Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 23, 2012

Vorteks #15 - Semasa Kejadian.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14]




Artis kegemaran.
Mungkin itu istilah mudah bagi sesetengah orang untuk melabel hubungan antara Johan dan Hani, tapi tidak kepada Johan sendiri. Hubungan mereka, atau lebih tepat, hubungan dia lebih menjurus kepada perasaan yang lebih dari sekadar ‘artis kegemaran’ terhadap Hani. Baginya, Hani adalah pendorong dan motivasi dirinya untuk terus berjaya dalam bidang yang sedang dia ceburi. Tambahan pula, bidang perubatan bukan sesuatu yang mudah. Semangat dan kemahuan untuk terus maju ke depan adalah penting. Bagi Johan, pendorong semangat itu adalah Hani, yang diminatinya sejak awal kemunculan Hani di kaca televisyen.
Sesetengah orang luar, termasuk kawan-kawan Johan tidak memahami hubungan itu. Bagi mereka, hubungan yang wujud hanya hubungan antara seorang artis dan peminat. Malah, jauh di lubuk pemikiran logik Johan juga mempersoalkan perlakuannya. Dia sendiri tidak pasti apa yang membuatkan Hani begitu terkesan di dalam hidupnya.
Kini, Hani yang diminatinya sedang berada di depan mata. Johan berpeluang berbual dengan artis kegemarannya itu tanpa perlu ada sekatan dari sesiapa walaupun secara teknikal, Hani belum pun lagi menjadi artis. Itu sudah cukup membuatkan hati Johan berbunga-bunga.

18 Mac 2004. Jam 1715.
“Apa hubungan awak dengan Prof?”
Soalan dari Intan membuatkan Johan terdiam seketika.

Sebelum kedatangan Intan dan ayahnya, Prof. E sudah berpakat dengan Johan untuk mereka cerita bagi menyembunyikan fakta bahawa Johan seorang perentas masa. Pakatan itu perlu, takut-takut nanti fakta yang dikeluarkan oleh Johan berbeza dengan yang diperkatakan Prof. E. Mereka berdua sudah bersetuju untuk keluar dengan beberapa fakta rekaan yang masuk akal tanpa perlu banyak penjelasan.

“Saya anak saudara Prof. Erman. Sekarang tengah cuti, jadi saya ambil keputusan nak ke sini untuk menolong Prof dalam kajiannya.” Johan cuba menjawab dengan lancar. Baginya, fakta baru agak susah untuk diulas dengan panjang lebar.
“Tapi pelik...” Intan menggaru kepalanya.
“Apa yang pelik?” Johan berasa resah.
“Kalau Prof ialah pakcik kepada awak, kenapa awak panggil dia dengan panggilan ‘Prof’. Patutnya panggillah dia dengan gelaran ‘Pakcik’ ke, ‘Uncle’ ke.”
Kata-kata Intan ada benarnya. Nampaknya, kedua-dua Prof. E dan Johan gagal untuk membincangkan hal ini sebelumnya.
“Prof yang minta saya panggil dia begitu. Sebab saya bekerja membantu kajian dia sekarang, jadi lagi elok kalau formaliti itu wujud.” Johan dengan spontan cuba menerangkan. Masuk akal, Intan pun mengangguk.
“Kiranya, awak ni pelajar universitilah, ya?” tanya Intan.
“Ya.”
“Jurusan apa?”
“Perubatan.”
Intan berfikir sejenak.
“Saya nak tanya sikit, boleh?”
“Silakan.”
“Ada khabar angin kata Prof kaji bidang paranormal, betul ke?”
Johan tersenyum mendengar soalan Intan itu.
“Saya pasti seratus peratus itu hanyalah khabar angin memandangkan Prof adalah seorang professor fizik.”
Kata-kata Johan itu tidak benar sepenuhnya. Prof. E mengkaji ilmu fizik yang tiada bukti kesahihan dan kebenaran, hanya sekadar teori dan hipotesis semata-mata. Tapi, jika dia ceritakan obsesi Prof. E terhadap kajian merentas masa, ada kemungkinan Prof. E akan dilabel sebagai kurang siuman.

Di luar bilik, Prof. E dan ayah kepada Intan, Encik Ahmad sedang berbual tentang sesuatu.
“Tahniah. Saya dapat tahu syarikat encik berjaya dinobat sebagai syarikat pilihan untuk menjayakan projek pembangunan kompleks membeli-belah di kawasan N8-Bandar Selatan.” Prof. E menghulurkan tangan tanda ucapan tahniah. Encik Ahmad menyambut tangan itu dengan senyuman.
“Oh, Prof pun dah tahu?”
“Saya salah seorang dari panel penilai bagi unit kesejahteraan alam sekitar untuk projek itu.”
“Oh, jadi Prof antara orang yang berjasa dengan saya. Terima kasih, Prof. Terima kasih.” Encik Ahmad menggenggam tangan Prof. E dengan kedua belah tangannya sebagai tanda penghargaan.
“Kertas cadangan dari syarikat encik sangat meyakinkan.”
Encik Ahmad mengangguk tanda setuju. Wajah Prof. E dari tersenyum lebar bertukar kepada satu ekpresi yang serius.
“Projek itu menjadi rebutan ramai kerana kawasannya yang strategi dalam 8 tahun akan datang. Jadi, Encik Ahmad sangat bertuah kerana berjaya mendapatkannya. Hal ini sekaligus membuatkan Encik Ahmad mendapat ramai musuh perniagaan, mereka yang gagal memperoleh tender projek itu.” Prof. E bertukar nada.
“Encik Ahmad...”
“Ya?”
“Semasa kejadian anak saudara saya menyelamatkan anak encik tengahari tadi, saya berada di depan muka pintu rumah. Dari tempat saya berdiri, saya jelas nampak semua yang berlaku.”
Raut wajah Encik Ahmad juga bertukar serius.
“Kereta yang dipandu laju itu menuju tepat ke arah anak Encik. Tetapi, sewaktu anak saudara saya menyelamatkan anak encik, baru kereta itu menekan breknya.”
Encik Ahmad berwajah terkejut.
“Walaupun nampak seperti kemalangan biasa, tapi saya dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Kereta itu hanya membrek ketika dia sangka dia akan melanggar anak saudara saya, tapi tidak semasa dia laju menuju ke arah anak encik. Saya syak ianya bukan kemalangan.”
“Maksud Prof, ianya disengajakan?”
“Adalah lebih baik kalau kita semua anggap begitu. Saya juga harap Encik Ahmad tingkatkan keselamatan rumah, sebab si pesalah tadi dapat melarikan diri.”
Encik Ahmad kelihatan sedikit resah.
“Tapi, saya tiada musuh,” jelas Encik Ahmad.
“Encik Ahmad mungkin tiada musuh. Tapi orang lain masih boleh menganggap encik sebagai musuh.”

Setelah seketika, Prof. E dan Encik Ahmad kembali ke dalam bilik Johan. Intan masih di pinggir katil, sedang rancak berbual dengan Johan.
“Apa yang dibualkan tu? Seronok nampak.” Prof. E mencelah.
Serentak, Johan dan Intan memalingkan muka ke arah Prof. E dan Encik Ahmad. Prof. E tersenyum mesra, sedangkan jelas di muka Encik Ahmad gelisah memikirkan apa yang dibualkan bersama Prof. E tadi.
“Ayah, Yusran bersetuju nak ajar Intan matematik dan sains selepas waktu sekolah. Boleh tak, ayah?”



BERSAMBUNG...[16]





3 comments:

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: