Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 30, 2012

Vorteks #16 - Masa dan Keluarga.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15]




“Aku tak peduli,” jerit seorang lelaki pertengahan umur kepada Encik Ahmad.
“Aku tahu, kau tipu. Aku yakin tender projek tu akan dapat kepada aku. Tapi kenapa jatuh ke tangan kau pula?” Lelaki itu mengherdik Encik Ahmad di khalayak pekerja di pejabat milik Encik Ahmad. Semua pekerja yang sebelumnya khusyuk di kubikel masing-masing memandang kepada sesama sendiri, kebingungan.
“Encik Alex, bukan saya yang buat keputusan. Kami hanya hanya kertas cadangan projek, dan kami dipilih dan diluluskan. Kami sudah diberi kepercayaan oleh pihak berkuasa tempatan. Encik Alex kena terima kenyataan.”

Banyak syarikat milik persendirian berminat merebut tender projek pembinaan kompleks membeli-belah di kawasan N8-Bandar Selatan dek kerana kawasannya yang strategik dan dijangka berkembang dalam masa 8 tahun. Rebutan antara pelbagai syarikat berprofil tinggi membuatkan hal itu hangat diperkatakan media. Keputusan tender projek itu milik siapa terletak di tangan pihak berkuasa setempat kerana projek itu ada melibatkan beberapa faktor alam semulajadi yang perlu dititikberatkan. Namun, syarikat milik Encik Ahmad yang berjaya memperoleh tender tersebut, mengalahkan beberapa syarikat besar, termasuk milik Encik Alex.

“Aku tak percaya. Aku tahu kau ada ‘suap’ sesiapa orang dalam. Berapa kau ‘suap’? Lagi banyak dari akukah?”
Serentak, suasana pejabat terdiam. Semua mata terpaku kepada Encik Alex. Pada saat itu, Encik Alex tahu dia sudah tersilap cakap.
“Kami tak ‘suap’ sesiapa. Kami lakukan bisnes bersih. Kalau Encik Alex ada ‘suap’ sesiapa, itu urusan Encik Alex.”
Encik Ahmad tahu, terdapat permainan duit di sebalik perebutan milikan tender projek itu. Tapi, Encik Ahmad tidak berniat, apatah lagi melakukannya. Dia tahu, rasuah itu haram. Hasil rasuah itu haram. Dia tidak akan suap hasil haram ke dalam mulut isteri dan anak-anaknya.
Seketika, dua orang pengawal keselamatan muncul.
“Pengawal, tunjukkan Encik Alex jalan keluar.”
“Kali ini kau menang, Ahmad.” Encik Alex menudingkan jari kepada Encik Ahmad.
“Tapi, ini bukan penamatnya. Aku akan pastikan kau terima padahnya, berkali ganda.”
Encik Alex ketawa kuat sambil diiring keluar oleh dua pengawal. Gelak tawa dia memecah kesunyian bunyi pejabat Encik Ahmad, sekaligus membuatkan semua mata yang memandang adegan itu berasa takut dan gelisah, termasuk Encik Ahmad.

“Ayah. Ayah!”
Ada suara memanggil Encik Ahmad. Bahunya diusik.
Encik Ahmad memejamkan matanya berkali-kali. Dirinya dilihat sedang berada di meja makan yang dipenuhi makanan bertemankan isteri dan anak kecilnya yang berumur dua tahun di sebelah kanan meja dan seorang lagi anak gadisnya di sebelah kiri meja.
Rupanya, dia sedang mengelamun.

18 Mac 2004. Jam 2005.
“Ayahnya kenapa? Termenung lama depan makanan?” Isteri Encik Ahmad bertanya, sambil tangan menyuap makanan ke dalam mulut anak lelakinya, Farhan.
“Ayah berangan ek?” Intan berseloroh.
“Tak baik berangan depan makananlah, Ayah.”
“Ayah cuma teringatkan kejadian di pejabat,” jelas Encik Ahmad.
“Lagipun, siang tadi kan anak dara Ayah ni hampir nak kena langgar. Penat tahu Ayah berkejar dari pejabat ke rumah nak tengok keadaan kamu.”
“Ala Ayah ni, tukar tajuk pula. Cerita Ayah berangan, tiba-tiba tukar topik orang nak kena langgar pula.”
Encik Ahmad dan ibu Intan tersenyum. Intan juga turut tersenyum.
“Tapi kan Ayah, Yusran tu memang baik, kan? Dia tak kenal pun Intan, tapi sanggup nak korbankan diri selamatkan Intan.”
“Yalah, Ayahnya,” sambung ibu Intan.
“Tak sangka pula Prof. Erman tu ada anak saudara. Ingatkan dia tinggal sebatang kara.”
“Yusran ziarah seminggu saja, Ibu. Lepas tu dia balik ke rumah dia, sambung belajar.” Intan mencelah.
“Ibu dan Ayah nak tahu? Yusran tu budak medic. Dia mesti pandai, kan?”
Ibu Intan dan Encik Ahmad mengangguk setuju.
“Tadi Intan ada minta Yusran ajarkan matematik dan sains untuk orang dalam masa seminggu ni. Dia kata boleh. Boleh kan, Ayah? Ibu?”
Ibu Intan menukar pandangan kepada Encik Ahmad. Encik Ahmad kelihatan sedang merenung pinggan makanannya. Suasana sunyi seketika.
“Ayah?” Suara Intan menyedarkan Encik Ahmad semula. Encik Ahmad memandang Intan.
“Apa dia?”
“Ayah berangan lagi?” Intan mencebikkan bibirnya.
“Apa dia Ibunya?” Encik Ahmad cuba bertanya kepada isterinya.
“Anak awak tanya, boleh tak dia nak belajar matematik dan sains dengan Yusran selama seminggu dia ada kat rumah Prof tu.”
“Beginilah...” Encik Ahmad mengambil masa untuk menjawab pertanyaan Intan.
“Kalau Intan janji dengan Ayah lepas sekolah terus balik, Ayah benarkan Intan belajar dengan Yusran tu.”
Wajah Intan berseri kembali.
“Okey. Orang janji. Terima kasih Ayah. Terima kasih Ibu.”
Dengan senyuman, Intan mengangkat pinggannya dan berlalu ke dapur kerana sudah selesai makan, meninggalkan Encik Ahmad dan isterinya serta Farhan yang sedang bermain-main dengan makanan.
“Tengoklah anak awak tu. Seronok betul dia. Dia suka dengan si Yusran tu agaknya.” Ibu Intan bersenda.
“Baguslah. Lagi baik dia ke rumah Prof tu untuk belajar, dari dia merewang ke tempat lain yang bahaya, kan?”
Ibu Intan sedar akan perubahan sikap Encik Ahmad semasa makan tadi. Jarang Encik Ahmad nak termenung dan mengelamun semasa makan.
“Abang. Abang ada masalah?” tanya Ibu Intan.
Encik Ahmad memandang tepat ke mata isterinya itu. Jelas kelihatan kerisauan seorang isteri.
“Masalah tempat kerja. Abang harap tak sampai memudaratkan keluarga kita.”
Kata-kata Encik Ahmad itu mengejutkan isterinya.
“Kenapa?”
“Awak kena pastikan pintu sentiasa berkunci bila Abang pergi kerja, ya?”
“Tapi kenapa?”
“Pastikan juga Intan balik terus ke rumah selepas sekolah. Kalau dia ke rumah Prof, pastikan dia betul-betul ke sana. Okey?”
Raut wajah Encik Ahmad jelas menunjukkan kerisauan. Isterinya turut merasa kerisauan itu.
“Tapi kenapa, Bang?”
Encik Ahmad tunduk seketika.
“Keluarga kita mungkin dalam bahaya.”



BERSAMBUNG...[17]




3 comments:

  1. Hanya hanya??
    Jarang dapat kesan kau lakukan kesilapan
    :-)

    ReplyDelete
  2. oleh kerana agak bz, baru sekarang aku dapat membaca sambungan cerita ni .. tak sabar menanti sambungannya .. keep it up! :)

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: