Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 23, 2013

Vorteks #38 - Semasa Hujan...


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37]




Nafas hembusan Intan dapat dirasai di pipi kiri Johan. Pada mulanya, Intan berada segan apabila Johan menggendongnya di belakang. Tapi lama kelamaan, terasa perasaan yang amat selesa dek kehangatan badan Johan yang dirasainya.
Satu titisan air tepat mengenai pipi kanan Johan. Johan memberhentikan langkahnya sambil mendongak ke atas. Lalu, bunyi titisan air menghentam dedaun pokok memenuhi ruang.
“Hujan.”
Sambil menunggu respon dari Intan, Johan memandang sekeliling, mencari mana-mana kawasan yang boleh dijadikannya tempat berteduh. Pandangannya terhenti pada sebatang pokok besar dengan pangkalnya dipenuhi dengan beberapa batang pokok renek. Celahan pokok-pokok renek itu sesuai dijadikan bukan sahaja tempat berteduh, akan tetapi tempat persembunyian jikalau Bawi dan Galah menghampiri.
“Intan, kita pergi berteduh di sana dulu, ya.” Tiada respon dari Intan.
Tidak menunggu jawapan, Johan terus bergerak ke arah pangkal pokok itu. Sampai di sana, Johan kemudian merendahkan badannya sebelum mencangkung untuk meletakkan Intan ke bawah. Apabila dia berpusing melihat Intan, Johan tersenyum.
“Tidur rupanya.”

Hujan makin lebat. Akan tetapi, Johan bersyukur kerana hutan tebal dengan dedaun di atasnya membentuk kanopi ini menyaring kelebatan air hujan menyebabkan mereka tidak basah sangat ketika berada di bawah. Juga, tempat berteduh mereka tersorok dari timpaan air hujan.
Intan masih terlena. Johan tidak sampai hati ingin mengejutnya. Sekali-sekala, Intan bergerak ke kanan dan ke kiri membetulkan kedudukan diri. Walaupun pangkal batang pokok tidaklah seselesa mana dibandingkan bantal dan tilam, akan tetapi orang seperti mereka tiada kuasa untuk memilih. Dapat bersandar di pangkal batang pokok sudah cukup bertuah bagi mereka.
Tempias air mengenai muka Intan. Selepas kening dan dahinya bergerak, Intan membuka mata. “Kita di mana?”
Shhhh!” Johan di sebelah menunjukkan isyarat jari di bibir.
“Kita sedang berteduh dari hujan. Terlalu bahaya untuk teruskan perjalanan.”
Intan mengangguk. Faham.
Sebenarnya, Intan tidak sedar sejak bila dia tertidur. Sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di bawah pokok, ditempias hujan. Namun, melihat Johan masih di sisi, dia rasa selamat.

Intan menghembuskan nafas ke tapak tangan dan menggosok-gosok lengannya berkali-kali. Sekali-sekala, Intan mengepit kedua-dua belah tapak tangannya bersilang di bawah ketiak untuk mendapatkan haba badan. Baju T nipis yang dipakainya untuk tidur ini tidak mampu menjadi penebat terbaik untuk dirinya yang sedang kesejukan.
Segala gelagat Intan diperhatikan Johan. Tanpa bicara, Johan menanggalkan bajunya, meninggalkan hanya singlet hitam di badannya. Intan terlopong.
“Nah, pakai! Walaupun lembab sikit, tapi baju ni tak basah.” Johan menghulurkan baju yang ditanggalkannya tadi ke arah Intan. Intan masih terlopong.
“Maaflah kalau ada busuk peluh. Buat-buat tak bau sajalah, ye.” Kata-kata yang berserta senyuman itu membuatkan jantung Intan berdegup kencang. Dengan perlahan, tangan Intan menyambut baju yang dihulurkan. Dia tiada kata, lidahnya kelu, hatinya sayu rawan.

Johan mengalihkan pandangannya kepada pokok rendah disebelahnya. Dia kurang pasti apakah spesies pokok itu, tapi daun-daunnya yang lebar dan besar telah memerangkap air hujan seperti sebiji mangkuk yang menadah. Johan memetik sehelai daun itu dan dengan berhati-hati membawa air tadahannya ke hadapan Intan.
“Minumlah. Awak nampak haus tadi.”
Sekali lagi jantung Intan dirasanya berdetak laju. Untuk beberapa saat, pandangan mata Intan tepat ke arah wajah Johan yang terukir senyuman. Akan tetapi, peluang untuk Intan melegakan tekak yang kehausan tidak dilepaskannya. Tiga kali Intan menyuruh Johan menadahkan untuknya. Dia tidak pernah terfikir air hujan adalah begitu nikmat.
Johan juga tidak melepaskan peluang membekalkan dirinya dengan air yang secukupnya. Ini sahaja peluang bagi mereka untuk segar semula.

“Awak. Awak tak sejuk?” tanya Intan.
Johan tersenyum tiga saat. “Kalau saya sejuk, awak nak datang rapat peluk saya ke?”
Jawapan Johan membuatkan Intan beralih pandangan dan terdiam. Kulit wajahnya yang putih gebu itu jelas kemerah-merahan. Mungkin sebab sejuk, mungkin juga sebab malu.
“Jangan risau. Saya tak sejuk. Saya sudah biasa sejuk-sejuk macam ini.”
Berfikir sejenak, Johan sangat tidak sangka insan disebelahnya itu adalah artis yang selama ini dia minati. Berdua berteduh bawah hujan. Bersama minum air tadahan. Malah sanggup pula dia memakai baju yang busuk dengan peluh. Bagi Johan, ini adalah pengalaman yang tidak dapat dia lupakan. Johan juga sedar, mereka masih belum selamat. Belum lagi selamat.

Johan merenung air hujan yang menghentam lantai hutan. Ada sesuatu yang difikirkan di dalam benak fikirannya.
Hujan. Adakah Bawi dan Galah akan memperlahankan langkah mereka memburu kami? Adakah mereka juga mencari tempat berteduh? Ataupun ini peluang mereka untuk terus mengejar kerana mereka fikir kami akan berhenti berteduh? Bagaimana dengan Prof. Erman? Selamatkah dia? Kami pula, ke mana patut kami tuju dalam hutan ini?
Satu jawapan pun Johan tiada.

“Kita patut berteduh, Bawi. Basah nanti,” Galah cuba mengajak Bawi berhenti. Sebenarnya, dia sudah kepenatan. Sakit kepalanya dihentak tadi pun belum habis hilang lagi.
“Sabar dulu, Galah. Hujan macam ni adalah peluang terbaik kita nak jejak budak-budak keparat tu. Mereka pasti akan berteduh menunggu hujan reda.”
Jawapan Bawi membuatkan Galah mencuka. Mahu atau tidak, dia terpaksa ikut kehendak Bawi kerana dia tidak mahu dirinya senasib dengan Zul yang mati dengan mata terbeliak. Apa sahaja yang akan membuatkan nyawa aku panjang, aku akan ikut, fikir Galah.
“Aku dapat rasakan, kita tak jauh dari mereka. Aku dah tak sabar nak kerjakan budak-budak tu.”

“Hujan ini akan merumitkan proses menjejak oleh anjing pengesan.” Inspektor memicit pangkal hidungnya dengan tangan kiri, memikirkan jalan penyelesaian terbaik. Tangan kanannya masih membelek-belek bukti video dari telefon bimbit yang Prof. E tinggalkan.
“Kita tiada masa. Nyawa mereka lebih penting. Cepat. Kita hantar masuk satu pasukan ke dalam hutan. Unit K9 dan anjing pengesan akan proceed selepas hujan reda.”
“BAIK, TUAN!”

“Akhirnya hujan telah turun,” Prof. E sedang bercakap dengan dirinya sendiri di dalam keretanya.
“Hujan ini mungkin berterusan sehingga malam 22 haribulan nanti di mana kilat Thor kedua akan muncul. Harap-harap, Johan dapat diselamatkan sebelum waktu tersebut.” Prof. E menghidupkan enjin keretanya, memijak pedal klac, menggerakkan tombol gear ke angka satu dan memandu kereta memasuki jalanraya.

“Aku masih ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Johan, tolonglah selamat. Aku akan hantar kau pulang ke zaman kau.”



BERSAMBUNG...[39]





No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: