Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 22, 2013

Vorteks #24 - Masa Lalu Dua Professor.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23]





Lelaki dengan kot makmal putih berjalan laju di koridor bangunan universiti. Matlamatnya hanya satu; MARAH.
Prof. Erman sedang duduk mengadap mejanya sambil ditemani timbunan kertas kerja projek pelajarnya. Dia membetulkan cermin matanya sambil dengan teliti membaca setiap perkataan yang tertulis pada kertas ditangannya. Kadang-kala, berdengus angin keluar dari hidungnya dek kerana bahan bacaannya itu. Almaklum, hasil kerja pelajar universiti setahun jagung.
Tiba-tiba pintu biliknya dibuka kasar. Prof. E mengalih pandangannya ke pintu, terkejut. Kelibat lelaki memakai kot makmal putih berdiri di pintu dengan bahu meninggi menahan marah.
“Apa masalah kau dengan aku, Erman?” tegas lelaki itu dengan nada tinggi.
“Maaflah, Prof. Shah. Aku tak berapa faham.”
Seluruh otot muka lelaki yang digelar Prof. Shah itu menumpu ke tengah wajah. Kedua belah tangan dia digenggam erat sampai menggeletar. Dia betul-betul sedang marah. Marahkan lelaki di depan matanya itu.
“Aku tahu, kau salah satu panel penasihat bagi projek kajian aku itu, kan?”
“Projek yang mana?”
“Jangan buat tak tahu. Projek kajian hipnosis dan minda separa sedar aku.”
“Oh, yang itu! Memang aku salah seorang panelnya.”
Prof. Shah menghampiri meja kerja Prof. E. Dengan satu genggaman penumbuk, dia menghempas meja itu tanda tidak puas hati.
“Permohonan dana bantuan dari universiti ditolak, semua mesti kerja kau, kan?” Tepat jari Prof. Shah menuding ke arah Prof. E. Prof. E terasa sedikit terancam, namun dia masih kekal kelihatan tenang.
“Shah, kau bukan tak tahu. Kalau permohonan kau ditolak universiti, itu bukan salah aku. Walaupun aku panel, tapi bukan aku seorang saja.” Prof. E cuba menenangkan rakan sekerjanya itu.
“Kalau bukan kau siapa lagi? Projek itu diterima baik dalam kertas kerja. Bila aku minta dana bantuan, terus ditolak seolah-olah ianya hanya projek sampah. Kau memang dari dulu dengki dengan aku. Kau nak rampas semua yang aku ada.”
Prof. E bangun dari tempat duduknya dan menuju ke tepi meja.
“Aku rasa, kau bukan marah sebab projek ditolak semata-mata. Kau marah dengan aku sebab hal personal, kan?”
Tepat. Wajah Prof. Shah berubah setelah mendengar kata-kata Prof. E itu.
“Soal jodoh dan kisah lalu, apa kata kita jangan ungkit sekarang. Kita masing-masing professional. Aku rasa, dari kau terus-menerus tuduh aku yang bukan-bukan, lagi bagus kau betulkan cadangan kertas kerja projek kau tu supaya akan datang tidak akan ditolak lagi.”
Prof. Shah terdiam. Tapi wajahnya sedikitpun tidak berubah. Masih bengis, berang dan menakutkan.
“Kau siap! Aku berdendam, Erman. AKU DENDAM!”
Prof. Shah keluar dari bilik itu tanpa menutup pintu. Prof. E menarik nafas lega melihat segala-galanya selesai, paling tidak, buat masa itu.

20 Mac 2004, jam 0700.
“Jadi, Prof dengan Prof. Shah ni memang tak pernah berbaik?” Johan bertanya kepada Prof. E yang sedang memandu di kanan. Mereka berdua di dalam kereta, sedang dalam perjalanan ke rumah Prof. Shah.
“Boleh kata macam tu. Aku tak pernah bermusuhan dengan dia, tapi banyak peristiwa yang membuatkan kami semakin renggang dan salah faham sesama sendiri.”
“..dan macam mana Prof. Shah dan hipnosis boleh membantu?”
“Pada aku, Shah adalah yang terbaik. Kertas kerja dia mengenai projek kajian hipnosis dan minda separa sedar dia sangat mengagumkan. Aku yang merupakan panel penasihat setuju untuk projek itu diberikan dana, tapi malangnya universiti anggap ianya satu pembaziran.
Biasalah. Kebanyakan institusi pendidikan menganggap projek yang melibatkan kajian yang kurang menonjol keberhasilannya tidak patut diberi dana. Dana tajaan lebih banyak digunakan ke arah menambahkan cabangan hubungan dengan pelabur lain. Dengan kata lain, duit bermain golf bersama orang besar lebih penting dari pembangunan penyelidikan.

Mereka sampai di halaman sebuah rumah banglo dua tingkat. Sayup kedengaran gesekan biola sebuah muzik klasik dari dalam rumah tersebut. Prof. E dan Johan keluar dari kereta dan menuju ke arah pintu utama.
Loceng di pintu dibunyikan. Bunyi alunan muzik klasik yang kuat dari dalam diperlahankan. Kedengaran bunyi tapak kaki menghampiri.
“Lebih baik kalau kita tidak berada di dalam pandangan mata tinjau pintu ni.” Prof. E dan Johan masing-masing bergerak rapat ke tepi pintu. Selepas bunyi beberapa selak digerakkan, pintu terbuka. Ada kelibat lelaki pertengahan abad meninjau.
 “Hello, Shah.” Prof. E menegur.
Prof. E dan Johan dilihatnya sedang berdiri di luar pintu. Prof. Shah sedikit keliru. Namun, wajahnya bertukar menjadi marah. Terus dihempasnya pintu sehingga tertutup.
Prof. E menghampiri pintu dan cuba memujuk.
“Shah. Aku datang nak minta tolong ni...”
“PERGI!” Suara Prof. Shah kuat menjerit dari dalam.
“KAU TAK PATUT ADA DI SINI!”
Keras suara Prof. Shah menengking dari dalam. Kemudian, kedengaran muzik klasik yang tadi diperlahankan kembali dideraskan, malah, lebih kuat dari sebelumnya.

Johan kebingungan.
Kenapa Prof. Erman dengan Prof. Shah kelihatan saling membenci?
“Inilah masalah yang aku bimbangkan. Kami memang tak sebulu dari dulu lagi,” jelas Prof. E.
“Jadi, apa sebenarnya masalah peribadi antara Prof dengan Prof. Shah?”
Pertanyaan Johan itu mengubah raut wajah Prof. E.
“Sebenarnya, peristiwa itu sudah lama. Sudah lebih 20 tahun berlalu.”
“Apa masalahnya?”
“Hm...Bagaimana aku nak cakap...Sebenarnya...”
“Sebenarnya apa?”
“Hm...Sebenarnya, 25 tahun dulu, aku kahwin dengan tunang dia. Isteri aku bekas tunang Prof. Shah.”

Johan terdiam. Segalanya sudah difahami. Kenapa Prof. Shah bencikan Prof. E. Kenapa Prof. Shah sentiasa berfikiran buruk terhadap Prof. E. Semuanya sudah difahaminya.
Masalah orang dewasa memang rumit.
Prof. E tidak berputus asa. Dia menekan loceng pintu bertalu-talu dengan niat akan membuatkan Prof. Shah membukakan kembali pintu untuk mereka.
Jangkaan Prof. E memang tepat. Pintu kembali dibuka. Namun yang menanti di sebalik pintu bukan sesuatu yang dijangka.
Prof. Shah berdiri kukuh sambil mengacukan senapang patah ke arah Prof. E. Kedua-dua Prof. E dan Johan terkejut dan terkaku. Mereka berdua mengangkat kedua belah tangan tanda menyerah.

“Shah, sabar. Kau boleh tembak aku mati, tapi biar kami cerita dulu apa niat kami datang sini.”




BERSAMBUNG...[25]





Mar 17, 2013

Rambut Oh Rambut #4 [Diari Rambut Ahad]


Tahu tak apa masalah yang aku hadapi setiap masa?
Masalah rambut.


Nanti, jangan salah faham.
Bukan masalah rambut macam dalam TV tu, yang rambut gugur botak tnegah atau rambut bercabang kena pakai rawatan stim tu.
Masalah rambut aku ialah, TAK IKUT KATA!



Di atas adalah gambaran 'aku' yang aku gunakan dalam blog ni.
Bila aku tengok lama-lama, dia memang sama dengan aku in real life.
Cuma tang warna kulit tu, aku terlebih sikit melanin,
dan aku tak ada baju-T lengan panjang warna kuning.
Rambut lebih kurang, tapi masalahnya,
rambut tu aku bukan dapat sepanjang masa.
Kebanyakan masa aku dihinggapi dengan rambut yang kembang.

Di bawah adalah diari rambut aku sepanjang hari ahad minggu lalu:




Ya.
Rambut aku yang paling awesome akan aku dapat hanya sebelum tidur.
Waktu lain, semuanya tak ikut kata.

Aku marah dengan rambut sendiri.


postquam-scriptum:
Hari jumaat lepas, aku potong rambut.
Bila aku kata "potong sikit je", hairdresser tu pergi tebas sampai pendek.
Sekarang, rambut aku macam model contoh potongan rambut pelajar sekolah menengah dalam buku tatatertib dan adab pemakaian uniform sekolah.
Marah.



.




Mar 13, 2013

6 Cara Komuniti Atas Talian Untuk Nampak Lantang dan Hebat.


Tahu tak apa yang aku suka, dalam masa sama, aku benci?
Internet.



Aku suka internet.
Kalau kena pindah rumah, perkara pertama aku cari ialah internet.
Aku suka internet sebab ilmu yang aku boleh dapat di dalamnya.
Paling aku suka, YouTube.

Tapi internet bukan seindah yang disangka.
Ada perkara yang aku benci, ada pada internet.
Iaitu pengguna internet.

Kebanyakan dari mereka lantang, kasar dan biadab.
Semua jadi besar hanya kerana berada di sebalik nama samaran.
Mereka caci sana sini, mereka kutuk sesama sendiri.
Mereka reka cerita, fitnah, dusta dan tipu.
Mereka salah guna kebebasan dalam talian untuk buat onar.

Tapi aku tahu, tak semua begitu.

Berikut adalah ENAM gelagat sebilangan besar pengguna internet
terutamanya dalam laman sosial yang berlambak sekarang ni.
Mereka mahu kelihatan hebat dan lantang,
sedangkan mereka masih berselindung di sebalik nama samaran.
Macam aku.


Yang aku nampak, kalau seseorang tu nak nampak hebat,
dia selalu guna jargon.

Jargon adalah istilah-istilah yang sofistikated dan hanya difahami sesetengah golongan sahaja.
Seperti contoh macam terminologi dalam bidang perubatan, kejuruteraan, dan juga perniagaan.

Dengan menggunakan jargon, golongan yang membaca akan sedikit sebanyak menganggap kita lebih berilmu dan lebih hebat sedangkan kadang-kadang apa yang nak disampaikan adalah mudah dan remeh, di mana bahasa biasa juga boleh digunakan.
Banyak orang terlebih guna jargon sehingga apa yang nak disampaikan tersekat.

Di luar formaliti, sila elakkan guna jargon.




Masyarakat tempatan kita juga ada satu tabiat pelik.
Tiap kali nak tekankan sesuatu perkara, mereka suka guna bahasa inggeris.

Timeline twitter aku penuh dengan orang sedemikian.
Pedulikan grammar, asalkan dibaca sedap, sudah memadai.
Kadang-kadang, yang membacanya pun tak dapat tangkap apa yang nak disampaikan.
Bila ditanya kenapa tak guna BM je,
akan dibalas dengan "aku nak praktis BI"
"Itu tuntutan masa kini."
"Aku tak tahu perkataannya dalam BM."

Mentaliti kita beranggapan dengan menggunakan BI,
kita akan dipandang tinggi, lebih tinggi dari bahasa sendiri.
Cubalah cakap macam tu dengan masyarakat dari Jepun, Jerman atau Perancis.
Mereka merupakan negara maju, tapi bahasa mereka tetap bahasa ibunda.



Satu lagi yang selalu aku tengok ialah
PENGGUNAAN CAPLOCK.

Aku tak kisah kalau sekali sekala digunakan dalam ayat untuk TEKANAN ISI YANG NAK DISAMPAIKAN,
TAPI,
KALAU DAH SAMPAI TAHAP SETIAP PERKATAAN KAU NAK GUNA HURUF BESAR,
MACAM SAKIT OTAK PON ADA.

BILA KITA GUNA HURUF BESAR, AUTOMATIK SUARA DALAM KEPALA KITA YANG DIGUNAKAN UNTUK MEMBACA AKAN JADI TINGGI SEDIKIT.
ITU KESAN HURUF BESAR KEPADA KITA.

JADI,
KALAU DAH SEMUA HURUF KAU GUNA HURUF BESAR,
KAN KE DAH MACAM TENGAH MENJERIT DALAM KEPALA SENDIRI.
(SUKA TAK SUKA TAK AKU GUNA SEMUA HURUF BESAR ALA-ALA BLOG AZWAN ALI?)



Ini lebih kepada nak tunjuk hebat
(dalam bahasa eloknya: kongsi ilmu)

Ramai sangat suka petik quote yang entah dari mana dapat pun tak tahu.
Kadang-kadang, macam tak masuk akal pun ada.
Kau pilih seorang tokoh, kau reka satu ayat yang sedap didengar,
pastu kau postkan dengan harapan orang yang baca akan kagum dengan kau.

Cuba (kalau banyak masa) kaji dulu asal usul quote tu.
Entah betul ke tidak datang dari tokoh yang dinyatakan.

Ada satu trend dalam FB sekarang ialah
suka quotekan ayat-ayat nasihat dari Ustaz.
Tulis lawa-lawa berlatarbelakangkan muka ustaz berkenaan,
pastu letak nama dan post
dengan harapan orang yang tengok akan share.

Masalahnya, kalau apa yang ditulis tu SALAH,
sekaligus kita sedang menyebarkan fahaman dan ajaran yang salah.
Dosa free tau...



Lagi satu yang menjengkelkan adalah penggunaan statistik.
Buat ayat fakta panjang-panjang, pastu letak satu dua angka yang menunjukkan (konon) kesahihan fakta tersebut.

Dah terlalu banyak dah orang salah guna statistik ni,
sampai ke tahap apa sahaja fakta dengan statistik yang dikongsikan
semua aku tolak.
Dari mana entah diorang dapat fakta macam tu..
Sekadar reka-reka, aku pun selalu buat.
(keyword: SELALU)

Agak-agak, mesti sedih para ahli statistik di luar sana.
Ye laa, diorang penat-penat belajar dan kaji siang malam untuk sahihkan fakta,
orang lain sedap-sedap je reka,
letak nombor, peratus dan anggaran sana sini.



Last but not least adalah favorite aku. Sarkastik.
Semua orang suka keluarkan ayat-ayat sarkastik,
tapi tak semua orang suka menerima ayat-ayat tu balik.

Kalau korang jenis yang cepat melenting, cepat terasa dengan ayat sarkastik,
sila jangan bagi ayat sarkastik kepada orang lain.
Sendiri tak boleh terima, sendiri nak buat kat lain.
Kan ke pelik macam tu...

Sarkastik ni sampai tahap boleh buat gaduh putus kawan oo...
Ada seorang kawan aku dah tak bertegur sape hanya sebab aku gunakan sarkastik dulu.
Padahal, aku tak tujukan kepada dia pun.

Sebab tu orang kata,
sarkastik ni macam baling cirit.
Yang dituju tak tepat, tapi yang lain juga kena.
Yang pasti, kita pun dapat juga habuan.
Hati-hati dengan ayat sarkastik anda.


xxxxxx

Aku pasti, paling kurang korang mesti ada pernah kenal atau buat mana-mana satu daripada 6 peel orang dalam internet yang cuba nak nampak hebat dan lantang ni, kan?
Aku pun ada buat, tapi aku tak suka akan semua outcomenya.
Makin hari, aku makin muak dengan perangai manusia dalam alam atas talian ni.

Walaupun hanya impian,
aku berharap internet boleh menjadi tempat yang lebih aman, tidak kasar dan biadab.

Tambahan lagi,
musin dekat pilihanraya ni,
aku pasti dan amat pasti akan banyak spesies orang yang perasan hebat dan lantang akan muncul dalam dunia internet.

Siapa yang membaca, harap dapat terapkan nilai-nilai baik sepanjang masa.
Sepanjang masa tak kira atas talian atau alam realiti.

Aku hilang kawan, hanya kerana hasutan bangsat entiti gelap internet.



.




Mar 8, 2013

Vorteks #23 - Cara dan Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22]





“Intan selamat tak selepas dia kena culik?”
Prof. Erman keras bertanya soalan itu kepada Johan. Johan kelihatan bingung dengan solan sedemikian.
“Sudah tentu dia selamat. Dia bakal jadi artis terkenal dan berjaya.”
Prof. E menghembuskan nafas panjang. Kelegaan.
“Kenapa?” Johan bingung.
Prof. E tersenyum. Dia memegang kedua belah bahu Johan.
“Kalau dia selamat, tak apalah. Maknanya nanti dia akan diselamatkan. Pihak polis akan sedaya upaya selamatkan dia.”
Terkejut dengan kata-kata Prof. E, Johan menepis kedua belah tangan Prof. E yang berada di bahunya.
“Macam mana Prof boleh fikir begitu? Ada seorang gadis sedang dalam bahaya, dan Prof boleh menarik nafas lega?”
Prof. E masih tersenyum.
“Kau jangan salah sangka. Kau juga pernah kata kau percaya apa yang berlaku pada zaman kau adalah kesinambungan kepada apa yang berlaku pada zaman aku ini. Jadi, lambat laun Intan akan selamat. Dia akan diselamatkan.”
Muka Johan berubah. Dahinya tegang. Keningnya meruncing ke bawah. Nafasnya laju. Dia jelas kelihatan marah.
“Saya juga percaya, segala yang berlaku ada hikmahnya. Ada sebabnya tersendiri.”
Johan menggenggam kemas penumbuk tangan kanannya.
“Mungkin sebab kenapa saya dihantar ke zaman ini, bertemu dengan Prof, bertemu dengan Hani dan keluarganya, adalah untuk ini. Untuk peristiwa ini. Saya diperlukan untuk menyelamatkan Hani dan keluarganya.”
Johan menampakkan muka yakin dan serius.
 “Kalau bukan sebab ini, Prof rasa sebab apa?”
Prof. E terdiam seribu bahasa.
“Mari kita berbincang di dalam rumah.”

Di ruang tamu, Prof.  E dan Johan duduk bertentangan. Riak muka Johan jelas runsing dan cemas. Dia menunduk seolah-olah marah dan terus menyalahkan diri sendiri kerana tidak mengingati peristiwa penting yang berlaku kepada Hani. Prof. E hanya melihat gelagat Johan itu.
“Jadi, pada zaman kau, Intan pernah bercerita tentang pengalaman dia kena culik?” Prof. E cuba menenangkan Johan dengan soalan. Johan mengangkat kepalanya menatap wajah Prof. E.
“Dalam satu rancangan temubual TV, dia pernah cerita tentang hal penculikan ini. Cerita dia mendapat liputan luas dan dikatakan antara sebab utama dia meneruskan cita-cita menjadi ikon orang ramai.”
“Kau ada tonton rancangan TV tu sepenuhnya?”
Johan memandang kosong ke siling ruang tamu memikirkan sesuatu.
“Saya pada masa itu belum pun menjadi pelajar medic, jadi saya habiskan masa duduk menonton TV di rumah. Ya, saya yakin saya tonton rancangan itu sepenuhnya. Tapi saya terlupa, saya sepatutnya ingat tentang hal ini.”
“Kalau kau nak tolong Intan, aku boleh tolong kau.” Prof. E berkata dengan senyuman.
Lama Johan memandang wajah Prof. Prof. E kelihatan sungguh yakin dengan apa yang diperkatakannya.
“Macam mana? Saya tak ingat isi peristiwa penculikan ini sampai terlalu terperinci.”
“Begini...” Prof. E menganjakkan badannya ke hadapan, ingin memberi penerangan.
“Otak manusia sangat menakjubkan. Dia mempunyai potensi untuk mengingati semua yang pernah dialami, dibaca, didengar dan dilihat oleh pemiliknya. Masalahnya, kita manusia selalunya gagal nak cungkil keluar ingatan tersebut. Tapi, yang pasti, ingatan tersebut memang ada tersimpan kemas di suatu tempat di dalam otak kita.”
Johan membeliakkan mata.
“Saya pernah belajar tentang ini. Kita masih mencari cara bagaimana nak mengoptimumkan penggunaan memori.”
Prof. E bangun berdiri dari tempat duduknya dan menuju ke tingkap berhampiran.
“Aku ada seorang kenalan di universiti tempat aku mengajar. Dia professor yang mengajar biologi, tapi dia lebih berminat dalam bidang eksperimental seperti ini.”
Johan juga berdiri menghampiri Prof. E.
“Dia ada cara nak membangkitkan memori?”
“Kau boleh kata begitu, walaupun aku tak pasti keberhasilannya.”
“Bagaimana?”
“Hipnosis.”
“Hipnosis? Tak bahaya ke?”
“Bahaya atau tidak, bergantung kepada si pelaku. Tapi ada perkara yang lebih membimbangkan aku. Aku tak sarankan kau berjumpa dengan kenalan aku ni...”
“Apa dia?”

20 Mac 2004, jam 0716.
Professor Shah sedang membaca surat khabar di beranda rumahnya. Kelihatan cawan putih berisi kopi yang masih berasap terletak di meja bersebelahan dengan kerusi tempat Prof. Shah duduk. Sayup di dalam rumah, kedengaran dendangan irama muzik klasik barat, gesekan biola Musim Bunga ‘La Primavera’ hasil ciptaan komposer muzik klasik terkenal, Antonio Vivaldi. Sudah menjadi rutin utama sarapan Prof. Shah di mana, sambil dia menikmati roti dan kopi, alunan muzik klasik barat akan dimainkannya melalui pemain CD di ruang tamu.

Selesai membaca, Prof. Shah meletakkan surat khabar ke tepi dan mencapai kopi di meja. Dia tersenyum menikmati kopi yang dihirupnya. Sabtu yang indah. Paling tidak, tiada hiruk pikuk pelajar yang membingitkan. Sabtu beginilah dia selalunya mengambil peluang untuk memanjakan diri setelah berpenat lelah menunaikan tanggungjawab mengajar di universiti. Menjadi ketua Jabatan Sains Biologi dan Kaji Hayat adalah memenatkan. Kadang-kadang, tiada masa baginya untuk diri sendiri. Tidak seperti sekarang.

Loceng pintu berbunyi. Ada tetamu di awal pagi.
“Siapa? Siapa berani ganggu aku di hari kebebasan ini?” keluh hati kecil Prof. Shah.
Dengan tidak rela, Prof. Shah meletakkan cawan kopi dan bangun memperlahankan volume muzik di pemain CDnya sebelum menuju ke pintu. Diintainya orang di luar melalui mata tinjau di pintu, tapi tidak dapat dipastikan siapa di luar. Dia kemudian membuka pintu bagi mendapatkan kepastian.
“Hello, Shah.” Prof. E menegur.
Prof. E dan Johan kelihatan sedang berdiri di luar pintu. Prof. Shah sedikit keliru. Namun, wajahnya bertukar menjadi marah. Terus dihempasnya pintu sehingga tertutup.
Prof. E menghampiri pintu dan cuba memujuk.
“Shah. Aku datang nak minta tolong ni...”
“PERGI!” Suara Prof. Shah kuat menjerit dari dalam.
Johan kebingungan. Kenapa Prof. Erman dengan Prof. Shah kelihatan saling membenci?

“Inilah masalah yang aku bimbangkan. Kami memang tak sebulu dari dulu lagi,” jelas Prof. E.




BERSAMBUNG...[24]




Mar 6, 2013

Ajaran #22 - Jika Akhirnya Tidak Dibaca, Jangan Beli Buku Tidak Kira Betapa Murahpun Harganya.



Tahu tak apa yang baru berlalu?
Jualan buku pada harga murah yang terkenal tu..alaaa, yang buat dekat dengan rumah aku tu.


Bertentangan dengan kepercayaan sesetengah orang,
memiliki buku yang banyak tak bermakna kita ulat buku.

Aku masih ingat jelas pesan cikgu aku masa sekolah menengah dulu
dan sudah tentu ayat di bawah bukan sebijik seketul dengan apa yang cikgu aku cakap tapi poinnya tetap sama. Gila aku boleh ingat sebiji seketul ayat dia.

"Sebelum beli buku, fikirkan adakah kita akan baca buku tersebut, atau sekadar menjadi perhiasan di rak buku. Jika hanya hiasan, jangan beli. Tak kira sama ada buku itu murah, susah nak dapat, mahupun percuma. Kalau sekadar memiliki tapi tidak dibaca, ianya satu pembaziran. Lebih baik kalau dibiarkan orang lain yang sudah tentu akan membacanya membeli buku tersebut."

Kita tidak tahu betapa ramai orang yang ketandusan ilmu hanya kerana wujudnya orang yang tamak, mahu memiliki segala jenis buku yang ada di pasaran.

Sebagai contoh, Ali mahu belajar mengenai NLP (Neuro-Linguistic Progamming), tapi oleh sebab buku sesuai untuknya sudah dibeli orang lain, maka niat Ali mahu belajar NLP terhalang. Kesian Ali.

Dan adalah digalakkan, sesiapa yang dah habis baca sesebuah buku,
sila berkongsi dengan orang lain yang berminat.
Ilmu untuk dikongsi, bukan dihias di atas almari.

Walaupun kalian akan kata,
"Alaa cEro ni, dia pun tak baca buku, kecoh nak tegur orang lain."
It's OK. I know...
Just anggap ini adalah nasihat dari orang lain, bukan aku.

Bye!





postquam-scriptum:
Segala cerita, nama, pautan (link), gambar, tweethandle, ID pengguna dan design dalam lukisan aku di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.
Kalau ada, itu hanya kebetulan yang kadang-kadang mungkin aku sengajakan sebab aku nak bagi korang terasa.




Mar 3, 2013

Ajaran #21 - Ketakutan adalah Dicetus, Bukannya Semulajadi.



Tahu tak apa yang menakutkan?
KETAKUTAN itu sendiri.



Seorang ahli psikologi bernama John Watson (wiki) telah menjalankan satu eksperimen pada 1920 mengenai ketakutan.

Pada awal eksperimen, dia bersama pembantunya, Rosalie Rayner telah meletakkan seorang bayi yang dipanggil Albert, berusia 11 bulan, di dalam sebuah bilik di dalam hospital dan didedahkan buat kali pertama dengan barang-barang seperti arnab putih, tikus makmal putih, monyet, anjing, topeng putih yang berbulu dan yang tidak berbulu, gumpalan kapas putih, surat khabar yang sudah terbakar dan macam-macam lagi. Albert dilihat tidak takut dengan mana-mana barang di situ.

Kemudian, Albert diletakkan di tengah bilik dan berhampiran, diletakkan seekor tikus putih makmal. Albert dibenarkan untuk menyentuh dan bermain dengan tikus itu. Tiada tanda takut dikesan.

Dalam sesi seterusnya, apabila Albert dilihat menyentuh tikus putih itu, Watson dan Rayner melagakan rod-rod besi dan menghasilkan bunyi yang kuat. Bunyi kuat itu mengejutkan Albert. Dia takut dan menangis. Eksperimen diulang dengan setiap kali Albert menyentuh tikus itu, rod besi dilagakan.

Apabila setiap kali Albert diletakkan berdekatan dengan tikus putih, dia akan menangis ketakutan dan bergerak menjauhi tikus. Kemudian, Albert juga didedahkan dengan benda putih dan berbulu yang lain seperti arnab putih, topeng berbulu, juga topeng santa Claus dengan janggut putih yang dperbuat dari kapas. Albert dilihat akan menjadi takut apabila melihat benda putih dan berbulu. Dia mengaitkan benda putih dan berbulu (seperti tikus makmal) adalah menakutkan.

Eksperimen menunjukkan ketakutan adalah dicetus, bukannya semulajadi.

Malangnya, Albert dikeluarkan dari hospital tempat eksperimen dijalankan sebelum sempat dipulihkan sepenuhnya. Dia dan keluarganya kemudian hilang tak dapat dikesan.



Pada pendapat aku, ketakutan adalah dari pengalaman, bukannya semulajadi.
Pengalaman sama ada sendiri, atau suapan visual atau auditori dari sumber lain.

Kita dari kecil didedahkan dengan perkara yang perlu kita takut.
Kita takutkan rotan kerana sakit.
Setiap kali ustaz tempat mengaji mengangkat rotan, kita diajar supaya patuh.
Kita takut dengan guru besar yang garang dan bermisai lebat.
Sehingga kini, jika kita lihat bakal bapa mertua dengan misai lebat, ataupun polis trafik dengan misai melenting, kita jadi waspada, takut dan berhati-hati dari membuat kesilapan.

Pada dasarnya, kita tak takut dengan perkara yang kita kata kita takut.
Kita takutkan perkara yang terjadi/ produk kepada perkara yang kita kata kita takut.

Albert tak takutkan tikus putih dan barangan putih berbulu,
dia takutkan bunyi bising yang mungkin berlaku selepas dia sentuh barangan tersebut.

Kita juga sama.
Kita kata kita takut gelap.
Sebenarnya, kita takut perkara yang boleh berlaku dalam gelap.
Kita disuap dengan cerita hantu (yang gelap), dan kes culik rogol (di kawasan gelap), serta kejadian samun bunuh (di lorong gelap).
Kita sudah kaitkan kegelapan dengan perkara buruk.

Kita kata kita takut jarum suntikan.
Sebenarnya, kita bukan takut jarum suntikan.
Kita takut, apabila disuntik, kita rasa sakit yang teramat sangat.
Kita disuap dengan paparan cerita dan drama di mana apabila ditikam bertalu-talu, darah termercik dan mangsa menjerit kesakitan sebelum mati.
Kita sudah kaitkan jarum suntikan dengan kesakitan melampau.

Sama, aku takut lipas.
Ianya sebab pengalaman aku alami di mana semasa tidur nyenyak, ada lipas masuk merayap dalam baju aku.
Perasaan kaki lipas yang tajam-tajam, melata atas kulit dalam baju itu tidak mahu aku ulangi.
Jadi, aku benci lipas.



Nasihat aku,
jika korang takutkan sesuatu, sila ambil masa sejenak.
Fikirkan apa yang korang takut.
Tackle punca sebenar ketakutan korang.

Korang takut nak luahkan perasaan cinta kepada seseorang?
Sebenarnya, korang takut ditolak.
Cuba ambil perasaan ditolak itu sebagai satu pengalaman yang mungkin takkan pernah korang rasa.
Dengan itu, kalian masih ada keyakinan untuk berdepan.
Sebab kalau luahan perasaan itu diterima, korang bertuah.
Kalau luahan perasaan itu ditolak, korang masih positif.

Jangan takut. Lawan ketakutan.
Sebab ketakutan hanyalah satu rangsangan luaran yang masuk ke dalam fikiran.

Kerana takut yang sebenar adalah takut dengan kemurkaan Allah SWT.

Beritahu aku,
apa yang kalian takutkan dan bagaimana kalian mengatasinya.





postquam-scriptum:
Satu usaha mengesan bayi Albert yang hilang itu dijalankan pada tahun 2009, mendapati bahawa Albert mati pada usia 6 tahun akibat dari penyakit Hydrocephalus (kepala membesar dipenuhi air).
Ya, penyakit itu tiada kaitan dengan kegagalan memulihkan Albert kepada asal, tapi eksperimen (Little Albert) ini menjadi kontroversi dan dikatakan antara eksperimen psikologi manusia paling tak beretika dalam sejarah.

.




Mar 1, 2013

Vorteks #22 - Senggang Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21]





Lampu sorot tepat memancarkan cahaya dari ruang atas bilik studio ke wajah Hani. Hani kembali menunduk mematikan kata-katanya yang tergantung. Dia jelas sedang menahan perasaan yang bergolak kencang di dalam fikirannya.
“Jadi, apa sebenarnya yang berlaku pada 20 Mac tahun 2004?”
Hos rancangan temubual itu terpaksa bertanyakan kembali soalan kepada Hani dek kerana senggang masa Hani berdiam diri adalah terlalu lama. Hos rancangan perlu memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan di depan kamera. Maklumlah, rancangan temubual siaran langsung seperti ini sangat sukar diduga apa yang bakal berlaku.
“Pada tarikh tersebut, saya...saya...”
Mata hos tepat menatap wajah Hani, menunggu ayat yang dikeluarkannya lengkap.
“...saya diculik.”
Hos rancangan kelihatan dari bersandar, terus menganjakkan badan ke hadapan kerana terkejut dengan kata-kata Hani itu. Itu adalah kenyataan eksklusif dari Hani, yang belum pernah diceritakan di mana-mana media sebelum ini. Mata si hos rancangan beralih kepada sesuatu di belakang kamera dan kemudian mengangguk.
“Baiklah. Kita ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani dan pengalamannya diculik yang telah menjadikan siapa diri dia sekarang, selepas pesanan penaja.”
Rancangan temubual bertukar kepada iklan komersial.

“Ah, biadab. Suka buat orang suspen!” Johan menghempaskan alat kawalan jauh televisyen ke sofa sebelah. Dia berasa marah apabila sedang dia khusyuk menonton rancangan temubual artis kegemarannya, rancangan dipotong untuk memberi ruang iklan. Namun, perasaan ingin tahu lebih membuak. Bila Hani pernah kena culik? Kenapa Hani diculik? Siapa yang culik Hani? Apa yang berlaku semasa Hani diculik.
Johan dapat bayangkan, esok, akhbar tabloid pasti akan memaparkan kisah pengakuan Hani ini. Belum cerita lagi tentang majalah-majalah hiburan yang bersusun di pasaran. Sedangkan isu Hani menolak tawaran berlakon di Hollywood pun masih belum reda, ditambahnya lagi pengakuan khas Hani pernah diculik di siaran langsung rancangan temubualnya.
“Apa yang kau marah sangat ni, Han?”
Ibu Johan keluar dari dapur, mungkin berminat mengambil tahu tentang apa yang anaknya sedang khusyuk lakukan.
“TV. Tengah suspen, tiba-tiba iklan.”
“Itu saja? Itu yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti. Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
Minggu depan Johan akan memulakan sesi pengajian peringkat ketiganya. Dia bakal bergelar mahasiswa universiti.
“Sebab minggu depan masuk universiti-lah Han nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.” Johan sedang bermain dengan logik.
“Suka hati kaulah, Johan.” Ibu Johan kembali ke dapur.
Iklan pun berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.

20 Mac 2004, jam 0614.
Bunyi ketukan pintu yang kuat dan bertalu-talu mengejutkan Johan dari tidur. Siapa gerangan yang berani mengganggu tidurnya. Ikutkan hati, nak saja Johan bagi penampar satu das. Bila diingatkan semua, hanya Prof. Erman sahaja di rumah itu. Nasib baik. Dalam keadaan separa sedar, Johan bangun menuju ke pintu bilik dan membuka tombol untuk melihat gerangan siapakah yang mengganggunya itu.
“Johan!” Suara Prof. E seperti panik.
“Kenapa?” Johan menyapu mata.
“Rumah Encik Ahmad kena pecah.”
Encik Ahmad? Siapa Encik Ahmad? Ini rumah Prof. E, mana Johan tahu siapa jiran siapa bukan.
“Rumah Encik Ahmad kena samun. Isteri Encik Ahmad kena pukul, baru sedar dari pengsan. Dia beritahu, anaknya kena culik.” Prof. E cuba menerang seringkasnya kepada Johan.
“Siapa Encik Ahmad?” terpacul juga soalan itu di mulut Johan.
“BODOH! Encik Ahmad tu ayah kepada Intan!”
Lima saat pandangan Johan mati ke wajah Prof. E.
“HANI!”

Prof. E dan Johan bergegas keluar dari rumah untuk ke rumah Encik Ahmad. Sejurus selepas melangkah kaki ke luar rumah, mata Johan silau dengan lampu merah dan biru yang terpancar dari atas bumbung atas dua buah kereta polis dan sebuah ambulan. Langit pagi yang masih gelap biru membuatkan lampu-lampu itu begitu silau menerangi sekeliling. Kereta-kereta polis dan ambulan itu berhenti di hadapan rumah Encik Ahmad. Juga kelihatan beberapa jiran sekeliling datang meninjau, ingin tahu apa yang sudah dan sedang terjadi.
Johan dan Prof. E cepat-cepat menyusup di celahan orang yang mula berkerumun sehingga sampai ke depan muka pintu rumah Encik Ahmad sebelum dihalang oleh seorang anggota polis.
“Di sini dilarang masuk,” tegas anggota polis berkenaan.
“Kami kenalan mangsa,” Prof. E cuba memujuk.
“Semua jiran adalah kenalan mangsa. Tak semestinya semua jiran boleh masuk.” Masuk akal juga hujah anggota polis ini.
Setelah beberapa kali percubaan menjenguk ke dalam rumah Encik Ahmad, Prof. E ambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu.
“Mana Encik Ahmad?” Johan bertanya.
“Dengar kata, Encik Ahmad tak ada. Dia outstation.”
“Betul ke Intan kena culik?”
“Aku tak pasti, aku dengar jiran cakap tadi.”

Johan teringatkan sesuatu. Dia selam dan hilang dalam fikirannya sedangkan Prof. E di sebelah sedang sibuk memerhati gelagat anggota polis keluar masuk rumah Encik Ahmad.
Lalu, Johan menepuk kepalanya berkali-kali. Dia seperti marah dengan diri sendiri. Prof. E mengalih pandangan dan hanya memerhati sambil kebingungan.
“Kau kenapa?”
Johan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya memicit ruang atas hidung di antara dua matanya. Matanya dipejam keras, seperti ada sesuatu yang dimarahnya.
“Ingat lagi malam tadi saya tanya Prof tentang apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac, kan?”
Prof. E mengangguk.
Prof. E mengerutkan dahi.
Prof. E membeliakkan mata.
“Inikah? Inikah peristiwanya?”
Dengan riak kesal dan dengus keluh, Johan mengangguk.
Kini giliran Prof. E pula menepuk dahi dengan tapak tangan dan mengeluh.
“Semasa dalam satu temubual, Hani..eh, Intan pernah bercerita yang dia pernah diculik,” Johan menerangkan.
“Sekejap! Aku tak mahu details. Tak elok untuk orang macam aku. Sekarang kau beritahu aku apa yang aku nak tahu sahaja.”
Johan mengangguk.
“Pada zaman kau, adakah Intan selamat selepas dia kena culik?”




BERSAMBUNG...[23]





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: