Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 26, 2013

Vorteks #36 - Masa Untuk Ke Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35]




“Kenapa kau bunuh dia, Bawi?” Galah cuba mempertikaikan tindakan drastik Bawi.
Mereka berdua melangkah keluar dari rumah tinggalan itu. Bawi masih mendiamkan diri.
“Kalau dia mati, macam mana kita nak dapat bayaran dari Encik Alex?”
Mendengar kenyataan dari Galah itu, langkah Bawi terhenti di hadapan luar pintu. Dengan pistol masih di tangan, dia berpusing memandang Galah yang berada di tepinya. Perlakuan itu membuatkan Galah terkejut dan terlompat ke belakang satu langkah.
“Dari awal lagi aku tak pernah anggap si celaka Zul tu sebagai ketua. Tapi dia sibuk mengarah kita sana-sini seolah-olah kita ni kuli dia.”
Mendengar kata-kata Bawi itu, Galah menarik nafas lega. Lega dirinya tidak diapa-apakan Bawi. Dia tidak mahu nasibnya menjadi semalang Zul.
“Tentang urusan dengan Alex, kita anggap semuanya sudah terbatal. Aku tak suka berurusan dengan orang macam Alex tu. Lagipun, aku ada plan lain nak dibuat dengan budak perempuan tu. Plan yang lebih menguntungkan,” sambung Bawi dengan senyuman di bibir.
Galah kemudian menoleh ke belakang, meninjau mayat Zul yang terlentang di tengah ruang rumah. Hatinya sayu melihat kawannya itu sudah tidak bernafas. Tapi business is business, teman datang dan pergi, kali ini dia memilih untuk terus bersama Bawi.
Dengan sepucuk pistol seorang, Bawi dan Galah bersiap sedia untuk memasuki hutan di sebelah kiri rumah, kawasan hutan di mana Johan dan Intan tuju untuk melarikan diri. Tanpa disedari, segala gelagat mereka sudah dirakam oleh Prof. Erman melalui aplikasi kamera video di telefonnya. Prof. E masih bersembunyi di dalam kawasan semak samun di kanan rumah.
“Johan, kenapalah kau berlari ke arah hutan. Hutan tu hutan tebal. Kau sudah letakkan diri dalam keadaan bahaya. Sama ada kau jadi makanan haiwan liar di dalam hutan, ataupun kau jadi mangsa bunuh si penculik durjana tu.”

Johan dan Intan masih berlari di dalam hutan. Mereka berdua sudah memasuki kawasan hutan tebal di mana pokok-pokok yang meninggi membentuk kanopi menutup langit. Lantai hutan menjadi sedikit lapang dek kerana ketiadaan semak samun lalang yang tinggi. Yang ada hanyalah pokok-pokok renek dan lapisan daun kering yang gugur dari atas.
Intan memperlahankan langkahnya. Johan yang masih memegang tangan Intan dapat rasakan yang Intan mungkin keletihan. Melihat pokok sebesar dua pemeluk di hadapan, dengan pangkal batangnya sesuai dijadikan tempat bersembunyi, Johan mengambil keputusan untuk berhenti dan berehat seketika.
“Kita berehat di sini dulu ya, Intan.”
Intan terduduk kepenatan. Nafas laju dihembusnya berulang-ulang kali. Sekali sekala, dia menolak rambutnya yang menutup dahi ke belakang.
Johan berdiri bersandar dan cuba menjenguk ke belakang. Tiada kelibat dua penculik yang bernama Bawi dan Galah itu lagi. Apa yang lebih merisaukan adalah bunyi tembakan keempat yang didengarinya sejurus selepas mereka berdua masuk ke kawasan hutan. Adakah mereka ternampak Prof. E? Adakah itu tembakan untuk Prof. E?
“Prof. E bukanlah seorang yang akan masuk campur dalam keadaan genting seperti tadi. Aku rasa dia selamat. Mungkin tembakan keempat tadi adalah amaran kepada aku dan Intan.” Johan cuba untuk menenangkan hati.

“Awak..” Intan memanggil Johan.
“Awak..” Panggilan diulang kerana Johan tidak memberi respon.
“AWAK!” Suara Intan sedikit meninggi. Tersentak, Johan berpaling. “Ya, Intan.”
“Macam mana awak tahu saya diculik di sini?” Soalan Intan menarik perhatian Johan. Johan jelas bahawa dia tidak bersedia untuk menjawab soalan seperti itu. Dia tiada idea untuk mereka cerita dan juga masih tidak bersedia untuk menceritakan hal sebenar.
Saya boleh tahu awak diculik di sini sebab saya datang dari masa depan. Itu bukanlah jawapan yang bagus untuk menerangkan segalanya.
Johan memandang Intan. Nafas yang tercungap-cungap akibat kepenatan. Bibir kelihatan kering. Rambut basah akibat peluh. Baju tidur yang nipis penuh dengan kekotoran. Berkaki ayam.
BERKAKI AYAM?
Ya, dia baru sedar Intan berkaki ayam. Diculik di dalam rumah, dikurung di dalam rumah tinggalan usang dan berlari keluar melarikan diri dalam keadaan tergesa-gesa, siapa peduli jika perlu berkaki ayam?
Johan kemudian duduk dan memegang kaki Intan. Kelihatan calar sana-sini akibat tidak beralas semasa berlari di dalam hutan yang penuh dengan ranting kayu dan batu. Sewaktu disentuh kawasan calar itu, Intan dengan refleks memberi respon sakit, pedih.
“Maaf ya, Intan. Saya tak sedar awak berkaki ayam tadi.”
“Tak apa. Awak sudah datang selamatkan saya. Takkan saya nak minta awak bawakan kasut extra pula, kan?”
Johan tersenyum. Dia sedikit lega kerana tidak perlu menjawab soalan Intan sebelum tadi.
Intan sedar Johan tidak menjawab soalannya, atau lebih tepat, mengelak untuk menjawab soalan itu. Dia tidak kisah. Dapat diselamatkan dari sekumpulan penjahat yang rakus dengan nafsu sudah memadai buatnya ketika ini.
“Dengan keadaan kaki awak, agak menyusahkan untuk awak berjalan dalam hutan.”
Mendengar kata-kata Johan, Intan sedikit terkejut. Dia tidak menyangka kata-kata seperti itu datang dari seseorang yang dianggapnya sebagai ‘wira berbaju perisai’.
“Maksud awak, saya ini menyusahkan awak? Saya sudah menjadi beban kepada awak?” Intan menunduk kecewa, menatap kakinya yang menjadi punca segalanya.
Johan tersenyum. Dia sedar Intan sudah tersalah faham.
Johan kemudian bergerak dengan belakangnya mengadap ke depan Intan, dan mencangkung.
Onbu?”
Huh? Onbu?” balas Intan yang bingung dengan kata-kata Johan tadi.
“Ya, onbu. Gendong belakang. Piggyback.” Johan menepuk-nepuk belakang badannya. Intan masih tercangak-cangak.
“Sekarang masa untuk ke depan. Kita kena sentiasa bergerak. Dengan duduk di sini tak berbuat apa-apa, sama ada kita akan jadi pengisi perut haiwan buas, ataupun jadi mangsa bunuh penculik tadi. Jadi, kita kena terus bergerak bersama-sama.”
“Tapi...”
“Awak kepenatan. Jelas awak dehydrated akibat kurang air dan banyak berpeluh. Tambahan teruk pula dengan keadaan kaki awak. Jadi, satu-satunya cara untuk kita terus ke hadapan adalah dengan onbu.”
“Tapi...”
Johan segera menarik badan Intan rapat ke belakang badannya. Johan meletakkan kedua-dua tangan Intan ke atas bahunya. Dia kemudian mengampu peha Intan dan menginjakkan badannya bangun dari posisi cangkung. Intan terkejut, terkesima, malu pun ada.
“Maaflah, tapi kita tiada masa untuk bertukar pendapat,” jelas Johan.
Johan memulakan langkah berjalan memijak ranting-ranting kayu. Intan masih tercengang selepas digendong Johan.
“Tapi, saya berat, busuk, basah dengan peluh...” bisik Intan, malu.
Johan dengar akan bisikan Intan itu. Dia tersenyum tanpa jawapan.


Selangkah demi selangkah, Johan yang menggendong Intan di belakang bergerak terus masuk ke dalam hutan.



BERSAMBUNG...[37]




1 comment:

  1. dah darurat, ape nak malu malu busuk bagai.. hahahhaa... ok ok, sila sambung..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: