Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 8, 2013

Vorteks #20 - Harapan dari Masa Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19]





Hela nafas dihembus panjang. Johan masih di hujung katil dalam percubaannya mengingati apa yang berlaku pada 20 Mac 2004.
Tanpa disedarinya, waktu sudah menginjak 30 minit memasuki 20 haribulan.

Kerana buntu, dan dalam masa sama, tidak mampu lelap tidur, Johan keluar dari bilik tanpa hala tuju. Koridor tingkat atas yang gelap, namun kelihatan sedikit sinar cahaya keluar dari celah bawah pintu bilik tingkat loteng.
“Mungkin Prof. Erman masih belum lena...”
Optimis dan ingin tahu, Johan bergerak naik ke tangga loteng sebelum ketuk pintu bilik loteng meminta izin masuk.
“Masuklah...” Kebenaran diperoleh. Perlahan-lahan pintu dibuka dan kepala tertonjol masuk. Kelihatan Prof. E sedang duduk di kerusi kerjanya sambil menghadap sebuah komputer dan timbunan kertas dan buku rujukan. Ada gelas berisi kopi masih berasap di tepi tetikus komputer.
“Saya mengganggu Prof ke?”
“Kalau mengganggu pun, kau dah pun masuk ke bilik. Bukan kau boleh patah balik pun.” Agak ironi kata-kata Prof. Erman itu memandangkan ia ditujukan kepada seseorang yang datang dari masa hadapan. Johan tersenyum. Dia mengheret satu kerusi yang terletak di tepi pintu, rapat ke meja kerja Prof. Erman.
“Macam mana dengan kajian Prof?”
Prof. E memandang Johan tanpa ekpresi muka.
“Secara teori, aku rasa aku dah selesai. Namun, praktikal aku tak pasti. Satu-satunya cara nak tahu sama ada ianya berkesan adalah dengan menanti kedatangan kilat besar yang bakal menyambar loteng ini hari isnin malam selasa nanti. 22 haribulan, malam 23.”
“Berapa peratusan kejayaan?”
Prof. E terdiam seketika. Jelas, dia tiada jawapan untuk soalan Johan itu.

“Aku pernah berjanji kepada diri sendiri, kalau aku mampu mencipta mekanisma merentas masa, destinasi pertama aku ialah bilik ini pada 1 Januari 2000. Empat tahun lalu.” Prof. E memusingkan kerusinya mengadap ke komputer.
“Aku akan kembali kepada tarikh itu, dan beritahu aku pada waktu itu segala maklumat yang dia perlu tahu supaya dia dapat cipta mesin masa sesegera mungkin.”
Johan berkerut dahi.
“Kau masih ingat tentang ‘paradoks masa’ yang pernah aku ceritakan hari tu?”
“Ya.”
“Kalau pada 1 Januari 2000, ada aku dari masa depan datang bertemu aku pada waktu itu dan berikan data-data tentang kajian ini, maka aku sekarang sudah pasti mampu merentas masa sesuka hati...”
“...Namun, aku masih di sini, sedang sedaya upaya mengkaji, sedangkan tahun 2000 sudah empat tahun berlalu.”
“Maknanya, pada 1 Januari tahun 2000, tiada Prof dari masa depan datang bertemu?”
Prof. E hanya tersenyum. Namun jelas di wajahnya akan tanda kekecewaan.
“Satu hari aku tunggu. Hari sebelumnya, semasa orang ramai sibuk mahu menyambut kedatangan alaf baru, aku sibuk berkurung dalam loteng ini berkemas, menanti tetamu yang tidak akan pernah muncul...”
Johan dapat merasakan kesedihan Prof. Erman.
“Seminggu aku tunggu, dengan harapan mungkin ada masalah dalam pengiraan. Tapi, selepas seminggu, aku sedar. Aku mungkin tidak akan mampu mencipta mesin masa, atau paling kurang memahami mekanisma merentas masa.. Aku kecewa...”
‘...Sehinggalah pada waktu kau muncul tempoh hari. Aku seolah-olah tak percaya. Tapi, pandang dari sudut mana sekalipun, kau memang datang dari masa depan. Cuma, ianya bukan atas kemahuan kau. Dari situ aku tahu, sekurang-kurangnya, aku akan paling kurang selangkah maju dalam kajian aku. Harapan dari masa depan kembali menyinar.”
Johan tersenyum.
“Namun, satu persoalan timbul. Kenapa kau? Kenapa bukan aku? Kenapa bukan orang lain? Kenapa bukan saintis lain yang turut obses dalam kajian merentas masa? Kenapa engkau, seorang yang tidak terniat langsung untuk merentas masa?”
“Kenapa?” Johan bertanya.
Prof. Erman sempat menghirup kopi panasnya sebelum menjawab.
“Aku ada teori tentang itu, tapi semuanya hanya akan terjawab pada malam selasa ini. Sama ada berjaya atau tidak, semuanya bukan lagi bergantung kepada aku. Semuanya bergantung kepada satu kuasa yang lebih besar...”
Mendengar kata-kata Prof. Erman itu tadi, Johan tersenyum.

“Baiklah Prof...” Johan bangun dari kerusi tempat duduknya.
“Saya mahu masuk tidur dulu. Saya tidak mahu mengganggu Prof malam-malam buta macam ni...”
Johan bergerak ke pintu. Namun, ketika dia mahu memulas tombol pintu, dia terdetik untuk bertanyakan satu soalan kepada Prof. Erman.
“Prof...”
Prof. Erman mengangkat muka memandang Johan di muka pintu.
“Esok 20 haribulan. Prof tahu tak apa-apa yang bakal berlaku pada 20 haribulan Mac tahun ni?”
Beberapa saat Prof. Erman cuba mencari jawapan dari ingatannya.
“Seperti apa?” tanya Prof. Erman.
“Entahlah. Sesuatu yang mampu mengubah hidup seseorang.”
“Aku rasa tak ada. Kenapa?”
Johan menghela nafas panjang tanda kecewa.
“Tak. Saya rasa seingat saya, akan berlaku sesuatu pada tarikh ni, tapi saya tak mampu nak ingat apa yang akan terjadi...”
“Mungkin ianya lebih bersifat peribadi.”
“Mungkin...”

20 Mac 2004. Jam 0413.
Persekitaran perumahan sunyi. Selang-seli, kedengaran salakan anjing sayup jauh. Tiada kelibat manusia yang kelihatan, paling tidak, pada waktu itu.
Intan sedang nyenyak tidur di biliknya. Begitu juga dengan ibunya, sedang lena diulit mimpi di bilik utama. Namun, ibu Intan tidur seorang diri disebabkan ayah Intan, Encik Ahmad, terpaksa bekerja di luar kawasan.

Hening pagi yang masih sunyi, diisi dengan titisan embun di hujung daun rumput. Namun, keheningan itu telah dicemari dengan deruan enjin, perlahan dari sebuah van yang tidak menghidupkan lampu. Van putih itu meluncur senyap dan berhenti betul-betul di hadapan laman rumah Intan.
Tiga orang lelaki itu, berpakaian gelap, berjaket tebal dan juga bertopeng penuh, keluar perlahan-lahan dari pintu van yang dibuka. Mereka juga turut membawa beberapa batang besi di tangan. Salah seorang dari mereka membawa batang besi panjang yang digunakan untuk mengumpil. Mereka bertiga menuju ke pintu masuk rumah Intan tanpa sesiapa sedar.




BERSAMBUNG...[21]





2 comments:

  1. cEro ... 20 mac 2013 bersambung...Hehehe

    ReplyDelete
  2. plot lambat sangat la nak gerak .. saya pegi sini nak baca vortex .. lainkali panjang sikit la ye :)

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: