Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 12, 2013

Vorteks #26 - Memori Masa Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25]





“Seorang budak lelaki dijumpai bogel dalam bilik kau yang berkunci rapat dari luar, kau dah percaya dia dari masa depan?” Prof. Shah mempersenda Prof. Erman yang sedang berdiri di sebelahnya. Mereka di dalam sebuah bilik di dalam rumah Prof. Shah yang dikatakan kalis bunyi, sama ada dari luar ataupun gemaan dari dalam. Di hadapan mereka, Johan sedang duduk di atas kerusi kayu dengan kedua-dua telinganya ditutupi dengan fon kepala.
“Agak-agak, kalau kau ni pengkaji agama, dan tiba-tiba ada lelaki bogel dijumpai dalam bilik kau, adakah kau akan cipta agama baru?” Prof. Shah tergelak kecil selepas bertanyakan soalan itu. Dia kelihatan puas mempersendakan Prof. E di dalam rumahnya sendiri. Prof. E masih tidak memberi sebarang jawapan.
Oops, lupa! Kau lebih percayakan sains dari agama. Ha-ha-ha!”
Prof. E hanya mampu bersabar dan terus mendiamkan diri walaupun ternyata dia sedang menahan marah sehinggakan pelipis kepalanya bergerak-gerak.
“Baiklah, mari kita mulakan.”

“Otak manusia sangat mengkagumkan. Otak manusia berupaya menyimpan setiap maklumat dari apa yang kita lihat, rasa, dengar, sentuh mahupun perasaan dalaman seperti sakit, marah, suka dan gembira. Setiap pengalaman yang kita lalui, semua tersimpan rapi dalam otak. Tapi, otak hanya memilih maklumat yang tertentu untuk terus diingati. Maklumat yang lain, yang tidak diperlukan, akan disimpan dalam satu sudut dalam otak yang gelap dan mungkin tak akan diterokai. Tapi, maklumat itu tetap ada.”

“Johan. Aku akan cuba bawa kau kembali ke masa di mana kau pernah tonton rancangan temubual dengan gadis bernama Hani itu dengan bantuan muzik dari fon telinga yang kau pakai. Apa kau perlu buat, bayangkan situasi sebenar kau di waktu itu. Cuba sebut setiap perkataan yang kau dengar atau ucapkan semasa kau berada dalam memori kau itu.”
Johan mengangguk. Faham.
“Kau perlu tahu satu risiko. Aku hanya singkap memori dalam otak kau melalui minda separa sedar, seperti membawa kau ke dalam perpustakaan dan menyuruh kau membaca buku yang ada di dalamnya. Jika kau menipu, dan memori yang kau cakapkan itu tak pernah wujud, buku yang kau nak cari itu tak pernah ada, maka kau akan berada dalam keadaan yang aku panggil ‘kekosongan’, di mana minda kau mungkin akan terperangkap dalam kegelapan dan tubuh kau di alam realiti ini tak akan tersedar. Kau akan ‘mati minda’.”
Johan tidak memberi respon.
“Tapi, kalau kau memang dari zaman akan datang, dan memori itu memang wujud, kau tak perlu risau.”
Prof. Shah dan Prof. E berpandangan sesama sendiri. Johan masih mendiamkan diri.
“Kalau kau menipu, sekarang adalah masanya yang paling sesuai untuk mengaku.” Prof. Shah memberi amaran kepada Johan.
“Sila teruskan. Kemudian, kalian akan tahu sama ada saya menipu atau tidak.” Johan menjawab dalam nada tegas. Prof. E tersenyum.
“Baiklah. Aku perlu tanya. Prosedur.”

“Kita mulakan. Sekarang, pejamkan mata.”
Johan mengikut arahan dan pejamkan mata.
“Bayangkan keadaan diri kau pada waktu itu. Sama ada kau sedang duduk, atau berdiri. Sama ada kau sedang memegang sesuatu di tangan,  ada bau sesuatu dari dapur, kau dengar deruan ekzos kenderaan di luar, atau sekadar rasa kegatalan di hujung tapak kaki. Bayangkan setiap perkara yang berlaku pada waktu itu...”
Suara Prof. Shah semakin sayup menjadi perlahan dari telinga Johan. Apa yang menemaninya adalah satu bunyi yang tak dapat dia kenalpasti datang dari fon telinga yang dipakainya. Seketika, Johan sedar dia sudah tidak mendengar suara Prof. Shah. Sensasi dirinya yang sedang duduk atas kerusi kayu yang keras sudah bertukar kepada sesuatu yang lembut, seperti sofa. Terkejut, dia dapat merasakan tangan kanannya sedang memegang sesuatu yang keras dan panjang. Datang bau masakan entah dari mana. Perlahan-lahan, datang bunyi perbualan seorang lelaki dengan seorang wanita. Suara wanita itu dia kenal, tapi dari mana?
Johan tidak tahan lagi, lalu membuka mata.

“Baiklah. Kita ketahui cerita lebih lanjut tentang Hani dan pengalamannya diculik yang telah menjadikan siapa diri dia sekarang, selepas pesanan penaja.” Itu suara lelaki yang didengarinya, datang dari sebuah televisyen di hadapan.
Rancangan temubual bertukar kepada iklan komersial.

“Ah, biadab. Suka buat orang suspen!”
Johan menghempaskan alat kawalan jauh televisyen dari tangan kanannya ke sofa sebelah. Dia berasa dirinya menjadi marah secara tiba-tiba.
Apa sudah jadi? Aku di mana?

 “Apa yang kau marah sangat ni, Han?” Seorang perempuan pertengahan usia muncul dari belakang, dengan tangannya sedang memegang senduk.
“TV. Tengah suspen, tiba-tiba iklan.”
Aku menjawab, bercakap tanpa disedari. Dan, apa Ibu buat di sini?

“Itu saja? Itu yang kau nak bisingkan sangat? Kau tu minggu depan dah nak masuk ke universiti. Kurang-kuranglah tengok TV tu.”
 “Sebab minggu depan masuk universiti-lah Han nak tengok TV puas-puas, ibu. Nanti jadi budak medic, mana ada masa nak tengok TV dah.”
Ah! Aku pernah ada perbualan macam ini, satu masa dulu. Aku ingat!
“Suka hati kaulah, Johan.” Perempuan itu berlalu ke satu ruang lain. Dapur.

Ya. Aku sedang dalam ingatan sendiri. Ingatan semasa aku menonton temubual televisyen tentang Hani dan pengalaman dirinya diculik. Semuanya sama. Tak sangka. Tak sangka kaedah Prof. Shah betul-betul berkesan. Aku sedang berada dalam diri sendiri dan hanya melihat keadaan dari mata, seperti orang yang sedang meneropong melalui periskop dari dalam sebuah kapal selam. Selama ini, aku ingat hipnosis adalah rekaan belaka. Tak sangka. Tak sangka.

Iklan di televisyen pun berakhir. Rancangan temubual bersama Hani kembali ke kaca TV.
Aku harus tumpukan perhatian kepada temubual tersebut.

“Kita kembali bersama dengan selebriti pujaan ramai masa kini, HANI.” Bingkai televisyen beralih dari wajah hos rancangan kepada wajah Hani yang tersenyum manis.
Oh, Hani. Aku sudah terbiasa dengan wajah Intan, sampaikan aku rasa lain dengan penampilan Hani yang sebenar.

“Jadi, Hani... Boleh ceritakan kepada penonton secara eksklusif tentang pengalaman Hani diculik?”
“Pengalaman itu mungkin pengalaman yang terburuk pernah saya lalui, tapi dalam masa sama, ada sesuatu yang manis di dalamnya...”




BERSAMBUNG...[27]





3 comments:

  1. kenapa pendek sangat..? baru je nak feel baca.. haih~ (=.=')
    hahaha... ni yg x sabar nak tau next episode. ;P

    ReplyDelete
  2. pendeknya kali ni punya.. tak puas bacaaa =.='

    tak sabr nk baca sambungannn dia :D

    ReplyDelete
  3. pendek sangat laaa..................

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: