Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 4, 2013

Vorteks #43 - Masa dan Fatamorgana.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42]




Kaki Johan masih terus melangkah. Namun, langkahnya semakin lemah. Setapak demi setapak, setiap langkah dipastikan kemas dan kukuh. Dengan kasut yang dipakai bukanlah saiznya, tambahan lantai hutan yang tidak pernah rata, Johan perlu pastikan dirinya tidak tumbang semasa Intan masih digendong di belakang.
Intan di belakang diam tanpa bahasa. Johan sedar Intan terlena. Pada Johan, Intan berhak tidur lena setelah apa yang dilaluinya. Diculik, disorok, hampir dirogol, nyaris mati terbunuh dek tembakan, malah kini dikejar para penjenayah yang menculiknya. Hari ini mungkin menjadi hari paling buruk dalam sejarah hidup Intan. Tak mungkin pula Johan tergamak hendak kejutan Intan kembali semula ke dalam hari teruk yang masih belum berakhir.
Tapi kenyataan diri Johan yang semakin kesuntukan tenaga tidak mampu disangkal. Berjalan dalam hutan berjam-jam sambil menggendong Intan menuju ke destinasi yang tidak diketahuinya sangat memakan tenaga. Berpatah balik bukanlah pilihan, memandangkan dua orang penjenayah yang mengejar mereka sangatlah berbahaya, walaupun tidak bersenjata dan berpakaian.
Namun, yang suntuk bukan hanya tenaga. Masa juga. Matahari yang merupakan satu-satunya petunjuk jalan mereka, kini semakin condong menghilang di sebalik ketebalan hutan. Masa semakin petang. Hutan semakin gelap. Riuh unggas serta segala isi penghuni hutan semakin meriah, seolah-olah satu keraian.
Johan semakin hilang pilihan. Mahu diteruskan langkah, tiada tenaga. Mahu berhenti bermalam, takut menjadi santapan para haiwan buas.

“Aku kena kuat. Aku kena kuat.”
Berkali-kali Johan berbisik kepada diri sendiri. Namun langkahnya semakin longlai. Kakinya rapuh menahan langkah. Mulutnya terbuka menghembus lelah. Matanya kabur menahan penat.
Satu langkah, semuanya berubah. Johan sudah tiada daya. Lutut kanannya jatuh ke tanah. Diikuti dengan lutut kiri. Tangan kanan masih mengampu Intan sedangkan tangan kirinya bertongkat bumi. Dia kini separuh rebah. Tenaga yang masih ada digunakannya hanya untuk memastikan Intan tidak tersembam mencium bumi. Perlahan-lahan Johan meletakkan Intan yang masih lena bersandar ke pokok rendah berdekatan. Menakjubkan melihat Intan yang masih terlena. Sudah tentu Intan juga kepenatan sepertinya.
Johan tersandar di sebelah Intan.
Johan bernafas laju menahan penat. Jujurnya, dia buntu. Mungkin mereka kena bermalam di dalam hutan sahaja. Bab haiwan buas berkeliaran malam, itu akan difikirkannya kemudian. Biarlah kepenatan menelan mereka dahulu buat masa sekarang.
Melihat Intan di sebelah, Johan tersenyum. Dalam senyumannya, jelas kelihatan riak risau. Apa lagi boleh dia buat untuk pastikan Intan selamat? Apa lagi pilihan yang ada jika dia tidak mahu bermalam di dalam hutan, dan dalam masa sama tidak mampu untuk terus bergerak ke depan?
Penat memikirkan tindakan seterusnya, mata Johan semakin kuyu. Seperti syaitan yang bergayut di buaian, pelupuk matanya semakin berat. Beberapa kali Johan menampar pipi, tidak membenarkan dirinya untuk terlena. Dia tidak sepatutnya terlena. Ianya ibarat meletakkan makanan ke atas pinggan haiwan buas yang bakal meninjau. Namun, apakan daya. Tanpa disedarinya, matanya sudah terpejam. Fikirannya kini melayang dalam gelombang otak theta. Suasana riuh unggas di sekitar semakin pudar dalam fikiran.

Sayup. Bunyi deru enjin kenderaan.

Mata Johan terbeliak. Dia yakin dengan apa yang didengarinya. Ianya bukanlah fantasi seperti fatamorgana oasis di padang pasir yang tandus. Ianya jelas dan meyakinkan. Ianya bunyi kenderaan sedang bergerak.
Walaupun sedar dirinya sudah ketiadaan tenaga, tapi bak kata orang ‘desperate time calls for desperate measure’. Johan tidak peduli sama ada dia masih ada tenaga atau tidak, ataupun sampai ke tahap tulangnya patah atau ototnya hancur sekalipun, apa yang dia mahu ialah membawa Intan ke arah sumber bunyi yang didengarinya itu.
Johan lantas, dengan kudrat yang tinggal, bangun dan kembali menggendong Intan yang masih terlena di belakang badan. Dengan hanya berbekalkan semangat, dia bergerak menuju ke depan, meredah segala apa yang menjadi halangan. Fatamorgana atau tidak, dia tidak peduli. Padanya, bunyi deruan kenderaan itu adalah benar dan ada. Bunyi itulah yang menjadi agen pemberi semangat kepadanya.
Setelah beberapa langkah meredah pokok renek, belukar dan semak-samun, Johan memberhentikan langkah. Dia tersenyum. Di hadapannya adalah harapan. Di hadapannya adalah penantian. Di hadapannya adalah kemenangan.
Di hadapannya adalah sebatang jalan raya kecil.
Johan bersyukur. Ditadahnya tangan mengadap langit senja yang berwarna ungu, mengucapkan jutaan syukur kepada Yang Maha Mendengar.
Namun, umpama minyak yang sudah habis digunakan, pandangan Johan menjadi malap dan hitam. Dia terjelepuk di tepi jalanraya itu bersama Intan. Mereka berdua rebah tidak sedarkan diri. Tiada lagi semangat, tiada lagi kudrat. Masing-masing terbaring berdua di tepi jalan.

Bunyi deruan enjin semakin jelas. Jauh di hujung jalan ternampak suluhan lampu bermata dua. Suluhan itu datang daripada sebuah lori pikap kecil bermodel lama yang sedang melalui jalan raya tersebut. Apabila semakin menghampiri tempat Johan dan Intan terbaring, lori pikap itu memperlahankan kelajuan sebelum berhenti. Seseorang keluar dari pintu pemandu.

“Tuan, hari semakin gelap. Adalah lebih baik untuk kita tangguhkan usaha menjejak dan menyelamat ini, Tuan.” Inspektor Bakar mengangguk. Kata-kata anak buahnya memang masuk akal. Kawasan yang gelap dan berbahaya seperti di dalam hutan ini akan merumitkan lagi usaha mencari dan menyelamat. Paling tidak, mereka kini tahu dua penjenayah yang dikejar tidak lagi bersenjata (dan berpakaian). Namun, nasib dua orang mangsa yang dikejar penjenayah masih belum diketahui.
“Maklumkan kepada semua anggota untuk berkumpul di sini sebelum bergerak balik ke tempat kejadian tadi. Kita tangguhkan operasi kita sehingga diberitahu kemudian.” Setelah mendengar arahan Inspektor Bakar, anak buahnya itu menyebarkan arahan melalui sistem komunikasi gelombang radio ‘walkie-talkie’ yang mereka gunakan untuk berinteraksi.
Seorang demi seorang anggota datang melapor diri. Mereka juga kelihatan penat kerana berjam-jam meredah hutan. Inspektor Bakar sedar, ada antara mereka bukanlah arif sangat beroperasi di dalam hutan, namun sedikit sebanyak pengalaman ini boleh dijadikan bekalan masa depan.
“Tuan!” Pandangan Inspektor Bakar beralih ke arah sumber suara.
“Ada dua anggota kita tidak dapat dihubungi, Tuan.” Berita yang datang dari salah seorang anak buahnya itu sangat mengejutkan. Anggota-anggota lain yang berada berdekatan juga terkejut dan saling berpandangan sesama sendiri.
“Sudah cuba hubungi radio mereka? “
“Sudah, Tuan. Tiada respon.”
Setelah berfikir sejenak, Inspektor Bakar memberi arahan. “Kita akan bergerak bersama, menuju ke tempat terakhir dua anggota yang hilang itu dikesan. Itu prioriti tertinggi. Faham?”
“FAHAM, TUAN!”


Di satu kawasan di dalam hutan, Bawi dan Galah dilihat sedang memperkemas pakaian seragam polis yang dipakai mereka selepas mengambilnya dari dua anggota yang hilang.



BERSAMBUNG...[44]





No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: