Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 27, 2013

The Arch-Nemesis: Night of Wut


Tahu tak apa yang buat aku sangat tertekan?
Tidur aku diganggu.









Aku kerap merungut tentang henset aku.
Tiba-tiba, ada seseorang berkata,
"Asyik merungut je, tukar laa baru! Habis cerita."

Bak botol kicap cap kipas udang terjatuh dari para dan berkecai,
begitu juga hati aku terguris dengan kata-kata itu.

Tapi, betul juga.
Kalau dah tak tahan dengan henset sendiri,
tukar baru je laa..

TAK SEMUDAH ITU!

Alasan biasa aku tak tukar henset baru ialah faktor kewangan.
Mana aku nak cekau duit untuk henset yang kebanyakkannya dah cecah 4 angka.

Tapi kewangan bukan satu-satunya alasan.
Sebenarnya, aku sayang henset aku ni.
Fungsi dalamnya semua bagus-bagus belaka.
Semuanya memudahkan diri aku.
Aku takut kalau aku tukar baru, yang baru tak sebagus yang sekarang.
Masalah yang sekarang hanya dua;
line tak kuat walaupun duduk tengah bandar
dan suka restart sesuka hati.
Selain dari tu, semuanya hebat belaka.

Alasan lain,
frankly, aku tak ada minat dengan mana-mana henset di pasaran sekarang.
iPhone 5, Samsung Galaxy SIII, SIV, Note, Note II,
semua henset sekarang semua besar-besar belaka.
Aku ni hanya seorang lelaki mudah yang hanya simpan henset dalam kocek.
Kalau dah sebesar buku, aku nak simpan kocek mana?
Yang kecil pula, semuanya tak menarik.
Banyak fungsi dikurangkan.
Jadi, senang cerita, aku memang tak minat dengan henset terkini zaman sekarang.

Aku pernah kata sampai tahap henset ni rosak sepenuhnya,
aku nak cuba hidup dalam satu tempoh masa tanpa henset.
Henset telah mengalami transisi dari barangan kehendak kepada barangan keperluan.
Susah nak cari orang yang tak pakai henset zaman sekarang.

Tak apalah.
Selagi boleh, aku bertahan.
Lagipun, kalau aku tukar henset baru,
memang habislah cerita.
Dah tak adalah cerita The Arch-Nemesis lepas ni. Hehehe.


Entri lain mengenai Archenemy aku ni:
The Insignificant Misadventure of cEro with his Phone.
The Arch-nemesis: The Unsettling Issue




.




Feb 24, 2013

Jawapan tEka-tEki #17 Tiga Klu untuk Baris Ketiga



Tahu tak apa yang seronok?
Bila kita dapat jawab tEka-tEki dengan betul.

Soalan:



Rata-rata tak dapat tangkap apa yang cuba disampaikan dalam panel komik di atas.
Ini disebabkan aku guna font 'Evil Genius',
di mana semua hurufnya adalah uppercase.

Namun,
semuanya jadi mudah bila aku buat ringkasan soalan begini:

  • zoog
  • zolo
  • ?
  • zoR

Dan klu tambahan yang diberi ialah:
"Kalau ada baris kelima, baris itu akan tertulis zoB."

Aku boleh terus bagi jawapan
dan kita boleh terus tutup blog ini dan teruskan dengan hidup masing-masing.
Tapi, WTF? (where's the fun?)



Pernah jumpa seseorang yang mempunyai tulisan buruk?
Mesti pernah, kan?
Tapi, pernah jumpa orang yang tulisannya normal,
tapi nombor dia yang buruk?
Nombor yang ditulisnya terlalu buruk sampai tak ada rupa nombor dan disalahanggap sebagai huruf?

Hmm...Mari teruskan...

Apa yang penting dalam satu-satu teka-teki menghuraikan kod adalah pattern.

pattern

n
1. an arrangement of repeated or corresponding parts, decorative motifs, etc: although the notes seemed random, a careful listener could detect a pattern



Dua pattern yang nyata dalam soalan tEka-tEki di atas ialah:
  1. Semua klu mula dengan zo
  2. Semua klu dengan empat huruf adalah berhuruf kecil sepenuhnya, manakala klu dengan tiga huruf diakhiri dengan huruf besar.

Dari pattern berkenaan, kita dapat simpulkan bahawa
baris ketiga lebih kurang begini:

zo(dua huruf kecil) atau zo(satu huruf besar)


Otak manusia sangat hebat.
Fenomena Baader-Meinhof (frequency illusion) adalah satu fenomena bila kita mula mempelajari sesuatu perkataan, bentuk, atau objek, kita akan sentiasa boleh nampak benda yang kita pelajari itu di mana-mana.
Fenomena ini juga berlaku kepada huruf.
(Jika korang ada belajar huruf bahasa asing seperti bahasa jepun atau bahasa cina, kalian akan faham konsep fenomena Baader Meinhof)

Pada saat kita mula pelajari ABC,
otak kita akan mula menangkap huruf-huruf yang kita pelajari di mana-mana.
Sampaikan satu tahap, nombor juga kita boleh nampak sebagai huruf.
Bagaimana sesetengah orang boleh salah nampak nombor 5 (lima) sebagai huruf S dan Sifar sebagai huruf O.

Lebih dari itu,
otak dan akal manusia yang sentiasa berkembang ini juga telah mewujudkan satu jenis tulisan yang terkenal khususnya di alam atas talian dan internet, yang dikenali sebagai Leet,
di mana huruf diganti dengan nombor dan simbol dan vice versa.
Sebagai contoh: n00b (noob/newbie), g33kz (geeks)
Leet ini terkenal di kalangan gamers dan hackers.

Persepsi otak, akal dan minda dalam mentafsir huruf kepada kefahaman membuatkan kadang-kadang salah tafsir sesuatu perkataan.

Bagaimana kadang-kadang kita baca no plat BAB 1234 sebagai 'BABI234' dan nombor 5318008 bila ditaip pada kalkulator dan diterbalik memberi senyuman dan kefahaman lain telah membuktikan bahawa otak manusia mampu mentafsir lebih dari sekadar apa yang disampaikan.



Dengan kata lain,
zoog, zolo, zoR dan zoB
juga boleh disalah-tafsir oleh pembaca.
Kegagalan menyampaikan mungkin disebabkan
masalah pemberi maklumat (tulisan dan ejaan pada nota)
dan penyampai maklumat (si pembaca nota)

Jadi, jawapannya:

zoog adalah 2009
zolo adalah 2010
??? adalah 2011
zoR adalah 2012 (1 dan 2 bergabung menjadi R)
dan
zoB adalah 2013 (1 dan 3 bergabung menjadi B)

Maka,
baris ketiga ialah
zoll (sepatutnya ditulis 2011)







Berikut adalah senarai nama yang menjawab dengan betul:

Nesa Wazir
Harmonies
Kertas Kosong
~* chirpy_chummy *~
Aujinz
Farah Zakaria (via FB Page)

TERIMA KASIH KERANA MENCUBA!


postquam-scriptum:
Page untuk fenomena Baader-Meinhof telah dipadam dari wikipedia pada 24 Julai 2008 pada jam 2031 dan ditukar kepada istilah 'frequency illusion' kerana 'Baader-Meinhof' adalah nama kumpulan pengganas dari jerman yang terkenal pada sekitar tahun 1970 sehingga 1998. [sumber]

postquam-subscriptum:
Orang yang tulisannya normal tapi nombor dia sangat buruk sampai dianggap sebagai tulisan alien dan huruf bahasa asing adalah aku dan ini adalah kisah benar.
Sekian.




.




Feb 22, 2013

Vorteks #21 - Pada Masa Itu.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]





“Aku kata DIAM!”
Seorang lelaki bertopeng muka berbadan besar mengherdik ibu Intan. Lelaki itu memegang sebatang besi sepanjang hampir satu meter sebagai senjata. Dia mengacukan besi itu kepada ibu Intan yang sedang menangis teresak-esak, terduduk di tengah ruang tamu sambil tangannya diikat ke belakang dengan pita pelekat kuat..
“Woi, jangan jerit. Nanti jiran dengar.”
Seorang lagi lelaki bertopeng, kali ini tinggi lampai berbadan sedikit membongkok berada ruang tamu. Di tangannya kelihatan beberapa utas barang kemas milik yang diragutnya dari ibu Intan. Dimasukkannya barang tersebut ke dalam poket seluarnya sambil menjelirkan lidah, mengekspreskan kepuasan.
Lelaki tinggi itu datang menghampiri ibu Intan.
“Beritahu aku, mana lagi kau simpan barang kemas kau, perempuan.” Lelaki tinggi itu mencangkung rendah sambil mengacukan pisau pendek ala Rambo ke muka ibu Intan. Ibu Intan hanya mampu terus menangis sambil memuncungkan mulutnya ke arah atas.
“Kau jaga perempuan ni. Aku nak ke bilik utama atas, nak selongkar barang kemas.”
Selepas memberi arahan kepada lelaki berbadan besar itu, lelaki tinggi tersebut meluru naik ke atas.

Seketika kemudian, kelihatan lelaki ketiga, seorang yang agak rendah tetapi berbadan tegap, menuruni tangga sambil menarik seorang gadis yang sudah diikat tangan dan ditutup mulutnya dengan pita pelekat. Gadis itu ialah Intan.
Muka Intan merah, dibasahi airmata yang tak berhenti mengalir turun. Baju T yang dipakainya juga basah dek peluh. Selepas turun dari tangga bersama lelaki ketiga itu, Intan terus meluru kepada ibunya di tengah ruang tamu. Mereka duduk berdua, sambil dipantau dua lelaki bertopeng.
“Budak ni kuat jerit. Jangan buka pelekat mulut dia tu.” Lelaki berbadan tegap itu memberi amaran kepada lelaki berbadan besar. Lelaki berbadan besar mengangguk faham.
Lelaki ketiga kelihatan seperti ketua antara mereka. Dia memegang sebilah parang pendek dengan ukiran kepala naga di hulu.

“Lepaskanlah kami, encik. Ambillah apa saja, tapi janganlah diapa-apakan kami anak beranak.” Ibu Intan merayu, memohon simpati dua lelaki bertopeng itu. Intan hanya kelihatan menangis tak berhenti di sisi ibunya sambil mulutnya tak mampu berkata-kata.
Lelaki tegap tadi ketawa kecil.
“Aku dengar, laki kau seorang businessman yang berjaya yang berjaya. Tentu banyak harta yang korang ada, kan?”
Lelaki tinggi lampai tadi kelihatan turun sambil membawa satu kotak kayu. Kotak itu adalah kotak simpanan barang kemas ibu Intan.
“Tengok ni, bos. Banyak kita dapat ni. Mahu beratus ribu nilai semua ni.” Lelaki tinggi itu membuka kotak berisi barang kemas itu dan menunjukkan isinya kepada lelaki tegap. Mereka bertiga ketawa kepuasan.
“Apalah bangang perempuan ni tak simpan barang kemas kat dalam peti besi. Lain kali, beli peti besi. Baru selamat.”
“Aku rasa, cukup setakat ni saja.” Lelaki tegap merendahkan diri sambil mengacukan parang pendeknya kepada leher ibu Intan.
“Dengar sini. Selagi korang anak-beranak tinggal di sini, korang akan sentiasa berada dalam pemerhatian kami. Kalau nak selamat, PINDAH JAUH-JAUH!” Ibu Intan mengangguk dalam ketakutan.

Tiga lelaki itu kemudian bersiap-siap untuk keluar selepas tugas mereka selesai. Tapi, ada sesuatu yang menarik perhatian si lelaki tegap. Intan.
Si lelaki tegap memandang tajam kepada Intan. Intan sedar tentang pandangan itu. Ibu Intan juga turut sedar. Ibu Intan menggerakkan badannya menghalang pandangan si lelaki tegap itu daripada Intan. Naluri keibuannya merasakan ada sesuatu buruk yang difikirkan si lelaki tegap itu.

“Woi, tutup mulut si ibu ni!” Si lelaki tegap memberi arahan. Si lelaki tinggi menarik ibu Intan ke tepi, lalu mengeluarkan pita pelekat dari beg dan menarik panjang pita tersebut sebelum melekapkannya ke mulut ibu Intan. Ibu Intan sempat meronta-ronta, namun apalah kudrat seorang wanita menentang seorang lelaki.

“Walaupun hasil kali ni lumayan, tapi aku masih belum puas.” Sekali lagi pandangan si lelaki tegap tepat ke arah Intan yang sudah terjarak dari ibunya. Sekali sekala, pandangan Intan memandang ke ibunya, kemudian bertukar kepada si lelaki tegap, dan kembali ke ibunya. Intan seperti meminta tolong tanpa suara.
Ibu Intan cuba mahu bergerak mengesot ke arah anaknya, tapi dipegang kuat oleh si lelaki tinggi. Dicubanya menjerit, tapi yang keluar hanyalah bunyi  yang tak mampu didengari sesiapa. Lebat mengalir airmata ibu Intan mengenangkan apa yang bakal terjadi kepada anaknya. Dia hanya mampu berdoa dalam hati dan berharap semuanya hanyalah mimpi.

Si lelaki tegap menghampiri Intan yang terduduk bersimpuh di lantai. Ditatapnya dari hujung kepala sampai ke hujung kaki. Muka Intan yang kemerahan dan basah dengan airmata membuatkan jantung lelaki itu berdegup kencang. Baju T yang basah dek peluh ketakutan menarik minat dia, apatah lagi baju itu sedikit terselak di pinggang menampakkan kulit badan Intan yang putih dan gebu. Terdapat senyuman lebar di sebalik topengnya. Senyuman kepuasan memikirkan apa yang boleh dilakukannya dengan seorang gadis dara yang sedang membesar dengan baik.
Si lelaki tegap itu kemudian mengusap rambut Intan yang serabut dan basah. Intan meronta menafikan dirinya untuk disentuh. Tapi lagi kuat Intan meronta, lagi keras sentuhan lelaki itu.

Si lelaki tegap itu berdiri tegak.
“KAU!” sambil jarinya menuding ke arah si lelaki berbadan besar.
“Bawa budak ni sekali. Banyak habuan kita boleh dapat dari dia ni.”

Hati ibu Intan hancur mendengar kata-kata itu. Dunianya seperti gelap, sambil kedengaran ketawa kecil ketiga-tiga lelaki durjana di situ. Pandangannya tepat ke arah mata anaknya, yang turut sama membalas pandangannya. Mereka bertentang mata sesama sendiri seperti menidakkan apa yang didengar. Namun, naluri keibuannya masih kuat.
Ibu Intan meronta dengan kencang. Dia menanduk dagu si lelaki tinggi, menyebabkan dirinya terlepas dari cengkaman lelaki tersebut. Dia bingkas bangun, dan meluru ke arah si lelaki berbadan besar yang sedang menghampiri Intan. Dia menolak badan lelaki itu dengan sepenuh tenaganya, menyebabkan lelaki berbadan besar itu terjatuh ke arah berlawanan.

Namun, belum sempat ibu Intan berjaya menghampiri Intan, satu hentaman kuat dirasakannya di belakang kepala. Si lelaki tegap tadi menghayunkan hulu parang pendeknya ke belakang kepala ibu Intan, mengakibatkan ibu Intan tersungkur ke lantai.
Kesedaran ibu Intan kian lenyap. Persekitaran pemandangan matanya menjadi semakin kabur. Visual terakhir yang dilihatnya ialah kelibat si lelaki berbadan besar sedang mengangkat Intan pergi.

“Intan...”
Lalu, pandangannya gelap sepenuhnya.




BERSAMBUNG...[22]




Feb 20, 2013

6 Peranan Lipas dalam Kehidupan dan Alam.


Tahu tak orang Sepanyol panggil lipas apa?
La cucaracha. Sedap kan nama tu?


Hm..
Ini adalah pertama kali aku buat siri ENAM tanpa berbicara tentang diri sendiri.
Bosan juga bila asyik cerita tentang diri sendiri, kan?
Jadi, mari kita cerita tentang musuh nombor satu aku selepas ex-GF aku yang keparat, LIPAS.

Setelah semalaman aku habiskan masa depan laptop
menelaah artikel mengenai lipas,
aku dapati lipas juga memainkan peranan dalam dunia ini.
Lipas bukan sekadar makhluk yang menyusahkan.
Ya. Lipas adalah makhluk perosak.
Tapi bukan sepanjang hidup mereka adalah merosakkan.

Berikut adalah ENAM peranan lipas dalam kehidupan yang dapat aku kongsikan dari pembacaan.
Dan aku percaya, peranan lipas bukan sekadar ENAM ini sahaja.



Bila aku tanya soalan 'apa peranan lipas' kepada orang,
mereka akan keluarkan penyataan ini.
"Lipas tanda tempat kita kotor."
Penyataan itu BENAR dan juga SALAH.

Lipas sukakan tempat yang kotor.
Sebab itu adalah tempat rezeki bagi mereka.
Jadi, di mana kotor, di situ bolah ada lipas.
TAPI,
tempat yang ada lipas tak semestinya kotor.
Lipas ada lingkungan habitat mereka sendiri.
Maka, tak terkejut jika korang nampak lipas di rumah korong yang bersih gila babas, sebab lipas tu mungkin berasal dari longkang depan rumah korang yang super-kotor tu.

Tapi, jika korang nampak lipas di bilik,
silalah jangan jadi pemalas dan kemas bilik korang.
Bukan sebab bilik tu kotor, tapi bilik yang berselerak menyukarkan aktiviti kita untuk membunuh lipas.
Lipas boleh lari kat celah-celah.



Lipas adalah makhluk yang makan bahan organik buangan.
Sisa makanan dalam tong sampah,
bangkai burung mati atas atap,
tikus kena lenyek kereta tepi jalan,
asalkan organik, semua tu rezeki lipas.

Macam tamadun manusia yang berkembang berhampiran sungai dan tanah pamah,
begitu juga lipas, berkembang di kawasan yang banyak bahan organik buangan seperti tempat buangan sampah dan longkang.

Jadi,
lipas berperanan sebagai menghurai kepada bahan-bahan organik yang aku cakapkan di atas.
Selain bakteria, lipaslah yang buatkan bangkai-bangkai tersebut
semakin lenyap dari hari demi hari.
Mereka menghuraikan bahan organik menjadi makanan.
Dengan kata lain, lipas memain peranan dalam awalan bagi setiap siratan makanan.

Next time, kalau jumpa lipas, ucapkan terima kasih sebab dah huraikan bangkai menjadi bahan organik lebih kecil.



Lipas juga merupakan bahan makanan kepada serangga pemangsa,
haiwan-haiwan kecil seperti biawak, cicak dan juga burung.
Pernah depan mata aku, burung terkam makan lipas.
Aku rasa, mesti kenyang burung tu sebab lipas yang aku nampak tu besar ibu jari oo..

Dengan kata lain,
lipas adalah penyambung kepada rantaian dan siratan makanan.
Lipas makan bangkai, burung makan lipas,
manusia makan burung, manusia gembira.

Mungkin salah satu sebab lipas suka duduk dalam bilik korang ialah dapat lari dari haiwan pemangsa macam burung dan biawak.



Lipas sudah wujud lama, lebih awal dari wujudnya dinosaur.
Pada zaman dulu-dulu masa manusia belum ada tamadun, belum bina rumah,
lipas semuanya tinggal dalam hutan. (Hutan je pun yang ada)

Jadi, lipas menjadikan celah-celah pokok,
bawah kayu reput dan juga tanah sebagai habitat tempat tinggal.
Lipas gali tanah jauh ke bawah, sedalam lebih 1 meter untuk mancari makan dan menjadikan tempat tinggal.
Maka, tanah tempat lipas tinggal jadi lebih gembur, lebih poros dan menggalakkan pengudaraan tanah.
Bakteria baik pun boleh wujud dalam lubang galian lipas, ini membuatkan pokok-pokok sekitar lipas tinggal menjadi subur dan hidup elok.
Semuanya jasa lipas.

Mungkin, kalau ada yang berkebun dan tanah kurang subur,
apa kata bela lipas kat kebun korang.
InsyaAllah, kawalan biologi lebih baik dari penggunaan baja kimia.



Pernah aku persoalkan, kenapa wujudnya ahli politik korup?
Kenapa wujudnya golongan parasit sana sini?
Kenapa tak dihapuskan secara total golongan yang langsung tak beri faedah?
Jawapannya sama dengan persoalan kenapa perlu aku buka kipas angin dalam bilik walaupun bilik sejuk selepas hujan.

Kalau korang tahu konsep yin dan yang, korang sudah ada jawapan.
Hidup kita, tanpa perkara-perkara seperti ini,
akan menjadi sunyi, kosong, dan tidak menarik.

Seperti muzik.
Muzik yang monotone dan mendatar sangat membosankan.
Muzik yang ada campuran elemen atas bawah tinggi rendah,
itulah yang menjadikannya lebih baik.

Ya. Tanpa lipas, aku tak mungkin berada di tempat aku sekarang.
Lipas antara makhluk yang menjadikan siapa diri aku.



Bukan main-main,
tapi ada direkodkan, para penyembuh zaman dahulu ada menggunakan lipas sebagai bahan utama dalam ubat-ubatan.
Kisaran lipas dicampur air dan minyak mampu merawat luka luaran.
Mungkin kandungan chitin dalam exoskeleton lipas yang boleh mempercepatkan penyembuhan luka.

Ada rekod juga mengatakan teh lipas mampu merawat sakit asma, stroke, bronchitis dan masalah kencing. Juga, boleh merawat sakit puan.

Tapi, perubatan moden tak ada pulak guna lipas.
Entahlah. Jangan pula korang buat teh lipas nak rawat asma korang.


xxxxxx


Aku rasa, semua yang baca blog ni,
semua ada pengalaman dengan lipas.
Sama ada pengalaman manis ataupun pengalaman pahit,
lipas dianggap satu makhluk yang menggelikan, menjengkelkan dan menyusahkan.
Bila nampak lipas, kita akan membunuhnya dengan selipar
atau paling mudah, kita lari dan berharap dia tak ada di tempat yang kita lihat tu pada waktu akan datang.
Tapi, apa sebenarnya lipas buat pada kita yang membuatkan kita benci sangat dengan lipas?

Jangan anggap sesuatu itu teruk, maka ianya tak ada peranan dalam kehidupan.
Tuhan yang Maha Bijaksana sudah meletakkan peranan untuk setiap makhluknya.
Kita sebagai manusia hanya perlu mencari jawapan tentang segala persoalan.

Selepas buat entri ini, aku ada sedikit berubah pandangan terhadap lipas.
Tapi, lipas tetap musuh aku. Selamanya.

Entri lain mengenai lipas:
Lipas Makhluk Sempurna.
Lipas VS. Dunia.
Lipas VS. Dunia: Himpunan Lipas.

postquam-scriptum:
Notis tak, aku tak letak satu pun sources dalam entri ni walaupun sarat dengan fakta.

Ini kerana, entri ini hanyalah ringkasan kepada apa yang aku nak sampaikan.
Jika korang nak tahu lebih lanjut, Google sentiasa ada jawapannya.



.




Feb 17, 2013

tEka-tEki #17 Tiga Klu untuk Baris Ketiga



Tahu tak apa yang dah lama aku tak buat?
Bagi teka-teki!






Baiklah.
Untuk lebih jelas, aku taipkan apa yang ada dalam kertas tu.
Di bawah ni adalah apa yang tertulis dalam nota itu.

  • zoog
  • zolo
  • ?
  • zoR

Dan klu tambahan yang diberi ialah:
"Kalau ada baris kelima, baris itu akan tertulis zoB."

Siapa dapat jawab?
Ada sesiapa nampak patern di situ?

Siapa yang nak jawab bolehlah tinggalkan komen.
Tapi kepada yang jawab betul,
maaflah, bajet tak cukup nak kasi hadiah..Hehehe...
Aku cuma mampu listkan nama yang jawab dengan tepat je..

Jawapan, insyaAllah akan aku publish ahad depan.
Kalian ada (kurang) seminggu nak jawab.

Dan ingatlah,
yang seronok tentang tEka-tEki
bukanlah jawapannya,
tapi kepuasan memerah otak memikirkan jawapannya.
Jadi, please don't give up easily.
;)


Lagi tEka-tEki dalam koleksi:


postquam-scritpum:
Aku lupa nak publish jawapan untuk tEka-tEki #16 yang dah berkurun zaman tu...



.




Feb 15, 2013

Di Sebalik 'Vorteks' #2




Bukan nak kata apa,
tapi kalau dalam entri Di Sebalik 'Vorteks' dulu aku pernah kata ada 4 orang je yang baca Vorteks,
aku rasa sekarang, tinggal seorang je.
Tu pun setelah seminggu publish baru ternampak
mungkin atas sebab tajuk dia yang 'konon' gempak.
Apapun, aku ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada orang tersebut.

Aku pernah bagitahu,
rational aku tulis 'Vorteks' adalah sebab aku mahu mencabar diri dan menilai perkembangan sendiri dalam bidang penulisan,
Aku tak gemar baca novel.
Sepanjang umur aku, tak pernah habiskan baca satu pun buku novel.
Dan itu bukan satu kebanggaan.

Tapi, sepanjang aku menulis 'Vorteks' ni,
aku sedang menggigihkan diri menbaca beberapa novel.
Ya.
Aku masih belum dapat habiskan walaupun dan masuk beberapa bulan.
Dan kini, aku rasa aku tahu kenapa aku tak mampu habiskan baca novel dengan cepat.

Masalah aku,
membaca novel agak mengongkong imaginasi dari segi kreativiti.
(Feel free to object me.)
Maksud aku kongkong kreativiti ialah,
bila aku membaca novel, aku mula akan terbayang diri dalam situasi tersebut.
(Ya. Kebanyakan pembaca akan berada dalam situasi yang sama.)
Disebabkan penulisan novel adalah tetap dan ada jalan tersendiri,
maka imaginasi si pembaca bebas hanya dalam kelompok perkembangan plot.

Sebagai contoh:
ADDIN MENELAN AIR LIUR entah untuk kali ke berapa. Nak menundukkan ego. Ingat senang ke tu? Sejak hari Pak Cik Bakar meninggal sampailah ke hari ni memang paling cuba dielakkannya dari bertembung dengan Benz. Malu!
-aA+bB m/s 117

Dalam situasi di atas, berapa jauh imaginasi kita boleh pergi?
Apa yang kita boleh bayangkan sedang berlaku?
Apa reaksi dan ekspresi muka yang patut ada pada kita sebagai Addin?

Imaginasi kita terbatas hanya dalam kelompok apa yang diperkatakan.
Sebagai pembaca, kita memang tak mampu pergi jauh dari apa yang dipersembahkan.

Dan aku, selaku orang yang kuat berimaginasi,
beranggapan meletakan sekatan ke atas imaginasi adalah memenatkan.
Seolah-olah menahan air yang keluar dari muncung paip yang terbuka luas hanya dengan sebatang jari.

Dan aku tak kata novel itu tak bagus, in fact, novel itu begitu bagus sehinggakan aku terpaksa baca satu bab berulang kali hanya untuk merasakan perasaan yang aku rasa seberapa kali yang aku suka.

Berlainan dengan komik.
Lukisannya, walaupun hanya dalam kotak dan panel,
mampu menjana imaginasi dan kreativit lebih dari sekadar apa yang diceritakan.
Penggemar komik akan tahu kenapa mereka suka baca komik berkali-kali sedangkan ianya komik yang sama.
Sudut pandangan pembaca (komik) dapat berubah bergantung kepada karekter dalam panel, malah boleh berubah kepada sudut pandangan orang ketiga, seolah-olah kita berapa di tempat kejadian dan segalanya berlaku di depan mata.

Seorang peminat komik dan seorang peminat novel tak boleh disamakan.
Ianya seolah-olah menyamakan seorang doktor dan seorang pemuzik.
Tapi, ingatlah, seorang doktor juga boleh jadi seorang pemuzik.
Juga, ada individu yang bukan doktor, dan bukan pemuzik.

Aku tak pasti dengan kemampuan diri aku dalam menulis.
Tapi aku pasti, membaca memang mengembang kemahiran penulisan aku.
Aku respect dan tabik kepada pembaca novel di luar sana.
Aku yang baru baca sedikit ini dah dapat pelbagai ilmu
apatah lagi pembaca novel tegar yang sudah berkurun zaman membaca.
Otak mereka, pemikiran mereka, peribadi mereka,
mungkin sudah dibentuk dan diuli sebati dengan ilmu yang meraka perolehi.

Aku juga ingin menjadi seperti mereka.
Malah, kalau ada rezeki, aku mahu jadi lebih dari mereka.
Aku mahu jadi si doktor yang juga si pemuzik.
InsyaAllah.


Untuk 'Vorteks'.
Seperti yang aku pernah beritahu,
beberapa jalan cerita yang sudah aku siap taip hilang.
Hilang sekali bersama dengan isi 320Gb laptop aku yang...
Jadi, aku kena tulis semula.

Tulis semula juga bermaksud
aku berpeluang tambah isi dan luaskan lagi skop perkembangan isu
yang cuba aku sampaikan.
Jika kalian ingat semuanya hampir tamat,
sila jangan anggap sedemikian.
'Vorteks' masih lagi jauh, belum mencapai kematangannya.

Dan aku tak berniat langsung nak jadi penulis buku.
Aku tak berminat.
'Vorteks' hanyalah wadah untuk aku ukur perkembangan diri dalam bidang yang aku tak pernah terfikir mahu terokai.
'Vorteks' hanya tempat aku mahu menguji kemampuan, ketahanan, kreativiti dan konsistensi diri, tidak lebih dari itu.

Juga,
jika kalian ada pandangan, cadangan dan cemuhan terhadap 'Vorteks',
kalian boleh terus berhubung dengan aku di facebook.
Pergi ke fb Empire State of cEro dan klik butang [Message] dan kita boleh berdiskusi secara private seperti sepasangan kekasih yang bercinta. Hehehe.


postquam-scriptum:
Kecoh lama dah isu tentang novel yang guna Bahasa Melayu Tinggi (dipanggil novel standard) dengan novel yang guna Bahasa Melayu Percakapan (juga digelar novel picisan). Perkataan 'picisan' sudah meletakkan pandangan terhadap karya seseorang. Novel standard yang dikatakan kian tenggelam dek banyaknya terbitan novel picisan dan alternatif, yang dikatakan tidak mementingkan penggunaan bahasa standard dan tatabahasa yang tidak tepat.
Aku mungkin adalah orang yang paling tak berhak kritik dalam isu ni memandangkan aku bukan pembaca tegar.
Tapi, aku rasa aku nak juga utarakan pandangan.

Pada aku, secara peribadi, bahasa adalah alat komunikasi.
Si penyampai menggunakan bahasa untuk menyampaikan sesuatu kepada si penerima.
Apa jadi bila alat itu terlalu rumit dan susah difahami?
Si penerima bakal menghadapi masalah dalam penerimaan, sekaligus mampu membuatkan mesej yang nak disampaikan akan jadi tidak tepat dan berbeza.

Ya. Bahasa Melayu (Bahasa Malaysia) patut dipelihara dan dimartabatkan lebih tinggi dalam penulisan.

Sebenarnya,
ianya bergantung kepada niat si penulis itu menulis.
Kalau dia mahu 'menyampaikan mesej', sampaikanlah dalam bahasa yang mudah disampai, dicerna dan difahami.
Kalau dia mahu 'memartabatkan bahasa', sampaikanlah dalam bahasa yang mampu dimartabatkan dan dipandang tinggi.
Tiada istiliah bahasa tinggi rendah. Asalkan apa yang nak disampaikan sampai, silakan.

Jangan hanya kerana ilmu di dada dianggap tinggi, kita jadi bongkak mahu melabel karya yang lain sebagai picisan. Jangan juga kerana karya diterima ramai, kita jadi sombong menolak segala kritikan.

Baiklah.
Aku mahu pergi mencurahkan agen pembersih bagi menyahkan segala danur dan noda di tubuh.
Ya. Aku nak mandi.

Baca Vorteks di sini:

[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]



.




Feb 13, 2013

Sebab Kenapa Aku Tidak Suka Doktor.




Tahu tak antara sebab aku tak suka doktor?
Disebabkan soalan bodoh yang selalu diajukan.









Maaf didahulukan kalau ada doktor baca entri ni
(aku rasa tak ada...),
tapi, aku cukup marah dengan kebanyakan doktor yang aku jumpa,
kebanyakan di klinik juga di hospital,
soalan pertama dia adalah
"Sakit apa?"

Dude!
Aku datang klinik sebab aku nak tahu aku sakit apa.
Kalau aku datang klinik dan bagitahu aku sakit apa,
maknanya akulah doktor, ye?

Aku faham,
maksud sebenar doktor-doktor yang kerap tanya soalan tu
ialah dia nak tahu kenapa kita nak jumpa dia.
Jadi, apa kata rephrase sikit, jadi,
"Apa boleh saya bantu?"
atau
"Kenapa ya?"

Pernah dulu sekali aku demam,
aku pergi jumpa doktor, dia tanya sakit apa,
aku jawab demam. Pastu dia pegang dahi aku,
dia tulis-tulis, dia suruh keluar,
15minit nama aku dipanggil kat kaunter,
pastu dia bagi panadol dua papan,
kena bayar RM30 termasuk fee consultation doctor.

Beb!
Panadol dua papan aku pun boleh beli kat 7E dengan harga jauh lagi murah.
Raba dahi dan kata demam, mak aku pun selalu buat.

Aku tak puas hati, aku pergi klinik lain yang lebih 'mesra',
tengok-tengok aku suspek denggi.
Dia suruh aku masuk wad, tapi aku degil.
Aku tidur seharian kat rumah dan minum 100plus beberapa botol besar.
Dua hari kemudian, aku main bola.

Kalau ada doktor baca entri ni,
please, jangan ambil mudah mana-mana pesakit korang.
Tambahan pula doktor-doktor hospital dan klinik kerajaan.
Tahulah tak sabar nak masuk swasta,
tapi jangan laa ambil mudah je.
Kadang-kadang, kesian makcik-makcik tua kena herdik kena tengking.
Pernah depan mata aku jadi. Sakit hati ooo..
Cuba yang kena marah, kena herdik tu mak abah kita.
Sakit tak hati?

Oh!
Bab herdik-herdik tu, termasuk nurse sekali.
Selalu aku nampak nurse marah-marah pesakit.
Baru nurse kot, jangan kerek sangat.




.




Feb 10, 2013

Sepi Selamanya atau Gila?



Tahu tak apa yang orang selalu nampak aku buat?
Cakap dan gelak seorang diri.


Aku rasa..TAK! Aku PASTI,
bukan aku seorang je suka cakap dan gelak sorang-sorang!
Aku pasti ramai lagi orang kat luar sana termasuk korang yang tengah baca entri ni suka cakap dan kadang-kadang, gelak sorang-sorang.
Aku pun sama.
Bukan sebab #sepiselamanya atau tak betul,
tapi kadang-kadang macam tak sengaja.
Bila teringat lawak-lawak yang kelakar,
aku mesti gelak sorang-sorang...
Bila aku cuba nak ingat sesuatu perkara,
aku mesti cakap sorang-sorang...
Macam semalam, ada makcik tegur aku sebab nampak aku tengah cakap seorang diri, padahal aku tengah nak buat kira-kira duit belanja aku yang tetiba lesap RM20..
Sambil jari menulis di angin, sambil mulut terkumat-kamit, mata pejam...
Orang yang nampak, mesti akan kata aku gila...

...atau mungkin aku betul-betul gila?
...atau mungkin aku je yang gelak dan cakap sorang-sorang?

Korang bagaimana?





.




Feb 8, 2013

Vorteks #20 - Harapan dari Masa Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19]





Hela nafas dihembus panjang. Johan masih di hujung katil dalam percubaannya mengingati apa yang berlaku pada 20 Mac 2004.
Tanpa disedarinya, waktu sudah menginjak 30 minit memasuki 20 haribulan.

Kerana buntu, dan dalam masa sama, tidak mampu lelap tidur, Johan keluar dari bilik tanpa hala tuju. Koridor tingkat atas yang gelap, namun kelihatan sedikit sinar cahaya keluar dari celah bawah pintu bilik tingkat loteng.
“Mungkin Prof. Erman masih belum lena...”
Optimis dan ingin tahu, Johan bergerak naik ke tangga loteng sebelum ketuk pintu bilik loteng meminta izin masuk.
“Masuklah...” Kebenaran diperoleh. Perlahan-lahan pintu dibuka dan kepala tertonjol masuk. Kelihatan Prof. E sedang duduk di kerusi kerjanya sambil menghadap sebuah komputer dan timbunan kertas dan buku rujukan. Ada gelas berisi kopi masih berasap di tepi tetikus komputer.
“Saya mengganggu Prof ke?”
“Kalau mengganggu pun, kau dah pun masuk ke bilik. Bukan kau boleh patah balik pun.” Agak ironi kata-kata Prof. Erman itu memandangkan ia ditujukan kepada seseorang yang datang dari masa hadapan. Johan tersenyum. Dia mengheret satu kerusi yang terletak di tepi pintu, rapat ke meja kerja Prof. Erman.
“Macam mana dengan kajian Prof?”
Prof. E memandang Johan tanpa ekpresi muka.
“Secara teori, aku rasa aku dah selesai. Namun, praktikal aku tak pasti. Satu-satunya cara nak tahu sama ada ianya berkesan adalah dengan menanti kedatangan kilat besar yang bakal menyambar loteng ini hari isnin malam selasa nanti. 22 haribulan, malam 23.”
“Berapa peratusan kejayaan?”
Prof. E terdiam seketika. Jelas, dia tiada jawapan untuk soalan Johan itu.

“Aku pernah berjanji kepada diri sendiri, kalau aku mampu mencipta mekanisma merentas masa, destinasi pertama aku ialah bilik ini pada 1 Januari 2000. Empat tahun lalu.” Prof. E memusingkan kerusinya mengadap ke komputer.
“Aku akan kembali kepada tarikh itu, dan beritahu aku pada waktu itu segala maklumat yang dia perlu tahu supaya dia dapat cipta mesin masa sesegera mungkin.”
Johan berkerut dahi.
“Kau masih ingat tentang ‘paradoks masa’ yang pernah aku ceritakan hari tu?”
“Ya.”
“Kalau pada 1 Januari 2000, ada aku dari masa depan datang bertemu aku pada waktu itu dan berikan data-data tentang kajian ini, maka aku sekarang sudah pasti mampu merentas masa sesuka hati...”
“...Namun, aku masih di sini, sedang sedaya upaya mengkaji, sedangkan tahun 2000 sudah empat tahun berlalu.”
“Maknanya, pada 1 Januari tahun 2000, tiada Prof dari masa depan datang bertemu?”
Prof. E hanya tersenyum. Namun jelas di wajahnya akan tanda kekecewaan.
“Satu hari aku tunggu. Hari sebelumnya, semasa orang ramai sibuk mahu menyambut kedatangan alaf baru, aku sibuk berkurung dalam loteng ini berkemas, menanti tetamu yang tidak akan pernah muncul...”
Johan dapat merasakan kesedihan Prof. Erman.
“Seminggu aku tunggu, dengan harapan mungkin ada masalah dalam pengiraan. Tapi, selepas seminggu, aku sedar. Aku mungkin tidak akan mampu mencipta mesin masa, atau paling kurang memahami mekanisma merentas masa.. Aku kecewa...”
‘...Sehinggalah pada waktu kau muncul tempoh hari. Aku seolah-olah tak percaya. Tapi, pandang dari sudut mana sekalipun, kau memang datang dari masa depan. Cuma, ianya bukan atas kemahuan kau. Dari situ aku tahu, sekurang-kurangnya, aku akan paling kurang selangkah maju dalam kajian aku. Harapan dari masa depan kembali menyinar.”
Johan tersenyum.
“Namun, satu persoalan timbul. Kenapa kau? Kenapa bukan aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa bukan saintis lain yang turut obses dalam kajian merentas masa? Kenapa engkau, seorang yang tidak terniat langsung untuk merentas masa?”
“Kenapa?” Johan bertanya.
Prof. Erman sempat menghirup kopi panasnya sebelum menjawab.
“Aku ada teori tentang itu, tapi semuanya hanya akan terjawab pada malam selasa ini. Sama ada berjaya atau tidak, semuanya bukan lagi bergantung kepada aku. Semuanya bergantung kepada satu kuasa yang lebih besar...”
Mendengar kata-kata Prof. Erman itu tadi, Johan tersenyum.

“Baiklah Prof...” Johan bangun dari kerusi tempat duduknya.
“Saya mahu masuk tidur dulu. Saya tidak mahu mengganggu Prof malam-malam buta macam ni...”
Johan bergerak ke pintu. Namun, ketika dia mahu memulas tombol pintu, dia terdetik untuk bertanyakan satu soalan kepada Prof. Erman.
“Prof...”
Prof. Erman mengangkat muka memandang Johan di muka pintu.
“Esok 20 haribulan. Prof tahu tak apa-apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac tahun ni?”
Beberapa saat Prof. Erman cuba mencari jawapan dari ingatannya.
“Seperti apa?” tanya Prof. Erman.
“Entahlah. Sesuatu yang mampu mengubah hidup seseorang.”
“Aku rasa tak ada. Kenapa?”
Johan menghela nafas panjang tanda kecewa.
“Tak. Saya rasa seingat saya, akan berlaku sesuatu pada tarikh ni, tapi saya tak mampu nak ingat apa yang akan terjadi...”
“Mungkin ianya lebih bersifat peribadi.”
“Mungkin...”

20 Mac 2004. Jam 0413.
Persekitaran perumahan sunyi. Selang-seli, kedengaran salakan anjing sayup jauh. Tiada kelibat manusia yang kelihatan, paling tidak, pada waktu itu.
Intan sedang nyenyak tidur di biliknya. Begitu juga dengan ibunya, sedang lena diulit mimpi di bilik utama. Namun, ibu Intan tidur seorang diri disebabkan ayah Intan, Encik Ahmad, terpaksa bekerja di luar kawasan.

Hening pagi yang masih sunyi, diisi dengan titisan embun di hujung daun rumput. Namun, keheningan itu telah dicemari dengan deruan enjin, perlahan dari sebuah van yang tidak menghidupkan lampu. Van putih itu meluncur senyap dan berhenti betul-betul di hadapan laman rumah Intan.
Tiga orang lelaki itu, berpakaian gelap, berjaket tebal dan juga bertopeng penuh, keluar perlahan-lahan dari pintu van yang dibuka. Mereka juga turut membawa beberapa batang besi di tangan. Salah seorang dari mereka membawa batang besi panjang yang digunakan untuk mengumpil. Mereka bertiga menuju ke pintu masuk rumah Intan tanpa sesiapa sedar.




BERSAMBUNG...[21]





Feb 6, 2013

6 Tema Filem yang Aku Tidak Kisah Habiskan Duit Untuk Ditonton di Wayang.


Tahu tak apa yang aku tak buat lagi tahun 2013 ni?
Tengok wayang...


Ya.
Walaupun aku suka tengok wayang,
tapi tahun 2013 ni aku belum mula lagi hobi aku tu..
Mungkin sebab tak ada wayang yang berbaloi untuk ditonton...
..atau mungkin wallet belum cukup kembong.

Tapi, walaupun aku suka tengok wayang,
tapi tak semua filem yang ditayangkan aku akan tengok..
Takkan nak habiskan duit untuk cerita yang ntahapehape kan?
Aku nak duit yang aku laburkan tu, berbaloi...

Maka,
berikut adalah ENAM tema filem yang aku tak kisah habiskan duit untuk menontonnya di wayang.



Jarang ada cerita filem yang bertemakan time-travelling ni..
Aku tak ingat apa filem last dalam tema ni yang aku tengok.
Mungkin Time Traveller's Wife kot..

Tapi,
cerita merentas masa yang paling awal aku ingat aku tengok ialah
Back to The Future (part I, II, dan III).
Siapa boleh lupa dengan Hoverboard, papan luncur terapung dari masa hadapan yang menjadi idaman sesiapa yang menontonnya.
Aku pernah terfikir (konon-konon) nak cipta Hoverboard guna prinsip magnet sama kutub dengan memanipulasikan gelombang magnetik bumi.
Tapi, biasalah, angan-angan je...
Kalau boleh buat, dah lama orang lain buatkan...




Kalau korang kenal aku,
korang akan tahu betapa aku sukakan cerita bertemakan zombie apocalypse ni...
Aku adalah pengikut setia Resident Evil (movie dan games).
Aku juga pengikut setia The Walking Dead.
Hampir semua wayang zombi yang keluar ke wayang aku tengok (kecuali Zombi Kampung Pisang, sebab aku tunggu tayang tv masa hari raya)

Tapi, Resident Evil: Retribution baru-baru ni agak mengecewakan..
Aku nak lebih banyak zombie, as in zombie dari manusia mati yang terinfect.
Aku tak nak genetically modified organisms.
Nampak tak real!




Siapa tak suka filem super-heroes?
Superman, Batman, Green Lantern, Wonder Woman.
Iron Man, Spider-man, Fantastic Four, Ninja Turtle (??)
Semua orang suka bila ada live action superhero movie.

Tapi, trend filem superheroes kebelakangan ni nampak sangat nak duit..
Brand placement everywhere.
Belum keluar wayang, dah penuh shopping mall dengan figura aksi superheronya..
Why can't a superhero just be a superhero?

BTW, latest Spider-Man (The Amazing Spider-Man) sangat mengecewakan.




Dude!
Kalau filem yang berasaskan manga,
sama ada animation ataupun live action,
siapa boleh bendung keterujaan aku?

Dah tengok live action Rurouni Kenshin?
Dah tengok live action Gantz?
Nanti dengar khabar nak keluar Dragon Ball Z (animation).
Agak-agak ada tayang kat wayang Malaysia tak?
Selalu tak tayang pun...
Nak tunggu DVD keluar, sampai 5-6 bulan baru keluar.
Sedih tau wayang Malaysia ni...

Ingat lagi live action Dragon Ball (DragonBall Evolution) yang mengecewakan tu?
Aku bayar tiket wayang mahal kot...
Dang!!!




Aku sekalikan Horror (seram) dengan Psycho-Thriller sebab elemennya sama.
Dalam dua-dua genre, mesti ada gelap, muzik yang kuat dan mendebarkan, dan elemen terkejut.
Cerita seram selalunya melibatkan entiti bukan manusia.
Certia psycho-thriller pula sebaliknya.

Last filem genre ni yang aku tengok ialah cerita pasal penulis novel yang berpindah rumah ke rumah yang pernah berlaku kes mati, dan di rumah tu dia jumpa beberapa gulung filem 8mm yang menunjukkan adegan bunuh, pastu last-last dia yang kena bunuh dengan anak perempuan kecik dia.
Siapa tahu apa nama cerita tu?




Aku anggap Emma Stone ni macam cheese.
Aku suka cheese.
Cheese sedap dimakan dengan apa pun, walaupun makanan tu tak sedap.

Macam cheese, tak kira berapa teruk pun filem tu, kalau ada Emma Stone, aku dah puas hati.
Macam aku cakap sebelum ni, Spider-Man baru tu sangat mengecewakan...
Tapi ianya tetap best sebab apa?
Ada Emma Stone!!!

Ada banyak filem Emma Stone yang aku perasan tak tayang kat Malaysia,
but fear not, selaku lanun bertauliah,
aku mampu download torrent dengan jayanya! Hehehe...


xxxxxx

Itulah enam tema filem yang aku tak kisah habiskan duit di wayang untuk ditonton.
Sama ada cerita tempatan atau luar, aku tak kisah.
Perasan tak, tak ada cerita cinta?
Sebab aku tak minat sangat cerita-cerita cinta wayang ni..
Semua tak masuk akal..
Termasuk laa yang tempatan...
Tapi, sesiapa pun tahu, cerita tempatan kita makin lama makin hampeh.
Kualiti teruk. Produser berkejar-kejar nak tingkatkan jumlah terbitan dalam setahun dan memanipulasi pelakon ada nama sampai pandang rendah kat mutu dan kualiti filem.
Pernah, aku sampai tahap nak muntah tengok cerita tempatan.

Kalau hal sebegini masih tak dibuat sesuatu,
aku rasa akan terkuburlah industri filem tempatan.

Jadi,
apa jenis filem yang korang tak kisah habiskan duit untuk tonton di wayang atau beli DVD original?
Che citer, che citer...




.




Feb 3, 2013

Gambar Paling Susah Nak Diterangkan Dalam Handphone Aku [Edisi Pornografi]


Tahu tak antara cara menilai peribadi seseorang?
Dengan melihat gambar dalam galeri phone dia.


Pergh! Tajuk pornografi je, laju korang datang...
Ini kesinambungan dari entri Gambar Paling Susah Nak Diterangkan Dalam Handphone Aku.
Malas nak klik dan baca?
Ok,
ini ringkasannya, sila baca dalam satu nafas:

Seorang kawan sama sekolah aku dulu meminta untuk melihat gambar dalam galeri handset aku dan bila aku tanya apa tujuan dia, dia kata dengan melihat apa yang kita simpan dalam galeri handset, kita akan tahu peribadi seseorang, sebagai contoh, peminat kucing akan memenuhi galerinya dengan gambar kucing, pervert dengan gambar lucahnya dan narcissist pula penuh dengan gambar diri sendiri. Yang menjadi persoalan ialah bila ada gambar yang tak mampu dijelaskan...

Sekarang,
aku akan tunjukkan satu lagi gambar yang susah aku nak jelaskan..

Ini dia:



Gambar ini diambil pada 29 November 2011 pada jam 2316 di satu tempat di Shah Alam.

Kawan aku bertanya,
"Apakah neraka gambar ini?"

Aku jawab,
"Masa sedang menunggu sesuatu, aku berjalan di bawah satu lampu. Kelihatan banyak siput babi berkumpul dalam satu tempat. Aku eksaited. Aku snap satu gambar."

Aku sangat sure, pada masa itu, kawan aku mengangkat sebelah kening dia tanpa pelik.

"Sebab eksaited, esoknya aku pergi cari maklumat lanjut tentang siput babi ni dan kelakuan diorang semalam. Rupanya, malam tu, diorang berkumpul ramai-ramai disebabkan sedang musim mengawan. Dalam gambar tu, ada lebih dari 10 siput yang berlumba-lumba cari pasangan nak mengawan."

Sekali lagi, kawan aku buat muka jijik.
"Kau snap gambar siput sedang mengawan? Dengan kata lain, kau macam photographer untuk porno versi siput. Hmmm..Aku rasa, kau perlukan bantuan.."

Seketika,
aku terdiam sekejap memikirkan apa yang diperkatakan.
Lalu aku membalas,

"Tahu tak kenapa aku simpan gambar ni?"
"Tak...Kenapa?"
"Bila masa sesuai dan aku perlu buktikan tentang kuasa jenama (brand power) kepada sesiapa, aku hanya perlu tunjukkan gambar ni.."
"Kenapa?"
"Aku tunjukkan gambar ni, dan orang hanya anggap ianya gambar biasa, tapi kalau aku letak logo kecil di satu penjuru gambar ni tertulis 'National Geographic', semua yang melihat akan berasa kagum dan kata ianya adalah keindahan alam.."

Semua yang mendengar, mengangguk...

Fuuuhh! Selamat.

Sedikit fakta tentang siput babi:
  1. Nama saintifik untuk siput babi ialah Achatina fulica
  2. Siput babi adalah simultaneous hermaphrodite, yang bermaksud seekor siput babi ada kedua-dua testes dan ovari dan mampu menghasilkan kedua-dua sperma dan telur.
  3. Jika terjumpa dua siput babi yang sedang bertindih antara satu sama lain, maknanya mereka berdua sedang mengawan.
  4. Ketika mengawan, kalau saiz sama, mereka boleh bertukar gamet sesama sendiri (persenyawaan dua hala)
  5. Ketika mengawan, kalau saiz berbeza, selalunya hanya persenyawaan satu hala dengan yang bersaiz besar sebagai betina (menerima sperma)
  6. Siput babi adalah haiwan dalam kelas gastropod, yang bermaksud 'berjalan menggunakan perut'.





.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: