Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Sep 7, 2012

Vorteks #9 Bukan Dalam Masa yang Lama.


[1][2][3][4][5][6][7][8]




Emosi Johan bercampur-baur. Dia sendiri tidak pasti tindakannya itu adalah betul atau tidak. Tapi, kini dia sudah berdiri di hadapan jasad bernyawa datuknya. Sudah terlambat baginya untuk membatalkan keputusan yang sudah diambilnya. Mereka sudah bertentang mata.
Johan pergi bertemu datuknya yang masih hidup pada ketika itu.
“Assalamualaikum, Atuk.”
Datuk Johan yang sedang duduk melunjur di atas katil terkejut.
“Johan?”
Johan gagal mengawal emosinya lalu memeluk datuk kesayangannya itu.

Sejak dari kecil lagi, datuk kepada Johan tinggal bersama keluarga Johan. Johan membesar bersama-sama datuknya. Atuklah yang mengajar Johan mengayuh basikal di kala bapa Johan sedang sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Kasih dan ikatan Johan bersama Atuk sangat kuat. Mereka sering keluar bersiar-siar bersama. Sehinggalah Atuk diserang angin ahmar dan membuatkan dia lumpuh separuh badan dan hanya menghabiskan masa berbaring di atas katil di rumah. Hati Johan amat sedih, namun setiap hari dia akan menjenguk Atuk di bilik, disuap Atuk makan, dilap badan Atuk dengan tuala lembap, dengan penuh kasih sayang.
Kemudian, Johan mendapat tawaran sambung belajar ke sekolah asrama penuh. Berat hatinya ingin meninggalkan Atuk. Tetapi, atas niat mahu terus belajar, Johan pasrahkan jua.
Namun, pada suatu hari persekolahan, Johan dipanggil ke pejabat lalu dibawa pulang oleh bapanya ke rumah. Semasa dalam perjalanan pulang, dengan nada perlahan, bapa Johan menceritakan apa yang sudah berlaku di rumah. Johan menangis sepanjang perjalanan pulang. Sejurus sampai ke rumah, Johan terus berlari menuju ke ruang tamu hanya untuk memeluk sekujur tubuh kaku yang dibalut kain putih. Sekelilingnya terdapat jiran tetangga sedang membacakan surah Yaasin. Johan meraung kesedihan. Datuknya sudah tiada. Lagi kesal, dia tidak berada di sisi datuknya di saat-saat akhir beliau.
Peristiwa sedih itu berlaku 18 Mac 2004.

Kini, Johan mendapat kesempatannya, memeluk erat tubuh Atuknya yang masih bernyawa. Tarikhnya 17 Mac 2004.

“Ya, Atuk. Ini Han. Han rindukan Atuk.” Atuk merenggangkan pelukan untuk menatap wajah Johan.
“Johan...Kamu nampak dewasa..” penat Atuk menutur kata.
Johan terkejut. Dia tidak mampu memikirkan apa yang patut dijelaskan kepada Atuk tentang persoalan itu. Lalu, dia spontan membuat keputusan untuk berkata benar.
“Saya Johan dari masa depan, Atuk. Entah bagaimana, saya dihantar ke lapan tahun sebelumnya, kemudian saya datang bertemu Atuk.”
Atuk tersenyum.
“Syukur,  doa Atuk nak lihat cucu Atuk dewasa dimakbulkan. Alhamdulillah.”
Johan tersentap. Dia kehilangan kata untuk berbicara. Sungguh dia tidak menyangka datuknya begitu senang mempercayainya. Kalau ayatnya tadi disebut kepada orang lain, tentu dia dianggap gila.
“Atuk percaya Han dari masa depan?” Johan bertanya.
“Tiada sebab untuk kamu menipu Atuk, Tentulah Atuk percaya.” Johan menangis teresak-esak.

“Daripada reaksi kamu tadi, Atuk sudah tahu apa kesudahan Atuk. Sebenarnya, Atuk dapat rasakannya. Atuk rasa masanya sudah semakin hampir.” Johan masih menangis teresak-esak.
“Waktu Atuk mula sakit dulu, kamu ada cakap kamu mahu jadi doktor supaya dapat rawat Atuk. Macam mana sekarang? Kamu sudah jadi doktor?” Atuk bertanya.
“Han...Han masih sedang belajar dalam tahun tiga jurusan perubatan. InsyaAllah, dua tahun lebih lagi Han bergelar doktor.” Johan gembira melihat Atuk tersenyum.
“Tapi Atuk, belajar nak jadi doktor ni sangat susah. Han takut Han tak mampu.”
“Johan, sebab ianya susahlah, ianya akan jadi lebih berharga. Berlian menjadi lebih berharga kerana usaha si jauhari menggilap dan mengasahnya. Tanpa usaha, berlian hanya batu biasa.”

Lalu, Atuk memegang tangan Johan dengan erat.
“ Atuk sangat bersyukur dapat bertemu kamu hari ini. Atuk terlalu rindukan kamu, sejak kamu ke sekolah asrama sana. “ Johan menatap wajah Atuk tanpa kata.
“Kalau ini pertemuan terakhir kita, ingatlah pesanan Atuk ini. Tidak kira apa jalan yang kamu pilih, laluinya dengan sepenuh jiwa. Sentiasa berbuat baik, dan bersangka baik. Sayangilah orang yang menyayangi kamu. Jangan lupa jasa orang yang pernah menolong kita. Jangan mudah putus asa. Satu lagi, ingatlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Hikmah yang terkandung tidak semestinya untuk kita. Kita beruntung jika dapat memikirkan hikmahnya, tapi jangan sampai mempersoalkan isi kandungannya.”
Johan mengangguk. Setiap kata yang didengarinya, diingatinya di dalam hati.
“Jaga emak kamu elok-elok. Kamu anak yang baik.”
Sebaik mendengar kata-kata itu, airmata Johan berlinang dengan deras.
“Han sayang Atuk.”
“Atuk pun sayangkan kamu, Johan.”

Tombol pintu bilik tiba-tiba berkocak. Ada seseorang dari luar mahu masuk ke dalam bilik yang berisi Johan dan Atuk.
“Abah. Abah OK tak? Saya macam dengar suara, Abah bercakap dengan siapa? Saya ada bawa makan tengahari ni.” Pemilik suara itu berkata sambil mengetuk pintu. Itu suara ibu Johan. Kedua-dua Johan dan datuknya berpandangan sesama sendiri sambil berdiam diri.
“Kenapa pintu berkunci? Siapa yang kunci? Tunggu kejap ya, Abah. Saya ke bawah ambilkan kuncinya.” Bunyi tapak kaki berlalu menuruni tangga menandakan ibu Johan sudah beredar dari pintu, tapi sudah tentu bukan dalam masa yang lama.

“Mak kamu sudah datang. Kalau dia jumpa kamu yang dewasa ni, sudah tentu akan merumitkan keadaan.” Johan masih terkejut datuknya begitu mudah mempercayainya. Memberitahu orang lain bahawa kita datang dari masa akan datang bukanlah sesuatu yang boleh diterima akal dengan mudah. Tapi tidak pada Atuk. Atuk mempercayai kata-kata Johan sejak awal bertentang mata.
“Lebih baik kamu tinggalkan bilik ni dengan segera. Keluar ikut tingkap dan turun menggunakan dahan pokok itu, seperti yang kamu biasa buat masa kecil dahulu.” Atuk menudingkan jarinya kepada tingkap.

“Maafkan Han atas segala salah silap Han selama ni, Atuk.”
“Kamu cucu kesayangan Atuk. Atuk tidak pernah berdendam hati.”
“Selamat tinggal, Atuk.”
Good luck, Johan.” Atuk menunjukkan isyarat tangan ibu jari.

Tombol pintu kembali berkocak. Sejurus kemudian, daun pintu terbuka menampakkan ibu Johan memegang tombol. Kemudian ditunduknya seketika untuk mengangkat dulang berisi pinggan makanan, lalu berjalan masuk ke arah meja kecil di sebelah katil.
“Macam mana boleh terkunci? Abah kunci ke?”
“Mana aku tahu, aku kan lumpuh,” jawab Atuk sambil tersenyum lebar.
Tingkap bilik terbuka luas. Johan sudah tiada dalam bilik.



BERSAMBUNG...[10]




3 comments:

  1. Cerita ni jgn bagi Johan RL jadi pelakon. Confirm tak sedih nanti. Aaron Aziz ok lah. Jadi atok

    ReplyDelete
  2. teringat atuk aku... huhuhuhu

    ReplyDelete
  3. ada kebaikannya.. dapat jumpa atuk.

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: