Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

May 31, 2013

Vorteks #30 - "Ambillah Masa Fikirkannya."


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29]




Rentas jelajah tanah, Arahjaya berkeluasan 343 kilometer persegi dan merupakan sebuah wilayah yang membangun. Dengan populasi mencecah 1.358 juta orang penduduk, Arahjaya dibahagi kepada lima bandar utama: Bandar Utara, Bandar Selatan, Bandar Barat, Bandar Timur dan Pusat Bandar Arahjaya. Di antara kelima-lima bandar tersebut, Bandar Selatan merupakan bandar yang berpenduduk paling padat, kira-kira 424 ribu orang. Rumah Johan dan kawasan perumahan di mana rumah Prof. Erman dan rumah Intan berada terletak di dalam Bandar Selatan. Pusat Bandar merupakan kawasan paling kurang penduduk, kerana di situ berpusatnya pelbagai bangunan pejabat dan pusat pentadbiran kerajaan termasuk kompleks membeli-belah utama. Lapangan Terbang Utama Arahjaya terletak di selatan Bandar Timur, sebuah kawasan yang luas tetapi dikelilingi dengan ladang kelapa sawit dan hutan belantara.

20 Mac 2004, jam 1036.
Di bahagian selatan Bandar Timur.
Kereta yang dipandu Prof. E sudah sampai di sebuah jalan mati. Di hadapan hanyalah kawasan hijau yang dipenuhi dengan pokok tinggi dan diiringi bunyi unggas.
“Kita sudah di penghujung jalan. Kita jalan kaki, dan di depan sana akan bertemu dengan jalan keretapi. Jalan keretapi itu berhubung terus dengan lapangan terbang untuk tujuan membawa penumpang dan barangan dagangan. Kalau kita bergerak sepanjang jalan keretapi, kita mungkin bernasib baik akan bertemu dengan mana-mana kawasan yang boleh dijadikan tempat persembunyian Intan.” Prof. E memberi penerangan panjang lebar.
Johan sudah berdiri berhadapan dengan hutan yang bakal mereka rentasi dengan memegang pemotong dawai di tangan kanan. Terselit di sebelah kiri pinggangnya adalah pisau pendek bersarung. Prof. E hanya memegang sebatang batang besi panjang.
Dengan tidak mengetahui berapa lama perjalanan mereka sebelum menjumpai kawasan Intan disembunyikan, ataupun dengan siapa bakal mereka hadapi, kedua-dua Johan dan Prof. E mula melangkah masuk ke dalam hutan.

Pada masa yang sama, di rumah Intan yang terletak di utara Bandar Selatan:
Di ruang tamu, selain adanya pegawai polis yang sedang menyiasat tempat kejadian, juga terdapat Encik Ahmad yang sedang memeluk erat isterinya di sisi. Mereka berdua duduk di atas sofa, rapat berpelukan sesama sendiri. Encik Ahmad cuba menenangkan isterinya yang baru sahaja mampu duduk selepas tersedar dari pengsan dipukul penculik. Isterinya masih tidak kering airmata. Encik Ahmad hanya mampu menepuk bahu isterinya berkali-kali, memujuk agar tidak terus menerus menangis. Namun, dalam tenang Encik Ahmad, dia juga menyalahkan dirinya kerana tiada semasa peristiwa itu berlaku. Encik Ahmad kerja di luar bandar. Selepas mendengar berita kejadian, dia dengan pantas meluru pulang tanpa mempeduli berapa besar kerja yang dilakukannya. Padanya, tiada yang lebih besar pentingnya dari keluarga. Kerja boleh dicari, keluarga tiada ganti.
“Aku patut lebih tahu. Keluarga aku dalam bahaya. Aku tak patut tinggalkan mereka.” Hati kecil Encik Ahmad merintih sesal. Kini, anaknya diculik, sedangkan pihak polis masih belum dapat petunjuk siapa pelaku jenayah. Pihak penculik juga belum membuat apa-apa panggilan meminta wang tebusan atau sesuatu seperti itu. Mereka, Encik Ahmad dan pihak polis, jadi buntu.

Kemudian, datang seorang pegawai polis berpakaian preman menghampiri Encik Ahmad dan isteri.
“Encik Ahmad, ada seseorang di luar mahu berjumpa dengan encik. Katanya dia kenalan rapat encik dan dia berkeras mahu membantu. Patutkah saya bawa dia masuk?” jelas pegawai polis itu. Encik Ahmad hanya mengangguk setuju.
Tiada sebarang tekaan dari Encik Ahmad mengenai siapakah tetamu itu. Padanya, biar siapapun dia, itu tidak penting. Apa yang penting, dia perlukan seseorang yang boleh memberi perkembangan.
“Ahmad, apa khabar? Sihat?”
Suara itu membuatkan Encik Ahmad laju memalingkan kepala ke arah empunya. Isterinya di sisi juga terkejut dengan reaksi suaminya, juga memaling ke arah suara itu datang.
Suara itu milik kenalan perniagaan Encik Ahmad, lebih tepat, musuh perniagaannya, Encik Alex.
“Encik Alex!” Kata-kata Encik Ahmad termati. Dia tidak dapat respon alasan khusus kenapa musuh perniagaannya kini berada di depan mata di saat keluarganya ditimpa musibah.
“Janganlah ber’encik-encik’ dengan saya. Panggil saja Alex.”
Tepat mata Encik Ahmad bertembung dengan mata Encik Alex. Encik Ahmad masih tidak dapat fikirkan alasan dan niat sebenar Encik Alex. Apa yang dia boleh ingat adalah ayat terakhir Encik Alex lemparkan kepadanya di pertemuan terakhir mereka beberapa hari lalu.
Aku akan pastikan kau terima padahnya, berkali ganda.

“Boleh kita bercakap berdua?” Encik Alex merujuk kepada kehadiran isteri Encik Ahmad di sebelah. Setelah memujuk seketika, Encik Ahmad bangun dari sisi isterinya dan bersama Encik Alex ke satu sudut di hujung ruang tamu di mana jauh dari mana-mana orang ketiga.
“Saya ada dengar anak awak diculik.”
Saya? Awak? Sejak bila si Alex ni pandai berbudi bahasa.
“Saya faham sedihnya perasaan anak diculik. Jadi, saya datang nak tolong.”
“Bagaimana?” balas Encik Ahmad, pendek.
“Macam ni... Tapi awak kena diam-diam, tak boleh beritahu orang lain, terutamanya polis.”
“Bagaimana?”
“Macam ni... Saya ada kenal beberapa orang besar dalam kumpulan sindiket sekitar sini.”
Kenyataan itu membeliakkan mata Encik Ahmad.
“Kalau awak nak, saya boleh minta tolong mereka carikan siapa yang culik dan lepaskan anak awak dengan selamat. Kalaulah awak nak...”
Berurusan dengan orang licik dan berniat jahat seperti Alex ini selalunya bukan percuma.
“Jadi, what’s in it for you?”
Soalan terus dari Encik Ahmad itu menguntumkan senyuman di bibir Encik Alex.
“Saya hanya berharap awak dapat lepaskan projek shopping mall yang kita bersaing sebelum ini, dan serahkan sepenuhnya kepada syarikat saya.”
Tidak syak lagi, si Alex ni memang licik macam ular.
“Awak kena tahu, berurusan dengan ketua sindiket jenayah bukan sesuatu yang mudah dan murah. Kita sama-sama, semua ada kepentingan. Yang penting tak melibatkan polis, ya.” Tangan Encik Alex naik ke bahu Encik Ahmad, memegang seperti akrab dua rakan baik, kononnya. Jelas Encik Ahmad tidak selesa.
“Jangan risau. Ambillah masa fikirkannya. Tapi, lagi lama awak tangguh, lagi susah nak pastikan anak awak dalam keadaan selamat.”

Selepas menepuk bahu Encik Ahmad beberapa kali, Encik Alex berjalan menuju ke pintu. Semasa berlalu di sebelah isteri Encik Ahmad yang sedang duduk di sofa, Encik Alex sempat senyum sambil menunduk sedikit kepada isteri Encik Ahmad. Isteri Encik Ahmad juga membalasnya.

Encik Ahmad berdiri di hujung penjuru ruang tamu dengan dua jari telunjuk dan ibu jari memicit ruang antara dua matanya. Macam-macam yang difikirkannya. Tetapi, ultimatumnya adalah pilihan antara anaknya, Intan dengan projek mega pembinaan kompleks membeli-belah yang menjadi impiannya sejak dari dulu lagi. Pilihannya jelas, tapi disebabkan pilihan itu datang dari seseorang seperti Alex, Encik Ahmad terpaksa berfikir sedalam-dalamnya.



BERSAMBUNG...[31]




5 comments:

  1. nak dekat sebulan saya tunggu sambungan vortex ni,apasal lama sangat ye?

    ReplyDelete
  2. berepisode rupenya.. nak baca dari awal *kalau mampu. heh

    ReplyDelete
  3. uih tetiba tringat kat satu citer sci-fi member aku tulis colab ngan aku n beberapa org lg masa zaman kitorng study dulu, berbelas-belas episode, 2 seasons panjangnya... tak publish kat mana2, dibiarkan beku ditelan masa huahaha...

    p/s: sori cero aku ada dedahkan kelemahan utama ko kat entry blog aku baru2 ni... mehehee :p

    ReplyDelete
  4. kejap kejap, aku kena ulang baca balik dari episod yang sebelum sebelum nie... huhuhu

    ReplyDelete
  5. Encik.. sy rindu lukisan encik. Sekian

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: