Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 15, 2013

Vorteks #47 - Masa Depan Merupakan Masa Silamnya.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46]




Hari sudah separuh berlalu, matahari sudah condong ke barat, namun Johan masih terbaring di atas katil di dalam bilik kolej kediamannya. Dibeleknya beberapa helai kertas keratan dari majalah hiburan yang dikoyakkannya. Salah satu keratan tersebut tercetak lirik lagu Kanvas nyanyian kumpulan Fire Recite Unit (FRU) yang kononnya sebagai lagu ‘comeback’ ke dalam industri seni dengan genre yang berbeza dari sebelumnya. FRU yang popular suatu masa dahulu dengan genre rock, kini memilih genre lebih perlahan dan berentak balada.
“Apa yang special sangat dengan lagu ni? Lirik pun entah apa maksudnya. Irama pun perlahan, mendayu, lembik.” Johan merungut sambil meneliti lama bait-bait lirik lagu itu.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.

Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.

Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.

Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.

Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.

Johan mengeluh panjang. Tidak disedari, gelagat Johan diperhati teman sebiliknya Azlan sejak dari tadi.
“Kau mengeluh macam mana sekalipun, bukan kau boleh buat apa.” Mendengar kata-kata tadi, Johan mengalihkan pandangannya ke arah Azlan.
“Aku kurang faham apa yang membuatkan Hani terpikat dengan si Yusran ni. Katanya, dia mula berminat dengan Yusran selepas mendengar lagu Kanvas ini dari radio.” Johan kembali mengeluh panjang. Azlan dari tepi hanya tersenyum. “Katanya, lirik lagu ini sangat bermakna buat Hani.”
Azlan menghampiri Johan sebelum merebahkan punggungnya ke atas katil, duduk di sebelah Johan yang masih berbaring. “Jodoh, Johan. Jodoh. Siapalah kita mahu mempertikaikannya.”
Mendengar nasihat Azlan, Johan mengukir senyuman. Senyum sumbing.

Memori.
Memori masa lalu tiba-tiba terlintas di benak Johan. Dia tersenyum. Kali ini senyumannya tidak lagi sumbing. Dia tersenyum sambil memandang Intan di sebelahnya yang sedang leka melihat suasana sekeliling.
Pakcik Nizam berhenti rehat di sebuah hentian rehat dan rawat. Mahu buang air katanya. Setelah beberapa destinasi Pakcik Nizam berhenti untuk mengambil bekalan bajanya, kini mereka sudah memasuki lebuhraya dan menuju ke arah Pusat Bandar. Waktu rehat ini, Intan dan Johan berkeputusan untuk turun sebentar dari belakang lori. Selain berniat melejangkan badan yang terasa sengal dek kerana terlalu lama terlambung-lambung di belakang lori, mereka juga berharap dapat seketika lari dari udara beraroma baja yang memenuhi ruang di belakang lori tersebut. Namun, siapalah mereka untuk merungut. Dikutip dan diselamatkan dari tepi jalan, diberi air dan makanan, malah dibenarkan menumpang sehingga ke Pusat Bandar tanpa syarat, semua itu tidak ternilai hendak dibandingkan dengan tempat duduk kelas ekonomi meleset bertemankan beg-beg baja organik.
Hentian rehat dan rawat yang mereka singgahi ini tidaklah besar. Tiada kedai makan mahupun tempat orang ramai. Hanya satu bangunan tandas dan beberapa dangai yang disediakan untuk pengunjung. Terdapat juga beberapa buah lori treler yang berhenti bersama. Mungkin pemandu-pemandunya yang kepenatan ambil keputusan untuk melelapkan mata seketika memandangkan hari sudah jauh malam. Ragam orang mencari rezeki.
Johan dan Intan duduk di atas satu tunggul kayu yang rata.

“Awak!” Intan memanggil Johan. Johan menyahut.
“Bila difikirkan, siang tadi, saya amat pasti nasib saya akan menjadi buruk. Pada satu ketika, saya amat pasti yang saya akan jadi barang pemuas nafsu mereka tadi.” Intan menggigit bibirnya, teringatkan memori pahitnya.
“Entah dari mana, awak datang. Awak selamatkan saya. Dan kini, kita berada di sini. Selamat. Dalam perjalanan pulang ke rumah.” Intan mengukir senyuman. Johan turut sama.
“Terima kasih.”
Ucapan terima kasih Intan hanya disahut dengan anggukan dari Johan.

‘Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.’
Ungkapan itulah yang Johan pegang dari kali pertama dia dengar sehinggalah ke hari ini. Dalam konteks Johan, masa depan merupakan masa silamnya, maka dia perlu sedaya upaya untuk terus ke depan. Dia perlu sedaya upaya memastikan Intan terselamat supaya Hani pada masa depan mampu memberi sinar kepada orang ramai, termasuk dirinya.
Pada Johan, dirinyalah yang perlu ucapkan TERIMA KASIH. Tanpa Intan, tanpa Hani, dia mungkin tidak sampai ke tempat dia berada kini.

“Baiklah. Mari sambung perjalanan.” Suara Pakcik Nizam memanggil dari jarak 10 kaki. Serentak, Intan dan Johan bangun dan menuju ke arah lori. Semasa melintas depan lori, Johan terperasan ada seorang lagi penumpang di tempat duduk kelindan lori Pakcik Nizam. Berusia mungkin pertengahan 30-an, dengan muka berjambang dan rambut tidak terurus, lelaki itu sedang terlentok tidur bersandarkan cermin pintu lori.
“Siapa?” Johan bertanya kepada Pakcik Nizam.
“Oh, dia seperti kamu. Pakcik jumpa berjalan seorang diri di pinggir hutan. Katanya sedang ‘mencari ilham’.” Pakcik Nizam menguit kedua-dua jari telunjuknya membentuk tanda petikan semasa menyebut ‘mencari ilham’. Tidak mengerti apa yang dimaksudkan Pakcik Nizam, Johan hanya berlalu ke belakang dengan senyuman.
Setelah semua siap, mereka menyambung perjalanan ke bandar.

Suasana sunyi seketika, tiada kata. Hanya kedengaran bunyi deruan enjin lori yang sedang bergerak dinaiki mereka.
Johan melihat Intan yang sedang termenung melihat bumbung lori. Mungkin tiada isu mahu dibicara, maka suasana menjadi diam. Johan tanpa disedarinya bersenandung. Walupun perlahan namun cukup untuk menarik minat Intan di sebelah.
“Awak humming lagu apa?” soal Intan. Soalan itu mengejutkan Johan yang sedikit terleka bersenandung.
“Er...Ar..Lagu reka-reka je...Hehe!” jawab Johan, kurang meyakinkan.
“Nyanyilah kuat sikit, saya nak dengar,” pinta Intan.
“Tapi suara saya tak sedap,” elak Johan.
“Tak apa, bukan suara saya sedap pun.”
Tipu. Pernah sekali Johan menonton rancangan siaran langsung di televisyen di mana Hani diminta untuk menyanyi sebuah lagu. Lagu Kanvas. Suara Hani sedap. Lunak. Lagu Kanvas menjadi hit hanya selepas rancangan itu bersiaran.
“Awak suka lagu apa?” tanya Johan.
“Apa-apa saja pun boleh,” jawab Intan sambil tersenyum.
Johan membalas senyum. Ditariknya nafas dalam-dalam sebelum berdehem membuat persedianan. Intan tergelak kecil melihat gelagat Johan.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja...

Dalam banyak-banyak lagu, Johan memilih lagu Kanvas yang dibencinya.

Hilang tempat bertemu,
tempat pulang, aku tidak peduli.
Kerana hanya senyumanmu itu yang mahu aku lindungi.

Intan hanya mendengar, dan terus mendengar. Walaupun lari nada, walaupun dia tidak tahu lagu tersebut, namun Intan terus mendengar dengan senyuman.

Pertemuan, perpisahan
sebanyak bintang di atas kanvas malam...
Namun kini,
aku sangat tidak menginginkannya datang.

Aku hanya mahu kau di sisi,
di saat sukaku, dukaku.

Tanpa disedari, Pakcik Nizam dan lelaki berjambang di sebelahnya juga mendengar nyanyian Johan. Walaupun bukanlah sesedap mana, namun nyanyian itu sangat menghiburkan mereka berdua. Lelaki berjambang itu kemudian mengeluarkan buku notanya dan menulis sesuatu.

Mari mula dari sini.
Mari bina esok milik kita.
Mari lakukannya seperti kita baru sahaja dilahirkan semula.

Berlatarkan deruan enjin lori yang sedang bergerak, diikuti dengan sekali sekala irama kereta lain memintas, lagu yang dinyanyikan Johan ini begitu asyik dan menyenangkan Intan. Senyuman tidak lekang dari wajah Intan. Intan sedar bahawa lagu yang didengarinya ketika itu akan menjadi lagu kegemarannya. Lagu yang dinyanyikan oleh ‘wira berbaju perisai’, walaupun setting hanya berada di belakang sebuah lori berisi beg baja, namun bagi Intan ini adalah persembahan terbaik sepanjang hidupnya, mungkin seumur hidup, sehingga ke akhir hayat.
Apa yang Intan masih belum sedar ialah dia mungkin sudah jatuh cinta.

Seperti bunga ditiup angin musim panas,
mari kita berkembang cerah segera.

Beberapa ketika kemudian, lori mula bergerak perlahan dan banyak berhenti. Suasana di luar juga sudah berubah, kenderaan di sekeliling kedengaran semakin banyak. Dari sangkaan, mereka sudah memasuki kawasan padat. Ini bermakna mereka sudah hampir sampai ke destinasi, Pusat Bandar.
Kemudian, lori berhenti. Kedengaran pintu lori dibuka dan ditutup. Beberapa saat kemudian, Pakcik Nizam muncul di bahagian belakang lori.
“Kita sudah sampai.” Pakcik Nizam memberitahu Johan dan Intan dengan senyuman.

Pakcik Nizam berjalan ke depan lori dan bertemu dengan lelaki berjambang yang sudahpun turun dari lori.
“Terima kasih, Abang Nizam.” Lelaki berjambang itu menghulurkan salam sebelum disambut erat oleh Pakcik Nizam.
“Tak apa. Abang berbangga dapat tolong seorang artis terkenal.” Pakcik Nizam tersenyum lebar.
“Mana ada, bang. Saya sudah tak laku. Muzik rock sudah semakin mati.”
“Kalau rock semakin mati, kamu tukarlah muzik lain,” seloroh Pakcik Nizam.
“Mungkin. Begitulah perancangannya.” Lelaki berjambang itu melihat buku nota di tangannya sebelum tersenyum dan berlalu pergi.

“Fuh, tak sangka aku bertemu dengan artis, Yusran dari FRU,” bicara Pakcik Nizam seorang diri.





BERSAMBUNG...[48]





No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: