Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

May 31, 2013

Vorteks #30 - "Ambillah Masa Fikirkannya."


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29]




Rentas jelajah tanah, Arahjaya berkeluasan 343 kilometer persegi dan merupakan sebuah wilayah yang membangun. Dengan populasi mencecah 1.358 juta orang penduduk, Arahjaya dibahagi kepada lima bandar utama: Bandar Utara, Bandar Selatan, Bandar Barat, Bandar Timur dan Pusat Bandar Arahjaya. Di antara kelima-lima bandar tersebut, Bandar Selatan merupakan bandar yang berpenduduk paling padat, kira-kira 424 ribu orang. Rumah Johan dan kawasan perumahan di mana rumah Prof. Erman dan rumah Intan berada terletak di dalam Bandar Selatan. Pusat Bandar merupakan kawasan paling kurang penduduk, kerana di situ berpusatnya pelbagai bangunan pejabat dan pusat pentadbiran kerajaan termasuk kompleks membeli-belah utama. Lapangan Terbang Utama Arahjaya terletak di selatan Bandar Timur, sebuah kawasan yang luas tetapi dikelilingi dengan ladang kelapa sawit dan hutan belantara.

20 Mac 2004, jam 1036.
Di bahagian selatan Bandar Timur.
Kereta yang dipandu Prof. E sudah sampai di sebuah jalan mati. Di hadapan hanyalah kawasan hijau yang dipenuhi dengan pokok tinggi dan diiringi bunyi unggas.
“Kita sudah di penghujung jalan. Kita jalan kaki, dan di depan sana akan bertemu dengan jalan keretapi. Jalan keretapi itu berhubung terus dengan lapangan terbang untuk tujuan membawa penumpang dan barangan dagangan. Kalau kita bergerak sepanjang jalan keretapi, kita mungkin bernasib baik akan bertemu dengan mana-mana kawasan yang boleh dijadikan tempat persembunyian Intan.” Prof. E memberi penerangan panjang lebar.
Johan sudah berdiri berhadapan dengan hutan yang bakal mereka rentasi dengan memegang pemotong dawai di tangan kanan. Terselit di sebelah kiri pinggangnya adalah pisau pendek bersarung. Prof. E hanya memegang sebatang batang besi panjang.
Dengan tidak mengetahui berapa lama perjalanan mereka sebelum menjumpai kawasan Intan disembunyikan, ataupun dengan siapa bakal mereka hadapi, kedua-dua Johan dan Prof. E mula melangkah masuk ke dalam hutan.

Pada masa yang sama, di rumah Intan yang terletak di utara Bandar Selatan:
Di ruang tamu, selain adanya pegawai polis yang sedang menyiasat tempat kejadian, juga terdapat Encik Ahmad yang sedang memeluk erat isterinya di sisi. Mereka berdua duduk di atas sofa, rapat berpelukan sesama sendiri. Encik Ahmad cuba menenangkan isterinya yang baru sahaja mampu duduk selepas tersedar dari pengsan dipukul penculik. Isterinya masih tidak kering airmata. Encik Ahmad hanya mampu menepuk bahu isterinya berkali-kali, memujuk agar tidak terus menerus menangis. Namun, dalam tenang Encik Ahmad, dia juga menyalahkan dirinya kerana tiada semasa peristiwa itu berlaku. Encik Ahmad kerja di luar bandar. Selepas mendengar berita kejadian, dia dengan pantas meluru pulang tanpa mempeduli berapa besar kerja yang dilakukannya. Padanya, tiada yang lebih besar pentingnya dari keluarga. Kerja boleh dicari, keluarga tiada ganti.
“Aku patut lebih tahu. Keluarga aku dalam bahaya. Aku tak patut tinggalkan mereka.” Hati kecil Encik Ahmad merintih sesal. Kini, anaknya diculik, sedangkan pihak polis masih belum dapat petunjuk siapa pelaku jenayah. Pihak penculik juga belum membuat apa-apa panggilan meminta wang tebusan atau sesuatu seperti itu. Mereka, Encik Ahmad dan pihak polis, jadi buntu.

Kemudian, datang seorang pegawai polis berpakaian preman menghampiri Encik Ahmad dan isteri.
“Encik Ahmad, ada seseorang di luar mahu berjumpa dengan encik. Katanya dia kenalan rapat encik dan dia berkeras mahu membantu. Patutkah saya bawa dia masuk?” jelas pegawai polis itu. Encik Ahmad hanya mengangguk setuju.
Tiada sebarang tekaan dari Encik Ahmad mengenai siapakah tetamu itu. Padanya, biar siapapun dia, itu tidak penting. Apa yang penting, dia perlukan seseorang yang boleh memberi perkembangan.
“Ahmad, apa khabar? Sihat?”
Suara itu membuatkan Encik Ahmad laju memalingkan kepala ke arah empunya. Isterinya di sisi juga terkejut dengan reaksi suaminya, juga memaling ke arah suara itu datang.
Suara itu milik kenalan perniagaan Encik Ahmad, lebih tepat, musuh perniagaannya, Encik Alex.
“Encik Alex!” Kata-kata Encik Ahmad termati. Dia tidak dapat respon alasan khusus kenapa musuh perniagaannya kini berada di depan mata di saat keluarganya ditimpa musibah.
“Janganlah ber’encik-encik’ dengan saya. Panggil saja Alex.”
Tepat mata Encik Ahmad bertembung dengan mata Encik Alex. Encik Ahmad masih tidak dapat fikirkan alasan dan niat sebenar Encik Alex. Apa yang dia boleh ingat adalah ayat terakhir Encik Alex lemparkan kepadanya di pertemuan terakhir mereka beberapa hari lalu.
Aku akan pastikan kau terima padahnya, berkali ganda.

“Boleh kita bercakap berdua?” Encik Alex merujuk kepada kehadiran isteri Encik Ahmad di sebelah. Setelah memujuk seketika, Encik Ahmad bangun dari sisi isterinya dan bersama Encik Alex ke satu sudut di hujung ruang tamu di mana jauh dari mana-mana orang ketiga.
“Saya ada dengar anak awak diculik.”
Saya? Awak? Sejak bila si Alex ni pandai berbudi bahasa.
“Saya faham sedihnya perasaan anak diculik. Jadi, saya datang nak tolong.”
“Bagaimana?” balas Encik Ahmad, pendek.
“Macam ni... Tapi awak kena diam-diam, tak boleh beritahu orang lain, terutamanya polis.”
“Bagaimana?”
“Macam ni... Saya ada kenal beberapa orang besar dalam kumpulan sindiket sekitar sini.”
Kenyataan itu membeliakkan mata Encik Ahmad.
“Kalau awak nak, saya boleh minta tolong mereka carikan siapa yang culik dan lepaskan anak awak dengan selamat. Kalaulah awak nak...”
Berurusan dengan orang licik dan berniat jahat seperti Alex ini selalunya bukan percuma.
“Jadi, what’s in it for you?”
Soalan terus dari Encik Ahmad itu menguntumkan senyuman di bibir Encik Alex.
“Saya hanya berharap awak dapat lepaskan projek shopping mall yang kita bersaing sebelum ini, dan serahkan sepenuhnya kepada syarikat saya.”
Tidak syak lagi, si Alex ni memang licik macam ular.
“Awak kena tahu, berurusan dengan ketua sindiket jenayah bukan sesuatu yang mudah dan murah. Kita sama-sama, semua ada kepentingan. Yang penting tak melibatkan polis, ya.” Tangan Encik Alex naik ke bahu Encik Ahmad, memegang seperti akrab dua rakan baik, kononnya. Jelas Encik Ahmad tidak selesa.
“Jangan risau. Ambillah masa fikirkannya. Tapi, lagi lama awak tangguh, lagi susah nak pastikan anak awak dalam keadaan selamat.”

Selepas menepuk bahu Encik Ahmad beberapa kali, Encik Alex berjalan menuju ke pintu. Semasa berlalu di sebelah isteri Encik Ahmad yang sedang duduk di sofa, Encik Alex sempat senyum sambil menunduk sedikit kepada isteri Encik Ahmad. Isteri Encik Ahmad juga membalasnya.

Encik Ahmad berdiri di hujung penjuru ruang tamu dengan dua jari telunjuk dan ibu jari memicit ruang antara dua matanya. Macam-macam yang difikirkannya. Tetapi, ultimatumnya adalah pilihan antara anaknya, Intan dengan projek mega pembinaan kompleks membeli-belah yang menjadi impiannya sejak dari dulu lagi. Pilihannya jelas, tapi disebabkan pilihan itu datang dari seseorang seperti Alex, Encik Ahmad terpaksa berfikir sedalam-dalamnya.



BERSAMBUNG...[31]




May 10, 2013

Vorteks #29 - Dalam Masa Kurang 40 Minit.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28]





Angin laju yang masuk melalui celah tingkap kereta yang terbuka sedikit menyeluarkan bunyi seperti siulan yang panjang. Namun, perkara itu bukanlah kerunsingan utama yang berada di minda kedua-dua Prof. Erman dan Johan. Mereka berdua kini berada di dalam kereta yang laju meluncur di atas lebuhraya dalam kelajuan 100 kilometer sejam. Kedua-dua mereka fokus dengan apa yang sedang dilakukan masing-masing. Prof. E sedang memandu, manakala Johan duduk di sebelah, sedang gigih menelaah peta yang dibekalkan Prof. Shah sebentar tadi.
Dengan kelajuan seperti ini, mereka berdua akan sampai ke tempat yang dituju dalam masa kurang 40 minit.

Walaupun Prof. E kelihatan fokus dalam permanduannya, tetapi dia sebenarnya sedang gigih memikirkan sesuatu.
Hari ini 20 haribulan. Aku kena pastikan segalanya berjalan lancar sebelum 22 haribulan memandangkan kilat Thor yang seterusnya adalah pada malam 23 itu. Ada beberapa data yang perlukan kepastian. Aku kena selesaikan segera. Kalau aku terlepas malam 23 itu, maka Johan tidak dapat pulang ke masa depan. Kilat Thor seterusnya adalah pada 8 tahun akan datang, kemungkinan itu adalah tarikh dia disambar sebelum ni. Aku kena lengkapkan semua data kajian aku, supaya usaha aku selama berpuluh tahun ini tidak sia-sia. Aku juga kena pastikan tiada dua Johan dalam satu masa sama. Ianya bakal menyusahkan semua orang, termasuk kemungkinan mengganggu perjalanan aliran masa.
Begitulah seorang professor. Begitu mementingkan kajian. Namun, Prof. E sendiri sedar, kewujudan Johan banyak membawa perubahan kepada dirinya. Terlalu banyak perkara yang perlu dia lihat kembali, terutamanya keutamaan antara kajiannya dengan keluarga yang telah meninggalkannya.

“Johan.” Prof. E memulakan bicara.
“Kita akan berhenti di sebelah barat Lapangan Terbang Utama Arahjaya dan jalan kaki menyusuri tepi landasan keretapi. Kalau terjumpa pondok atau rumah yang mencurigakan, kita akan sahkan itu adalah tempat Intan disorok, kemudian kita akan buat panggilan kepada polis supaya mereka boleh datang serbu.”
Anonymously?” Johan bertanya. Prof. E memusingkan kepala memandang Johan.
“Ya. Anonymously. Lebih baik kita tak terlibat dengan polis..”
“..memandangkan saya ni orang yang tak sepatutnya wujud dalam zaman ini, memang adalah terbaik kalau kita berdua, terutamanya saya, tidak terlibat dengan polis,” Johan memotong dan menyambung kata-kata Prof. E. Johan memandang Prof. E dan tersenyum.
“Saya faham. Walaupun pada saya, kedatangan saya ke sini memang ada tujuannya sendiri, tapi saya tak patut untuk terus berada dalam zaman masa ini. Jadi, saya percaya 100% Prof mampu untuk hantar saya pulang ke masa depan.  Boleh, kan?”
 “Sudah tentu. Kau sedang bercakap dengan orang yang sudah habiskan masa hidupnya mengkaji fenomena merentas masa.” Prof. E tergelak kecil.
Kemudian, mereka berdua berdiam seketika. Bunyi angin seperti siulan menutup suasana sunyi.

“Sebenarnya...”
Prof. E memandang Johan yang sedang mahu mula bicara.
“...sekarang, perasaan untuk menyelamatkan seseorang yang penting membuatkan saya berkobar-kobar. Perasaan menjadi sebahagian dari sejarah untuk seseorang yang bakal mengubah masyarakat, membuatkan saya jadi bangga.” Johan senyum.
“Intan begitu penting, huh?”
“Di masa saya, dia dikenali sebagai Hani. Sebelum ini, kita hanya menganggap golongan selebriti dan artis hanya sekadar bertujuan menghibur. Ada juga di kalangan mereka yang dipandang hina dek kerana kerjayanya. Tapi, kewujudan Hani menyangkal semua itu. Dia adalah ikon. Dia telah mengubah persepsi masyarakat terhadap golongan seperti dia. Dia sudah buktikan, siapa sahaja, tak kira status atau taraf kedudukan, mampu terus mengejar cita-cita dan berjaya.”
Prof. E tersenyum.
“Kalau kita berdiam diri dan tidak pergi menyelamatkan Intan, saya pasti masa depan akan berubah. Entah bagaimana masa depan tanpa Hani yang bakal saya pulang.”
“Bukan, maksud aku, Hani tu, begitu penting bagi kau, huh?”
Johan memusingkan kepalanya laju ke arah Prof. E. Mukanya jadi merah. Prof. E tersenyum.
“Bila kau bercerita tentang Hani, muka kau jadi berseri-seri. Kau juga begitu semangat nak selamatkan Intan dari diculik, seolah-olah itu memang adalah tanggungjawab kau. Kau seperti tak takut kalau hilang nyawa.”
Johan hanya menunduk, senyum.
“Jadi, Hani begitu penting pada kau, huh?”
Johan mengambil masa untuk menjawab soalan itu.
“Memang betul saya ada simpan perasaan terhadap Hani. Secara peribadi, saya antara orang yang terkesan dengan bawaan positif yang dia sebarkan. Saya berubah keras menuju kepada impian saya menjadi doktor. Tapi..” Johan berdiam, mematikan ayat.
“Tapi apa?”
“Macam mana nak cakap. Hmm.. Prof takkan tak pernah ada perasaan terhadap artis kegemaran atau mana-mana selebriti?”
Prof. E memandang ke atas mengingati sesuatu. “Aku pernah suka dengan pembaca berita radio masa sekolah rendah dulu. Tapi bila aku nampak muka sebenar dia, aku terus tak suka.”
Serentak, kedua-dua Prof. E dan Johan tergelak besar.
“Hani lain. Dari wajah, suara, perwatakan, semuanya mampu menarik hati sesiapa sahaja. Sebab itulah, saya tahu, bukan saya saja yang suka pada dia. Mungkin beribu...tidak, beratus ribu lagi lelaki yang sukakan dia. Maka, kebarangkalian untuk saya mungkin lebih rendah dari dijangkiti penyakit smallpox.”
Now, you are talking like a medical student.”
Sekali lagi, mereka berdua tergelak besar bersama-sama.
Selang beberapa saat selepas gelakan mereka reda, Johan mengeluh panjang.
“Kenapa mengeluh?” tanya Prof. E.
“Hmm... Bergelak ketawa dengan Prof mengingatkan saya dengan bapa saya. Entahlah, saya tak sangka saya akan cakap begini, tapi saya rasa saya rindu dengan mereka. Ibu dan bapa saya.”
Prof. E menguntum senyuman. “Aku pun, Johan. Aku pun.”
Johan bingung. Apa maksud ‘aku pun’? Prof. E pun rindukan ibu bapa aku? Atau dia rindukan ibu bapa dia? Entahlah.
Johan hanya berdiam diri. Dia tidak mahu mempersoal kata-kata Prof. E tadi.

Prof. E masih tersenyum.
Walau apapun yang bakal berlaku, aku berjanji, aku akan hantar budak ni balik ke masa depan, balik ke zaman dia. Beberapa hari ni, dia banyak mengubah aku ke arah yang lebih baik. Dia sudah memberi cahaya harapan kepada kajian aku yang selama ini buntu. Dia sudah membuatkan aku kembali mempersoal apa yang sudah aku buat selama ini sama ada berbaloi atau tidak, dan persoalan itu adalah baik. Dia sudah mambuatkan aku berbaik semula dengan Shah, walaupun tidak sepenuhnya. Dia sudah membuatkan aku kembali terkenang saat berseronok bersama yang tersayang. Bergelak ketawa tanpa merunsingkan fikiran. Dia sudah membuatkan aku rindu.
Aku rindukan keluarga aku. Anak dan isteri aku. Terima kasih, Johan.
Aku janji, aku akan hantar kau balik ke masa depan.




BERSAMBUNG...[30]





May 3, 2013

Vorteks #28 - Masa Untuk Menyelamat.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27]





Lampu sorot masih tepat memancarkan cahaya dari ruang atas bilik studio ke wajah Hani. Namun, studio yang sebelum ini riuh dengan suara penonton di kerusi dan staf yang berlari-lari di belakang pentas, kini sunyi. Setiap pasang mata khusyuk tertumpu kepada Hani di hadapan pentas. Mereka semua terkejut dengan pengalaman pahit yang dialami selebriti nombor satu negara itu. Siapa sangka, di sebalik wajah ceria Hani, terdapat ruang hitam berisi pengalaman pahit.
“Ini akan menjadi rancangan temubual yang bakal mencatat sejarah jumlah tontonan.” Penerbit rancangan sedang tersenyum kepuasan di bilik suntingan.

“Jadi, Hani. Sudah tentu Hani terselamat dari peristiwa itu. Jika tidak, Hani tidak mungkin dapat berada di sini, kan?” Hos rancangan sedang memainkan peranan.
“Ya. Saya selamat dan sihat.” Hani ketawa kecil.
“Dalam peristiwa itu, perkara apa yang paling terkesan kepada Hani sampai sekarang?” Soalan itu menamatkan senyuman di wajah Hani, seperti ada sesuatu yang terus muncul di benak fikirannya sejurus selesai disoal.
“Selama saya terikat dan dikurung dalam bilik kecil itu, berkali-kali saya terdengar deruan enjin kapal terbang yang terbang rendah dan keretapi yang melintas lalu. Kadang-kadang serentak. Kadang-kadang berselang seli. Kadang-kadang sunyi sepi.”
Hos rancangan mengangguk.
“Sehingga kini, bila saya terdengar bunyi keretapi melintas, ataupun enjin kapal terbang yang melintas rendah, saya akan terfikirkan pengalaman terkurung dan terikat di dalam bilik yang dikawal oleh lelaki-lelaki durjana.”
“Adakah Hani trauma?”
“Ya? Maafkan saya?” Hani meminta soalan diulang kerana tidak jelas.
“Bunyi keretapi dan enjin kapal terbang. Adakah Hani trauma bila terdengar dua bunyi itu?”
Hani tersenyum kembali.
“Pada mulanya, memang saya trauma. Tapi, apa yang berlaku selepas itu membuatkan saya tidak mengambil rasa takut dan trauma sebagai sesuatu yang mengganggu hidup. Saya mampu untuk terus tersenyum.”
“Apa yang berlaku selepas itu?”


20 Mac 2004, jam 0836.
“Johan. Johan. Bangun.”
“Johan. Buka mata. Sedarkan diri.”
Prof. Shah menepuk bahu Johan berkali-kali untuk sedarkan Johan dari keadaan hipnosis. Johan masih keras dan tidak sedarkan diri. Darah merah mengalir perlahan dari lubang hidung sebelah kanannya.
“Dia okey tak ni?” Prof. Erman yang berada di belakang Prof. Shah kelihatan risau.
“Sampai berdarah hidung. Kejutkan dia. Buat sesuatu.”
“AKU TENGAH CUBA KEJUTKAN DIA. KAU JANGAN BISING.” Prof. Shah meninggikan suara. Peluh meleleh dari rambut jarang miliknya. Jelas, Prof. Shah panik.
“Inilah risiko yang aku katakan. Dia boleh hilang minda kalau dibiarkan berterusan.”
Prof. E mengeluh panjang. “Ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
“Dan ini juga tidak patut berlaku.” Prof. Shah mengangkat tinggi tangan kanannya dan kemudian menghayunkannya kuat ke pipi Johan sehingga menyebabkan Johan tersungkur jatuh dari kerusi ke atas lantai. Prof. E tergamam.

“SAKIT!” Johan yang terbaring di atas lantai, menggosok-gosok pipi kirinya. Dia lihat tapak tangannya yang menggosok tadi. “Darah. Takkan sampai berdarah saya kena tampar?” sambil menunjukkan tapak tangannya yang terdapat kesan darah kepada Prof. Shah dan Prof. E.
“Kau dah sedar. Baguslah. Kami ingat kau dah hilang!” Prof. E memegang bahu Johan, dan ditolongnya Johan untuk berdiri semula.
“Tapi, darah...”
“Itu darah dari hidung kau. Kau dah masuk alam separa sedar terlalu lama sampai berdarah hidung. Nyaris kami tak boleh nak kejutkan kau tadi.” Prof. Shah menjelaskan keadaan.
“Jadi, kau ditampar dengan kuat supaya tersedar dari terus hilang.”
“Aku rasa, tampar tu bukan dalam prosedur, kan?” Prof. E memandang Prof. Shah dengan wajah sinis. Prof. Shah hanya berdengus panjang sambil menarik muka kelat.
“Sebenarnya, aku tak sangka prosedur hipnosis ciptaan aku ni boleh berjaya.” Johan dan Prof. E menguntum senyuman.
“Lagi aku tak sangka, si Johan ni rupanya betul-betul orang dari masa hadapan.”
“Aku sendiri pun ada keraguan tentang Johan ni,” Prof. E mencelah. “Tapi rasanya, aku percayakan dia seratus peratus sekarang.”
Johan tersenyum.
“Apa yang penting, kita dah dapat maklumat yang mampu bantu kes penculikan Intan.” Johan menyapu darah yang sudah berhenti meleleh dari hidungnya.
“Ya. Bunyi enjin kapal terbang melintas rendah dan keretapi berlalu.”

Beberapa minit kemudian, Prof. Shah keluar dari bilik bacaannya dengan membawa peta di tangan. Dia pergi ke ruang tamu untuk menyertai Prof. Erman dan Johan.
“Ini peta Arahjaya. Dengan beranggapan penjenayah tak keluar dari Arahjaya, kita boleh pinpoint kebarangkalian tempat budak perempuan tu disorok.” Prof. Shah membentangkan peta di atas meja tengah ruang tamu. Johan dan Prof. E duduk merapati meja.
“Bunyi kapal terbang terbang rendah bermaksud tempat Intan disorok berada berdekatan dengan landasan lapangan terbang. Manakala, bunyi keretapi melintas bermaksud ada landasan keretapi berdekatan bersebelahan dengan tempat itu.” Prof. E berfikiran logikal.
“Lapangan Terbang Utama Arahjaya berada di selatan Bandar Timur. Memang ada laluan keretapi di situ, untuk tujuan penghantaran kargo dan pengangkutan awam.” Johan hanya mengangguk mendengar keterangan Prof. E itu.
“Berdasarkan maklumat ini, since Arahjaya ada satu saja lapangan terbang, apa yang polis perlu buat adalah pergi periksa setiap rumah kosong yang boleh dijadikan tempat sorok di sepanjang landasan keretapi dalam lingkungan kawasan lapangan terbang.” Prof. Shah pula bersuara.
Johan dan Prof. E berpandangan sesama sendiri.
“Shah.” Prof. Shah memandang Prof. E yang memanggilnya.
“Johan datang dari masa depan. Jadi, agak susah kalau dia terlibat dengan polis. Dia tiada ID, tiada pengenalan diri, malah Johan sebenar pada masa ini masih berada di bangku sekolah.”
“Jadi?”
“Aku harap kita tak libatkan polis. At least bukan dalam masa sekarang.”
“Jadi, apa yang kau nak cadangkan?”
Kedua-dua Prof. Shah dan Johan menunggu jawapan dari Prof. E.
“Aku rasa, kita siasat dulu di mana tempat sebenar Intan disorok. Bila sudah ada kepastian, kita hubungi polis sebagai anonymous. Dengan begini, kita semua tak terlibat secara langsung dengan polis.” Prof. E menjelaskan. Johan berdiam diri.
“Bahaya. Aku tak nak campur. Aku hanya boleh tolong sampai sini saja. Aku tak nak mati di tangan penculik amatur.” Prof. Shah duduk bersandar di sofa.
Johan dan Prof. E, sekali lagi, berpandangan sesama sendiri.

“Tak apa, Prof. Shah. Bantuan Prof dengan hipnosis tadi pun sudah banyak membantu.” Johan menggulungkan peta dan memegangnya di tangan kanan.
“Mari Prof. E. Masa untuk menyelamat. Kita ke selatan Bandar Timur.”




BERSAMBUNG...[29]





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: