu pemandu,
seperti yang aku katakan, lukisan tersebut kekurangan detail.
Maka kita boleh andaikan bahawa pintu masuk bas yang menjadi ciri utama setiap bas berada di sebelah satu lagi yang tidak kita nampak.
Oleh kerana Malaysia adalah negara dengan pemandu berada di kanan kenderaan,
maka pintu masuk ke dalam bas berada di sebelah kiri
memberi maksud, jika bas tersebut bergerak ke depan
maka bas itu akan bergerak ke arah kanan gambar.

Untuk lebih pemahaman,
ini ialah lukisan sebelah satu lagi bas tersebut.


Got it?

Kajian di barat ada mendapati hampir 80% kanak-kanak bawah umur 10 tahun dapat jawab soalan yang sama dengan SERTA MERTA.
Kenapa kanak-kanak?
Kerana fikiran kanak-kanak mudah.
Perkara pertama difikirkan kanak-kanak apabila melihat lukisan itu (walaupun seburuk manapun) adalah hubungan lukisan dengan alamnya.
Dalam kes bas ini, lukisan bas pada mereka adalah bas.
Namun, pada kita yang dewasa, kita sukar terima lukisan bas itu adalah bas kerana pada kita ianya hanya lukisan (yang tidak cukup lengkap; tiada side mirror, tiada ekzos, tiada lampu dll).

Semakin kita dewasa, daya imaginasi kita jadi lemah.
Sebab itu kanak-kanak melihat ranting pokok yang patah sebagai pedang
sedangkan kita nampak ranting yang sama hanya sebagai ranting pokok.
Masa kecik pernah main 'jangan pijak lantai nanti mati'?
Aku pernah. Ianya punya konsep yang sama.
Gunakan imaginasi sebagai permainan.

Cikgu aku pernah pesan,
"Kalau jumpa jalan buntu, cuba pandang dari sudut kanak-kanak."
Ianya satu nasihat yang bagus yang aku guna setiap kali aku teringat.
Sebab kalau kita sebut tentang kreativiti dan imaginasi,
tiada yang lagi hebat berbanding kanak-kanak kecil.


Jumpa lagi dalam slot tEka-tEki yang seterusnya.

Lagi tEka-tEki dalam koleksi:




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: