Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 11, 2013

Vorteks #44 - Masa Lalu Seorang Adik.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43]




Umum kenali aku dengan nama Bawi. Namun, sudah pasti, itu bukan nama sebenar aku. Tiada siapa tahu nama sebenar aku. Malah, tiada siapa tahu latar belakang aku.
Dan ini adalah kisah tentang diri aku.

Kalau ditanya sejak bila aku terjerumus ke dalam kancah persundalan, aku dengan bangga akan jawab sejak dari aku masih satu sel lagi. Lahir dalam sisi gelap pembangunan, aku adalah anak lorong yang makan hasil lendir dari kerja ibu aku, seorang pelayan. Aku sendiri tidak tahu siapa ayah aku, atau yang mana satu, tapi yang aku tahu, aku hidup bersama dua orang perempuan; seorang ibu dan seorang kakak.
Walaupun ibu yang melahirkan aku, tapi kasih sayang pertama aku datang dari kakak. Pada aku, kakaklah yang memainkan peranan seorang ibu, sedangkan ibu hanya keluar pagi dan balik tengah malam atas urusan ‘mencari sesuap nasi’. Beza umur sejauh lapan tahun tidak pernah membuatkan hubungan kami adik-beradik berenggang. Kakak menyayangi aku, menjaga aku dan mengambil berat tentang diri aku walaupun kehidupan kami tidak pernah sinonim dengan perkataan ‘senang’ dan ‘mewah’. Kami bahagia berdua.

“Maruah diri adalah nombor satu. Tak kira betapa miskinnya kita, betapa hinanya kita di mata orang lain, asalkan kita ada maruah, kita akan sentiasa bahagia.” Itulah nasihat yang berkali-kali diingatkan kakak kepada aku.

Sewaktu aku berusia tujuh tahun, di kala kanak-kanak sebaya aku sibuk pergi balik sekolah menuntut ilmu, aku hanya bermain di tepian longkang. Ibu kata, aku masih kecil untuk ke sekolah. Sedangkan aku tahu, masalah utama adalah duit pembelanjaan. Ibu hanya mampu membiaya hanya seorang, maka dia memilih untuk menyekolahkan kakak. Aku tidak kisah. Malah, aku lebih seronok. Dapat melihat kakak pulang dari sekolah setiap tengahari, kemudian gigih menyediakan makan tengahari untuk aku, sentiasa membuatkan aku tersenyum. Kakak cantik dalam pakaian seragam sekolah. Kakak juga akan mengajar aku membaca dan menulis pada waktu petang sebelum aku keluar bermain di taman permainan.
Suatu hari, aku terdengar perbualan ibu dan kakak dari dalam bilik.
“Biar kakak berhenti sekolah. Ibu sekolahkan adik pula. Kakak boleh cari kerja. Boleh bantu ibu.” Ibu tanpa berfikir panjang menerima cadangan dari kakak. Beberapa hari kemudian, aku dibawa ke sekolah untuk didaftarkan. Semuanya adalah jasa kakak yang sanggup berkorban demi aku.
Selepas saat itu, kehidupan kami berubah. Kakak keluar kerja dari pagi sehingga ke petang. Dia mendapat upah dari kerja membersih dan membasuh pinggan mangkuk di sebuah restoran berdekatan. Namun, kakak tetap akan mencuri masa tengahari untuk pulang dan sediakan makanan untuk aku. Selalunya dia akan tunggu aku balik dari sekolah dan makan tengahari bersama sebelum dia kembali ke tempat kerja. Walaupun masa aku bersama kakak semakin berkurangan, tapi aku tetap gembira.
Ibu? Tidak habis-habis dengan ‘kerja’nya dari pagi sehingga lewat malam melayan lelaki.

Satu hari, sewaktu aku pulang dari sekolah, aku dapati rumah tiada orang. Tiada kakak. Tiada ibu. Tiada makanan.
Beranggapan kakak sedikit terlewat dari tempat kerjanya, aku menyorok di dalam almari pakaian di dalam bilik kakak untuk mengejutkan dia sejurus selepas dia sampai di rumah nanti. Beberapa ketika semasa aku sedang menyorok, aku terdengar suara kakak dari pintu depan.
“Tak nak. Ibu, tolonglah. Kakak tak nak!”
“Jangan degil. Kau kata nak tolong ibu. Jadi tolonglah ibu.”
Suara kakak dan ibu bergilir-gilir memecah suasana. Tapi dari bunyi langkah kaki, aku percaya masih ada seorang lagi di situ. Kawan ibu barangkali.
“Tak nak. Ibu, tolonglah!” Suara kakak makin kuat. Dari celahan almari, aku mengintai keluar. Kelihatan ibu sedang menarik tangan kakak masuk ke dalam bilik kakak di mana aku sedang bersorok. Lalu ibu menolak kakak tertunduk di atas katil. Mata kakak merah, berair mata. Turut kelihatan, seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menghembus asap rokok dari sudut bilik, memerhati kelakuan ibu dan kakak sambil tersenyum.
“Aku tak peduli. Kau kata nak tolong aku, jadi kau kena buat,” ibu mendesak kakak. Belum sempat kakak membuka mulut, pipinya dihinggap satu penampar dari ibu.
“Jangan buat aku marah!” Ibu mengugut. Kakak menggosok pipinya yang kesakitan, hanya berdiam diri di atas katil sambil teresak-esak menahan tangis.
Ibu menuju ke arah lelaki tadi dan berbisik sesuatu yang tidak dapat aku dengari. Lalu lelaki itu mengeluarkan sejumlah duit kertas biru yang berlipat dari kocek seluarnya dan memberikan duit tersebut kepada ibu. Ibu, dengan senyuman, mengambil duit itu dan dengan segera keluar dan menutup pintu bilik. Si lelaki itu pula menanggalkan butang baju kemejanya satu persatu sambil menghampiri kakak. Kakak merayu agar dia dikasihankan tapi lelaki itu terlalu leka dengan fikiran kotornya.
Seterusnya, hanya sejarah. Aku menyaksikan segala-galanya, bagaimana pakaian kakak disentap, kudrat kakak dinafi, pekikan kakak diabai, maruah kakak dirampas, dan seterusnya kakak longlai tidak terdaya berseorangan. Aku mahu membantu, tapi entah kenapa aku tidak mampu bergerak. Aku tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya mata sibuk menatap tidak berkelip seluruh kejadian sambil ditemani air yang tidak berhenti mengalir keluar. Ini adalah pemandangan yang tidak mungkin dapat aku lupakan.
Niat aku mahu mengejutkan kakak bertukar dengan aku yang dikejutkan. Kakak aku kini sudah tidak bermaruah. Maruah yang dijaganya sekian lama. Maruah yang dikatanya paling penting untuk bahagia. Kini, maruah itu sudah tiada.

Sejak hari itu, kakak jadi pendiam. Kakak tidak seramah dulu, termasuk ketika bersama aku. Setiap kali aku melihat wajah kakak, tiada ekspresi yang kakak tonjolkan. Aku tahu kenapa, tapi aku tidak mahu mengatakannya. Aku hanya diam.
Bila melihat ibu, aku berasa jijik. Di sekolah diajar ungkapan ‘ibu mana tidak sayangkan anak’, namun di hadapan aku ada bukti sebaliknya. Haruan makan anak. Harapkan pegar, pegar makan padi. Dia bukan lagi ibu aku. Pada aku, ibu sudah mati, dan aku tidak keberatan untuk merealisaikannya.

Beberapa hari selepas peristiwa hitam itu, sewaktu aku balik rumah dari sekolah, aku dapati makanan tengahari sudah disediakan. Aku tersenyum gembira. Semua ini bermaknanya kakak ada di rumah. Kami akan makan bersama, ketawa bersama, riang bersama kembali.
Kami akan bahagia seperti dulu.
Sewaktu aku ke dalam bilik kakak untuk memanggilnya makan bersama, terdapat satu lagi pemandangan yang tidak dapat aku lupakan. Kakak, dengan lidah terjelir panjang, mata terbeliak dan merah padam, tergantung dengan satu hujung tali terjerut di leher dan satu lagi terikat di siling bilik. Jasad tidak bernyawanya terbuai-buai ditiup angin yang datang dari tingkap yang terbuka. Di atas meja, bertindihkan buku, terdapat satu nota tertulis, ‘maruah kakak hilang, kakak tiada pilihan.’
Sekali lagi, aku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terkaku.
Kakak membuat keputusan menamatkan riwayat hidupnya.

Pada aku, kakak seorang yang lemah.
Hanya kerana maruahnya dirampas, kakak ambil keputusan untuk merampas kebahagiaan aku. Kakak mengambil keputusan untuk menamatkan hayat satu-satunya orang yang aku sayang. Kakak mengambil keputusan untuk menamatkan hayat dirinya sendiri. Adakah kakak tidak memikirkan tentang apa yang akan terjadi kepada aku selepas dia pergi? Dia tidak layak menentukan apa yang patut dia ambil dari aku. Tanpa kakak, bagaimana aku mampu mengecap kebahagiaan lagi?
Ibu pula, hanya sehari selepas pengebumian (yang diuruskan oleh ahli masjid berdekatan atas tuntutan fardu kifayah), dia menyambung kerja persundalannya. Tiada masa untuk berkabung. Tiada masa untuk meratap. Tiada masa untuk bersedih. Tiada masa untuk aku. Sedangkan semua ini berpunca dari dia sendiri.
Dek kerana kematian adalah satu kebiasaan di kawasan kejiranan itu, tiada siasatan susulan untuk kematian kakak. Maka, ibu terlepas begitu sahaja. Masih lagi menjadi hamba kepada nafsu, wang dan lelaki.
Pada waktu itu, aku sedar, semua perempuan dalam dunia ini lemah. Kakak lemah, ibu pun lemah. Aku tekad, aku akan rampas sebanyak mungkin maruah perempuan yang aku mampu, sebagaimana mereka merampas seluruh kebahagiaan dan kegembiraan aku yang tidak mungkin lagi akan berganti.

Setelah berpuluh tahun merampas maruah perempuan, kini, aku bersama Galah, rakan sepenjenayahan dalam bidang pelacuran. Kami sedang berada di pinggir hutan memperkemas pakaian seragam polis yang kami pakai selepas merampasnya dari dua anggota yang kami serang sebentar tadi.
“Macam mana sekarang, Bawi? Polis tengah buru kita. Budak-budak tu dah terlepas. Kita sudah menculik, membunuh, menyerang anggota polis lagi. Mati kita, Bawi. Ke tali gantung kita.” Galah bernada cemas.
Aku tajam menatap sesuatu di hadapan.
“Selagi aku tak rabakkan budak perempuan tu, selagi aku tak penggal kepala budak lelaki tu, aku tak akan puas. Maruah aku adalah nombor satu.”
Di sebalik kegelapan senja, aku dan Galah sedang berdiri di dalam semak sambil memerhati dari jarak hampir 50 meter perbuatan seorang pemandu lori pikap yang mengangkat dua tubuh manusia masuk ke dalam lorinya. Selepas beberapa ketika, lori pikap itu berlalu pergi tanpa sempat aku dan Bawi berbuat apa-apa.

“Mereka takkan terlepas.”



BERSAMBUNG...[45]





3 comments:

  1. Tanda-tanda awal kiamat, lahirnya ramai anak luar nikah dan antara pengikut dajjal adalah anak-anak luar nikah yang tidak beriman. Nauzubillahiminzalik.

    Tp jgn lupa sekalipun bkn anak luar nikah tapi makanannya adalah brg haram, mungkin akan gelap hati dan akal.

    ReplyDelete
  2. the cycle of violence and hatred is endless...

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: