Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Sep 29, 2013

Mencari Ilmu Biarlah Sampai Ke Hujung 'Progress Bar'.


Tahu tak apakah ciptaan terhebat manusia selepas penemuan penicillin?
Internet!



Mungkin pada zaman sekarang,
manusia yang tak tahu apa itu internet adalah atuk nenek tua yang duduk dekat kampung.
Dan aku pasti, makin hari manusia yang tak tahu apa itu internet semakin pupus.
Dude. Atuk dan nenek pun nak main facebook jugak.

Tapi,
kalau kalian tanya aku laman apa paling best dalam internet,
jawapan aku satu. Blog aku *batuk batuk batuk*
Dan no.2 jatuh kepada YouTube!

Pada aku, YouTube merupakan sumber ilmu yang padat.
Yup.
Banyak dari kita layan YouTube semata-mata nak tengok video-video muzik artis kegemaran.
K-pop dengan perempuan tayang peha, lelaki solek muka.
Artis barat yang videonya penuh dengan sexual innuendoes.
Rakyat Malaysia yang padat dengan video parodi.
Tapi,
apa yang aku nak tekankan,
tak semua video dalam YouTube berunsurkan hiburan.
Kebanyakannya berisi pengetahuan.

Di sini aku nak kongsi 4 channel di YouTube yang menjadi tempat singgah aku nak tambah ilmu.
Banyak lagi sebenarnya,
tapi 4 ni memang aku follow dari dulu sampai sekadar.
Walaupun capaian internet macam kura-kura,
tapi aku tetap tak tangguh layan bila diorang upload video baru.

Layan.....


1. Scam School



Basically,
Scam School adalah channel di mana dia ajar cara nak buat trick atau magik mudah untuk scam orang suruh belanja minum.
Lebih kurang macam..
"Hey, aku ada satu trick. Kalau kau boleh selesaikan trick ni, aku belanja minum. Kalau kau mengaku kalah, kau yang kena belanja aku minum."

Dihoskan oleh Brian Brushwood, ahli silap mata dan pemakan api profesional.
Kebanyakkan tricknya adalah magik mudah yang kita boleh belajar dari buku-buku magik yang berlambak dekat pasaran.
Tapi ada beberapa episod juga menayangkan tentang cara-cara nak tarik perhatian orang ataupun buatkan orang tertarik dengan kita.
Ada juga cara-cara nak minta nombor telefon awek cun tanpa disyaki apa-apa.
Cool, kan?
Semua trick di dalam Scam School ni boleh dijadikan ice-breaker bila kita baru nak kenal seseorang.

Aku pernah try salah satu trick untuk tarik perhatian seorang budak kecil.
Berkesan.

Klik di sini untuk ke channel Scam School di YouTube.




2. Vsauce



Aku rasa, channel Vsauce cukup dikenali ramai.
Dikendali oleh lelaki bernama Michael Stevens, graduan bidang Neurophychology dan English literature.
Channel Vsauce lebih ke arah akademik dan pengetahuan.
Apa yang best tentang Vsauce adalah,
setiap videonya berkisar tentang soalan-soalan yang tak pernah kita fikirkan,
dan kalau kita ada fikirkan pun, kita tak ada jawapannya.
Tapi Vsauce sentiasa ada jawapan.

Soalan-soalan trivia seperti
'Siapa pemilik kepada tanah di bulan?'
'Apa yang kita nampak jika berada dalam sfera yang diperbuat dari cermin?'
'Kenapa kita tepuk tangan?'
sangat menarik untuk diketahui jawapannya.
or...at least akulah yang rasakan tertarik.

Topik-topik yang dibincangkan dalam channel ni boleh dibincangkan bersama kawan-kawan semasa lepak di kedai mamak,
jika dan hanya jika kawan-kawan korang jenis yang lebih suka berborak hal ilmiah berbanding hal-hal hiburan dan k-pop.
"Hey, korang tahu tak apa warna sebenar cermin? Hijau!"
"Eh, aku tak nak tahu. Kau tengok Running Man dah?"
"Er...aku tak layan Running Man." Oh, okay...
Senyaplah kau minum teh tarik sorang-sorang sementara yang lain sibuk bercerita tentang Running Man.

Klik di sini untuk ke channel Vsauce di YouTube.




3. Community Channel



Pemiliknya, Natalie Tran ialah seorang video blogger dari Australia yang berdarah Vietnam.
Yup.
Macam video blogger yang lain, videonya berisi dengan si Nat ni duduk depan kamera dan berceloteh dengan laju sambil diselangi dengan lawak-lawak yang kekadang kurang difahami.
Tapi, apa yang berbeza dengan vlogger lain ialah
isu-isu yang ditekankan, walaupun remeh, tapi sangat dekat dengan diri aku...
Or aku rasa diri semua subscriber dia kot..

Sebagai contoh,
video dia baru-baru ni tentang isu tahan pintu untuk orang lain lalu.
Aku ingat aku je orang yang rasa sakit hati bila aku tahan pintu nak kasi orang lain lalu lepas tu orang yang nak lalu tu saja-saja buat lambat seolah-olah hidup aku didedikasikan khusus untuk memudahkan kehidupan dia,
rupanya banyak lagi orang senasib dengan aku.

Yes. I feel connected.

Kalau korang ada masa, try layan channel dia dari awal-awal dia buat video dia dulu.
Klik di sini untuk ke channel Community Channel di YouTube.
Sampai sekarang aku pelik kenapa dia guna id 'Community Channel' sedangkan channel dia bercerita tentang diri dia je..




4. Smarter Every Day



Smarter Every Day,
seperti nama channelnya, bermatlamat untuk menjadikan penonton semakin pandai hari demi hari.
Kata pemilik channel, Destin, tengok dua video dari channel dia ni,
kalau ada belajar sesuatu daripadanya, sila subscribe dan share di media sosial.
Tak payah dua video, korang tengok satu je pun, layan sampai habis,
korang akan dapati betapa bestnya kalau hidup penuh dengan perasaan seronok mencari ilmu.

Setiap topik yang Destin bangkitkan, dia akan kupas seteliti yang mungkin.
Kalau dia tak puas hati, dia akan cari orang-orang yang berkredibiliti untuk mengupasnya,
termasuklah para lecturer di universiti, kawan-kawan seangkatan,
dan Destin tak keberatan untuk terbang jauh merantau semata-mata untuk mencari jawapan kepada persoalan yang dia bangkitkan,
walaupun dia terpaksa tinggalkan anak-anak dan isteri dia (yang cun) untuk beberapa minggu.

Yang buat aku kagum dengan Destin ialah semangat dia nak mencari ilmu
dan keikhlasan dia menyampaikan ilmu tersebut kepada orang ramai.

Klik di sini untuk ke channel Smarter Every Day di YouTube.




xxxxxx

Bukan hanya 4 ini yang aku subscribe,
ada banyak lagi, tapi 4 ini yang aku rasa paling terkesan.
Salah seorang dari pemilik 4 channel ni ada aku masukkan dalam list manusia yang aku mahu berjumpa face-to-face sebelum menutup mata.
Siapa? Tekalah.


Kalau korang tanya aku
"Tak ada ke channel YouTubers Malaysia yang kau minat?"
Jawapan aku, TIADA.

Aku juga subscribe channel tempatan macam MatLuthfi90, dll,
tapi aku merasakan video diorang tak sampai tahap untuk buat aku teruja nak tonton setiap kali ada notification yang mengatakan diorang upload video baru.
Bukan diorang tak bagus, bagus...In fact, sangat bagus.
Tapi, isu yang dibangkitkan kebanyakkannya bersifat pandangan peribadi dan sarkastik.
Sesetengah orang boleh masuk dengan sarkastik.
Kalau aku, satu dua okay laa. Tapi kalau dah setiap video macam tu, payah juga.
Kalau sarkastik boleh mendidik, kita patut ada satu subjek 'Kemahiran Sarkastik' dalam sukatan pendidikan negara.
Peminat MatLuthfi, sila jangan marah.

Lagipun, YouTubers Malaysia ni penuh dengan video parodi.
Malaysian YouTubers dikatakan pengeluar terbesar video parodi dalam YouTube.
Baru 24 jam video #biniMatYo tersebar, dah sibuk buat parodi.
Malaysian YouTubers kena lebihkan video yang educational dan informational.
Kita seronok sangat berhibur, sampai lupa terus nak belajar.


Kalau korang tanya aku
"Tak terniat nak buat channel YouTube sendiri ke?"
Jawapan aku, INSYAALLAH.

Aku memang ada niat nak buat, tapi malangnya muka aku tak cukup fotogenik.
Aku tak cukup informatif.
Aku juga tak cukup alatan dan perkakas.
Kamera ada, tapi software video editing tarak.
Aku juga rasa aku takkan cukup berjaya nak tarik banyak viewers.
Akhirnya, video yang aku buat sepenuh hati akan berakhir menjadi video picisan yang lenyap ditenggelam di dalam lambakan gergasi video-video lain dalam YouTube.

Apa-apapun,
aku memang suka sangat YouTube.

Korang ada cadangan channel YouTube yang menarik?





.




Sep 27, 2013

Vorteks #42 - Masa Semakin Suntuk.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41]




Apabila sesat, sama ada di dalam bandar atau di dalam hutan, adalah lebih baik untuk tidak bergerak sesuka hati. Namun, jika keselamatan perlu diutamakan, bergeraklah di atas satu garisan lurus.
Bagi kes hilang arah di dalam hutan, permukaan hutan yang tidak rata dan dipenuhi dengan akar kayu, daun-daun kering serta ranting mereput menyukarkan kita untuk bergerak di atas satu garisan lurus. Maka, dengan sedikit pengetahuan geografi dan bantuan dari kedudukan matahari, untuk keluar dari hutan yang tebal bukanlah sesuatu yang mustahil.
Semua itu dipelajari Johan daripada datuknya.
Johan sedar, dia dan Intan kini berada di dalam hutan di Bandar Timur. Selagi mereka bergerak menuju ke arah timur, kemungkinan mereka akan bertemu dengan jalan kampung atau jalan tanah merah adalah tinggi. Jadi, disebabkan suasana yang beransur petang, Johan dan Intan hanya perlu sentiasa bergerak membelakangi matahari untuk menuju ke arah timur.
Namun, segalanya perlu dilakukan sewaktu matahari masih kelihatan.

“Masa semakin suntuk. Hari semakin gelap. Kita kena segera keluar dari hutan.” Johan membuka kata setelah beberapa ketika dia dan Intan yang digendong hanya berdiam diri.
“Apa patut kita buat?” Intan bertanya. Nafasnya yang menghembus di belakang leher Johan sedikit sebanyak membuatkan Johan berasa geli.
“Kita tiada pilihan. Kalau masih tak jumpa jalan keluar, kita terpaksa bermalam. Tapi, malam di dalam hutan amatlah bahaya.” Bukan niat mahu menakutkan, tapi sememangnya realiti. Sesetengah haiwan buas mencari sumber makanan pada waktu malam disebabkan persekitaran yang gelap dan haiwan mangsa yang kemungkinan tidak bergerak. Johan tidak mahu menjadi makan malam kepada haiwan buas di dalam hutan, memandangkan setelah apa yang dia dan Intan lalui untuk menyelamatkan diri dari Bawi dan Galah sebentar tadi.
Intan hanya berdiam diri. Walau takut, tapi baginya, selagi dia bersama lelaki yang dipanggilnya ‘Yusran’ ini, dia akan sentiasa berasa selamat.
“Awak jangan risau. Saya rasa tiada cara penjahat dua orang tadi dapat mengejar kita. Kita dah rampas kasut mereka dan buangkan pakaian mereka. Sangat susah bagi mereka untuk bergerak dengan kaki ayam dan hanya berseluar dalam.”
Intan ketawa kecil mendengar kata-kata Johan tadi. Terbayang dalam fikirannya imej Bawi dan Galah yang hanya berseluar ‘kecil’ mencari jalan di dalam hutan.
Kasut Galah diambil Johan dan dipakainya. Kaki Johan pula diberikan kepada Intan. Namun, luka di kaki Intan tetap tidak membenarkannya untuk berjalan di dalam hutan, jadi Intan masih digendong oleh Johan di belakang. Kasut Bawi, pakaian dan pistol mereka berdua disorokkan di satu kawasan jauh dari tempat Bawi dan Galah dipengsankan. Memang ada niat untuk Johan membawa salah satu dari pistol itu sebagai senjata, tapi dia merasakan ianya akan jadi menyusahkan memandangkan dia kena menggendong Intan. Lagipun dia tiada kemahiran dalam menggunakan pistol. Cukuplah alat pemotong dawai dan sebilah pisau yang diselitkan di pinggang sebagai senjata untuknya.
“Nasib hujan dah semakin reda. Kalau masih hujan lebat, alamatnya makin cepatlah suasana menjadi gelap.”

Setapak demi setapak Johan melangkah. Sekali sekala, Johan membetulkan tangannya yang mengampu peha Intan. Sekali sekala dia berhenti dan memandang atas ke arah matahari dari samar-samar hujan rintik dan celahan daun untuk menentukan arah. Mereka berdua basah, bukan hanya dek penangan air hujan yang masih turun, malah juga dari titisan peluh yang keluar dari tubuh masing-masing. Tapi mereka tidak peduli. Mereka bersama, itu yang penting.
Intan memperkemas tangannya yang mencangkuk dada Johan. Pegangannya semakin erat dan rapat. Johan hanya tersenyum.
“Terima kasih...” Nada suara Intan perlahan, berbisik.
“Apa?” Johan bertanya kerana tidak jelas kedengaran.
“Terima kasih.” Intan mengulang dengan suara yang lebih kuat. “Terima kasih sebab datang selamatkan saya. Terima kasih kerana buat semua ini. Kalau awak tak datang, saya rasa saya lagi rela mati dari jadi mangsa mereka tadi.”
Johan tersenyum.
“Awak jangan risau. Awak akan selamat. Awak akan dapat terus kejar cita-cita dan impian awak selepas ni. Awak akan menjadi kuat daripada pengalaman yang awak dapat. Awak akan terus memberi inspirasi terhadap orang ramai supaya jangan berputus asa dan berputus harap dalam berusaha.”
Mendengar kata-kata Johan, Intan sedikit kebingungan. Sedikit tidak masuk akal memandangkan dirinya baru berumur 16 tahun dan masih bersekolah. Bagaimana pula dia mampu memberi inspirasi kepada orang ramai? Namun kata-kata itu sedikit sebanyak menghilangkan rasa takut dalam hati.
Intan meletakkan kepalanya ke bahu Johan, mencari keselesaan.
Johan masih tersenyum dan terus melangkah.

“TUAN!”
Panggilan dari salah seorang anak buahnya menarik perhatian Inspektor Bakar. Melihat dari jauh, anak buahnya itu sedang menunjukkan sesuatu di sebalik pangkal pokok besar. Inspektor Bakar meninggalkan posisinya dan segera menuju ke pokok itu.
Kelihatan di sebalik ranting kayu dan daun-daun kering, beberapa helai pakaian digumpalkan bersama sepasang kasut dan disorok. Turut kelihatan dua pucuk pistol.
“Ianya seperti disorok.” Inspektor Bakar membelek gumpalan pakaian yang terdapat disitu. Dua pasang baju dan seluar lelaki. Dua pucuk pistol. Tapi hanya sepasang kasut.
“Kesan barang ini disorokkan masih baru. Dua pasang baju dan seluar lelaki.Tapi, siapa punya?”
“Dua pakaian lelaki, mungkin milik dua orang penculik itu, Tuan.” Seorang pegawai di sebelah kanan Inspektor Bakar memberi respon.
“Kemungkinan besar, Tuan. Lagipun ada dua pucuk pistol. Kemungkinan milik mereka berdua.” Seorang lagi pegawai di kiri Inspektor Bakar menyuarakan pendapat.
“Takkan mereka dua lelaki yang bersenjata kalah dengan budak perempuan yang merupakan mangsa culik mereka sendiri?”
“Mungkin ini kerja seorang lagi lelaki yang dilihat berlari ke dalam hutan bersama mangsa, Tuan. Lelaki yang tidak dapat dikenalpasti itu.”
Inspektor Bakar mengangguk. “Tapi, siapa dia?” Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri kebingungan.
“Tak apa. Bungkus barang ini. Ianya mungkin bahan bukti. At least kita tahu mereka sudah tidak bersenjata. Kita sambung proses mencari dan menyelamat.”

“Tapi, siapa dia?” Tanya Galah kepada Bawi. Bawi membalas dengan pandangan tajam.
Mereka berdua masih meredah hutan mencari jalan dengan hanya berpakaian masing-masing sehelai seluar dalam. Sekali sekala Galah menampar pehanya yang dihinggap nyamuk hutan.
“Masalahnya, macam mana dia boleh tahu tempat persembunyian kita di sini? Tiada siapa yang tahu...”
“...kecuali Alex.” Bawi memotong kata-kata Galah.
Betul. Hanya Encik Alex, dalang kepada rancangan penculikan Intan yang merupakan anak pesaing perniagaannya, Encik Ahmad yang tahu tempat mereka sembunyikan Intan. Selain mereka berdua dan Zul yang sudah mati dibunuh, hanya Encik Alex sahaja boleh disyaki.

“Nantilah kau, Alex.” Bawi mengenggam erat penumbuknya.



BERSAMBUNG...[43]





Sep 22, 2013

Terbuka Luas Seluas Angkasa.


Nak dengar cerita yang bosan?
Aku ada satu...



Semuanya bermula dua tahun lalu,
seorang kenalan menghadiahkan sebuah buku novel.
Teruja dengan hadiah yang diperoleh, aku pun mula membacanya.
Dengan 495 muka surat bertanda, aku mulakan dengan senyuman.
Namun,
selepas hanya beberapa puluh muka surat membaca,
disebabkan aku bukanlah pembaca novel yang setia,
maka aku meninggalkannya.
Seperti kanak-kanak yang berlalu dari mainan yang membosankan,
maka tersimpanlah novel itu di rak buku,
menjadi agen khas bertugas mengumpul habuk.

Begitulah cerita yang sama dengan beberapa buah novel sebelumnya.
Tidak pernah habis dibaca.

Ceritanya bersambung beberapa minggu yang lalu,
di mana segalanya bermula semula bila aku terdetik
dan merasakan otak aku sudah semakin berkarat.
Berkarat seperti skru dalam kayu lembap.
Manakan tidak, otak yang dulu mampu mengajar adik aku matematik tambahan
sekarang memerlukan kalkulator untuk mengira tiga kali lapan.

Runsing.
Aku menyelongkar rak mencari apa-apa sahaja untuk menjadi pengasah otak.
Terserempak semula dengan novel tadi.
Terasa seperti mengkhianati hadiah dari seorang kawan,
aku mengangkatnya dari gudang habuk, dibersihkan, dan dibelek muka ke muka.
Selak punya selak punya selak,
aku langsung hilang punca jalan cerita.
Maka,
aku berkeputusan akan baca buku itu, semula dari mula,
sehingga habis.

Aku mendisiplinkan diri.
Aku mengajar diri agar membacanya selama 30 minit sebelum tidur.
30 minit sehari.
Berbanding 1440 minit sehari yang kita ada,
ianya bukanlah apa-apa.

Sedar tidak sedar,
disiplin bertukar menjadi rutin.
Lama kelamaan, setiap hari, aku tertunggu-tunggu saat 30 minit tersebut.
Kadang-kadang sampai terlajak menjadi 1 jam.
Buat pertama kali aku merasakan,
membaca novel bukanlah sesuatu yang membosankan seperti apa yang pernah aku fikirkan.

Banyak aku belajar.
Melihat perspektif pemikiran dari minda orang lain.
Memahami pandangan kehidupan dari kanta mata selain diri sendiri.
Malah, aku peroleh pelbagai nilai untuk diamalkan kehidupan seharian.
Aku tak pernah terfikir duduk mengadap abjad dan perkataan 30 minit sehari membolehkan aku mendapat begitu banyak ilmu dan pengetahuan.
Hanya dari satu buku, aku dapat banyak perkara.
Bayangkan apa aku boleh dapat dari 10 buku, 100 buku, 1000 buku.

Aku bersyukur aku dihadiahkan dengan sebuah novel.

Lebih dua minggu lalu,
aku tamat membaca novel tersebut.
Ini adalah rekod muka surat paling banyak aku membaca.
Lega. Paling tidak, aku tidak menghampakan harapan kawan yang menghadiahkannya.
Lagi bersyukur, aku tidak habis kosong.
Aku habis berisi.


Kini,
rutin 30 minit membaca sehari aku kekalkan.
Masih tiada niat untuk meningkatkan waktunya,
tapi setiap pengembara bermula dengan langkah bayi, kan?

Membaca 30 minit sehari, rupanya, bukanlah susah mana
berbanding dengan minda yang terbuka luas seluas angkasa.




postquam-scriptum:
Since dari kecil aku ada rekod tidak pernah habiskan baca mana-mana buku,
aku berniat nak kekalkan rekod tersebut.
Maka, novel 495 muka surat itu, aku hanya baca 494 muka.
Luckily, muka surat terakhir hanya tertulis separuh muka,
aku suspect hanyalah cerun landai penghabisan garis plot,
maka tak ada apa yang aku rugi.

So, technically, aku masih tak pernah habis baca mana-mana buku seumur hidup ini.
Yes, I am THAT egomaniac.
But I believe that John Lennon once said
“If being an egomaniac means I believe in what I do and in my art or music, then in that respect you can call me that... I believe in what I do, and I'll say it.”

Anda yang menghadiahkan aku buku tersebut,
TERIMA KASIH.



.




Sep 20, 2013

Vorteks #41 - Dendam yang Memakan Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40]




Adalah menjadi impian setiap ahli fizik teori (theoritical physicist)untuk membuktikan kesahihan teori yang mereka cadangkan melalui eksperimen, bukan sekadar formula matematik, model abstrak dan rumusan dari teori ahli fizik terdahulu yang lebih berunsurkan hipotetikal. Namun, hakikatnya kebanyakan teori tersebut terlalu susah untuk dibuktikan melalui eksperimen kerana mungkin wujudnya faktor yang tidak mampu dikawal, pembolehubah yang terlalu besar dan tiada kewujudan fizikal, ataupun sekadar teori tersebut yang terlalu tidak masuk dek akal.
Fenomena merentas masa adalah antara perkara yang dilabel tidak masuk dek akal. Salah satu sebabnya adalah tiada bukti sahih bahawa fenomena itu boleh berlaku, pernah berlaku dan akan berlaku. Tiada teori yang dibentangkan oleh para ahli fizik yang menyatakan bahawa merentas masa adalah sesuatu yang tidak mustahil. Tiada teori kukuh adalah disebabkan oleh para ahli fizik yang masih tidak dapat mengenalpasti  pembolehubah yang benar-benar terlibat dalam fenomena tersebut.
Jadi, bagi kebanyakan manusia, merentas masa adalah mustahil.
Namun, kemustahilan adalah sesuatu yang digemari para ahli fizik teori. Kerana mencabar kemustahilan adalah sesuatu yang dipandang besar dan dihormati jika berjaya. Jika tidak berjaya, bukan sahaja masa sia-sia dihabiskan, malah berisiko dilabel ‘tidak siuman’.

Dibiarkan seketika Prof. Shah memanjangkan ketawanya.
“Kalau kita boleh berkongsi data kajian, dan berkongsi isi yang terkandung dalam Fail J itu, aku mungkin boleh hantar Johan balik ke masa hadapan pada waktu kilat Thor yang seterusnya. ”
Prof. Shah masih ketawa. Dia seolah-olah mengabaikan kata-kata Prof. Erman tadi.
“Fail J?”
“Ya, Fail J.” Prof. E menjawab ringkas. Prof. Shah di hadapannya masih belum habis berdekah.
Apa yang kelakar? Aku tak buat lawak? Aku sedang membongkar kajian sulit dia yang selama ini dia rahsikan dari semua orang. Reaksi yang sepatutnya dia beri adalah terkejut, sebab aku tahu akan rahsianya. Bukannya ketawa.
“Kenapa kau ketawa, Shah?” Mendatar nada suara Prof. E.
“Ha...ha...ha...” Prof. Shah menghabiskan sisa ketawanya sebelum menyambung kata.
“Kau mesti tak sangka reaksi aku begini, kan? Kau mesti anggap aku akan terkejut bila kau sebut tentang Fail J dan kajian sulit aku, kan?” Walaupun kata-kata Prof. Shah itu benar, tapi Prof. E tidak memberi sebarang reaksi.
“Hanya dua orang selain aku yang tahu tentang Fail J. Pertama ialah pemilik asal Fail J sendiri, merangkap lecturer aku masa di universiti dahulu. Kedua, ialah bekas tunang aku, merangkap isteri  kau yang kau tinggalkan selepas kau rampas dia dari aku.” Prof. Shah tepat memandang mata Prof. E.
“Kau tak pernah kenal lecturer aku, lagipun dia dah lama meninggal dunia. Jadi, aku teka, kau dapat tahu tentang Fail J melalui isteri kau dulu, kan?”
Tepat telahan Prof. Shah. Namun, Prof. E masih berdiam diri tiada jawapan.
“Kau nak tahu? Semasa dia putuskan pertunangan kami dan memberitahu mahu mengikut kau, aku kecewa. Aku fikir, apa kelebihan kau sampai dia sanggup tinggalkan aku dan pilih kau? Kau professor, aku professor. Kau berharta, tapi aku lebih kaya. Malah, kalau nak ikutkan paras rupa, helaian rambut kau di atas kepala yang boleh dibilang itu membuktikan kehebatan berada di pihak aku.”

Prof. Shah bangun dari tempat duduknya dan bergerak ke tingkap, menjenguk pemandangan luar. Prof. E masih membatu di sofa.
“Kau rampas tunang aku. Disebabkan itu, aku benci kau. Aku berniat nak jatuhkan kau. Bertahun-tahun selidik setiap apa yang kau buat. Aku siasat setiap kajian kau, setiap laporan kau. Tanpa aku sedar, aku jadi obses dengan kau, hanya sebab kau merampas satu-satunya insan yang aku sayang.”
Prof. E menunduk kepalanya.
“Ketika itu, aku dapat tahu kau sedang mengkaji fenomena merentas masa, time travelling, sesuatu yang dilabel orang ramai termasuk para ilmuwan sebagai ridiculous. Jadi, aku buat keputusan, aku nak sabotaj kajian kau. Aku mahu kajian kau dilihat sebagai sesuatu yang sia-sia. Aku nak malukan kau sehingga kau tiada tempat di atas dunia untuk menyorok...”
Prof. Shah kemudian berpusing menghadap Prof. E.
“...tapi sehinggalah aku jumpa Fail J.”
Prof. E mengangkat muka, memandang wajah Prof. Shah.
“Aku diberitahu, isi dalam Fail J adalah kunci kepada misteri merentas masa. Dari Fail J, aku dapati kajian kau berada di landasan yang betul. Setiap kajian kau sama seperti yang tercatat di dalam Fail J. Sooner or later, kau mungkin akan menjadi orang pertama yang mampu merungkai misteri time travelling.” Prof. Shah memicit pangkal hidung antara dua matanya.
“Aku jadi panik. The fact that you are on the right track sangat menakutkan aku. Jadi, aku beritahu tentang Fail J kepada isteri kau, dan memberitahu dia bahawa akulah orang yang paling hampir merungkai misteri itu. Aku suruh dia pulang ke pangkuan aku kerana aku sudah lebih berjaya dari kau. Kau tahu apa yang dia kata pada aku?”
Prof. E geleng kepala.
“Dia kata, kalau itu kunci kepada segala misteri, aku harap kau hapuskannya dari muka bumi ini.”
Prof. E bermuka terkejut.
“Jelas kekecewaan di raut wajah dia. Jelas dia tak bahagia bersama kau. Walaupun begitu, dia tetap tidak mahu ikut aku dan meninggalkan kau. Aku kenal perangai dia, dia bukan seorang yang berahsia. Maka, dia surely akan beritahu kau tentang Fail J. Itu membuatkan aku lebih membenci kau.”
Prof. Shah menggeleng kepala.
“Hasil kebencian yang membuak-buak, aku sebarkan khabar angin bahawa aku sendiri ada jalankan kajian sulit dan rahsia mengenai fenomena merentas masa. Kononnya aku sendiri ada hasil kajian aku mengenai time travelling, malah kononnya hasil kajian akulah yang paling hampir dengan kejayaan. Semuanya hanya untuk menarik perhatian kau. Semuanya adalah untuk hari ini, hari di mana kau datang merayu meminta bantuan dan pertolongan aku dan menyebut tentang Fail J...”
“Jadi, semua itu merupakan khabar angin semata-mata?” Prof. E membuka mulut.
“Ya, tentang kajian sulit dan rahsia fenomena merentas masa, itu semua khabar angin. Aku langsung tak berminat nak kaji fenomena tu. Tiada data untuk dikongsi. Tiada kajian untuk diberi.” Prof. E memejam mata menahan kekecewaan. Prof. Shah kembali ketawa besar.
“Aku patut rakam pujuk rayu kau tadi yang nakkan kita berkongsi data kajian. Puas hati aku. Hahaha!”

“Tapi, Fail J?”
Ketawa Prof. Shah terhenti, terbantut. Suasana ruang tamu menjadi sunyi, tiada suara buat seketika.
“Adakah Fail J wujud?”
Riak wajah Prof. Shah berubah.
“Ya, Fail J memang wujud. Isi kandungannya memang mengenai merentas masa. Lecturer aku yang menulisnya itu sangat rapat dengan aku. Kami seperti keluarga. Aku jumpa Fail J semasa mengemas rak pejabat dia beberapa minggu selepas dia meninggal.”
“Adakah kau masih memiliki Fail J?”
“Sudah tentu.”
“Boleh aku tengok Fail J tu?”

Prof. Shah senyum berhelah. “Boleh. Tapi dengan syarat.”



BERSAMBUNG...[42]





Sep 15, 2013

...Sebelum Menutup Mata.


Tahu tak apa yang pernah diungkap oleh seorang kawan?
"Setiap manusia ada personaliti yang berbeza-beza mengikut dengan siapa dia sedang berinteraksi."



Maafkan tajuk yang entahapehape di atas,
tajuk terlebih dramatik barangkali.

Baru-baru ni aku ada tanya kepada seorang kenalan yang baca blog ni.
"Kau rasa aku ni orang yang macam mana?"
Jawapan yang diberi dia buat aku terlopong sekejap. Katanya,
"Kau kelakar, peramah, tapi sebenarnya hati penuh taman bunga."

Aku tak tahu apa yang aku dah buat dalam blog ni sampai tahap dia boleh anggap aku macam tu.
Realitinya,
di luar blog, aku langsung tak kelakar.
Dalam blog pun aku tak rasa aku kelakar. Lawak aku tak menjadi.
Peramah? Tidak.
Aku kalau boleh nak mengelak jumpa kawan-kawan lama masa pergi pasar malam hari sabtu.
Dalam hati ada taman?
Dude. Tak ada satu lagu jiwang pun yang aku hafal.
Aku bukanlah penghafal yang baik.

Kemudian aku berfikir,
begitu juga pandangan aku terhadap kalian.
Artis,
selebriti YouTube,
pelukis komik,
penulis kolum surat khabar,
juga pemilik beberapa blog yang selalu aku kunjungi,
kesemua mereka aku tak pernah jumpa dan kenal di alam nyata.
Jadi, sedar tak sedar,
aku ada bina satu persepsi mengenai personaliti sebenar mereka melalui medium yang mereka sampaikan.
Tulisan dalam blog dan surat khabar.
Lukisan dalam blog dan komik yang di baca.
Juga cara dan gaya mereka berkata-kata dalam TV mahupun YouTube.

Persoalannya,
adakah persepsi aku sama dengan realiti?
Adakah jika si polan A ni aku anggap peramah dan kelakar dalam blog,
bermakna dia juga kelakar dan peramah di alam nyata?

Maka,
dengan itu wujudlah satu senarai dipanggil
'Senarai manusia yang aku mahu berjumpa face-to-face sebelum menutup mata.'

Senarai ini merangkumi pelbagai golongan.
Dari artis antarabangsa, selebriti YouTube, artis tempatan,
hinggalah kepada orang yang kerap komen dalam blog aku ni.
Asalkan dia ada buat sesuatu yang menarik perhatian aku,
ataupun dia kewujudannya memberikan kesan kepada diri aku,
dia akan tersenarai.

Dengar mudah,
hingga huruf ini ditaip, senarai itu hanya seramai 7 orang.

Aku tak akan dedahkan senarai penuh nama manusia yang aku nak jumpa sebelum mati ini.
Tapi aku boleh beritahu satu dua tentangnya.

Mendahului tangga teratas adalah Emma Stone.
Dengar merepek, tapi aku memang nak sangat jumpa Emma Stone.
Salah satu sebabnya, aku nak dengar sendiri suara Emma Stone yang serak-serak seksi tu.
Hehehe...

Salah seorang dalam senarai juga sudah aku jumpa dalam tahun 2008.
Dia memang sebijik dengan apa yang aku bayangkan.

Juga dalam senarai terdapat seorang pelukis komik,
selebriti YouTube yang femes,
beberapa orang artis, ahli politik dan kolumnis,
dan yang baru sahaja ditambah baru-baru ini
seseorang yang selalu komen dalam blog aku ini.

Ianya mungkin kamu.



Sebenarnya, ini semua hanyalah perkara yang trivial.
Tak membawa kesan langsung terhadap diri kalian.
Tapi sebaliknya, ianya sangat berkesan kepada hidup aku.
Aku suka hidup bermatlamat.
Semuanya baru bermula baru-baru ini bila aku rasakan hidup aku menjadi semakin bosan.
Jadi, dengan cara ini, hidup aku boleh dimeriahkan dengan matlamat.
*bunyi memang habis #foreveralone dah mamat ni*

Aku tak rasa ada orang berminat nak berjumpa dengan aku.
Tapi, kalau ada, beritahulah.
Kalau ada ruang, peluang dan rezeki, boleh je kita berjumpa.




.




Sep 11, 2013

Ajaran #23 - Ketagihan adalah Perkara yang Kita Asyik Ulang Walaupun Sedar Keburukannya.



Tahu tak apa itu ketagihan?
Ketagihan adalah perkara buruk yang diulang walaupun diketahui keburukannya oleh si pelaku.




Sering kali kita dengar manusia merungut,
"Nama smartphone, tapi battery tak smart pon. Kena cas setiap malam."
"Bangang punya phone, time urgent camni battery low plak."
"Dude! Bateri sel cucuk duit satu sen dekat lemon pun lagi kuat dari bateri phone ni."
Antara yang kuat merungut pasal hayat bateri untuk phone yang dilabel 'smart' ni adalah AKU.

Tapi,
aku selidik kembali.
Apsal bateri aku selalu cepat habis?
Bila muhasabah diri semasa bertonggeng dalam jamban, aku dapat jawapan.
Ianya sebab banyak sangat game apps yang aku main tiap-tiap hari.

Phone Nokla dulu, aku selalu tibai game lastik burung dan ninja potong buah.
Phone Samseng kali ni pula, aku asyik main game lari atas landasan dan gesek gula-gula hilang.
Kekerapan?
Bila diingat balik, bila aku tak ada kerja (merangkap masa lapang),
aku mesti tekan icon game tu dan main.

Dalam sehari, dekat 50 kali aku rasa aku ulang game lari-lari atas landasan tu.
Sampai tahap sekarang, aku dah pecah record sendiri dengan kedudukan #1, hampir 10 kali ganda beza mata dengan player di tempat #2.
Nasib baik game gesek gula-gula tu ada limit nyawa 5 je, kalau tak sure aku tak berhenti nak main.
Pastu, baru-baru ni aku install plak game makhluk kuning kutip pisang sambil buat huru-hara.
Nampak gayanya, kalau phone aku boleh bercakap, dah lama kena maki dengan dia.
"Get a life you shiftless-nimrod!"

Aku rasa...aku rasa...
aku dah tahap ketagih.
Pantang phone ada dekat tangan, mesti nak tap icon game tu.
Walaupun niat sebenar nak call bomba sebab ada kebakaran jamban depan mata sekalipun,
jari mesti dengan sendirinya TERtekan icon tu.
Habis hangus jamban, baru aku sedar aku tak call bomba dan terlalu asyik dengan game je.
Contoh.

Korang tahu kan tabiat orang zaman sekarang yang suka main handset masa berada di meja makan?
Sampai tahap masa berbual sesama famili pun tak ada. Anti-sosial.
Ada yang sibuk tweet, facebook.
Ada yang sibuk whatapps, wechat, line.
Ada yang berpusing-pusing amik gambar makanan untuk share ala-ala vintage polaroid.
Aku?
Aku sibuk melompat-lompat atas gerabak keretapi kutip syiling.
Memaki hamun bila terlanggar palang atau tertangkap dek si polis berperut buncit.
Akulah tu. Anti-sosial macam bangang.

Sebelum tidur,
patutnya baca doa tidur,
aku pula sibuk letup-letupkan gula-gula sama kaler.
Sibuk nak naik level, kejar member lain.
Bila tak dapat naik level, menjerit macam pondan kena raba.
Akulah tu.

Aku rasa...aku rasa...
aku memang dah tahap ketagih.
Game-game dalam phone ni buat aku jadi tak bercampur.
Jauh dari orang. Jauh dari kawan.
Jauh dari hidupan. Jauh dari kehidupan.
Anti-sosial. Super-skewed-introvert-MOFO.

Aku benci diri aku yang ini.
Aku betul-betul perlukan bantuan dari ketagihan.
Tapi, wujudkan hospital rehabilitasi untuk ketagihan seperti ini?





Yes, please help to kill me.



.




Sep 6, 2013

Vorteks #40 - Masa Bantuan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39]




“Ya, aku yakin.” Wajah Galah tidak sepadan dengan kata-katanya.
“Kau betul-betul yakin dia boleh diharap?” Zul bertanyakan lagi sekali, untuk kepastian.
“Aku tak pernah berurusan dengan dia, tapi lelaki bernama Bawi ni memang terkenal dengan kredibiliti dia dalam mencari stok gadis muda.”
Zul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kata-kata dari Galah tadi langsung tidak meyakinkan. Dia masih ragu-ragu untuk menerima Bawi masuk dalam kumpulan mereka.
“Kalau bukan disebabkan aku sudah ketandusan lubang, aku memang tak nak berurusan dengan si Bawi tu.” Zul kemudian merenung wajah Galah seketika.
“Baiklah. Esok kau bawa aku ke tempat Bawi.”

“Woi! Woi! Bangun!”
Pipi Galah ditampar perlahan berkali-kali. Mimpi? Tidur? Oh, pengsan. Galah dengan berat membuka mata. Kesan hentakan di kepalanya masih berdenyut, sakit. Dia sudah hilang kira, entah berapa banyak kali sudah dia dihentam di kepala sampai pengsan hari ini. Dua kali? Tiga kali? Entah. Apa yang dia tahu, kalau perkara ini berterusan, dia mungkin boleh mati akibat gegaran otak.
Galah membangunkan diri sendiri bermula dengan bertongkatkan siku. Dia baru sedar, mereka berdua masih di dalam hutan.
“Hari semakin gelap. Bahaya duduk dalam hutan malam-malam. Silap-silap kita boleh dibaham sang belang.” Bawi berdiri tegak di sebelah. Selepas berusaha untuk berdiri, Galah baru sedar bahawa dia sudah tidak berkasut dan berpakaian. Hanya seluar dalam ditinggalkan.
“Mana kasut dan baju aku?” keluh Galah.
“Jangan banyak bising. Budak keparat tu dah rampas semua barang kita termasuk pistol dan kasut semasa kita dua-dua pengsan diserangnya. Kita kena keluar dari hutan ni segera.” Dari jawapan itu, Galah menurunkan pandangannya kepada Bawi. Bawi juga tidak berkasut. Agak melucukan apabila ternampak badan Bawi yang gendut dan boroi tidak berpakaian.
“Budak lelaki tu memang berani, pandai. Dengan berbuat begini, pergerakan kita akan lambat dan dia boleh terus bergerak jauh dari kita.” Sambil menggenggam penumbuk, Bawi berkumat-kamit menyumpah seranah buruannya yang terlepas.
“Budak, aku akan pastikan otak kau dijadikan makanan anjing liar tepi jalan.”
Galah mengeluh panjang. Dalam hatinya merungut, kenapalah dia boleh terlibat jauh dengan si Bawi yang tak stabil ni.

Loceng pintu rumah Prof. Shah berbunyi bertalu-talu.
Prof. Shah sedang berada di bilik bacaan, duduk di atas kerusi yang selesa sambil membaca sebuah buku tulisan Stephen Hawking bertajuk ‘A Briefer History of Time’. Dia cuba mengabaikan bunyi yang datang dari pintu rumahnya itu. Sangkanya, jika dibiarkan, segala gangguan yang tidak bermakna akan berlalu begitu saja. Tapi dia salah. Bunyi loceng masih bertalu-talu, malah diserikan lagi dengan hentaman ke pintu yang bertubi-tubi.
“Shah! Aku tahu kau ada di dalam!”
Sayup suara itu menyapa telinga Prof. Shah. Dia mengeluh panjang. Dia kenal pemilik suara itu. Seseorang yang dibenci.
“Ah! Aku patut hire seorang maid.” Prof. Shah meletakkan cermin mata membacanya ke atas meja bersebelahan dengan buku yang sedang dibacanya tadi. Dengan gerak badan malas dia bangun, keluar dari bilik bacaan. “Seorang maid yang muda, cantik dan pakai French maid custome. Perghh!
Prof. Shah menuju ke pintu utama. Loceng masih berulang bunyi. Pintu masih dihentam berkali-kali.

Which part of ‘aku tak nak masuk campur’ yang kau tak faham?” Itu adalah ayat pertama yang keluar dari mulut Prof. Shah selepas membuka pintu. Kelihatan Prof. Erman berdiri dengan dahi berkerut seribu.
“Aku perlukan bantuan kau, Shah.”
Prof. Shah terdiam berdiri memegang pintu. Ini kali pertama dia melihat Erman yang dibencinya selama ini berwajah sebegitu. Risau, penat, berharapan, tiga ekspresi itu bercampur baur untuk membentuk wajah Prof. E sekarang. Pastinya, bantuan yang diperlukan Prof. E adalah penting. Jika tidak, masakan Prof. E sanggup datang seorang diri merayu bantuan dari seorang insan yang diketahui membenci dirinya sepenuh hati.
“Mana Johan?”

“APA? KAU TINGGALKAN DIA DIKEJAR PENJAHAT DI DALAM HUTAN?”
Prof. Shah menghempas belakangnya ke sofa. Kisah yang diceritakan Prof. E di ruang tamu itu terlalu hebat untuk dibayangkan. Bagaikan filem. Tapi, apa yang lebih membeliakkan matanya adalah tindakan Prof. E meninggalkan Johan dan Intan berlari menyelamatkan diri di dalam hutan sambil dikejar si penculik bersenjata.
Prof. E hanya menunduk.
“Aku tiada kuasa. Tiada daya. Apa yang aku boleh buat adalah serahkan tugas menyelamat kepada polis.” Prof. E menjawab perlahan.
“Apa jadi kalau polis terlambat? Bila mereka dapat kejar, Johan dan Intan sudah menjadi mayat?” Tinggi nada Prof. Shah berdebat.
“Habis, kau mahu aku buat apa?”
Persoalan Prof. E tadi tidak terjawab. Prof. Shah sedar, tiada apa yang mampu terbuat oleh Prof. E lagi melainkan apa yang telah dibuatnya. Dua penjahat bersenjata mengejar dua anak muda. Jika ada masuk seorang tua yang tidak berkemahiran ke dalam cerita, maka akan menyusahkan banyak pihak. Polis adalah pilihan terbaik yang ada.
Prof. Shah menghembus nafas panjang. “Kalau aku pun, aku mungkin akan buat perkara yang sama.”
Serentak, kepala Prof. E terangkat. Mendengar Prof. Shah bersetuju dengan tindakannya, dia sedikit lega. Matanya bertentang tepat dengan mata Prof. Shah.
“Tapi aku rasa sebab utama kau datang sini bukan untuk bercerita dengan aku hal itu saja, kan?” Ayat Prof. Shah itu tepat merumuskan segalanya yang terbuku dalam benak fikiran Prof. E.

“Begini...” Prof. E memulakan bicara.
“...walaupun aku sudah berpuluh tahun mengkaji fenomena merentas masa, tapi semua hasil kajian aku hanyalah teori. Teori semata-mata.”
Prof. Shah tersenyum sinis.
“Niat aku...Bukan, janji aku pada Johan adalah untuk menghantar dia balik ke zaman dia, lapan tahun akan datang pada masa fenomena kilat Thor yang seterusnya.”
“Bila?” Prof. Shah potong tanya.
“22 haribulan, malam 23.”
Prof. Shah mengangguk. Prof. E menyambung bicara.
“Macam aku cakapkan, aku hanya ada teori. Tapi aku tahu, kau ada sesuatu yang lebih dari sekadar teori.”
Prof. Shah ketawa kecil.
“Aku tahu. Walaupun kau adalah professor dalam bidang sains hayat, tapi disebabkan kau begitu bencikan aku, kau berazam nak jatuhkan aku, maka kau juga ada jalankan kajian tentang fenomena merentas masa, kan?”
Ketawa Prof. Shah semakin berdekah kuat. “Apa yang kau mahu, Erman?”


“Aku mahu lihat fail sulit kau yang dipanggil Fail J.”



BERSAMBUNG...[41]





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: