Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Dec 30, 2012

Tanpa Tajuk #7 [Edisi Akhir Tahun 2012]


Nama aku cEro.
Ini adalah entri terakhir aku dalam tahun 2012.



Azam 2012


Sudah dua tahun berturut-turut aku letak azam nak cuba 50 perkara baru dalam setahun, tapi dua-dua tahun (2011/2012) aku gagal capai angka 50.
Mungkin tahun depan aku kena rendahkan sikit bilangan angka, kot?

Untuk perkara baru paling terkesan kepada aku tahun ni ialah 'menjalani pembedahan'.
Ya, bukan sesuatu yang dibanggakan,
tapi pengalaman masuk dewan bedah dekat hospital memang takkan aku lupa.
Nak pula dewan bedah hospital kerajaan.

Tahun 2012 juga banyak mengajar aku tentang kuasa duit.
Di mana, aku terpaksa berhenti niat nak sambung belajar ke tahap seterusnya hanya kerana aku tak ada duit.
Betul kata orang, duit tak boleh beli kebahagiaan.
Tapi duit mampu belikan aku aiskrim, dan aiskrim mampu buat aku bahagia.

Mungkin tahun depan aku kena lebih fokus menggali duit.



Kerja


Kerja yang aku sangkakan seronok dan berpanjangan,
jadi tak seronok dek kerana bos yang macam *tuuut*

Sila baca entri ini untuk lebih lanjut memahami.

Hasilnya, dek kerana aku dijadualkan untuk jalani pembedahan,
kerja yang aku buat sekarang tak berapa stabil dan berkekalan.
Harap-harap, tahun depan, aku boleh dapat kerja yang lebih stabil dan (kalau boleh) bergaji masyuk.

By the way, aku masih benci ex-bos aku.
Aku benci sampai tahap kalau ada apa-apa berkaitan dengan company bekas tempat aku kerja tu muncul kat TV, aku akan hilang mood.



Handset

Tahu apa lagi yang aku benci selain ex-boss aku?
Handphone aku sekarang.
Sila baca ini untuk rujukan.



Untuk info, kesengalan handphone aku makin menjadi-jadi.
Dia akan restart suka hati dia, selalunya setiap 30 minit sekali.
Kadang-kadang, tengah text orang panjang-panjang,
tak sempat hantar tetiba dia restart.

Aku sedang pertimbangkan nak jadi 'manusia tanpa handphone' untuk satu tempoh masa.
Tapi, melaksana benda ni tak semudah merancang.
Tapi, insyaAllah, satu hari nanti akan aku laksanakan juga.



Awek

Mak aku dah bertanya.
Aku paling tak suka bila famili aku dah bertanya.
Semua sebab abang aku bakal kahwin bulan 6 tahun depan.
Jadi, sasaran seterusnya adalah AKU.

Susah.
Aku susah nak suka orang, terima kasih kepada pengalaman lepas.
Tapi, bila aku dah suka, susah juga nak lepaskan.
Maka, bila orang yang aku suka bakal jadi milik orang lain, lagi tunggang langgang hidup aku.

Oh ya,
bab amoi yang akau nak sapa pada tarikh 121212 tu,
aku gagal.
Bukan sebab aku kecut, tapi pada tarikh tu, dia tak kerja.
Selepas aku bertungkus lumus kumpulkan kudrat dan keberanian,
dia pula tak ada.
Untuk kumpul kudrat buat kali kedua, pada aku, lagi susah oo..
Lagipun, aku rasa peratusan aku berjaya hanyalah tak sampai 5.4%
Orang melayu pun tak nak kat aku, ni pula orang cina.




Blog

Banyak kali aku jumpa,
bila aku blogwalking ke blog-blog kawan-kawan,
aku dapati korang labelkan aku sekali dalam 'comic blogger' yang lain.

Biar aku jelaskan, aku bukan comic-blogger.
Aku hanya blogger yang suka buat apa yang aku suka buat.
Kebetulan aku suka melukis, jadi blog aku memang penuh dengan lukisan (buruk).

Tapi, becoming a comic-blogger adalah satu idea yang hebat.
Namun, ikutkan sejarah tangan kanan aku,
mutu lukisan aku jauh ketinggalan dari barisan comic-blogger yang lain.
Harap aku dapat naikkan mutu lukisan.



Tapi tak sangka,
blog ni dapat 1000 followers baru-baru ni.
1000 bukan sikit, it's a small society already.
Aku tak pernah terfikir aku sampai tahap macam ni.
Aku harap, kalian teruskan bersama aku untuk setahun yang akan datang dan tahun-tahun yang seterusnya.

Juga, ada dua projek besar menanti pembaca blog ni tahun 2013.
Dua-dua dalam perancangan awal, tapi aku amat teruja nak teruskan.
Harap semua terus memberi sokongan dan nantikan, ya?



Misi 3112

Disebabkan aku banyak habis duit ke benda lain
(pembedahan, repair moto n set Ferrari Lego Shell)
maka misi 3112 aku gagal.
Tahun 2013, aku akan mulakan misi 3112 versi kedua.
Misi Avril.
(name taken from April, the 4th month of the year, as for the expiration date)

xxxxxx

Yes.
That's all 2012 of this blog in a nutshell.
Kalau korang baca entri ni dari mula,
korang sudahpun habis membaca ringkasan blog ini untuk sepanjang tahun 2012.
Aku sangat berharap 2013 membawa sinar yang lebih cerah dalam hidup aku dan hidup korang semua.
Mari menjadi insan yang lebih baik.

Tapi, 2013 adalah tahun mengundi.
Dan aku adalah seorang yang sangat fundamental dalam bab politik,
jadi aku harap aku takkan cemari blog ini dengan kekotoran dan kehinaan pentas lakonan ahli politik negara.

Nama aku cEro.
Ini adalah entri terakhir aku dalam tahun 2012.





.




Dec 26, 2012

Rhombicuboctahedron of Life.


Semalam,
adalah hari paling awkward tahun ini.
Jadi, muka aku memang macam ni.



Terbangun di pagi hari dan bertanya kepada diri,
"Berapa lama sudah aku bernafas sendiri?"

Jawapannya,
sehingga waktu entri ini dipublish,
aku sudah bernafas sendiri selama

9 497.65625 hari
bersamaan dengan

227 943.75 jam
bersamaan dengan

13 676 625 minit

juga, aku sudah melepasi 7 kali 29 Februari.
Jika setiap hari dalam hidup aku, aku simpan RM1,
maka simpanan aku telah mencapai RM 9,497.00
Realitinya, simpanan bank aku pun tak sampai angka itu.

Satu persoalan timbul,
dalam 13,676,625 minit yang telah aku lalui,
berapa minit betul-betul aku gunakan masa semaksimumnya?
Berapa minit betul-betul aku habiskan untuk maju ke depan?
Berapa minit sudah terbuat dek kerana kemalasan?

Akhirnya,
aku sampai ke satu konklusi.
Setiap minit kita amat berharga.
Gunalah ia sebaiknya, sama ada untuk diri sendiri,
atau orang di sekeliling, atau untuk agama,
untuk bangsa, juga untuk negara.

Jadikan setiap saat kita berguna.


postquam-scriptum:
Dengan ini, kalian akan tahu berapa umur aku hingga ke jam aku dilahirkan.
Berapa jam korang dah hidup?
Berapa minit korang dah bernafas atas muka bumi ini?




.




Dec 23, 2012

Kucing Terbang!


Tahu tak apa yang buat aku tak tenteram belakangan ni?
Kucing terbang!


Untuk lebih jelas kenapa 'kucing terbang',
aku suggest korang baca entri '6 Cara Lain Untuk Aku Ucap Sama-Sama.'.
Check no.5 'The Subject Deflection' ada cerita sedikit tentang 'kucing terbang'.

Bila sebut kucing terbang,
aku akan terbayang ini...





Gambarajah:
1) Happy [Fairy Tail]
2) Hovercat aka Bullet cat
3) Orvillecopter

(klik link untuk keterangan)


Hm, dunia memang penuh dengan perkara pelik.
Terutamanya internet.
Tapi, internet juga terkandung banyak ilmu.
Bergantung kepada siapa yang menggunakannya.

postquam scriptum:
Perasan tak semua lukisan dalam cerita di atas adalah 'kitar semula' dari entri-entri sebleum ni?
Kemalasan melanda di hujung tahun. Hahaha


postquam subscriptum:
Typo di atas tak sengaja, tapi aku taknak betulkan sebab aku nak gelakkan diri sendiri..
'sebleum' pon boley!! HAHAHAHA!!!!



.




Dec 21, 2012

Vorteks #18 - Masa Berdua.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17]




Untuk kedua kalinya, perasaan ingin tahu menakluk minda Intan.
Ini simbol apa?” Intan menggunakan jarinya menunjuk sesuatu di atas kertas.
 “Itu dipanggil imaginary unit, i,” jawab Johan.
Imaginary unit?”
i ialah punca kuasa dua negatif satu. i kuasa dua sama dengan negatif satu.”
“Aik? Kenapa macam tu?”
Imaginary number adalah nombor di mana kuasa duanya adalah kurang dari kosong.”
“Tapi, bukan ke semua nombor bila dikuasa-duakan akan jadi nombor positif?”
“Betul. Tapi dalam beberapa kes soalan rumit, penggunaan nombor negatif sebagai hasil kuasa dua adalah perlu. i tadi merupakan unit dia. Sebagai contoh, -9 adalah hasil kuasa dua daripada 3i, di mana tiga kuasa dua ialah sembilan dan i kuasa dua ialah -1. Jadi, (3i) kuasa dua ialah -9.”
Intan menggarukan kepalanya. Serabut. Terlalu rumit baginya.

Mereka berdua berada di rumah Prof. E, di meja ruang makan. Johan sedang menunaikan janjinya dengan mengajar Intan subjek matematik. Bagi Intan, matematik memang susah.
Walau bagaimanapun, Intan tetap rasa bersyukur dan seronok dapat diajar oleh Johan. Jika nak diharapkan cikgu matematiknya di sekolah, apa yang cikgu itu kejarkan hanyalah mahu menghabiskan sukatan pengajaran yang ditetapkan sekolah. Sama ada murid faham atau tidak, meraka tidak peduli. Tapi, bila keputusan peperiksaan matematik menunjukkan gred rendah, habis satu kelas dimarahi. Habis tiga waktu pembelajaran dipenuhi dengan syarahan dan bebelan.

Melihat gelagat Intan yang kebingungan, Johan tersenyum. Dia perlu buat sesuatu untuk menarik minat dan motivasi Intan semula.
“Sebut pasal imaginary, ada seorang kawan kat universiti selalu gelakkan saya dengan berkata saya ada imaginary girlfriend.” Perkataan ‘girlfriend’ menarik minat Intan. Pandangan Intan terus ke arah Johan yang sedang bercerita.
“Saya ada sukakan seorang artis ni. Pada mata orang lain, dia hanyalah artis biasa yang bernasib baik mendapat populariti dan sedang dalam zaman kemuncaknya. Tapi pada saya, dia lain...”
Johan memandang kosong ke arah kertas di depannya, sedangkan fikirannya mengelamun mengenangkan imaginary girlfriendnya. Intan masih tepat menatap Johan.
“Sebab saya buat keputusan ingin menjadi doktor perubatan datang dari datuk saya. Kami rapat sejak saya kecil lagi. Dia meninggal di masa saya tiada di sisi. Dia selalu berharap saya dapat jadi doktor, menolong orang tanpa ada sebarang rungutan.”
Johan senyum seketika.
“Tapi, menjadi pelajar perubatan bukannya senang. Tekanan sana sini. Penat sana sini. Saya hampir putus asa.”
Mimik muka Intan berubah.
“Suatu hari, saya menonton satu rancangan bual bicara bersama artis di TV. Tetamunya seorang artis perempuan ni. Dalam temubualnya, dia kedengaran begitu yakin dengan satu prinsipnya.”
“Apa prinsipnya?” Intan mencelah.
Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin. Itulah sebiji-sebiji kata-kata yang dia pegang sebagai prinsip.” Johan menukar pandangan matanya ke atas syiling rumah.
Intan bermuka kagum. Dia mendengar satu persatu apa yang Johan perkatakan.
“Apa yang menarik perhatian ialah, semasa artis itu ucapkan kata-kata itu, dia kelihatan begitu percayakannya. Dari sinar mata dia, dia yakin tiada yang cela dalam kata-katanya. Matanya bersinar.” Johan mengalih pandangan tepat ke arah mata Intan. “Ya, itulah mata yang aku perkatakan,” kata Johan dalam hati.
“Sejak dari itu, walau betapa susahnya hidup, susahnya pembelajaran, saya tak akan merungut kerana ini adalah jalan yang saya pilih. Apa yang saya boleh buat adalah maju ke depan. Dan dengan maju ke depan, saya maksudkan adalah maju ke depan dengan bersungguh-sungguh...”
Intan hilang senyuman.
“...dan sejak dari itu, saya manjadi peminat setia artis tersebut, sampaikan kawan mengejek saya berangan nak bertemankan artis, imaginary girlfriend.”
Intan menunduk.

“Tak sangka seorang artis boleh memberi kata-kata rangsangan yang cukup berkesan kepada peminat.”
Johan mengangkat keningnya, tidak tersangka perkataan itu muncul dari mulut ‘bakal artis’.
“Ayah selalu labelkan artis sebagai insan yang hanya tahu mencari populariti. Ayah kata, kalau nak berjaya dalam hidup dan menjadi seorang yang dikagumi, jangan jadi artis. Artis hanyalah kelompok orang yang hanya tahu berhibur.”
Johan terkejut dengan kenyataan itu.
Lain. Intan di depan matanya ini, personalitinya sangat berbeza dari yang dia kenali lapan tahun akan datang. Johan tak sangka, lapan tahun mampu mengubah manusia sebegitu sekali.
“Yusran?”
Fikiran Johan kembali ke jasad.
“Boleh Intan tahu siapa nama arits tu? Nak jugalah jadikan dia sebagai artis kegemaran.”
Alamak.
Johan terkaku seketika. Di otaknya, dia cuba mencari cara untuk mengelak soalan itu.
“Intan? Siapa artis kegemaran Intan?” Percubaan Johan mengelak menjawab soalan.
“Intan tak ada. Tiada satu pun yang betul-betul Intan minat.”
“Intan minat yang macam mana?” Percubaan Johan semakin menjadi.
“Hm...Intan lebih suka yang versatil. Boleh berlakon, menyanyi, jadi model, dan dalam masa yang sama, berakhlak baik.”
Johan tersenyum. Semua yang disebut Intan itu ada padanya lapan tahun kemudian.
“Ibu Intan juga seorang model masa zaman mudanya. Pernah dia tunjuk video rakamannya semasa menjadi model. Intan suka. Ibu sangat cantik. Intan nak jadi macam ibu.”
Suasana ruang meja makan terdiam seketika. Johan sedar, Intan seperti mahu bercakap tentang sesuatu.

“Sebenarnya...” Intan membuka bicara.
“...abang kepada seorang kawan Intan ada offer Intan nak jadi model untuk satu majalah fesyen remaja terkenal ni...”
“Remaja Kini?” Johan spontan. Intan membeliakkan matanya, terkejut.
“Macam mana Yusran tahu?”
Johan silap langkah lagi. Dia terlalu spontan. Mungkin sebab terlalu teruja.
“Teka. Remaja Kini kan majalah fesyen remaja terkenal sekarang.” Penjelasan Johan membuatkan Intan mengangguk. Padahal, hampir semua sejarah hidup Intan yang disebut di dalam majalah-majalah dan rancangan TV sudahpun di’khatam’nya. Fakta seperti Intan bermula dari majalah Remaja Kini terlalu mudah untuk Johan.
“Betul. Remaja Kini. Tapi, Intan rasa nak tolak laa offer tu...”
“Kenapa?”
“Ayah tentu tak benarkan. 100% pasti.”
Dalam fikiran Johan, kalau dia ubah fikiran dengan menolak offer itu, sejarah mungkin berubah.



BERSAMBUNG...[19]




Dec 19, 2012

6 Cara Lain Untuk Aku Ucap 'Sama-Sama'.

Tahu tak apa yang patut korang buat sebelum teruskan membaca?
Singgah entri ini dulu. TEKAN SINI.


Bagi yang malas nak klik dan baca,
ini rumusannya..(sila baca dalam satu nafas...kalau boleh):
Di kala orang ramai meletakkan 'terima kasih' dan 'maaf' sebagai perkataan yang paling susah nak disebut, aku pula merasakan perkataan yang aku susah nak sebut ialah 'sama-sama' as in reply to 'terima kasih'. Bukan sebab ego ke hape ke, tapi aku merasakan bahawa 'sama-sama' adalah satu reply yang tak masuk akal. Apa yang sama? Kenapa perlu diganda 'sama' tu? Kenapa tiada reply yang lebih logik diterima akal berbanding 'sama-sama'? Dan apakah emosi yang patut aku tunjukkan semasa ucapkan 'sama-sama'? Senyum? Senyum semasa ucapkan, ketawa selepas ucapkan? Aku buntu.

Inspirasi dari entri itu,
berikut adalah ENAM perbuatan yang boleh aku buat sebagai ganti kepada perkataan 'sama-sama' untuk respon kepada ucapan 'terima kasih'.




Aku selalu jawab dengan 'ya'
tapi aku pernah kena tegur seseorang.
Katanya, jawab 'ya' selepas ucapan 'terima kasih' kedengaran bongkak.
Jadi, aku rasa sebagai ganti kepada 'ya',
aku akan jawab 'OK'.
'OK' mengiyakan ucapan 'terima kasih' itu sekaligus mengiktiraf bahawa aku menghargai ucapan dia.

Tapi, korang rasa, 'OK' kedengaran bongkak tak?





Bila ada orang minta pertolongan kita, dan kita tolong.
Kemudian dia ucap 'terima kasih'
sedangkan dia meminta tolong kita bermakna dia percayakan kita
dan memberikan kita peluang peroleh pahala.
Dengan kata lain, kita yang dapat faedah lebih dari dia.

Jadi, bila dia kata 'terima kasih'
adalah lebih baik (pada aku secara peribadi) untuk kita mengucapkan kembali 'terima kasih' kepada dia.
Kalau dia tanya kenapa, jelaskanlah dengan berhemah.
Baru dengar macam gentleman sket..
Hehehe...





Paling aku tak suka bila ada yang ucapkan terima kasih
sedangkan apa yang kita buat tu bukanlah sesuatu yang perlu diterima-kasihkan.
Contohnya, tekankan butang lif untuk orang lain.
Perbuatan itu bukanlah layak untuk diterimakasihkan (pada aku)
sebab kita juga naik lif yang sama dan mungkin kebetulan kita berada di depan butang lif.
Logik tak?

Jadi,
bila aku dapat 'terima kasih' dari perkara sebegitu,
aku memang tak tahu langsung nak respon apa, nak buat mimik muka apa, dan nak tunjukkan emosi apa..
Hasilnya...
Aku berdiam diri.. awkward silent.





Aku tak tahu orang lain,
tapi aku paling tak suka berada dalam keadaan awkward.
Jadi, satu cara radikal aku tak nak jawab 'sama-sama'
adalah dengan tak menerima ucapan 'terima kasih'.

Caranya,
buatkan orang yang ucapkan 'terima kasih' itu faham bahawa aku tak suka jawab 'sama-sama'.
Beritahu mereka dengan tersirat melalui jawapan dingin yang diberikan.
Akan datang, sama ada dia tak akan meminta tolong kita
ataupun dia tak akan expect 'sama-sama' dari kita.

Tapi, ini radikal...
Aku yakin tak ramai akan buat...





Satu cara lain adalah dengan mengubah tajuk.
Perbuatan ni selalu dibuat, bukan hanya untuk ucapan 'terima kasih'.

Ya. Ya.
Ubah topik bukan bermaksud kita perlu terus ceritakan perkara yang tak masuk akal (seperti 'kucing terbang'),
kita juga boleh mulakan dengan menghuraikan apa yang kita sedang lakukan.
Sebagai contoh, tolong tekankan butang lif untuk orang lain.
Kita boleh kata "saya nak ke tingkat yang sama"
ataupun "perbuatan ini tak membakar kalori langsung pun"
ataupub "saya tak nak awak bersusah payah panjangkan tangan nak tekan butang lif, nanti terbau pulak bau ketiak masam."

Ok, yang last tu over.





Believe it or not,
aku selalu buat perbuatan ni.
Nampak macam tak masuk akal, tapi inilah cara paling berkesan di antara cara-cara sebelum ini.
Aku pun kadang-kadang tak faham kenapa ianya berkesan,
mungkin sebab aku memang berperwatakan sedemikian (mentally retard)

Cuba korang cuba cara ni sekali sekala...
..and welcome to the Mental Retardation club.
First rule of the club is
never reveal yourself as mentally retard.




xxxxxx


Itulah enam cara lain aku ucap 'sama-sama'.
Aku adalah orang yang tak kisah sama ada perlu ucap terima kasih atau tidak.
Jadi, aku pun berharap orang tak kisah walau macam manapun aku jawab 'sama-sama'.

Tapi, ucapan seseorang melambangkan keperibadian diri.
Jadi, terpulang kepada si pengucap sama ada mahu ucap 'sama-sama' atau tidak.
Walaupun kita berhak menerima pengiktirafan selepas mengucapkan 'terima kasih',
tapi respon kepada 'terima kasih' tak semestinya perlu diucap dengan 'sama-sama'.

Aku percaya, korang pun ada cara sendiri ucap 'sama-sama'.
Kongsilah dengan aku.
Kalau rajin, buat satu entri macam aku ni
dan boleh aku baca dan kongsi di twitter dan facebook.




.




Dec 16, 2012

"AKU MAHU MUG KUNING ITU!" kata cEro.


Tahu tak apa yang aku dah lama tak buat?
Join contest!

Sejak kecil lagi,
aku tak pernah menang apa-apa contest baik dalam paper, waktu hari kantin sekolah mahupun online.
Setiap kali ada cabutan bertuah,
aku tak perlu nak tengok nombor aku
sebab aku tahu, aku takkan menang.
Aku tak pernah bertuah dalam contest.
Jadi, aku tak pernah berminat nak join contest.

The only moment aku menang cabutan bertuah adalah waktu grand dinner masa U hari tu, tu pun sebab aku antara yang organize dinner tu.
So, dengan sedikit kejahatan dan tweak, aku dapat menang.
Rupanya, committee dinner tak boleh menang, so aku kena pulangkan balik hadiah.
Sedih.

Selaku orang yang paling tak bertuah dalam contest,
aku dengan ini mencuba nasib join contest
anjuran si kacak bergaya Aujinz ini.
*see how aku bodek? 'kacak bergaya'..cool eh?*


Sila klik banner di atas dan anda akan dibawa ke entri contest dari blog awesome Lanun Ranggi.
*see how I do it again? wink wink*

Dan, inilah penyertaan aku:



Ya, tahu. Tak lawak.
Tapi nampak tak macam mana aku tackle Aujinz dengan gunakan kucing?
Sebab aku tahu, selain memasak, Aujinz sukakan kucing.
Tapi sebab lukisan kucing aku still tahap bayi,
aku hanya gunakan kucing sebagai metafora kepada ketidaklayanan.

Ok,
ini note untuk Aujinz
(orang lain boleh skip ke bawah):
In case aku menang no.1 or no.2, aku nak mug kaler kuning, boleh?
Seriously, first time pandang, aku dah jatuh hati tahap tak tidur malam terbayangkan mug kuning tu..
Tapi, aku tahu chance aku nak menang sangat nipis memandangkan aku pergi jenguk setiap blog yang sertai contest ni, semua entri sangat sangatlah awesome berbanding aku punya ni..
*see how i do it again, playing the innocent card. kening double-jerk*

Ok,
sampai sini sahaja bodekan omongan aku.
Jumpa di entri yang akan datang.

postquam-scriptum:
Kepada yang nak sertai contest ni juga dan nak merasai perasaan bersaing dengan aku dan orang-orang lain yang awesome, sila klik banner contest di awal post di atas.
Mari kita meriahkannya.

postquam-subscriptum:
Disebabkan komitmen, aku schedulekan entri ni hari ahad, sedangkan aku dah buat sejak hari rabu lagi. Kalau ada peserta lain yang sama idea dengan aku, jangan risau. Kita hanya berfikiran sama, tiada istilah plagiat ke hape ke ok? I love you.




.




Dec 14, 2012

Vorteks #17 - Seketika, Masa Bersama.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16]




Kaki Intan melangkah dengan laju. Wajahnya indah diukiri senyuman. Dia ingin seberapa segera pulang ke rumah. Dari pagi berada di sekolah, fikiran Intan tak dapat fokus. Dia begitu ingin balik dengan segera. Bukan sebab apa, hanya kerana satu janji. Janji untuk belajar mata pelajaran matematik dan sains di rumah Prof. Erman, diajar oleh Johan.
Intan sendiri tidak sedar bahawa diri dia terlebih uja. Mungkin kerana hari sudah jumaat. Semangat berhujung minggu mengujakan diri. Mungkin juga kerana berteman baru. Persahabatan yang baru tercipta antara dia dengan Johan membuatkan diri Intan begitu mahu lebih mengenali. Mungkin hanya sekadar hormon rembesan badan di usia remaja. Kemahuan untuk bersama dengan pasangan berlain jantina.
Tidak kira mana, Intan tidak peduli. Apa dalam benak fikirannya hanyalah mahu balik ke rumah dengan segera, mandi dan salin pakaian, dan terus ke rumah sebelah, rumah Prof. E untuk menelaah bersama Johan.

19 Mac 2004. Jam 1315
“Assalamualaikum...” Intan jerit sejurus menjejak kaki ke dalam rumah.
Kedengaran suara ibu Intan menjawab salam, sayup di belakang dapur.
Tanpa berlengah, Intan terus ke tingkat atas, ke biliknya. Begnya diletakkan di atas katil, dicapai tuala, dan terus masuk ke dalam bilik mandi. Beberapa minit kemudian dia keluar dengan badan berbau segar, dikenakan t-shirt merah jambu kegemarannya berserta seluar jean paling selesa, dan dikeluarkannya beberapa buku dari beg sekolahnya dan satu bekas pensel berserta kalkulator.
Pintu bilik Intan diketuk.
“Intan?” Ibu Intan membuka pintu meninjau perihal anaknya.
“Ya, Ibu.”
“Intan siap-siap ni nak ke rumah Prof. E ke?”
“Ha’ah, ibu. Orang macam dah lambat ni.”
“Dekat bawah tu, ibu dah sediakan sedikit bekal makanan dalam mangkuk tingkat. Nanti kasi jamah makanan tu, ya?”
Intan berhenti berkemas-kemas. Dia bergerak ke arah ibunya, lalu memeluk erat ibunya.
“Ibu memang terbaik.” Ibu Intan tersenyum.

19 Mac 2004. Jam 1325
Belum sempat jari Intan mahu menekan loceng rumah Prof. Erman, pintu sudah terbuka. Kelihatan dua lelaki; Prof. Erman dan Johan, dengan masing-masing bersongkok dan berkopiah, dengan mata terbeliak, terkejut melihat keberadaan Intan di depan mereka.
“Hani..Eh, Intan! Awalnya?” Johan tersasul.
Intan menepuk dahinya ke kepala.
“Intan lupa. Intan lupa hari jumaat lelaki pergi solat jumaat.”
Prof. E tersenyum.
“Tak apalah , Intan. Kamu masuk je ke dalam. Kami pergi pun tak lama, setengah jam baliklah.” Prof. E cuba tidak mengecewakan Intan. Johan tersenyum.
“Baiklah, Prof. Terima kasih.”

Intan dibiarkan bersendirian di dalam rumah Prof. E. Dia tak pernah duduk berseorangan di dalam rumah orang lain. Lagi memelikkan, rumah itu adalah milik Prof. E, seseorang yang dilabel jiran sekeliling taman sebagai perengus dan tidak bercampur sesama tetangga. Well, jangan nilai sebuah buku dari kulit luaran sahaja. Pandangan Intan terhadap Prof. E terus berubah apabila melihat susun atur rumah yang kemas, tersusun dan wangi, dihiasi dengan hiasan dinding yang menarik perhatian si pemerhati. Pada Intan, seorang perengus dan anti-sosial tidak memiliki sifat seperti ini.
Apa yang tidak diketahui Intan ialah, segala susunatur dan hiasan di rumah itu tidak pernah berubah sejak lapan tahun lalu, sejak peristiwa Prof. E ditinggalkan keluarganya dek kerana obsesi terhadap kajiannya.

Beberapa puluh minit kemudian, kedengaran salam diberikan di muka pintu. Prof. E dan Johan sudah pulang dari solat jumaat di masjid.
“Bau apa ni?” Hidung Johan kuat terbau sesuatu di udara. Bau makanan.
Prof. E dan Johan tersenyum sesama sendiri. Mereka bergerak menuju terus ke meje makan di dapur. Kelihatan Intan, dengan memakai apron, sedang memanaskan sesuatu di atas kuali di dapur.
“Intan? Kamu buat apa?” Prof. E bertanya dengan senyuman.
“Memandangkan tadi ibu dah kirimkan makanan, Intan panaskan dan hidangkan untuk Prof dna Yus makan,” jawab Intan.
Prof. E dan Johan berpandangan sesama sendiri. Tersenyum.
“Langkah kananlah kita, Johan,” Prof. E berseloroh.
“Johan? Kenapa Johan?” Intan bertanya.
Prof. E dan Johan terdiam. Dek kerana teruja, Prof. E dan Johan terlupa tentang individu bernama Yusran. Seorang ‘watak lakonan’.
“Johan? Siapa Johan? Siapa kata Johan? Yusranlah, Yusran.” Prof. E cuba menutup khilaf.
“Tapi tadi macam dengar nama Johanlah.” Intan meragui sambil tangan meletakkan lauk di atas meja makan.
Johan dan Prof. E hanya mendiamkan diri, tidak memberi sebarang reaksi.
“Tak apalah, Prof dan Yus boleh naik dulu tukar pakaian. Lepas tu terus turun kita makan sama-sama, OK?”
“OK!” Prof. E dan Johan jawab serentak.
Semasa naik tangga bersama untuk ke bilik di tingkat atas, Johan menyiku ringan Prof. E.
“Nasib baik dia tak syak apa-apa,” kata Johan.
“Nasib baik dia yang tukar topik,” balas Prof.
“Lain kali kita kena lebih berhati-hati.”
Kedua-dua mereka menarik nafas lega.

19 Mac 2004. Jam 1412
Prof. Erman, Johan dan Intan masing-masing tersenyum melihat makanan di atas meja makan.
“Marilah kita makan,” Prof. E memecah suasana.
“Bismillahirrahmannirrahim...” Johan mula membacakan doa.
Intan tersenyum menadah tangan. Prof. E tersentak dari terus menjamah makanannya dan juga menadah tangan.
“Nanti, ucapkan terima kasih kat ibu sebab sediakan makanan yang sedap ni ya, Intan,” ucap Prof. E kepada Intan. Intan mengangguk.
“Sedap!” Johan teruja.
“Masakan ibu memang sedap. Ibu memang nombor satu.” Intan mengangkat ibunya.

Seketika, suasana bersama Johan dan Intan membuatkan Prof. E tersentuh hati. Suasana makan makanan yang dimasak seorang ibu, dan duduk beramai-ramai di meja makan sambil menggamit kenangan dia bersama keluarganya satu ketika dahulu. Suasana berbual mesra, bertanya khabar hari dan bergurau senda di meja makan amat dirinduinya. Kini, dia sedang laluinya bersama dua orang yang tiada kaitan darah langsung dengannya.
Seketika, Prof. E merindukan keluarganya. Isteri dan anaknya.



BERSAMBUNG...[18]





Dec 12, 2012

Brace Yourself. 121212 Post is Coming.

Tahu tak kita semua bertuah. Kenapa?
Sebab kita berada dalam tarikh hari ini.


Dua belas dua belas dua belas.

Apa ada pada tarikh ni?
Tarikh sebegini dipanggil 'Repeating date'
Tarikh seperti hari ni dikatakan special sebab
kalau dalam format DDMMYY atau MMDDYY atau YYMMDD atau YYDDMM
hasilnya akan tetap 121212.

Patutlah ramai kahwin pada tarikh ni.

Ya.
Akan ada, paling seorang, di antara kita yang akan kata
"The heck? It's just one passing date. No big deal."
Tapi kalau nak difikirkan,
tarikh hari ini adalah yang 'repeating date' terakhir bakal kita alami,
kerana tarikh seterusnya yang paling dekat ialah
1 Jan 2101 (010101) iaitu 88 tahun lagi.
Good luck kalau boleh hidup selama tu.


"Tapi, tarikh lain pun special juga. 11/12/12 pun hanya akan berlaku sekali setiap 100 tahun, tarikh lain pun sama. Apa yang nak kecoh sangat?"

Chill, tiger! Chill.
Aku tahu.
Tapi, kalau contohnya kau kahwin 12 Dis 2012,
dan nanti ada anak cucu, kau boleh dengan bangganya berkata,
"Kami kahwin pada 121212,"
dan anak cucu kau akan
"Wooah! Bestnya!! Gempak dooh!"
Tapi, kalau kau kahwin pada 11 Dis 2012,
bila kau kata, "Kami kahwin pada 111212,"
anak cucu kau akan macam
"Eh? So what? Apa signifikannya? Passcode peti besi berisi wasiat ke?"
Kan?


"Tapi, aku muda lagi. Nak kahwin pun tak ada calon."
Pusing-pusing pasir dengan jari di hujung padang.

Fear not, random citizen.
Kahwin bukanlah satu-satunya cara nak mengabadikan kenangan bersama tarikh ini.
Banyak lagi yang boleh dibuat.

Berikut adalah contoh-contoh perkara yang boleh dilakukan pada tarikh 121212:
  1. Confess perasaan terpendam kepada crush yang lama dah stalk dalam facebook.
    Untung-untung, kalau ada rezeki, nanti berbalas. Bernilai juga tarikh ni. Atau kalau kena reject or kene friendzone, at least tarikh ni mengingatkan korang dengan keberanian yang ada. Kan?
    .
  2. Berazam untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya.
    Sebagai contoh, jadikan tarikh ni sebagai titik mula usaha korang berhenti merokok, atau mula pakai tudung, atau mula berjemaah di masjid.
    .
  3. Tanam azam baru dan impian terulung.
    Bagi yang belum ada impian terulung, apalah salahnya jadikan tarikh ini sebagai starter untuk mengejar cita-cita itu. Contoh, aku nak date dengan Emma Stone, so aku mungkin mulakan dengan hantar surat peminat kat dia pada hari ni walaupun aku tahu peratusan dia nak balas adalah sebesar peluang nak menjilat siku sendiri.*morale down*


"Pergh! Cakap berapi. Apa pulak yang kau nak buat hari ni, cEro?"

Kalau korang buka entri 6 Wanita yang Aku Mahu Belanja Makan di Kedai Mamak, korang akan tahu wanita ke-4 yang aku nak belanja minum kedai mamak.
Dia seorang amoi cina yang jaga kedai henset dan gadget dalam shopping complex berdekatan dengan rumah aku.



Hari ini,
aku nak memberanikan diri pergi bertanya nama dia.
Dan kalau dia izinkan, aku nak snap satu dua gambar dia.
Dan kalau aku cukup berani, aku nak bagitahu dia aku suka senyuman dia.
Dan kalau aku terlampau berani, aku nak ajak dia minum.
Dan kalau nasib aku terus baik, aku nak nombor fon dia.
Dan aku nak jadi kawan dia.
Aku tahu kebarangkalian untuk aku jadi lebih dari kawan menghampiri kosong,
tapi aku just nak dia tahu yang, dengan sentiasa senyum
dia mampu ubah dunia, at least, dunia aku.


Nanti,
aku boleh cerita kat anak cucu aku,
"Pada 121212, gwa pergi ngorat seorang amoi cina cun.."
Anak cucu aku pun balas,
"Woooaahhh! Gempak giler lu, brader! Lu dah jadi idola gwa skarang."


Masalahnya,
adakah aku mampu?


"Aku rasa kau mampu! C'mon cEro!"

InsyaAllah,
aku pun rasa aku mampu.
Doakan aku ya!!


postquam-scritpum:
Aku patut post entri ni pada jam 1212. Baru laa jadi 12/12/12 12:12

.




Dec 9, 2012

'MAAF' Bukanlah Perkataan yang Paling Sukar Disebut oleh Aku.


Tahu tak apa perkataan yang aku paling susah nak sebut?
Aku tak ada masalah nak minta maaf kalau ada silap salah.
Aku juga tak pernah rasa nak ucap terima kasih itu susah.
Tapi, aku ada masalah nak 'balas' terima kasih.
Aku susah nak cakap 'sama-sama'.




Dari usia hingusan lagi,
aku anggap perkataan 'sama-sama' sebagai balas kepada 'terima kasih' adalah tak masuk akal.
Apa taknya,
'sama-sama'?
Apa yang sama?

Bila kita berterima kasih, kita memberi tanda penghargaan dalam bentuk 'kasih',
sebab tu wujud terima kasih.
Tapi, bila dijawab dengan 'sama-sama',
adakah kita juga 'sama' memberi 'kasih' untuk diterima?
Atau 'kasih' yang diberikan tidak diambil, seraya wujud istilah 'sama-sama' bermaksud 'kosong-kosong'?
Kalau yang pertama sebagai jawapannya,
maka 'kasih' yang kita sama balas tu adalah tanda apa?
Kalau yang kedua jadi jawapannya,
maknanya kita tak menerima tanda 'kasih' si pengucap.

Maka, dua-dua tak masuk akal!

Ya, dengar remeh,
tapi hal 'sama-sama' ni pernah buat aku tak tidur malam,
sebab pada masa itu, kawan aku seorang ni mempersoalkan kenapa
aku tak jawab dan respon kepada 'terima kasih' dia..
Dia melabel aku sebagai seorang yang bongkak kerana
bila dia ucap "terima kasih"
aku jawab dengan "ya!"
Kata dia, aku tak hargai 'terima kasih' dia
dan jawapan 'ya' aku tu kedengaran bongkak..

Ya,
aku tahu.
Masalah selesai bila aku terus ucap 'sama-sama' je,
tapi....

'sama-sama' adalah terlalu janggal.
Awkward.
Aku selalu tak tahu apa ekpresi yang patut aku buat bila ucap 'sama-sama'.
Aku selalu rasa "Apa nada patut aku guna untuk 'sama-sama' ni?"
Aku selalu cuba nak buat bad poker face masa ucap 'sama-sama'.
Bila ianya berlaku, aku rasa aku tak ikhlas.
Aku tak suka aku tak ikhlas, jadi cara mudah
aku akan sedaya upaya hindar dari ucap 'sama-sama'.
Lagi bagus, jangan ucap 'terima kasih' langsung.
Aku tak kisah pun orang tak ucap 'terima kasih' kalau aku buat baik.
Cukup sekadar senyum pun aku dah gembira.

Jangan letakkan aku dalam situasi janggal itu.
Aku susah nak ucap 'sama-sama'.
Harap semua faham.



Jadi,
apa perkataan yang korang rasa paling korang susah nak cakap,
dan bila cakap pun, rasa janggal nak mamp*s?




.




Dec 5, 2012

Apakah Impian Terulung Anda?


Tahu tak apa antara hak mutlak kita sebagai manusia?
Memiliki impian.




Walau macam mana tak masuk akal pun impian seseorang.
Walau macam mana kebudak-budakkan pun impian yang diberitahu.
Walau macam mana kelakar pun impian yang diceritakan.
Hak untuk memiliki impian adalah hak individu.
"Hak berimpian hak kami."

Jangan perlekehkan impian orang lain.
Dan jangan jadikan impian anda sekadar mimpi yang tak sudah.

Maka,
tetapkan impian.
Tetapkan satu impian ulung di mana dari situ, kita bersama-sama berusaha menuju ke arahnya.

Jadi,
beritahu aku,
apakah impian kalian?
Apakah perkara yang paling besar yang apabila kalian dapat capai, kalian akan berkata
"That's it. I'm done!"




.




Dec 2, 2012

Ajaran #20 - Kreativiti adalah Kemampuan Menzahirkan Idea Keluar Dari Benak Fikiran.


Tahu tak apa yang membuatkan sesuatu idea itu kreatif?
Kemampuan menzahirkan idea yang berada di dalam kepala.






Dalam mesyuarat ataupun sesebuah perbincangan,
aku selalu tekankan sesuatu perkara;
"Menjana idea adalah perkara termudah."

Ya.
Ramai kurang setuju.
Ramai lagi yang membantah keras bahawasanya (kata mereka) idea yang bagus bakal menjamin hasil yang bagus.
Itu silapnya.

Biar aku beri contoh mudah.
Semasa di tingkatan 5, bersempena dengan sebuah pertandingan rekacipta,
aku ada fikirkan satu idea mencipta sebuah alat penapis udara yang dipasang di muncung ekzos setiap kenderaan.
Alat itu mampu mengurangkan kadar pengeluaran karbon monoksida dan sebahagian karbon dioksida lepas ke udara.
Aku dah siapkan skematik, berserta dengan kertas kerja yang terkandung segala perancangan hebat hasil janaan idea aku dan dua lagi kawan.

Pada kami,
idea itu, jika dilaksanakan dan dikembangkan, seterusnya dikomersialkan, bakal merevolusi industri pemotoran dunia sejajar dengan konsep sayangkan alam sekitar.

Tapi, itu idea.
Apabila dibentangkan, kami sedar, banyak faktor lain perlu kami atasi.
Apa yang kami cadangkan hanyalah, bak kata cikgu aku,
"Persamaan kimia mudah yang kamu korek dari buku teks."

Ya. Idea kami bagus.
Tapi, idea sahaja tak cukup.
Sesuatu yang kreatif dan inovasif adalah sesuatu yang mampu berfungsi dalam kehidupan seharian.
Sekaadar idea, itu boleh dijana oleh sesiapa sahaja yang berotak.
Tapi mahu menjadikannya wujud di dunia nyata, bukan tugas yang mudah.

Para comic bloggers akan faham situasi ini.
Bahkan, aku juga tahu semua blogger faham.
Kadang-kadang, kita ada idea yang sangat bagus untuk di-update-kan dalam blog.
Tapi, bila di hadapan laptop, kita gagal nak keluarkan 100% apa yang kita bayangkan dalam fikiran.

Seperti aku...
Aku dapat merasakan kegagalan dalam setiap entri aku dari dulu hingga sekarang.
Tapi aku harap aku dapat berkembang dari satu entri ke satu entri.
Aku harap, setiap post aku, paling kurang ada satu perkara yang kalian pembaca dapat serap dan amalkan dalam kehidupan, walupun perkara itu sekecil zarah mahupun seremeh butir pasir.

Aku harap, satu hari nanti aku jadi insan yang kreatif.
Seorang insan yang dapat sampaikan 100% apa yang difikirkan dalam benak fikiran.

I love you.




.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: