Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 2, 2013

Vorteks #37 - “Apa Akan Jadi Pada Masa Hadapan?”


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36]




“Aku sudah lakukan yang terbaik. Harap ianya memadai.”
Perlahan langkah Prof. Erman menuju ke keretanya. Dia sudah keluar dari kawasan hutan yang ditempuhinya sebelum ini bersama Johan. Cuma kali ini, dia berseorangan. Dibukanya pintu kereta dan dengan longlai kepenatan dia duduk di atas tempat duduk pemandu. Dengan tangan kedua-duanya di stereng, Prof. E menekupkan mukanya. Dia kelihatan letih. Letih fizikal, letih mental.
“Semoga kau selamat, Johan. Intan juga.”
Apa akan jadi jika Johan gagal pulang ke masa hadapan? Apa akan jadi kalau Intan tidak terselamat? Apa akan jadi pada masa hadapan? Segala persoalan itu terlalu penat untuk difikirakn prof. E sekarang. Prioritinya adalah keselamatan Johan dan Intan.

Sementara itu, di rumah tinggalan tempat Intan pernah disembunyikan, kelihatan sebuah kereta pacuan empat roda milik pasukan gempur polis baru sampai dan menyertai lagi dua kereta yang sama di laman rumah tersebut. Kelihatan baru keluar dari kereta baru sampai itu adalah pegawai polis berpangkat inspektor yang sebelum ini pernah berada di rumah Encik Ahmad untuk siasatan kes penculikan Intan. Dia kemudian didatangi oleh dua orang bawahannya, seorang koroner bahagian forensik dan seorang pegawai berpangkat sarjan.
“Inspektor Bakar.”
Kedua-dua pegawai tadi memberi tabik hormat kepada pegawai atasannya. Inspektor Bakar membalas hormat tersebut dan mengangguk tanda kebenaran meneruskan taklimat.
“Paling kurang, mungkin ada tiga das tembakan dilepaskan dalam rumah ini, tuan. Ada satu mayat dijumpai di dalam. Mangsa dalam keadaan hanya bertuala mati akibat tembakan point-blank di perut,” lapor pegawai koroner itu.
“Hmm...point-blank? Dapat kenalpasti siapa mangsa?” si tuan bertanya.
“Dari proses pengecaman awal, dia mungkin adalah penjenayah dikehendaki bahagian penculikan dan pemerdagangan orang yang dikenali sebagai Zul. Dia berkemungkinan mati akibat perselisihan faham dengan temannya,” lapor sarjan pula.
“Mangsa teman sendiri?” Inspektor Bakar tersenyum sedikit di hujung bibir.
“Menurut rekod kita, tuan, mangsa dikatakan di dalam satu kumpulan dengan dua lagi penjenayah dikehendaki, dipanggil Galah dan Bawi. Mereka giat menculik remaja tempatan bagi tujuan pelacuran di dalam dan luar negara, tuan.”
Inspektor Bakar diam seketika. Mukanya menjadi resah.
“Nampaknya, kita bukan sahaja berhadapan dengan penculikan biasa. Ini satu sindiket, kes ini berprofil tinggi.”
Mereka bertiga kemudian didatangi oleh seorang lagi pegawai polis yang muncul dari dalam rumah.
“Tuan, kami ada jumpa bukti tinggalan berhampiran mangsa.”
Pegawai itu menghulurkan sebuah telefon bimbit. Selepas memakai sarung tangan getah, Inspektor Bakar mengambil dan membelek-belek telefon bimbit itu.
“Ini telefon bimbit lupus. Ianya tidak didaftarkan. Adakah ianya milik mangsa?” soal Inspektor Bakar.
“Kami masih belum pasti. Kemungkinan besar bukan kerana mangsa dalam keadaan tidak berpakaian. Semua pakaiannya ditinggalkan di dapur. Telefon milik mangsa juga ada dalam poket seluarnya yang ditinggalkan.”
“Telefon ini?”
“Telefon ini dijumpai di sebelah mayat mangsa.”
Inspektor Bakar menekan beberapa punat berkali-kali. Dia dibawa ke satu rakaman video yang sengaja ditinggalkan di muka depan paparan. Inspektor Bakar memainkan video tersebut. Bersama-sama tiga pegawai yang lain, video itu dipertontonkan.
Itu adalah video yang dirakam Prof. E sebentar tadi. Walaupun dirakam dari jauh, tapi segala aksi dan kelibat dapat jelas dilihat kerana semuanya berlaku berdekatan tingkap. Video selama 1 minit 33 saat itu bermula dari bunyi tembakan pertama yang dilepaskan, diikuti dengan tembakan kedua, tembakan ketiga, aksi Johan dan Intan berlari keluar dari rumah dan ke arah hutan, Zul datang memarahi Bawi dan Galah, dan tembakan keempat di perut yang merampas nyawa Zul, seterusnya babak Bawi dan Galah beransur meninggalkan rumah itu menuju ke arah hutan tempat Johan dan Intan berlari.
Inspektor Bakar dan tiga lagi pegawainya tergamam selepas selesai menonton video tersebut.
“Jelas, mangsa dibunuh kawan sendiri. Malah, salah satu dari dua orang yang berlari ke dalam hutan pada awal video adalah anak perempuan Encik Ahmad, mangsa culik yang dilaporkan awal pagi ini. Semuanya sama seperti apa yang terkandung di dalam panggilan kepada polis sebentar tadi.”
Inspektor Bakar menarik nafas panjang sebelum memberi arahan.
“Sarjan, hubungi unit K9 dan anjing pengesan segera, kita akan mencari mangsa culik dan memburu dua lagi penjenayah yang sedang mengejar mereka.”
“BAIK, TUAN!”

“Semoga kamu berdua selamat.”
Tindakan Prof. E meninggalkan telefon bimbit berhampiran mayat Zul adalah tepat. Telefon bimbit terpakai yang terkandung rakaman video penting itu tidak didaftarkan adalah kerana Prof. E hanya perlu membuat panggilan kepada nombor polis. Sebarang nombor kecemasan adalah percuma dan tiada caj. Dengan kata lain, jika telefon itu ditemui pihak polis, ianya tidak boleh dikesan mempunyai kaitan dengan Prof. E. Itulah rancangan dan niat sebenar Prof. E. Dia tidak mahu dirinya dan Johan terkait dengan kes polis. Dia hanya mahu selamatkan Intan tanpa siapa tahu. Malangnya, segalanya tidak mengikut perancangan awal. Johan dan Intan kini berada dalam bahaya.
“Kau patut dengar nasihat aku, Johan.”

Di dalam hutan, Bawi yang mengepalai Galah dengan cermat melangkah ke ke depan. Sekali sekala langkah Bawi terhenti sambil memerhati lantai hutan. Ada ketika Bawi berhenti dan meneliti dahan pokok rendah yang terpatah.
Bawi mungkin kelihatan besar, rakus dan tidak boleh diharap. Tapi, jika ada satu perkara yang boleh Bawi banggakan,  itu adalah kemahirannya dalam memburu dan mengesan di dalam hutan. Kemahiran itulah yang membuatkannya berjaya lari daripada ditangkap polis walaupun dirinya berada dalam senarai dikehendaki akibat dari kegiatan penculikan dan pemerdagangan orang.
“Bawi, betul ke jalan yang kita lalu ni?” Galah meragui kemahiran Bawi.
“Kau jangan risau, Galah. Budak-budak mentah tu tak sedar betapa jelasnya jejak langkah yang mereka tinggalkan. Mereka boleh terus lari, tapi mereka tak boleh bersembunyi. Lagipun, budak perempuan bernama Intan itu tak berkasut. Berapa jauh mereka boleh pergi tanpa kasut dalam hutan macam ni.”
Bawi kelihatan yakin dengan langkahnya menjejak Johan dan Intan. Galah cuma ikut dari belakang. Tiba-tiba, ada titisan air jatuh dari atas dan mengenai pipi Bawi. Bawi menyapu pipinya, kemudian dilihat ke tapak tangan, seterusnya mendongak kepala memandang ke atas.
“Hujan?”

Inspektor Bakar yang sedang bersiap untuk memasuki hutan turut memandang ke langit.
“Hujan akan turun?”

Beberapa titisan air menghentam cermin depan kereta Prof. E, membuatkan Prof. E mendongak melihat langit.

“Hujan.”



BERSAMBUNG...[38]





3 comments:

  1. Hurmm.. Cmne klu johan dsoal siasat nt ye,

    ReplyDelete
  2. Ini soalan teka teki ia purnama di bulan sama bila merana tak ingat nama

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: