Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 31, 2012

Vorteks #8 Paradoks Masa


[1][2][3][4][5][6][7]




Cuba bayangkan jika merentasi masa adalah tidak mustahil untuk semua orang. Seorang lelaki merentasi masa ke zaman dahulu dan bertemu dengan datuknya yang masih muda dan belum berkahwin. Berlaku salah faham yang mencetuskan satu pergelutan, lalu mengakibatkan lelaki itu terbunuh datuknya.
Dek kerana datuknya mati, secara logik, dia tidak akan dilahirkan. Jika dia tidak dilahirkan, maka peristiwa dia ke zaman lampau dan membunuh datuknya tidak akan berlaku, dan seterusnya mengakibatkan datuknya tidak akan mati. Rentetan peristiwa ini membentuk satu kejadian yang menentang prinsip ‘sebab dan akibat’.
Itulah yang dipanggil ‘paradoks masa’.

Itu yang diceritakan oleh Prof. E kepada Johan. Prof. E menerangkan kewujudan entiti yang tidak sepatutnya ada dalam sesebuah garis masa adalah bersifat membahayakan. Dengan erti kata lain, Johan tidak sepatutnya muncul di zaman itu, pada masa itu, dan di tempat itu.
“Disebabkan paradoks masa, para saintis mengatakan bahawa menjelajah ke masa silam adalah mustahil. Tapi, kemunculan kau di hadapan mata aku menolak penyataan itu,” ujar Prof. E.
“Sekarang, aku akan sedaya upaya mengkaji apa yang patut dan bersedia dengan kedatangan Kilat Thor pada 5 hari lagi. Kalau kajian aku sempat lengkap sebelum kedatangan kilat itu, kau akan selamat dihantar kembali ke zaman kau.”
Johan mengangguk faham.

Buat seketika, Johan merasakan dia seperti satu bahan hasil eksperimen. Hatinya masih belum dapat menerima penerangan Prof. E sepenuhnya. Juga, apa yang dia mahukan adalah keadaan kembali normal seperti biasa, atau mungkin terjaga dari satu mimpi yang pelik.
“Saya harap Prof boleh tolong saya pulang ke masa saya secepat mungkin.”
Kata-kata Johan dengan suara lemah itu mengubah riak wajah Prof. E yang sebelumnya kelihatan teruja. Johan meminta kebenaran untuk naik ke bilik dan berehat di atas katil. Lalu, mata Prof. E mengekori Johan bergerak dari meja makan ke tangga sebelum hilang dari pandangan. Jelas kelihatan Johan tidak bersemangat. Prof. E mengeluh keseorangan.

Di katil, Johan terbaring terkenangkan kata-kata Prof. E. Terkenangkan bahawa dia adalah kewujudan yang tidak patut ada. Terkenangkan cerita Prof. E tadi tentang paradoks masa.
“Cucu membunuh datuk? Siapa yang sekejam itu? Aku sayangkan datuk aku.”
Mata Johan terbeliak.
“Ya, Atuk!”
Johan mengira dengan jarinya.
“Atuk sepatutnya sudah meninggal dunia lapan tahun lalu. Kalau tak silap aku, tarikhnya 18 Mac 2004. Maknanya, sekarang, Atuk masih hidup.”

Johan segera bangun dari katil dan bergegas ke bawah mencari Prof. E. Namun, Prof. E tiada di tingkat bawah. Maka, tiada tempat lain lagi untuk Prof. E ada kecuali di bilik loteng, meneruskan kajiannya.
Pintu bilik loteng diketuk.
Seketika kemudian, Prof. E membukanya separuh.
“Ada apa?” Prof. E bertanya.
“Boleh Prof pinjamkan saya duit sedikit? Saya nak keluar beli barang makanan.”
“Kenapa? Barang makanan aku di dapur kan sudah cukup.”
“Ianya cukup untuk selera Prof, tapi bukan saya.”
Melihatkan wajah Johan yang bersungguh-sungguh, Prof. E tidak mahu mengecewakan permintaan Johan.
“Sekejap...” Prof. E kembali menutup pintu. Beberapa saat kemudian, pintu kembali terbuka separuh dan dihulurkan beberapa keping duit kertas berserta dengan kunci kereta.
“Pergilah ke pasaraya hujung jalan sana. Pakai kereta aku. Mudah sikit.”
Johan tersenyum.
“Belikan aku sekali minuman tenaga dengan banyak supaya aku dapat berjaga malam untuk menghabiskan kajian ini. Isi minyak sekali. Stesen minyak di sebelah pasaraya.”
“OK. Thank you, Prof!” Johan beredar menuruni tangga.
“Pastikan kau tak berselisih dengan sesiapa yang kau kenal!” Prof. E menjerit memberi peringatan. Tapi tiada jawapan dari Johan, sama ada dia tidak mendengarnya, atau dia memilih untuk tidak memberi respon.

Prof. E kembali duduk di kerusi bilik kajiannya. Sebelum jari-jemarinya kembali ke papan kunci komputer, dia merenung tingkap seketika. Padanya, bukan senang untuk dia percayakan seseorang dengan mudah, apatah lagi menghulurkan duit dan memberi pinjam kereta kesayangan. Tapi, dengan Johan, terasa semuanya terlalu mudah. Seperti dia sudah lama mengenali Johan, walaupun baru semalam dia dituduh Johan sebagai mencuba untuk meracuninya.
Prof. E menggelengkan kepala dan menganggap semua itu perkara kecil dan tidak harus dihiraukan. Dia kembali meneruskan kerjanya.

Johan semasa sedang membuka pintu kereta Prof. E pun memikirkan perkara yang sama.
“Kenapa senang sangat Prof nak bagi aku pinjam kereta dia? Dia tak risau kalau-kalau aku bawa lari kereta ni? Aku nak pinjam duit saja, tapi kenapa sampai bagi pinjam kereta sekali?”
Selepas beberapa kali percubaan menghidupkan enjin, kereta Prof. E itu pun berderu dengan kuat. Kereta lama, apa yang boleh dijangka.

Secara logiknya, kerana Johan datang ke masa itu sehelai sepinggang, maka lesen memandu tiada bersamanya. Jika dia ditahan penguatkuasa, dia boleh dipenjara bukan sekadar kesalahan memandu tiada lesen, tapi juga kesalahan tidak mempunyai pengenalan diri. Sudah tentu jika disemak maklumat dirinya dalam pengkalan data, pihak berkuasa akan mendapati dirinya berumur 15 tahun berbanding 23 tahun yang sepatutnya. Jadi, dia bakal berada dalam keadaan yang sangat rumit jika ditangkap pihak penguatkuasa.
Itulah yang difikirkan Johan sepanjang kurang lebih 20 minit perjalanannya memandu kereta. Dia seperti memandu jauh dari yang diberitahu kepada Prof. E tadi. Tapi dia bukan sesat, malah dia amat pasti dengan perjalanannya itu.

Selepas meletakkan kereta di seberang jalan, Johan keluar, mengunci kereta dan terus melintas jalan ke seberang. Selepas beberapa meter berjalan kaki, langkah Johan terhenti di hadapan sebuah rumah yang tidak asing lagi. Sebuah rumah dengan pokok mangga yang lebat berbuah di laman rumah. Sebuah rumah teres dua tingkat yang pernah dia masuki semalam.

Johan memasuki rumah itu melalui tingkap di tepi rumah. Setelah meneliti tiada orang di ruang tamu, dan hanya kedengaran bunyi seseorang sedang memasak di dapur, Johan berlari anak-anak tanpa mengeluarkan bunyi dan mendaki tangga ke tingkat atas rumah. Johan terus menuju ke bilik paling dalam sebelah kiri dari tangga. Dia memulas tombol dan membuka pintu.
Kelihatan seorang tua di atas katil di dalam bilik itu. Orang tua itu memandang Johan di daun pintu. Johan, tanpa melepaskan pandangan mata, menutup pintu itu dan menekan punat kunci. Orang tua itu kelihatan sedikit terkejut.

“Assalamualaikum, Atuk!”



BERSAMBUNG...[9]




2 comments:

  1. kalau boleh nk pegi zaman kanak2 yg 24jam tahu main, mkn, tidur..ok tu je.

    ReplyDelete
  2. kiranya umur johan masa tu lebih kurang 12 thun lah? errr..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: