Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 28, 2012

Adakah Ini Pengakhirannya?


Isnin lalu aku dimasukkan ke dalam hospital atas sebab-sebab tertentu.
Malam pertama keseorangan di hospital,
aku dapat panggilan antarabangsa, jauh,
sejauh 6 jam putaran Bumi.

Panggilan dari seorang lelaki.
Seseorang yang aku kenali.
Seseorang yang aku hormati.

Setelah sesi bertanya khabar,
dan aku tak beritahu pun aku sedang dalam hospital,
lelaki di hujung talian itu memberitahu khabar utama.

"Sebenarnya,
adik aku akan bertunang hari jumaat ni.
Itu pilihan Abah.
Maafkan aku, ya."

Sebenarnya ayat dia lagi panjang.
Tapi aku ringkaskan kerana mata aku mula bergenang.



Perasaan aku?

Suka atau tidak,
aku dah jangka perkara sebegini akan berlaku.
Ianya hanya bergantung kepada masa.
Dan masanya,
adalah sekarang.

Sedih? Ya.
Gembira? Ya.

Sedih kerana aku tiada dalam equation.
Gembira kerana akhirnya jawapannya ada dan nyata.
Betul kata seorang kawan,
"Physical pain is much better than emotional pain."

Apa patut aku buat?
Kalau aku putera raja, aku akan datang terjah dengan menunggang kuda putih.
Membantah dan membawa pergi si puteri idaman hati.
Namun,
aku hanyalah seorang pemuda yang terlantar di atas katil putih.
Berteman dinding putih.
Sekali-sekala disapa pahlawan berjubah putih.
Aku bukan putera,
apatah lagi mengangankan kehidupan seperti di dalam buku kisah dongeng kanak-kanak perempuan.

Satu aku kesalkan.
Kenapa datang berita dari mulut seorang abang?
Kenapa bukan dari mulut si punya diri?
Aku mahu tahu, adakah dia redha dengan keputusan ini?
Adakah dia tahu semuanya diatur demi masa depan diri?
Adakah termenung ke luar tingkap dan masih menatap bulan yang sama dengan aku di sini?

Ya.
Aku kecewa.
Kecewa dengan diri kerana akhirnya aku masih seorang pengecut.
Pengecut yang hanya tahu menggenggam cadar menahan sebak
dan menghentam picu papan kunci mengadu dalam laman yang majoritinya tidak mengambil kisah dengan apa yang diluahkan.
Aku kecewa.
Akhirnya, aku masih seorang pengecut.
Akhirnya,
seperti aku pernah perkatakan,
semuanya hanyalah kenangan manis zaman muda
yang hanya boleh aku ceritakan kepada generasi bawahku satu hari nanti dalam nada kesal.

"Cu,
dulu Atuk pernah jumpa seorang pencuri hati...."


Adakah ini pengakhirannya?
Adakah begini pengakhirannya?


postquam-scriptum:
Rahsia hanyalah untuk orang yang berfikir.
Kadang-kadang,
kegelapan lebih menjelaskan dari kebenaran.


.




Oct 21, 2012

Apakah Yang Membuatkan Diri Untuk Terus Ke Depan?


Tahu tak apa yang membuatkan seseorang terus ke hadapan selain kaki?
Motivasi.


Alkisah semasa aku di kolej,
aku kenal seseorang yang belajar main gitar dari kosong,
tidak tahu apa-apa kepada mampu memainkan lagu dengan hanya mendengar
hanya dengan belajar sendiri dalam masa enam bulan.
Amazing, kan?
Mula-mula aku ingat dia takkan mampu buat
sebab dia ada 'sense of music' yang teruk.
Bayangkan, humming pun dia boleh hilang tempo,
apatah lagi nak main gitar.

Enam bulan kemudian,
dia sudah boleh gubah lagu sendiri.
Dek kerana mahu sepertinya, aku pun mencuba.
Lima tahun dah berlalu, aku hanya mampu ingat dua not sahaja.

Jadi,
apa yang membezakan aku dan dia?
Apa yang membuatkan kawan aku tu boleh berjaya sedangkan aku tidak walaupun 10 kali ganda masa sudah berlalu?




YA.
MOTIVASI.

Kata akar bagi motivasi adalah motif,
bermaksud tujuan, sasaran atau panduan.

Seperti seorang murid yang ke kelas kerana mahu skor A,
atau sekadar mahu bertemu teman seperjuangan menghabiskan saat terindah bersama.
Seperti seorang guru cekal mengajar anak murid kerana risaukan masa depan mereka,
atau sekadar mahu cemerlang dalam penilaian kenaikan pangkat.
Seperti artis yang berkarya sebagai satu tanda penghargaan kepada peminat,
atau sekadar mahu menjadi terkenal dan berduit banyak.
Seperti si musafir merentas benua mencari ilmu,
atau sekadar tiada arah untuk dituju.

Dan motivasi kepada kawan aku itu
untuk menjadi hebat bermain gitar dengan belajar sendiri dalam masa enam bulan
hanyalah supaya dia menyanyikan lagu romantis
sempena hari jadi si kekasih hati dalam masa enam bulan.

Walaupun kedengaran remeh,
tapi kuasa motivasi diri amatlah kuat.
Tiada yang kecil dalam motivasi.
Seremeh mana sekalipun, motivasi adalah kuasa.

Seperti respon beberapa teman dalam twitter bila aku bertanya
"Apa yang memotivasikan diri untuk terus ke depan?"
Ada yang menjawab 'keluarga'.
Ada yang menjawab 'rasa tanggungjawab'.
Ada yang menjawab 'kepuasan diri'.
Dan sudah tentu, tiada jawapan yang salah untuk soalan ini.


Kenapa aku tiba-tiba cetuskan persoalan tentang motivasi?

Sebenarnya,
aku terpengaruh dengan satu cerita yang sedang aku layan ni.
Semangatnya kuat untuk mengejar cita-cita hanya kerana benda remeh.
Benda remeh itulah yang menjadi motivasi dirinya
sehinggalah dia berjaya dapat apa yang dia nak.

Lalu, terdetik dalam diri aku.
Apa motivasi diri aku?
Apa yang membuatkan aku terus ke depan?

Jawabnya,
AKU TIADA MOTIVASI.

Patutlah sekarang aku masih berada di takuk yang sama.

Jadi, aku berkeputusan untuk mencari,
berusaha mencari motivasi diri.
Itu yang membuatkan aku bergerak ke depan dalam apa yang aku buat.
Itulah motivasi diri aku.

YA.
Motivasi aku untuk terus ke depan ialah
'Mencari motivasi untuk terus ke depan'
Aku akan cuba mencari apa motivasi diri aku dengan mencuba pelbagai perkara.
Sampai aku jumpa apa motivasi diri aku itu,
maka aku akan beralih ke motivasi itu.

Susah untuk dicerna?
Baca baik-baik, kalian akan faham.



Sekarang,
beritahu aku
APA MOTIVASI DIRI KORANG UNTUK TERUS KE HADAPAN?





.




Oct 19, 2012

Vorteks #13 Masa Menemukan Dua Manusia.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12]




“Ayah saya mesti tak bagilah, Aida.”
“Alaa, awak cubalah pujuk dia dulu. Rugi kalau awak tak terima tawaran ni.”
Intan pening kepala. Aida menyampaikan pelawaan kepada Intan untuk menjadi model fesyen untuk sebuah majalah untuk remaja. Semuanya atas permintaan abang kepada Aida yang pernah ditemuinya semasa singgah belajar di rumah Aida seminggu lepas. Abang kepada Aida merupakan salah seorang editor majalah berkenaan.
“Abang saya kata, awak ada pakej nak jadi model. Susuk badan awak tak seperti budak sekolah 16 tahun. Lagipun, muka awak sangat sesuai jadi model.”
Pujian melambung Aida sedikitpun tidak dihiraukan Intan. Ini kerana Intan memang sudah memasang angan-angan dari kecil untuk menceburi bidang peragaan dan industri hiburan. Tapi apa yang merisaukannya adalah bapanya.
“Awak macam tak tahu ayah saya macam mana. Dia gila bisnes. Dia siap suruh saya belajar perniagaan lagi bila habis sekolah nanti. Kata dia, nak saya warisi empayar perniagaannya.”
“Ala, adik lelaki awak kan ada? Biarlah dia yang warisi kerja ayah awak.”
“Adik saya baru umur dua tahunlah.”
“Tapi, peluang ni bukan selalu dapat. Saya siap dengki dengan awak sebab abang offer dekat awak, bukan saya. Tapi dalam masa yang sama, saya bangga sebab kawan baik saya bakal jadi model, seperti apa yang awak idamkan, kan?”
Intan terdiam seketika. Ada betulnya kata-kata Aida itu. Peluang sebegini bukan selalu dapat, malah dengan usia muda, 16 tahun, Intan mungkin boleh pergi jauh dalam industri.

Angan-angan Intan untuk menjadi model dan selebriti bermula sejak kecil lagi. Ibu Intan seorang model pakaian yang sering mewarnai majalah fesyen suatu ketika dahulu. Pada usia Intan empat tahun, ibunya pernah menunjukkan rakaman video mengenai satu acara peragaan fesyen yang disertainya sebagai model. Ibu Intan juga ada menceritakan bahawa dia dan ayahnya mula bertemu semasa menghadiri satu acara korporat mengenai fesyen. Dari situ, Intan mula pasang angan-angan mengikut jejak langkah ibunya sekaligus mahu menjerumuskan diri dalam industri hiburan tanahair.

“Beginilah. Walaupun abang saya suruh desak awak supaya terima tawaran dia secepat mungkin, tapi saya akan bagi awak tempoh sampai seminggu. Cuba fikirkan baik-baik peluang ini dan cuba pujuk ayah awak. Saya rasa, awak masih boleh berada dalam kedua-dua bidang perniagaan dan model, kan? Awak antara pelajar cemerlang kelas kita.”
Aida terus memujuk kawan baiknya itu. Namun, ini membuatkan Intan semakin berasa serba salah. Dia sangat kenal perangai ayahnya, dan sudah mengagak apa jawapan yang bakal keluar dari mulut ayahnya.
“Baiklah. Nanti saya dapat jawapan, saya terus bagitahu awak ya, Aida.”
------

Di rumah, sewaktu di meja makan, Intan memberanikan diri.
“Ibu, ayah mana?”
“Ayah kamu ada function dengan pelanggan,” jawab ibu Intan.
“Malam ni kita makan bertiga sahaja.” Ibu Intan meletakkan adik Intan yang berusia dua tahun di bangku tinggi bayi sebelah kirinya.
Intan meneliti lauk yang dimasak ibunya.
“Hm, sedapnya lauk ibu masak hari ni!”
Ibu Intan merenung anaknya.
“Apa yang kamu nak, Intan? Kamu tak pernah puji masakan ibu kalau kamu tidak mahukan apa-apa.” Masak dengan perangai anaknya, ibu Intan tahu Intan ingin membuat suatu permintaan. Intan bagaimanapun tidak terkejut dengan kata-kata ibunya kerana dia sudah menyangka semuanya.
“Ibu kenal Aida, kan? Abang Aida kerja di majalah Remaja Kini. “
Ibu Intan mengangguk, sambil menyuapkan makanan ke mulut adik Intan, dia menanti kata-kata seterusnya dari mulut Intan.
“Abang Aida tawarkan orang peluang nak jadi model fesyen untuk majalahnya. Katanya, orang ada potensi. Mungkin turun dari ibu rasanya.”
Membahasakan diri sebagai ‘orang’ dengan ibu dan ayahnya, taktik Intan adalah mendapatkan sokongan dari ibunya sebelum bersemuka dengan ayah. Mungkin dengan cara ini, ayahnya akan memberi peluang kepadanya menukarkan angan-angannya menjadi cita-cita.
Ibu Intan kelihatan agak terkejut.
“Kamu tahu kalau kamu cakap perkara ni kepada ayah kamu, dia akan terus tidak bersetuju, bukan?”
“Ya, orang tahu. Tapi ini peluang sekali seumur hidup. Orang memang dari kecil lagi berangan nak jadi macam ibu dulu-dulu.”
“Dulu-dulu,” ibu Intan mencelah.
“Kamu tahu kenapa kamu guna perkataan ‘dulu-dulu’, kan?”
Intan terdiam.
“Ayah kamu tidak mahu ibu teruskan kerjaya ibu sebagai model selepas kamii berkahwin.”
Ibu Intan menyuap makanan ke mulut adik Intan sebelum menyambung kata-kata.
“Ibu bukan tak mahu bagi, malah ibu rasa bangga bila anak ibu dapat peluang sedemikian. Tapi keputusan bukan di tangan ibu. Ianya di tangan ayah kamu. Ibu tak boleh nak kata apa-apa.”
Sedikit kecewa, Intan cuba terus memujuk.
“Nanti orang tanya ayah. Tapi ibu sokonglah orang, ya?”
Ibu Intan tidak menjawab apa-apa. Dia terus melayan adik Intan makan. Intan berasa kecewa. Makan malam diteruskan tanpa sebarang kata-kata.
------
Kriiiiiiiiinnnggg!
Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan sesi pagi tamat. Seketika, kelihatan berpusu-pusu pelajar sekolah menengah keluar dari kelas masing-masing untuk pulang ke rumah. Salah seorang daripadanya adalah Intan yang kelihatan tidak bermaya.
“Intan, tunggu saya sekejap!” Aida memanggil dari belakang.
Selepas berlari-lari anak, Aida dapat mengejar Intan sebelum menuruni tangga dari tingkat tiga.
“Macam mana? Dah cakap dengan ayah awak?” tanya Aida.
Dengan mencebik mulut, Intan memandang Aida dan menggelengkan kepala.
“Belum? Atau dia tak bagi?”
“Saya belum tanya.”
“Tak apalah. Nanti awak dah tanya, bagitahu saya, ya? Abang saya dah bising dah dekat rumah tu.”
Aida mengucap selamat dan berlalu pergi. Perjalanan pulang Aida dan Intan berbeza, menyebabkan Intan terpaksa balik sekolah jalan kaki berseorangan. Namun, jarak sekolah dengan rumah tidak jauh. Hanya kurang lebih dua kilometer jalan kaki.

Fikiran Intan jauh mengelamun semasa berjalan kaki pulang ke rumah. Banyak yang dia fikirkan; dari reaksi ayahnya sehinggalah kesan hubungan baiknya dengan Aida jika dia menolak.

“Hani?” Terdengar seseorang memanggil Intan dari belakang.
Intan berpaling dan ternampak seorang lelaki memandangnya.
“Saya bukan Hani,” Intan menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang tidak dikenali.”
Intan pun pergi meninggalkan lelaki yang terhenti langkah itu.
Beberapa kali Intan berpaling ke arah lelaki yang berdiri penuh kehairanan itu. Sambil melihat, Intan menuruni bahu jalan dan mahu melintasi jalan ke seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta dipandu laju menuju ke arahnya.

Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil membunyikan hon. Sewaktu Intan berpaling untuk melihat sumber bunyi hon itu, ianya sudah terlambat untuk mengelak.
Badan Intan kaku. Sekelip mata, dia merasakan begitu banyak perkara berbeza yang mampu dilakukannya untuk menjadikan hidupnya lebih bermakna. Dia boleh berkeras dengan ayahnya tentang impiannya memasuki industri hiburan. Dia juga boleh membantah keputusan muktamad ayahnya untuk menyambung belajar dalam jurusan perniagaan selepas tamat sekolah nanti. Dia juga boleh menolak impian ayahnya untuk menjadikannya penyambung legasi perniagaan milik ayahnya. Tapi, semua itu tidak berlaku. Dia hanya menurut segala apa yang ayahnya tentukan.

Badan Intan terasa seperti ditolak ke tepi. Intan terjatuh di seberang jalan, terduduk.
Kereta yang lajumenuju ke arah Intan tadi sempat membrek, tapi jarak membrek terlalu dekat mengakibatkan seseorang dilanggar.
Lelaki yang memanggil Intan ‘Hani’ tadi, yang juga sudah menyelamatkan nyawanya dengan menolak Intan ke tepi, dilanggar.
Kejadian ini jelas disaksikan Intan dari tepi jalan.




BERSAMBUNG...[14]




Oct 17, 2012

Perubahan; Menurut Aku.


Tahu tak apa perkara yang semua orang perlukan?
Perubahan.


Sama ada ke hadapan,
atau ke belakang,
perubahan sentiasa diperlukan bagi setiap individu.
Bukan untuk menjadi individu 'lain',
tapi menjadi individu yang lebih baik.




Kita selalu memikirkan berapa banyak perubahan seseorang mampu lakukan ke atas dunia.
Kita menilai diri sendiri,
mempersoal sama ada kita mempunyai kapasiti sebagai seorang wira dan menyebar keunggulan.
Tetapi kebenarannya,
setiap kali kita mengambil sesuatu tindakan,
kita akan menghasilkan impak.

Setiap satu perkara yang kita lakukan
akan meninggalkan kesan kepada orang sekeliling.
Setiap pilihan yang kita buat
akan menghasilkan gelombang lalu keluar ke dunia luar.
Sekelumit perlakuan baik yang kita sebarkan
akan mencipta satu reaksi rantaian kepada manusia yang mungkin tidak pernah bersua muka.
Kita mungkin tidak menyaksikan kesannya,
tapi semuanya berlaku tanpa kita duga.

Namun, untuk berubah,
langkah perlu diambil.
Berdiam diri di takuk yang sama tidak akan mengubah apa-apa.

Apa erti perubahan bagi korang?

postquam-scriptum:
Ini kali pertama aku lukis guna touchpad laptop sepenuhnya..
..dan aku harap tiada lagi seterusnya.
Terseksa oo..
Mouse aku bermasalah.
Aku geram.
Tapi aku mahu berubah...




.




Oct 14, 2012

Gambar Paling Susah Nak Diterangkan Dalam Handphone Aku.


Tahu tak apa kita boleh dapat dari galeri dalam phone?
Peribadi seseorang.


Aku ada seorang kawan, satu sekolah asrama dulu.
Walaupun lama tak jumpa, tapi bila jumpa sekali hari tu
dia buat satu permintaan pelik.

Dia nak tengok galeri handphone aku.
Aku kaget!

Since aku tak ada simpan gambar porno dalam phone,
mahupun ambil gambar yang mencurigakan,
aku benarkan.

Seketika dia melayan galeri aku, dia tersenyum.
Kadang-kadang, dia berkerut muka.
Kadang-kadang, dia tergelak kecil.

Aku tanya, "Apsal nak tengok galeri?"
Dia jawab, "Kita dapat tahu lebih tentang seseorang dari apa yang dia simpan dalam phone dia.."

Secara logik memang betul.
Penggemar kereta akan ada banyak gambar kereta.
Penggemar kucing akan simpan banyak gambar kucing.
Sex maniac akan ada banyak gambar porno dalam phone.
Juga, yang mana tersimpan banyak gambar tangkap sendiri, dipanggil narcissist.

Sekali,
kawan aku bertanyakan satu gambar yang pelik.
Ini dia gambarnya....




Abaikan habuk tebal di pinggir tingkap itu,
tapi itu adalah gambar lipas yang masih hidup.

Aku menceritakan,
gambar ni adalah momen aku paling rapat dengan lipas dengan kerelaan.
Semua sedia maklum aku tak suka lipas.
Tapi, satu hari,
aku ternampak lipas hidup bertenggek di penjuru tingkap.
Mengumpul keberanian, aku datang rapat memerhati.
Lipas tu seperti berada di akhir usia,
nyawa-nyawa ikan nampaknya.
(Ironi bila lipas yang selalu dikaitkan liat nyawa disamakan dengan nyawa ikan)

Saat ini aku merasakan seperti,
"Padan muka! Pada waktu kau sihat, kau saja nak troll aku, datang-datang dekat nak acah-acah. Bila masa kau terbang, aku lari bertempiaran tak cukup tanah. Sekarang, saat akhir nyawa kau, kau hanya mampu duduk di penjuru tingkap bertemankan habuk. Sekarang kau tahu siapa manusia, siapa lipas!"
Untuk beberapa ketika itu, aku rasa aku MENANG!

Memandangkan ini momen aku paling hampir dengan lipas dengan kerelaan,
aku pun snap gambar beberapa keping buat kenangan.



"Aku ingat kau ada fetish dengan lipas!"
Aku tergamam mendengar kata-kata kawan aku.
Membayangkannya, tekak aku loya.

Aku sangat tak suka lipas.
Sangat!


Postquam-scriptum:
Apparently, gambar itulah gambar paling pelik dalam handphone aku.
Korang pula?
Cuba belek handphone sekejap dan cari
apakah gambar pelik yang paling susah korang nak jelaskan keadaannya?




.




Oct 12, 2012

Vorteks #12 Masa Kritikal


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11]




Nilai kajian seorang saintis bukan bergantung kepada betapa tepat teori yang dicadangkan, tetapi terletak kepada berapa banyak fakta yang mampu menafikan cadangan mereka itu. Sebagai contoh, jika seorang saintis mencadangkan ‘ais itu sejuk’, maka teori itu akan menjadi satu yang diterima pakai sejagat sehinggalah ada seseorang yang berjaya kemukakan fakta yang menafikannya dan mengatakan bahawa ‘ais itu bukan sejuk’. Dengan kata lain, semua teori dalam dunia yang diciptakan manusia ini tidak boleh dibuktikan kesahihannya. Tiada yang sahih.
Dek kerana itu, Prof. E mula meragui tentang teori alam selari dan jalur masa alternatif yang dipercayainya selama ini. Semuanya kerana kata-kata Johan mengenai ‘kuasa besar’ yang mengawal segala yang berlaku. Prof. E sedar, kewujudan Johan sedikit sebanyak membuatkan dia meragui hasil kajian selama 25 tahun. Namun, dek kerana ego seorang yang pintar, dia tidak mahu mengakuinya.

18 Mac 2004, jam 0827.
“Mungkin saya boleh tolong apa-apa yang patut dalam kajian Prof. Boleh?” Johan menawarkan diri membantu Prof. E.
“Maaflah, Johan. Bukan aku tak percaya kemampuan kau. Malah, aku tahu kau berkebolehan memandangkan kau pelajar perubatan. Tapi...”
“Tapi Prof lebih gemar melakukannya berseorangan, kan?” Johan memotong kata-kata Prof. E dan memasukkan apa yang difikirkannya.
Prof. E mengangguk setuju.
“Tak apa, saya faham. Saya cuma rasa saya patut tolong memandangkan saya tak ada buat apa-apa. Tapi kalau itu sebabnya, saya mungkin lagi akan menyusahkan Prof dalam kajian Prof.” Prof. E tersenyum. Sebenarnya, dia tidak mahu menerima pelawaan Johan disebabkan dia perlu kaji semula semuanya dari awal. Kewujudan Johan memang mengganggu fikirannya.
Suasana ruang makan menjadi sunyi seketika.

“Kalau begitu,  boleh tak saya keluar berjalan-jalan di luar?” Johan meminta kebenaran.
“Kenapa?” tanya Prof. E.
“Hari ini merupakan hari kematian datuk saya. Walaupun semalam saya memang sudah jumpa dia, dan saya patut rasa lega, tapi hati saya tetap rasa sedih dengan pemergiannya. Apatah lagi bila peristiwa itu, technically, belum pun berlaku.”
Prof. E merenung wajah Johan.
“Saya cuma nak ambil udara di luar. Jangan risau, saya tak akan pergi berjumpa dengan orang yang saya kenal. Saya memang nak sangat balik ke masa akan datang sesegera mungkin, jadi saya takkan meletakkan risiko lagi ke atas kajian Prof seperti sewaktu saya berjumpa dengan Atuk, semalam.”
“Baiklah. Kau nak pakai kereta ke?”
“Tak perlu. Saya cuma nak jalan-jalan kawasan perumahan ni saja.”
Selepas mengemas pinggan dan cawan yang digunakan semasa sarapan, Johan keluar dari rumah. Walaupun nampak normal, tapi sebenarnya Johan sangat tertekan. Dari sudut pandangannya, walaupun berpeluang kedua untuk bertemu dengan datuknya buat kali terakhir, tapi dia juga perlu menerima berita kematian datuknya itu untuk kedua kalinya.. Dua kali kesedihan, dua kali kesengsaraan. Mungkin keluar berjalan-jalan adalah salah satu cara Johan menghilangkan kesedihan.

Jam 1420.
Prof. E sedang tekun mentafsir data-data yang diperolehinya di bilik kajiannya di loteng. Selepas beberapa kali menggaru kepala, dia melihat waktu di jam tangannya.
“Sudah pukul dua? Johan sudah balik belum?” bisik Prof. E dalam hati.
Walaupun dia yakin Johan tidak akan mendatangkan masalah, tapi hilang selama enam jam atas alasan mahu berjalan-jalan ambil angin agak merunsingkan.
Tiba-tiba Prof. E teringatkan sesuatu.
Selepas dia membelek-belek beberapa fail di atas mejanya, akhirnya dia terjumpa sesuatu. Sekeping kertas tertulis nombor telefon talian tetap.
Setelah menekan beberapa nombor pada telefon di biliknya, Prof. E mendengar deringan di corong telinga gagang telefon.
“Hello?” kedengaran suara di hujung talian. Suara wanita yang teresak-esak.
“Hello. Saya Osman, wakil insuran. Boleh saya bercakap dengan encik Jaafar bin Seman?”
“Hmm..Maafkan saya. Tapi, abah saya baru sahaja meninggal dunia pagi tadi. Kami akan ke kubur selepas ini untuk upacara pengebumian.”
Prof. E terus mematikan telefon.
Dia dapat mengesahkan sesuatu hari ini. Kerisauan dia semalam hilang. Padanya, semuanya kembali normal. Walaupun itu berita kematian, namun adalah berita baik baginya.

Jaafar bin Seman adalah datuk kepada Johan. Nombor yang dipanggil Prof. E tadi adalah nombor telefon rumah Johan dan yang menjawab panggilan tadi ialah ibu Johan. Maknanya, pertemuan Johan dengan datuknya semalam tidak mengganggu gugat perjalanan masa seperti yang dialami Johan semasa dia berusia 15 tahun. Tiada yang berubah, setakat yang diketahui oleh Prof. E.
Selaku saintis, Prof. E perlu tahu segalanya tentang subjek kajiannya, untuk masa ini, ialah Johan. Maka, segala-gala data tentang Johan, sama ada yang berumur 23 tahun ataupun yang berusia 15 tahun, perlu diketahuinya. Data itu termasuklah salasilah keturunan dan segala yang berkaitan tentang hidup Johan, termasuk nombor telefon rumahnya.
Namun, fakta Johan belum pulang selepas enam jam merisaukan Prof. E. Lalu, Prof. E keluar dari bilik dan turun ke pintu hadapan untuk meninjau ke luar.

Johan kelihatan berada beberapa puluh meter dari rumah.
Dia membawa satu plastik berisi dua bungkusan nasi ayam, untuk dirinya dan Prof. E sebagai menu makan tengahari. Kakinya sedang melangkah pulang menuju ke rumah.
Secara tiba-tiba, dari arah belakang, Johan dipotong jalan oleh seorang remaja perempuan berseragam sekolah. Wajah perempuan itu kelihatan asyik, seperti sedang khusyuk memikirkan sesuatu. Sepintas, Johan dapat melihat raut wajah perempuan itu. Lalu, secara tiba-tiba, langkah Johan terhenti.
“Hani?” Terpacut nama itu keluar dari mulut Johan.
Remaja perempuan itu berpaling dan memandang kehairanan.
“Saya bukan Hani,” perempuan itu menjawab.
“Tapi muka awak macam Hani.”
“Maafkan saya. Tapi, saya diajar supaya tidak bertegur dengan orang yang tidak dikenali”
Remaja perempuan itupun pergi meninggalkan Johan yang terhenti langkahnya.
Beberapa kali remaja perempuan itu berpaling ke arah Johan yang berdiri penuh kehairanan. Sambil melihat Johan, remaja itu menuruni bahu jalan dan mahu melintasi jalan ke seberang. Dia tidak sedar ada sebuah kereta laju menuju ke arahnya.

Sekelip mata, terdapat sebuah kereta dipandu laju mendekati sambil membunyikan hon. Sewaktu remaja perempuan itu berpaling, ianya sudah terlambat untuk mengelak.
Melepaskan bungkusan nasi ke tepi, Johan dalam keadaan refleks segera menolak gadis itu ke tepi. Kereta itu sempat membrek, tapi jarak membrek terlalu dekat mengakibatkan Johan gagal mengelak.
Johan dilanggar.
Kejadian ini turut disaksikan Prof. E dari muka pintu rumah.

“Johaaaaaan!”



BERSAMBUNG...[13]





Oct 10, 2012

6 Haiwan Peliharaan Idaman yang (Mungkin) Tidak Akan Dapat.

Kalian tahu apa yang aku mahu bila terasa 'forever alone'?
Memiliki haiwan peliharaan impian.


Aku ada bela kucing.
Aku ada bela arnab.
Dulu bela ikan dan kura-kura, tapi macam leceh.
Jadi, apsal nak bela-bela lagi ni?
Rumah dah macam zoo dah, tak puas hati lagi?

Bukan...
Semua tu (kucing, arnab, ikan, kura-kura) terlalu ordinary.
Terlalu biasa. Boring.
Hidup kenalah penuh dengan cabaran dan keseronokan,
barulah warna warni hidup tak pudar..

Walaupun ada dalam list ni yang kurang realistik,
tapi..
kadang-kadang,
apa salahnya berangan kan?

Berikut adalah ENAM haiwan peliharaan idaman yang (aku tahu) (mungkin) aku takkan dapat seumur hidup aku.
Masuk akal ke tidak, itu perkara ke-348...




Aku tak tahu 'chameleon' dalam bahasa dipanggil apa.
Tapi yang aku pasti, bela chameleon kedengaran macam sangat cool.
Apatah lagi kalau jenis chameleon yang bertukar warna ikut persekitaran tu.
Seolah-olah macam aku sedang bermain sorok-sorok dengan dia, sepanjang masa.

Kawan aku pernah cerita,
nak bela chameleon bukannya senang,
tambahan pula dengan cuaca kita yang panas dan lembap,
reptilia ni berdarah sejuk, jadi nak jaganya perlukan sedikit kepekaan.
Memandangkan reptilia tak mampu tunjuk emosi di wajah,
jadi memang susah nak tahu chameleon ni stres ke, happy ke..

Tapi nak membelanya bukanlah mustahil..
InsyaAllah, suatu hari nanti aku akan cuba membelanya..
Aku nak namakan dia Leon S. Kennedy.




Homing pigeon ialah burung merpati jinak yang sangkarnya terbuka.
Dia boleh terbang ke mana saja yang dia nak dan nanti dia akan balik ke sangkar tu balik.
Bebas, kan?
Sebab tu merpati kadang-kadang digunakan sebagai simbol kebebasan.
Carrier pigeon pula adalah merpati yang dilatih sebagai alternatif komunikasi masa zaman tanpa telefon dulu-dulu.

Merpati ini seperti kompas yang hidup.
Mereka boleh pulang ke sangkar asal berpandukan medan magnetik bumi, sama konsep dengan kompas yang sentiasa menghala ke utara.
[Lebih maklumat di wiki]

Antara sebab aku nak bela merpati macam ni adalah...
hmmm...malulah...
sebab dengar macam romantik.
Aku selalu bayangkan dua kekasih berhubung dengan selitkan nota di kaki merpati, dan lepaskan merpati tu di muka tingkap untuk terbang kepada kekasih masing-masing.
Dengan itu, tak perlu lagi SMS, emel or even facebook.
Tambahan, lebih private and confidential.

Pergghh! Idea bercinta dengan guna merpati pada zaman moden sangat sesuai dijadikan tema dalam novel dan diadaptasi ke drama swasta 26 episod slot Akasia.
Untung-untung nanti boleh dijadikan filem mengalahkan Ombak Rindu.
CC: Ahmad Idham dan David Teoh!




Aku dapat tahu, di kebanyakan kawasan pendalaman Russia,
ada keluarga yang jadikan beruang sebagai haiwan peliharaan.
Dengar macam awesome, kan?

Memandangkan beruang adalah mamalia,
jadi mereka mampu beri respon dengan kasih sayang.
Dengan kata lain, kalau aku sayang dia, dia akan sayang aku balik.
Kalau aku beri makan dia, dia akan balas dengan melindungi aku dari bahaya.
Apparently, beruang adalah makhluk yang membalas budi.

Bayangkan,
perempuan akan bawa teddy bear kesayangan hadiah dari pakwe untuk teman tidur.
Aku pula, akan bawa Teddy (nama beruang aku bela) jalan-jalan ke taman, shopping mall dan rumah saudara.
Maka, tak ada siapalah yang berani rompak aku.
Awek-awek pun akan tertarik dengan keunikan haiwan aku.
Tambahan, aku akan ada kawan yang boleh dengar keluh-kesah aku tanpa prejudis.




Apa lagi awesome dari bela beruang?
Tentulah bela singa.

Digelar raja haiwan, penampilan singa dah menampakkan kegagahannya.
Jika singa gagah, apatah lagi manusia yang mampu menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.
Macam mamalia lain, kalau kena dengan tempatnya,
singa boleh jadi haiwan yang sangat baik dan penyayang.
Tapi, haiwan karnivor ni ada instinct sendiri.
Jangan dicabar naluri tu, kita akan selamat.

Sebenarnya,
aku berangan nak bela singa sebab masa kecil-kecil dulu
aku pernah mimpi tunggang singa berlarian kat kawasan savana.
Mungkin aku terlalu terpengaruh dengan satu filem yang aku tonton masa kecil dulu,
The NeverEnding Story, cerita tentang budak naik anjing terbang.
Memandangkan aku tak boleh naik anjing, jadi aku naik singa.
Legit, kan?

Oh, dan aku akan namakan singa aku Raikou.




Apa lagi gempak dari tunggang singa merentasi Savana?
Tunggang singa terbang berkepala helang membelah langit. Griffin.

Griffin adalah makhluk lagenda kepercayaan mitos Eurasian.
Separuh bahagian hadapan Griffin adalah helang, merangkap Raja Segala Burung
dan separuh belakang Griffin pula adalah singa, merangkap Raja Haiwan Buas.
Maka, Griffin dianggap Raja Segala Haiwan.

Sebelum kalian melatah, biar aku jelaskan,
Griffin tak pernah wujud. Hanya mitos.
Jadi, aku memang tak akan dapat bela seekor.
Malah, aku tak tahu pun apa Griffin dalam Bahasa Malaysia.

Tapi yang pasti,
kalau dapat bela satu, aku nak namakan dia Griff.
"Griff, terbangkan aku ke Akihabara, Japan"
Zup, dia terbang.
"Griff, kejar peragut jalanan itu!"
Zup, peragut jalanan tu tersangkut dekat tiang elektrik 3 meter tinggi.




Ultimately,
aku nak bela seekor Triceratops.
Dinosaur yang terkenal dengan kepala bertanduk tiga.

Triceratops dikatakan musuh kuat kepada dinosaur yang ditakuti seluruh makhluk, Tyrannosaurus Rex (T-Rex).
Aku akan tersenyum panjang bila terbayang betapa epiknya pertarungan kedua-dua dinosaur ni.
Tapi, dengan kelemahan lengan kontot T-Rex dan perut boroinya,
Triceratops ada ruang luas menyondol lalu merabakkan perut T-Rex dengan tujahan maut.
Sebab tu aku pilih Triceratops daripada T-Rex.
Sebab Triceratops hebat!

Bayangkan,
aku bawa Triceratops berjalan-jalan di taman tasik.
Agak-agak apa reaksi orang ramai?



xxxxxx

Itulah enam haiwan peliharaan idaman yang aku rasa takkan dapat bela.
Tapi part chameleon dan homing pigeon tu macam ada harapan lagi...kot!

Ada yang mengatakan kita dinilai dengan cara kita melayan haiwan.
Kalau aku layan singa dengan baik,
adakah aku boleh dikatakan Raja kepada Raja Haiwan?

Aku lagi suka kalau jadi raja kepada manusia.
Ataupun raja di hati korang. (Pergh! pickup line!)


Kalian pula?
apakah enam haiwan peliharaan yang kalian idam-idamkan?
Kongsilah dengan aku.
Kalau rajin, buat satu entri macam aku ni
dan boleh aku baca dan kongsi di twitter dan facebook.

UPDATED:
6 haiwan peliharaan idaman kawan-kawan aku yang awesome!
Sila jangan malu-malu nak singgah.

Haris Khairuddin dari blognya Haris Khairuddin [klik sini]
Aujinz dari blognya Lanun Ranggi [klik sini]
かわいい d y s h a dari blognya Kawaii Dysha Studio [klik sini]



.




Oct 7, 2012

The Insignificant Misadventure of cEro with his Phone.



Kalian tahu apa yang aku buat baru-baru ni?
Mengisytiharkan satu musuh ketat.





Tolonglah.
Tak sampai setahun aku pakai henset ni.
Dah start buat hal.
Teknologi sekarang memang hampeh!
Nokia 3310 dulu sangat lasak, boleh buat baling anjing lagi.

Macammana laa aku nak capai Misi 3112 aku ni?
Banyak betul dugaan...



.




Oct 5, 2012

Vorteks #11 Masa Lalu Seorang Professor.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10]




Orang ramai mungkin tidak mengetahuinya, tapi kebanyakkan saintis fizik, metafizik dan matematik percaya, jika kita menjelajah dalam satu garisan merentasi alam semesta sejauh mungkin, kita akan bertemu dengan penghujung alam. Seterusnya, jika kita merentasi penghujung alam dan menjelajahinya sejauh mungkin, kita akan bertemu dengan salinan seperti diri kita yang sama, tapi hidup dan tinggal di alam yang lain. Para pakar dan bijak pandai mempercayainya sebagai alam selari (parallel universe) dalam satu jalur masa alternatif (alternative timeline).
Mereka juga percaya bahawa terdapatnya alam selari yang tidak terkira bilangannya di luar sana hasil dari perlakuan kita yang berbeza. Sebagai contoh, jika pagi tadi kita bangun dan bersarapan, maka ada alam lain di mana kita bangun pagi dan TIDAK bersarapan. Alam selari ini tidak terkira bilangannya dan wujud dengan setiap kemungkinan yang ada.

Paling tidak, itu yang dipercayai Prof. E. Dia sudah mengkaji kemungkinan wujudnya alam selari sejak dari muda lagi. Walaupun tiada bukti kukuh yang menyokongnya, tapi kemungkinan logik yang digunakan akal dan maklumat dari tokoh-tokoh fizik dan metafizik yang terdahulu sebelumnya membuatkan dia percaya seratus peratus fakta tersebut. Dia betul-betul percaya itulah kebenarannya, namun dek kerana hayat manusia terlalu pendek untuk mempelajarinya, kebenaran masih belum dapat dipastikan.

Lain pula dengan Johan. Padanya, semua yang berlaku bukanlah kebetulan. Padanya, semua yang berlaku di dunia kita ini sudah tertulis dan digelar takdir. Ada wujudnya satu Maha Kuasa yang besar sedang memerhatikan perjalanan takdir tersebut. Tiada alam selari, tiada jalur masa alternatif. Johan sedar dia bukanlah seorang yang kuat agama, tetapi dia tidak pernah meragui kewujudan Tuhan walaupun dia juga seorang ahli sains dan sedang belajar dalam bidang perubatan. Padanya, sains adalah penjelasan kepada sekelumit kuasa Tuhan, sedangkan masih banyak lagi perkara yang tidak mampu difikirkan manusia biasa.

18 Mac 2004, jam 0800.
Prof. E menuruni tangga dari biliknya untuk bersarapan di dapur sebelum ternampak Johan yang sedang membancuh kopi di atas meja makan. Pertelingkahan semalam membuatkan tiada siapa antara mereka bertegur sapa semalaman. Mereka bertentang mata, namun tiada kata-kata.
Namun, Johan sedar, sesuatu perlu dilakukannya.
“Saya ada buatkan roti bakar. Mari kita sarapan sama-sama.” Johan menginisiatifkan perbualan dengan mempelawa. Prof. E memberhentikan langkahnya seketika, lalu terus menuju ke meja makan tanpa kata-kata.
Mereka berdua duduk berdua bersarapan. Janggal. Masing-masing terlalu fokus dengan makanan sendiri, mungkin sebagai penghilang rasa janggal yang menyelubungi.
Prof. E meletakkan cawan kopi yang dihirupnya ke atas piring.

“Norman.” Muncul satu nama dari mulut Prof. E.
Johan memandang Prof. E dengan penuh tanda tanya.
“Nama dia Norman. Nama anak lelaki aku Norman.”
Johan terkejut dengan keterbukaan Prof. E.
“Aku, memang sejak dari muda lagi, sudah memulakan kajian tentang teori jujukan masa dan ruang ni. Sudah hampir 25 tahun rasanya. Dan macam manusia lain, aku juga berkeluarga. Mengahwini seorang isteri yang cantik, dan dikurniakan seorang anak lelaki yang sihat dan pandai.” Prof. E bercerita dengan senyuman. Johan mendengar dengan teliti.
“Tapi, setelah mendapat tahu tentang kilat Thor dan teori ‘wormhole’ yang boleh diaktifkan setiap lapan tahun di loteng rumah ini, aku membeli rumah ini. Isteri dan anak aku gembira, namun apa yang mereka tidak tahu adalah, aku beli rumah ini adalah demi diri aku sendiri. Demi kajian aku.”
“ Aku menjadi terlalu obses. Masa aku, jika bukan berada di universiti untuk mengajar dan mencari sumber rujukan, aku akan berkurung dalam bilik kajian aku itu mengkaji setiap butiran dengan teliti. Hubungan aku dengan manusia lain terputus, termasuklah hubunag bersama dengan isteri dan anak aku yang tinggal serumah dengan aku. Rumah ini. Rumah yang sepatutnya mengembirakan mereka.” Prof. E menekup mukanya tanpa sesalan.

“Satu malam lapan tahun lalu, semasa waktunya tepat dengan ramalan kemunculan kilat Thor di loteng rumah, aku temui satu hasil keputusan yang sangat mengembirakan. Saat itu, segala teori aku terbukti benar dengan kewujudan fakta-fakta yang tidak lagi boleh aku sanggah. Aku ingin meraikan kegembiraan aku. Aku ingin raikan dengan orang yang aku sayang. Isteri dan anak aku. Aku berlari ke seluruh rumah mencari mereka. Tapi mereka tiada. Apa yang ada hanyalah sepucuk surat yang ditinggalkan di atas katil bilik tidur aku.”
“Surat itu tertulis bahawa, isteri dan anak aku terpaksa meninggalkan rumah itu dan menetap di kampung kerana merasakan sudah kehilangan aku. Mereka kata, aku seperti sudah ‘berkahwin’ dengan kerja aku.  Aku sudah tenggelam jauh dalam ketaksuban yang aku cari sendiri, sehinggakan melupakan dua insan yang paling aku sayang.”

“Adakah...hm...Prof dan isteri Prof sudah bercerai?” Johan bertanya.
“Tidak. Isteri aku tidak meminta cerai. Malah, dia kata apabila segala kerja aku sudah siap, aku boleh jemput mereka pulang dari kampung.” Prof. E menjawab.
“Dan ada Prof pergi bertemu mereka di kampung?”
Prof. E terdiam seketika. Soalan itu seperti susah untuk dijawab.
“Isteri aku pesan, jangan cari mereka sampai saat aku betul-betul mahukan mereka kembali.”
“Maknanya, selama lapan tahun ni, Prof tak pernah menjenguk mereka langsung?”
Prof. E mengangguk tanda iya.
Johan mengeluh panjang menekup muka.

“Aku cuma rasa, aku perlu selesaikan semua ini dulu, baru boleh bertemu dengan mereka tanpa sesalan.” Huraian Prof. E sekaligus membuatkan Johan membuka tekup tangan di mukanya.
“...dan Norman?” tanya Johan.
“Sewaktu meninggalkan aku, Norman berumur 17 tahun. Tetapi susuk tubuh dan gaya perangainya sama dengan kau. Sejak mereka keluar, aku tak pernah ubah segala barangan dan kelengkapan di bilik utama dan bilik Norman, sehinggalah kau datang tiga hari lalu.” Johan menunduk.
“Mungkin sebab kemiripan kau dengan Norman, aku benarkan kau tinggal di bilik dia..”
“...atau mungkin Prof rindukan dia dan isteri Prof.” Johan memotong kata Prof. E.
Prof. E terdiam, tidak menafikan kata-kata Johan.

“Walaupun Prof tidak mengatakannya, tapi saya tahu Prof penuh dengan sesalan.” Porf tidak memberi respon terhadap kata-kata Johan itu.
“Saya minta maaf dengan kata-kata saya semalam. Mesti Prof sangat tersinggung. Saya sepatutnya lebih sensitif dan bersyukur sebab Prof sudi menolong saya dari awal lagi.” Prof. E mengangguk tanda menerima kata-kata maaf dari Johan itu.
“Jadi, apa kata kita buat satu perjanjian. Saya akan berikan seratus peratus komitmen dalam kajian Prof untuk menghantar saya pulang, dengan syarat selepas semuanya berjaya, Prof berjanji akan pergi mencari kedua isteri dan anak Prof, minta maaf pada mereka, bawa mereka pulang ke sini dan jalani kehidupan normal seperti hidup keluarga yang lain. Boleh?”
“Komitmen?” Prof. E bertanya.
“Saya boleh mulakan dengan tidak menurut kata hati dengan pergi berjumpa dengan orang yang saya kenali di zaman saya seperti yang saya buat semalam. Hehehe..”
Ekspresi cerah dan riang di wajah johan amat terserlah. Prof. E tersenyum kecil melihatnya.
“Baiklah. Aku janji.”



BERSAMBUNG...[12]

.




Oct 2, 2012

Kawan Yang Sebegitu.




Kawan.
Semua ada kawan.
Rapat atau tidak, itu hal lain,
tapi secara zahirnya, semua ada kawan.

Tapi kawan yang macam mana kita betul-betul perlukan?

Sesetengah orang perlukan kawan yang baik.
Kawan yang di mana, bila kita berada di lembah kegelapan,
dia akan cuba sedaya upaya mengangkat kita kembali ke permukaan yang cerah.
Kawan di mana, bila kita sedih,
dia akan cuba membuatkan kita selesa.
Kawan di mana, bila kita kemurungan,
dia akan berkata "hang in there" atau sesuatu seperti "semua yang berlaku ada hikmahnya" atau seseuatu seperti "just be yourself".

Aku ada ramai kawan sebegitu.
Terlalu ramai yang sebegitu sampaikan aku tidak tahu beza yang mana ikhlas dan yang mana hanya sekadar mahu memenuhi syarat kontrak sosial di mana dia perlu dilihat sebagai seseorang yang baik sedangkan dalamnya tidak peduli.

Tidak.
Aku tidak persoalkan keikhlasan kawan-kawan aku.
Aku persoalkan kemampuan aku untuk mempercayai keikhlasan mereka.
Aku yang salah.
Dan jika yang baca ini adalah salah satu dari mereka,
aku minta maaf.

Dan ya.
Aku sedang berada di lembah kegelapan kehidupan di mana aku persoalkan setiap perbuatan aku.
Aku sekarang sangat negatif sehinggakan aku merasakan diri ini tidak berguna.
Aku seorang yang gagal.
Jika hidup ini roda, aku berada di bahagian bawahnya.
Jika hidup ini roller coaster, kau sedang menerima daya tujahan ke bawah sehingga 6G.
Aku dalam depresi.

Memang banyak yang mahu membantu.
Tapi aku tidak mahukan seseorang yang akan berkata
"Bertahanlah"
"Jangan putus asa"
"Bangkit!"
Aku perlukan seseorang yang bila nampak aku sedang merejam kepala di dalam kolam air,
dia akan datang dekat, dan dengan kedua belah tangannya akan menekap kepala aku lalu merejamnya lebih dalam sehinggakan aku hampir lemas dan di ambang kematian lalu dia menggenggam rambut aku dan menariknya ke atas dan berkata kepada aku,
"Bagaimana rasa hampir mati? Menakutkan bukan? Apa kata buat sesuatu seperti berubah dari takuk lama dan cuba mengelak dari mengalami perasaan hampir mati tersebut lagi dengan usaha dan keupayaan sendiri."

Harap kalian faham.

Malangnya, aku tiada kawan sebegitu.

Aku tak mahu orang berkata kepada aku
"Just be yourself"
kerana pada aku, kata-kata itu hanya untuk orang yang sudah berpuas hati dengan apa yang diperolehinya dan berkeputusan untuk tidak mencuba lebih baik.
"Just be yourself" adalah sama seperti "Don't do anything to improve!"

Jika purata manusia hidup sehingga berumur 60 tahun,
maka aku sekarang belum pun lagi mencapai separuh dari jangka hayat.
Dengan itu, aku masih berpeluang besar untuk bertemu dengan seorang kawan yang sebegitu..
Seorang kawan yang tidak meninggalkan aku ketika aku jatuh.
Seorang kawan yang bagi aku peluang untuk merasa sakit dan perit kegagalan dan kemudian menyokong aku untuk bangkit menuju kejayaan.
Seorang kawan yang berkata pada aku
"Kalau kau nak terjun gaung, silakan. Tapi pastikan kau naik balik dan bernafas dengan kepuasan dan senyuman."
Dan seumur hidup aku, aku akan mencari kawan yang sebegitu.

Aku akan kembali dengan semangat baru.
InsyaAllah.
Sila beri aku masa...

postquam-scriptum:
Sorry for the negative vibe in this post.
.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: