Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 20, 2013

Vorteks #50 - Semasa Kepulangan...


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49]




“Rasanya, sakit tak kalau kena tembak?”
Soalan Azlan menarik perhatian Johan. Johan yang sedang menulis nota di meja belajarnya dengan serta-merta meletakkan pennya dan berpusing menghadap Azlan yang sedang berbaring di atas katil. Teman sebilik Johan di kolej itu kelihatan sedang membaca buku komik.
“Kenapa tiba-tiba kau tanya?” Soalan Azlan dibalas dengan soalan dari Johan.
“Komik ni. Hero dia ditembak di dada, tapi masih boleh melawan balik dengan bergayanya.”
“Komik, Lan. Apa yang kau expect?”
Azlan tukar posisi dari berbaring kepada duduk.
“Dari segi fizik balistik, aku tahu bagaimana sesebuah pistol berfungsi dan jenis-jenis peluru yang boleh meninggalkan kesan paling teruk kepada mangsa. Aku belajar engineering. Aku tahu bagaimana mekanisme trajektori peluru dari dalam senjata, ke luar senjata, dan seterusnya mengenai target. Tapi apa yang lebih menarik minat aku adalah apabila peluru tersebut masuk ke dalam target, contohnya manusia. Sedangkan kena cubit dengan awek pun sakit, inikan pula ada peluru masuk dalam badan.”
Johan tersenyum. Azlan yang tipikal, selalu bertanyakan soalan trivia yang kadangkala tak pernah difikirkan orang.
“Kau sebagai pelajar medic, mesti tahu kan?” Azlan memandang Johan, menunggu jawapan.
Selepas menghembuskan nafas panjang, Johan menjawab, “Kesan dari tembakan selalunya bergantung kepada saiz senjata yang digunakan. Tapi secara general, luka ditembak selalunya datang dari laluan peluru yang masuk ke dalam badan. Ianya seperti badan kita ditebuk. Seolah-olah daging dibelah hidup-hidup. Dan lebih mengerikan adalah sesuatu yang dipanggil shock wave. Shock wave ini mampu buatkan organ penting kita rosak dan pecah walaupun peluru tidak menuju ke arah organ tersebut. Ianya umpama gelombang yang merebak bila kita baling batu ke dalam air, tapi dalam kes ini, air itu adalah daging kita, tubuh badan kita.”
Azlan tergamam.
“Kalau kau tanya sakit tak kena tembak, jawapan aku tentulah sakit. Tapi aku tak pernah rasa. Orang yang pernah rasa saja tahu sakitnya macam mana. Teringin nak rasa ke, Lan?” tanya Johan. Azlan menggelengkan kepala.
“Dengar penerangan kau pun dah rasa seriau satu badan.”

Mengenang memori Johan bersama Azlan membuatkan dia bersyukur. Awal hari tadi Johan hampir merasa sakitnya badan dilalui peluru. Kini, dia sudah selamat bersama Intan di sebelah melihat kelibat dua orang lelaki tu yang keluar dari sebuah kereta.
“Prof. Erman!” Intan bersuara gembira.
Prof. E sambil tersenyum meluru sebelum memeluk Intan dan Johan. Sedikit janggal di pihak Intan dan Johan, namun dibiarkan sahaja. Mungkin itu cara Prof. E menunjukkan rasa empatinya.
“Syukurlah kamu selamat. Syukurlah.” Tak pasti, tapi Johan melihat mata Prof. E seperti bergenang dengan air mata. Demi mengelakkan suasana janggal, Johan cuba alih tumpuan.
“Prof. Shah, terima kasih kerana datang. Tak sangka Prof boleh duduk berdua dengan Prof. E tanpa melibatkan perang,” gurau Johan. Prof. Shah dan Johan ketawa kecil sambil berjabat salam.
 “Intan, ini Prof. Shah. Dia kawan Prof. E.” Tergelak sedikit Prof. Shah mendengar kata-kata Johan. Kawan? Belum tahap itu lagi rasanya.
“Tanpa lengahkan masa, marilah kita pulang. Ibu bapa kamu sudah menunggu di rumah,” kata Prof. E kepada Intan. Intan gembira mendengar kedua-dua ibu bapanya selamat di rumah.

Jam di dinding menunjukkan hampir pukul dua pagi, namun Encik Ahmad dan isterinya masih berada di ruang tamu menunggu khabar berita dari Inspektor Bakar. Encik Ahmad mahu tahu perkembangan selepas Encik Alex ditahan. Sekali-sekala Encik Ahmad meninjau ke luar rumah, melihat kalau-kalau Inspektor Bakar sudah tiba. Tiada Inspektor Bakar. Hanya terdapat tiga pegawai polis yang berkawal di sekitar.
Lain pula cerita dengan isteri Encik Ahmad, iaitu Puan Nora. Selepas menemani Farhan tidur di bilik, dia terus turun ke ruang tamu dan duduk di sofa, tidak berganjak. Wajahnya kelihatan sugul, matanya masih bengkak dan merah akibat banyak menangis. Puan Nora seperti masih menyalahkan diri sendiri akibat dari kegagalannya menyelamatkan Intan dari dibawa pergi penculik.

Terdapat bunyi deruan enjin kenderaan di luar pagar rumah. Encik Ahmad melihat ke luar melalui tingkap. Kelihatan Inspektor Bakar keluar dari pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik polis. Encik Ahmad terus meluru ke pintu untuk menyambut Inspektor Bakar, sekaligus untuk mengetahui perkembangan siasatan. Pintu dibuka, Inspektor Bakar dijemput ke ruang tamu.
“Bagaimana?” tanya Encik Ahmad, tidak sabar.
Setelah menarik nafas panjang, Inspektor bakar mula melapor. “Setelah didesak, Alex memberi pengakuan. Dia mengaku mengupah seseorang untuk pecah masuk ke dalam rumah Encik Ahmad bertujuan untuk menakut-nakutkan Encik Ahmad sekeluarga, tapi dia tidak mengaku mengarahkan mereka menculik anak Encik Ahmad.”
“Mungkinkah dia menipu, Inspektor?” tanya Encik Ahmad.
“Kami rasa tidak. Pada kami, kejadian penculikan ini adalah inisiatif penjahat yang diupahnya sendiri. Namun, Alex mengaku ikut serta dengan rancangan orang yang diupahnya itu dan teruskan dengan penculikan.”
“Penjahat itu? Dapat kesan?” tanya Encik Ahmad lagi.
“Alex hanya berhubung dengan Zul dan tidak pernah berurusan dengan dua lagi rakan jenayah Zul, iaitu Bawi dan Galah. Selepas Zul ditemui mati, Bawi dan Galah gagal kami kesan.”
“Anak kami? Intan?” Puan Nora mencelah dari belakang.
“Maafkan kami. Sehingga kini kami masih belum dapat jejak di mana Intan berada.”
Puan Nora kembali duduk di sofa. Kecewa.

Suara perbualan antara Inspektor Bakar dengan Encik Ahmad semakin hilang dan tenggelam dalam fikiran Puan Nora. Entah untuk keberapa pusingan, air matanya kembali berlinangan. Puan Nora tidak dapat membayangkan kejadian buruk yang menimpa anak perempuan kesayangannya itu. Selamatkah? Penatkah? Cederakah? Dahagakah? Laparkah? Terlalu banyak soalan tanpa jawapan.
Tiba-tiba, naluri keibuan Puan Nora seolah-olah tersentak. Dia dapat merasakan sesuatu sedang memanggilnya dari luar. Hilang akal? Adakah ini kesan dari beberapa episod kekecewaan yang melampau? Apapun, ianya tidak diendahkan Puan Nora.
Secara tiba-tiba dan tergesa, Puan Nora berlari melintasi suaminya dan Inspektor Bakar dan menuju ke pintu rumah. Dibukanya pintu tersebut dan dengan berkaki ayam, Puan Nora berlari keluar ke arah pintu pagar. Tiga orang pegawai polis yang berjaga turut mengiringinya di belakang. Sampai di pintu pagar, Puan Nora memberhentikan langkahnya dan tergamam melihat sesuatu.
Encik Ahmad turut mengikuti isterinya yang berkelakuan pelik itu. Inspektor Bakar berada di belakang Encik Ahmad. Langkah kedua-dua mereka juga turut terberhenti selepas memandang sesuatu di hadapan.

“Assalamualaikum, Ibu. Ayah.”
Intan yang diselubungi selimut di badan sedang menyeberangi jalan menuju ke rumahnya sambil diiringi Prof. E di sebelah.
Dari pagar, Puan Nora dan Encik Ahmad berlari ke tengah jalan, menyambut kepulangan anak mereka. Mereka bertiga berpelukan. Kedengaran suara Puan Nora dan Intan berteriak menangis kegembiraan. Encik Ahmad juga tidak mampu menahan sebak dan turut berlinang air matanya. Tersentuh hati semua yang menyaksikannya. Prof. E di sebelah turut tersenyum puas. Kerjanya menemukan kembali seorang anak kepada ibu bapanya sudah selesai.

“Awak siapa?” tanya Inspektor Bakar sambil menghulurkan salam kepada Prof. E.
“Saya jiran Encik Ahmad,” balas Prof. E sambil menuding jari ke arah rumahnya di belakang. “Saya terjumpa Intan di Pusat Bandar, berjalan sendirian tanpa arah tuju.”
Tiba-tiba Prof. E dipeluk Encik Ahmad.
“Terima kasih, Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad memeluk erat Prof. E. Prof. E hanya mampu tersenyum sambil mengusap belakang badan Encik Ahmad sebagai tanda segala-galanya sudah reda.

Segala peristiwa itu disaksikan Johan dan Prof. Shah dari dalam kereta di hadapan rumah Prof. E. Mereka berdua juga terharu melihat pertemuan semula keluarga Encik Ahmad itu.
“Jadi, segalanya sudah selesai. Penjahat sudah tertangkap. Yang diculik sudah dipulangkan,” kata Prof. Shah.
“Penjahat sudah tertangkap? Betulkah?” tanya Johan.
“Ya. Dengar kata dalangnya adalah musuh perniagaan Encik Ahmad,” jawab Prof. Shah.
“Bawi dan Galah?” tanya Johan lagi.
“Siapa Bawi dan Galah?” Prof. Shah kebingungan.
Serentak semasa itu, Johan terlihat kelibat seseorang di seberang jalan sedang berjalan menghampiri kelompok keluarga Encik Ahmad dengan laju sambil mengacukan sesuatu.
“Oh, tidak.” Johan meluru keluar dari kereta meninggalkan Prof. Shah kebingungan. Dia berlari menuju ke arah tempat Encik Ahmad sekeluarga berpelukan.

“Matilah kau, perempuan!”
Bawi hanya berada di jarak 15 meter dari kedudukan Encik Ahmad sekeluarga sambil mengacukan pistol. Encik Ahmad, Puan Nora, Intan dan Prof. E terkejut. Inspektor Bakar dengan refleks mahu mencapai pistol di pinggangnya, namun dia sedar sudah terlambat.

Bawi melepaskan satu das tembakan.
Tembakan Bawi mengenai seseorang.
Inspektor Bakar dengan pantas membalas beberapa tembakan ke arah Bawi. Bawi rebah selepas menerima dua tembakan.
Satu lagi tubuh rebah ke bawah.

“Azlan, rupanya kena tembak tidaklah sakit mana.”

Johan terbaring tidak sedarkan diri berlumuran darah di atas jalan.



BERSAMBUNG...[51]





3 comments:

  1. aku pernah kena lastik... rasa dia.. sukar digambarkan... koh koh koh..

    okeyh. sambung sambung...

    ReplyDelete
  2. aku tak pernah kena tembak, dan aku tak mau ada pengalaman itu... mintak simpang malaikat 44... huh

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: