Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 1, 2013

Vorteks #19 - Malam Masa Sebelumnya.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18]




Ketika menjadi tetamu dalam satu rancangan temubual televisyen, Hani ditanyakan satu soalan oleh hos rancangan.
“Baru-baru ini industri digemparkan dengan berita Hani menolak satu tawaran berlakon sebagai watak pembantu dalam satu filem terbitan seorang penerbit dari Hollywood. Berita itu menggemparkan bukan sahaja industri tempatan, malah seluruh dunia hiburan antarabangsa,” ulas hos rancangan.
Hani hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Peluang ditawarkan berlakon di arena antarabangsa bukannya mudah dapat. Malah dikatakan penerbit berkenaan sendiri yang berhubung dengan Hani. Kenapa Hani menolak peluang keemasan itu?”
Sambil membetulkan tempat duduknya, Hani menjawab ringkas, “Prinsip.”
“Prinsip bagaimana?”
“Saya mula bergiat dalam industri dengan satu syarat, tidak akan langgar prinsip peribadi tidak kira apa juga keadaan. Prinsip peribadi saya itu ialah tidak akan terlibat dengan mana-mana acara yang mampu mencetuskan kontroversi dari segi pendirian agama dan kehormatan diri.”
Hos mengangguk faham.
“Senang cerita, tawaran emas itu memerlukan saya melanggar prinsip saya, dan saya tiada jalan lain kecuali menolaknya.”
“Saya difahamkan tawaran itu memerlukan Hani melakukan satu adegan ranjang. Betul?”
Hani senyum.
“Saya rasa, saya tidak akan mengulas hal itu kerana pokok pangkalnya, saya sudahpun menolak tawaran tersebut.”
Hos mengangguk faham sekali lagi, sebelum bersedia untuk mengutarakan soalan seterusnya.
“Di sebalik wajah cantik dan berbudi bahasa, Hani menjadi seorang yang kuat dengan prinsip. Adakah pernah berlaku sesuatu yang menjadikan Hani seperti Hani sekarang?”
Hani menunduk memikirkan sesuatu. Dia seperti sedang menyusun kata-kata di dalam fikirannya. Kemudian, dia mengangkat kepala dan melihat tepat kepada kamera.
“20 haribulan Mac, tahun 2004...”

19 Mac 2004, jam 2304.
Bestnya awak, ada tutor sendiri.” Suara Aida di hujung talian telefon kedengaran teruja.
Best Aida. Seronok. Dia ajar memang cepat faham.”
Intan berguling dari posisi menelentang kepada meniarap di atas katil sambil telefon bimbit masih lekat dipegang ke telinga. Selalu juga rutin berbual panjang dalam telefon bersama dengan Aida dilakukannya. Tambahan pula kalau ada sesuatu yang seronok untuk dibincangkan. Kali ini, topiknya adalah ‘anak saudara jiran sebagai tutor mengajar matematik dan sains’.
“Dia handsome tak?” soalan cepumas dari Aida.
“Hmm...” Intan memandang lama ke siling bilik.
Handsome tu kita tak boleh nak kata sebab itu pandangan individu, tapi muka dia memang buat hati rasa redup,” jawab Intan sambil diakhiri ketawa kecil.
“Wah, maca ada orang sudah jatuh hati nampaknya!”
“Hey, mana adalah...”
Sakat si Aida membuatkan Intan tersenyum lebar. Dia tak rasa dia jatuh hati, mungkin dia tak pernah rasa bagaimana perasaan ‘jatuh hati’ sebelum ini, tapi kata-kata Aida tadi memang menggembirakan hati dia, sedikit.
“Tapi dia tak lamalah, Aida. Dia balik rumah dia minggu depan. Hari isnin hari terakhir dia.”
“Oh, dia pelajar universiti, kan? Nanti awak mintalah alamat dan nombor telefon. Bolehlah selalu contact.”
“Saya takutlah. Saya takut nanti dia kata dia anggap saya macam adik je...”
“Macam apa yang terjadi antara awak dengan Cikgu Hanif dulu?”
Intan terdiam. Kata-kata Aida itu membuatkan dia terkenang memori tahun lepas.

Tahun lepas terdapat seorang guru praktikal datang mengajar di sekolah tempat Intan dan Aida belajar. Tinggi, tampan dan bergaya. Guru praktikal itu dikenali sebagai Cikgu Hanif sangat digemari para pelajar, terutamanya pelajar perempuan. Intan tidak kecuali.
Kebetulan, Cikgu Hanif ditugaskan menggantikan guru kelas Intan yang sedang cuti bersalin. Dari situ, hubungan Cikgu Hanif dan Intan semakin rapat. Setiap kali ada masalah, Intan akan menjadikan Cikgu Hanif sebagai tempat mengadu. Cikgu Hanif juga sentiasa setia mendengar.
Dek kerana perasaan yang semakin berputik, Intan tekad mahu meluahkan perasaannya kepada Cikgu Hanif. Mungkin kerana terlalu terbawa-bawa dengan perasaan remaja yang meningkat dewasa, Intan menulis sepucuk surat berisi luahan perasaan dan meletakkannya di atas meja Cikgu Hanif di bilik guru.
Sehari selepas itu, Cikgu Hanif memanggil Intan ke bilik guru. Intan, dengan muka berseri-seri, berjalan cepat ke bilik guru untuk bertemu dengan cikgu teristimewa buatnya itu. Tapi, apa yang menantinya hanyalah kata-kata yang membuat luka.
“Cikgu hanya menganggap awak sebagai murid. Hubungan kita hanya sebagai guru dan pelajar.”
 Jelas perubahan di muka Intan selepas mendengar kata-kata Cikgu Hanif itu. Tak cukup dengan itu, perbualan mereka berdua didengari oleh dua-tiga guru yang duduk berdekatan dengan meja Cikgu Hanif. Guru-guru berkenaan ketawa dengan kuat, memperlekehkan perasaan yang ada pada Intan terhadap Cikgu Hanif. Lebih melukakan, Cikgu Hanif yang mendengar kata-kata perlekeh teman sekerjanya itu juga tersenyum senget, menganggap semuanya jenaka.
Walaupun tiada airmata yang menitis di depan Cikgu Hanif, tapi Intan sangat kecewa. Cukuplah perasaannya ditolak. Ditambah pula lagi dengan gelak tawa guru-guru lain, dan juga senyuman senget Cikgu Hanif yang langsung tidak mempertahankannya, Intan sedih. Dia berlari ke belakang kantin sekolah dan melepaskan airmata yang ditahannya. Kebetulan, Aida ternampak Intan berlari ke belakang kantin sekolah dan mengejarnya. Aida menenangkan Intan dan Intan meluahkan segalanya.
Dari situ, Intan dan Aida menjadi kawan baik.

“Maaflah kalau terungkit perkara lepas...”
Dek kerana Intan yang terdiam terlalu lama di hujung talian, Aida risau akan kata-katanya  tadi yang mungkin melukakan hati Intan.
“Taklah, Aida. Saya dah lupakan cikgu tu.”
“Jadi...” Aida cuba mengubah topik perbualan.
“...esok awak akan jumpa Encik Yusran idaman hati awak tu lagi?”
Intan ketawa besar. Idaman hati?
“InsyaAllah...”

Sementara, di rumah Prof. Erman, ketika semua ruang bergelap kerana sudah waktu malam, satu bilik di tingkat atas di hujung koridor menampakkan cahaya. Johan sedang duduk di pinggir katil melihat kalendar meja ditangannya sambil berkerut cuba mengingat sesuatu.
“Hari ni 19 haribulan. Esok 20 haribulan...” Johan bermonolog seorang diri.
“Aku rasa 20 haribulan Mac ada berlaku sesuatu yang besar, tapi aku tak lupa. Apa agaknya, ya?”




BERSAMBUNG...[20]




2 comments:

  1. yeay! bersambung balik citer ni. ;D

    apa la gamaknye yang jadi masa 20 Mac tu??

    ReplyDelete
  2. makin menarik dan cero memang melampau2 buat orang tertunggu2 .. hux!

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: