Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 30, 2013

Vorteks #39 - Masa Untuk Melawan, Masa Untuk Berdepan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38]




Nadinya dapat dirasakan berdenyut kencang, namun itu tidak sedikitpun membuatkan Inspektor Bakar gelisah. Dia memang dikenali sebagai pegawai polis yang berdedikasi, bertanggungjawab dan sentiasa fokus dengan kerja. Sifat itulah yang membuatkan dia dihormati orang bawahannya dan rakan-rakan sepasukan.
“Kita akan mula masuk ke dalam hutan. Misi kita adalah untuk menyelamatkan seorang mangsa culik perempuan dan seorang lelaki yang belum dikenal-pasti serta menangkap dua penjenayah dikehendaki. Pastikan semua bergerak menuju ke arah selatan. Cari sebarang petunjuk yang mungkin ditinggalkan mangsa culik ataupun dua orang penjenayah itu. Laporkan sebarang penemuan sesegera mungkin. Faham?”
“FAHAM, TUAN!” Sahutan serentak satu pasukan mencari yang diketuai Inspektor Bakar itu membangkitkan semangat setiap ahlinya. Setelah mengambil tempat masing-masing, operasi mencari, menyelamat dan menangkap pun bermula. Pada jarak dua meter di antara setiap ahli pasukan, barisan panjang dengan tenaga 8 ahli mula melangkah masuk ke dalam hutan bagi mengesan orang yang dicari. Semua itu berlangsung semasa hujan masih lebat mencurah ke bumi.

Intan memerhatikan Johan. Johan tiada reaksi, hanya memandang permandangan hujan yang menimpa lantai hutan. Intan mengangkat punggungnya dan bergerak merapati Johan sehingga bahu kirinya bersentuhan dengan belakang badan Johan. Johan terkejut.
“Saya tahu awak pun sejuk. Apa kata kita rapat lagi. At least kita boleh saling memanaskan antara satu sama lain.” Intan merapatkan lagi badannya ke sisi Johan. Johan, tiada kata, hanya menarik nafas panjang.
Rapat? Saling memanaskan antara satu sama lain? Eh, itu semua ayat dalam filem hindustan. Filem di mana hero dan heroin terperangkap dalam ribut salji dan hanya ada sesama sendiri untuk memanaskan badan masing-masing. Kulit bertemu kulit. Haba saling bertukar. Adakah...
Fikiran Johan jauh melayang. Gelagatnya sekali-sekala menjeling Intan di sebelah, kemudian dipejam rapat kedua belah matanya, dan kemudian menghembus nafas panjang selepas lama ditahan membuatkan Intan tersenyum. Intan sedar, Johan sedang malu. Segan. Mungkin ini kali pertama insan yang dipanggilnya Yusran ini sebegini rapat dengan manusia berlainan jantina. Tapi Intan tidak peduli. Pada matanya, Yusran adalah penyelamat dirinya, dan dia berhak mendapat layanan baik, paling kurang saling bertukar haba badan ketika kesejukan.
Pada Johan pula, dapat kesempatan berada serapat ini dengan Hani, selaku pemain utama dalam industri hiburan tanahair untuk beberapa tahun akan datang, adalah di luar jangkaannya. Gembira ada, gementar sudah tentu.
Bunyi satu das tembakan memecah suasana damai hujan.

Inspektor Bakar dan pasukannya serentak mengangkat kepala mendongak ke atas. Dari  bunyi tembakan, jaraknya mungkin dalam kurang dua batu ke hadapan. Inspektor Bakar saling bertukar pandangan dengan beberapa ahli pasukannya. Dia perlu buat keputusan yang cepat untuk bertindak.
“Kita percepatkan langkah. Maju.”

Intan menutup mulut, terkejut. Johan meletakkan jari ke bibir, memberi isyarat kepada Intan supaya tidak membuat apa-apa bunyi. Bunyi tembakan tadi kedengaran sangat hampir, seolah-olah sumbernya hanya beberapa kaki di belakang pokok tempat mereka berteduh.
“Aku tahu kau di sekitar sini. KELUAR!”
Muncul suara melaung dari jarak lebih kurang 10 meter dari tempat Intan dan Johan berada. Intan memandang Johan dengan mata membuntang ketakutan. Jari Johan masih di bibir. Dia membongkokkan badannya meninjau ke belakang dari celahan pokok renek di sekeliling. Tepat matanya ternampak kelibat dua lelaki; seorang berbadan besar, seorang kurus tinggi sedang masing-masing memegang pistol di tangan.
Bawi dan Galah akhirnya sudah begitu hampir dengan mereka.

“Tak apa ke kau tembak ke atas tadi? Polis mungkin boleh dengar.” Galah kelihatan sedikit risau dengan tindakan Bawi yang berjalan di hadapannya. Bawi hanya tersenyum segaris.
“Jangan risau. Pada masa polis boleh sampai ke sini, budak berdua tu sudah jadi tawanan kita. Mereka berdua berada sekitar sini, mungkin sedang berteduh. Kesan yang mereka tinggalkan di sini sangat baru. Mereka tak jauh.”
“Tapi mana?”
“Budak perempuan yang dipanggil Intan tu, kalau dia panik, dia akan tercungap-cungap dan bernafas dengan laju. Sebab tu aku lepaskan tembakan. Bagi dia dalam ketakutan. Siapa boleh menyorok dengan nafas yang macam tu.”
Johan memandang Intan di sebelahnya. Walaupun tangan Intan masih menerkup mulut, tapi dia kelihatan bernafas dengan laju, bahunya naik turun dengan pantas menarik dan menghembus nafas.

Hyperventilation. Anxiety attack. Satu keadaan di mana gangguan dalam pernafasan disebabkan oleh serangan panik atau kebimbangan yang melampau. Ia akan menyebabkan orang yang mengalaminya bernafas dengan pendek dan laju, selalunya diikuti dengan dengusan nafas yang keras. Bernafas melalui beg kertas dapat mengurangkan gejala hyperventilation ini. Tapi, berada di dalam hutan tebal dengan hujan lebat menghentam bumi, memiliki beg kertas adalah mustahil.
Text-book anxiety attack. Aku patut buat sesuatu,” Johan berbisik. Dia perlu pantas memikirkan sesuatu. Hujan mungkin berpihak kepada Johan.

Aku kena tenang. Mereka berdua masih memandang ke kiri dan ke kanan disebabkan mereka tidak tahu kami di sini. Aku kena gunakan peluang ini sebaik mungkin.Inilah masanya. Masa untuk melawan, masa untuk berdepan.
Hujan yang turun memang membantu. Air yang jatuh dari atas dan menghentam dedaun pokok renek memberikan efek seperti daun itu bergerak-gerak. Maka, permandangan seperti adanya kelibat di belakang pokok sedangkan hanya daun yang melambai di sekeliling dapat mengaburi pandangan si pemerhati. Kelebihan ini diambil Johan untuk keluar dari tempat berteduhnya dan bergerak menyelinap dari satu rimbunan pokok renek ke rimbunan yang lain tanpa mengundang perhatian Bawi dan Galah. Akhirnya, Johan kini sudah memintas lokasi Bawi dan Galah dan senyap-senyap sudah berada di rimbunan pokok di belakang mereka berdua.
“Aku kira sampai tiga. Kalau korang keluar sebelum aku habis kira, nyawa korang mungkin selamat.”
Tamat sahaja ayat itu dilafazkan, Galah rebah ke bumi akibat satu libasan yang dihadiahkan Johan menggunakan alat pemotong dawai tepat ke kepala dari belakang. Sepantas mungkin, Johan melempar alat pemotong dawai dari tangan kanannya ke tanah dan terus menyambar pistol dari tangan Galah yang tertiarap tidak sedarkan diri lalu mengacukan pistol itu tepat ke belakang kepala Bawi. Bawi tidak sempat berpusing.

“Jatuhkan pistol kau dan angkat tangan atau kepala kau berkecai,” gertak Johan dengan suara tenang.
Bawi tiada pilihan. Pilihan untuknya berpusing dan mengadap Johan juga tidak diberi keizinan. Dia lalu menjatuhkan pistolnya ke atas tanah dan mengangkat tangan seperti gaya takbiratul ihram tanpa dapat melihat wajah Johan.
“Berani. Kau budak yang berani. Aku sangkakan kau hanya budak mentah yang mahu menjadi hero menyelamatkan seorang gadis cantik.”
Dalam hati Johan terdetik bahawa separuh dari penyataan Bawi itu adalah benar. Budak mentah yang mahu menjadi hero menyelamatkan seorang gadis cantik. Johan senyum segaris.
“Sebab utama aku lari dari korang adalah sebab korang berpistol. Ambil pistol, korang hanyalah anjing yang hilang gigi dan kuku.”
Itu bukan omong kosong. Johan sudah dilatih seni mempertahankan diri dari kecil oleh datuknya. Keberanian adalah sesuatu yang memang ada dalam dirinya.

“Budak, siapa nama kau?” tanya Bawi.
“Aku tiada nama,” jawab Johan.
“Baiklah, budak. Biar aku beritahu kau sesuatu. Aku nasihatkan kau tarik picu pistol itu dan tamatkan nyawa aku di sini. Sebabnya, kalau aku ada rezeki untuk bernyawa lagi, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing hanya untuk jadikan kepala kau sebagai koleksi hiasan awet di dinding tandas rumah nenek aku.”
Johan mendengus, tanda menempelak kata-kata Bawi itu.
“Ya, tapi macam mana kau nak cari aku sedangkan muka aku pun kau tak pernah pandang?”
“Hahaha...” Bawi ketawa tidak bernada.
“...aku mungkin tak cam muka kau. Tapi aku SANGAT cam muka Intan, muka mak Intan, muka bapak Intan, alamat rumah Intan, dan banyak lagi.”
Johan berubah muka, mencerun.
“Hanya untuk menarik kau keluar dari lubang cacing, aku sanggup awet Intan kesayangan kau dari bahagian pusat ke lutut dan gantung depan pintu rumah Encik Ahmad sebagai pameran.”
Johan mengetap bibir.
“Oh, sudah pasti aku akan buat semua tu selepas aku puas main ‘benda yang di tengah’ tu. Hahaha!” Bawi merapatkan jari telunjuk dan jari hantu tangan kanannya dan menggerakkannya seperti isyarat mengorek.
Kemarahan Johan berada di kemuncak.
Satu hentakan kuat menghinggap ke kepala Bawi dengan menggunakan hulu pistol yang dipegang Johan. Hentakan itu cukup membuatkan Bawi hilang kesdaran dan jatuh rebah menyembah bumi.
Genggaman tangan Johan menggeletar. Sedikit lagi dia mungkin akan menarik picu pistol dan menamatkan hayat Bawi. Akan tetapi rasional menerpa mengatakan bahawa saat peluru menembusi kepala Bawi, maka dirinya terletak sama taraf dengan pemusnah masyarakat itu.


“Maaf, aku takkan membunuh.”



BERSAMBUNG...[40]





1 comment:

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: