Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 22, 2013

Vorteks #21 - Pada Masa Itu.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20]





“Aku kata DIAM!”
Seorang lelaki bertopeng muka berbadan besar mengherdik ibu Intan. Lelaki itu memegang sebatang besi sepanjang hampir satu meter sebagai senjata. Dia mengacukan besi itu kepada ibu Intan yang sedang menangis teresak-esak, terduduk di tengah ruang tamu sambil tangannya diikat ke belakang dengan pita pelekat kuat..
“Woi, jangan jerit. Nanti jiran dengar.”
Seorang lagi lelaki bertopeng, kali ini tinggi lampai berbadan sedikit membongkok berada ruang tamu. Di tangannya kelihatan beberapa utas barang kemas milik yang diragutnya dari ibu Intan. Dimasukkannya barang tersebut ke dalam poket seluarnya sambil menjelirkan lidah, mengekspreskan kepuasan.
Lelaki tinggi itu datang menghampiri ibu Intan.
“Beritahu aku, mana lagi kau simpan barang kemas kau, perempuan.” Lelaki tinggi itu mencangkung rendah sambil mengacukan pisau pendek ala Rambo ke muka ibu Intan. Ibu Intan hanya mampu terus menangis sambil memuncungkan mulutnya ke arah atas.
“Kau jaga perempuan ni. Aku nak ke bilik utama atas, nak selongkar barang kemas.”
Selepas memberi arahan kepada lelaki berbadan besar itu, lelaki tinggi tersebut meluru naik ke atas.

Seketika kemudian, kelihatan lelaki ketiga, seorang yang agak rendah tetapi berbadan tegap, menuruni tangga sambil menarik seorang gadis yang sudah diikat tangan dan ditutup mulutnya dengan pita pelekat. Gadis itu ialah Intan.
Muka Intan merah, dibasahi airmata yang tak berhenti mengalir turun. Baju T yang dipakainya juga basah dek peluh. Selepas turun dari tangga bersama lelaki ketiga itu, Intan terus meluru kepada ibunya di tengah ruang tamu. Mereka duduk berdua, sambil dipantau dua lelaki bertopeng.
“Budak ni kuat jerit. Jangan buka pelekat mulut dia tu.” Lelaki berbadan tegap itu memberi amaran kepada lelaki berbadan besar. Lelaki berbadan besar mengangguk faham.
Lelaki ketiga kelihatan seperti ketua antara mereka. Dia memegang sebilah parang pendek dengan ukiran kepala naga di hulu.

“Lepaskanlah kami, encik. Ambillah apa saja, tapi janganlah diapa-apakan kami anak beranak.” Ibu Intan merayu, memohon simpati dua lelaki bertopeng itu. Intan hanya kelihatan menangis tak berhenti di sisi ibunya sambil mulutnya tak mampu berkata-kata.
Lelaki tegap tadi ketawa kecil.
“Aku dengar, laki kau seorang businessman yang berjaya yang berjaya. Tentu banyak harta yang korang ada, kan?”
Lelaki tinggi lampai tadi kelihatan turun sambil membawa satu kotak kayu. Kotak itu adalah kotak simpanan barang kemas ibu Intan.
“Tengok ni, bos. Banyak kita dapat ni. Mahu beratus ribu nilai semua ni.” Lelaki tinggi itu membuka kotak berisi barang kemas itu dan menunjukkan isinya kepada lelaki tegap. Mereka bertiga ketawa kepuasan.
“Apalah bangang perempuan ni tak simpan barang kemas kat dalam peti besi. Lain kali, beli peti besi. Baru selamat.”
“Aku rasa, cukup setakat ni saja.” Lelaki tegap merendahkan diri sambil mengacukan parang pendeknya kepada leher ibu Intan.
“Dengar sini. Selagi korang anak-beranak tinggal di sini, korang akan sentiasa berada dalam pemerhatian kami. Kalau nak selamat, PINDAH JAUH-JAUH!” Ibu Intan mengangguk dalam ketakutan.

Tiga lelaki itu kemudian bersiap-siap untuk keluar selepas tugas mereka selesai. Tapi, ada sesuatu yang menarik perhatian si lelaki tegap. Intan.
Si lelaki tegap memandang tajam kepada Intan. Intan sedar tentang pandangan itu. Ibu Intan juga turut sedar. Ibu Intan menggerakkan badannya menghalang pandangan si lelaki tegap itu daripada Intan. Naluri keibuannya merasakan ada sesuatu buruk yang difikirkan si lelaki tegap itu.

“Woi, tutup mulut si ibu ni!” Si lelaki tegap memberi arahan. Si lelaki tinggi menarik ibu Intan ke tepi, lalu mengeluarkan pita pelekat dari beg dan menarik panjang pita tersebut sebelum melekapkannya ke mulut ibu Intan. Ibu Intan sempat meronta-ronta, namun apalah kudrat seorang wanita menentang seorang lelaki.

“Walaupun hasil kali ni lumayan, tapi aku masih belum puas.” Sekali lagi pandangan si lelaki tegap tepat ke arah Intan yang sudah terjarak dari ibunya. Sekali sekala, pandangan Intan memandang ke ibunya, kemudian bertukar kepada si lelaki tegap, dan kembali ke ibunya. Intan seperti meminta tolong tanpa suara.
Ibu Intan cuba mahu bergerak mengesot ke arah anaknya, tapi dipegang kuat oleh si lelaki tinggi. Dicubanya menjerit, tapi yang keluar hanyalah bunyi  yang tak mampu didengari sesiapa. Lebat mengalir airmata ibu Intan mengenangkan apa yang bakal terjadi kepada anaknya. Dia hanya mampu berdoa dalam hati dan berharap semuanya hanyalah mimpi.

Si lelaki tegap menghampiri Intan yang terduduk bersimpuh di lantai. Ditatapnya dari hujung kepala sampai ke hujung kaki. Muka Intan yang kemerahan dan basah dengan airmata membuatkan jantung lelaki itu berdegup kencang. Baju T yang basah dek peluh ketakutan menarik minat dia, apatah lagi baju itu sedikit terselak di pinggang menampakkan kulit badan Intan yang putih dan gebu. Terdapat senyuman lebar di sebalik topengnya. Senyuman kepuasan memikirkan apa yang boleh dilakukannya dengan seorang gadis dara yang sedang membesar dengan baik.
Si lelaki tegap itu kemudian mengusap rambut Intan yang serabut dan basah. Intan meronta menafikan dirinya untuk disentuh. Tapi lagi kuat Intan meronta, lagi keras sentuhan lelaki itu.

Si lelaki tegap itu berdiri tegak.
“KAU!” sambil jarinya menuding ke arah si lelaki berbadan besar.
“Bawa budak ni sekali. Banyak habuan kita boleh dapat dari dia ni.”

Hati ibu Intan hancur mendengar kata-kata itu. Dunianya seperti gelap, sambil kedengaran ketawa kecil ketiga-tiga lelaki durjana di situ. Pandangannya tepat ke arah mata anaknya, yang turut sama membalas pandangannya. Mereka bertentang mata sesama sendiri seperti menidakkan apa yang didengar. Namun, naluri keibuannya masih kuat.
Ibu Intan meronta dengan kencang. Dia menanduk dagu si lelaki tinggi, menyebabkan dirinya terlepas dari cengkaman lelaki tersebut. Dia bingkas bangun, dan meluru ke arah si lelaki berbadan besar yang sedang menghampiri Intan. Dia menolak badan lelaki itu dengan sepenuh tenaganya, menyebabkan lelaki berbadan besar itu terjatuh ke arah berlawanan.

Namun, belum sempat ibu Intan berjaya menghampiri Intan, satu hentaman kuat dirasakannya di belakang kepala. Si lelaki tegap tadi menghayunkan hulu parang pendeknya ke belakang kepala ibu Intan, mengakibatkan ibu Intan tersungkur ke lantai.
Kesedaran ibu Intan kian lenyap. Persekitaran pemandangan matanya menjadi semakin kabur. Visual terakhir yang dilihatnya ialah kelibat si lelaki berbadan besar sedang mengangkat Intan pergi.

“Intan...”
Lalu, pandangannya gelap sepenuhnya.




BERSAMBUNG...[22]




1 comment:

  1. yeay! ada sambungan lagi.

    nanti Johan musti datang selamatkan.. ye x? biasanya camtu la kan?? haha.. saje je nak bagi spoiler kan? ;p

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: