Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 17, 2012

Vorteks #7 Lelaki dari Masa Depan


[1][2][3][4][5][6]




Udara sekitar bilik itu seperti tegang. Johan terbaring di atas katil sambil merenung syiling.
 “Lelaki dari masa depan?” Dia mengimbau kembali apa yang diperkatakan Prof. E sebentar tadi. Johan tak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Tak apalah. Mungkin terlalu banyak yang kau kena terima. Kau naik atas, pergi ke bilik hujung, itu bilik anak aku. Mandi, dan tidurlah. Kau penat berjalan jauh siang tadi.”

Johan mengucapkan terima kasih dan berlalu. Dalam fikirannya, otaknya sudah tepu. Dia seperti tidak dapat terima apa yang disampaikan Prof. E. Dia tahu, walaupun ada kemungkinan semuanya boleh berlaku, tapi akal logiknya menolak segalanya kemungkinan. Dia buntu.

Di kepala Johan terdapat terlalu banyak perkara yang mahu difikirkannya, namun badannya yang letih dan lemah mahukan rehat. Sebelum terlelap, Johan berfikir, alam ini terlalu menakutkan. Jika kata Prof. E adalah benar berlaku, bagaimana dia boleh pulang ke waktu asalnya? Bagaimana dia hendak menyesuaikan diri dengan waktu sekarang? Apa perkara teruk yang boleh terjadi kepada dirinya? Adakah jika dia terperangkap di waktu ini, maka dia adalah satu kewujudan yang tidak sepatutnya ada, ataupun ini semua adalah takdir yang menentukan dia perlu berada di sini?
Johan tertidur.
***

17 Mac 2004. Hari kedua. Jam 0810

                Johan dan Prof. E kelihatan duduk berbincang di meja makan sambil bersarapan pagi.
“Ya, mengikut kajian aku, sambaran kilat yang kuat dalam tempoh masa tertentu mampu membekalkan tenaga yang cukup untuk mengoyak dimensi itu. Aku gelarkan kilat itu sebagai Thor.” Prof. E begitu ghairah menerangkannya, lalu dia mengambil kertas dari failnya di atas meja dan menghulurkannya kepada Johan untuk dilihat.

“Ini adalah data yang aku kumpul berkaitan dengan sambaran kilat Thor. Loteng rumah ini akan disambar kilat Thor dengan kuat setiap lapan tahun. Waktu seterusnya yang sepatutnya kilat Thor sambar adalah pada 6 hari lagi. Tapi, semalam, sama waktu dengan masa kau muncul, data itu menunjukkan jumlah tenaga yang sama dengan kilat Thor, cuma ianya lebih kepada lebihan tenaga.”

“Lebihan?”
“Ya, dengan kata lain, kilat Thor mengoyak ‘wormhole’ yang ada dalam bilik loteng itu, tapi kilat semalam seperti hasil dari kilat Thor dari satu tempat lain. Seperti pintu, kilat Thor membuka pintu masuk, tapi lebihan tenaganya membuka pintu keluar.”

Johan masih cuba untuk memahami.
“Dengan kata lain, kau sudah lalui pintu keluar dari tempat lain, atau dalam kes kau, dari masa lain.”
“Apa maksud Prof?”
“Begini, kau perlukan masa yang lebih panjang untuk ke tempat yang jauh berbanding untuk ke tempat yang dekat. Jika dimensi keempat boleh dijelajahi, hanya satu pembolehubah boleh dimanipulasi, satu lagi menjadi pemalar. Sama ada MASA atau TEMPAT. Jika MASA adalah pemalar, maka, selepas disambar kilat Thor, kau akan berada di tempat lain dalam sekelip mata, seperti satu portal yang menentang teori masa dan ruang.”

Prof. E bersemangat menerangkan kepada Johan.
“Jika TEMPAT adalah pemalar, maka kau akan muncul di tempat yang sama, cuma pada masa berlainan. Dalam kes kau, ke lapan tahun sebelumnya.”

Johan mengangguk, tidak pasti sama ada tanda faham atau sekadar mengangguk.
“Itu menjelaskan kenapa saya dapati sekeliling saya berbeza, dan tarikh luput roti yang diberikan Prof dan datuk saya yang masih hidup.” Johan kembali mengambil roti di atas meja dan makan.

“Pendek kata, kejadian kau dengan kawan-kawan kau pecah masuk rumah aku, dan kau ke loteng, ada guruh dan kilat, kemudian rasa seperti dada kena cubit, dan kau pengsan, itu berlaku lapan tahun lalu di loteng rumah ini.”

Johan mendiamkan diri.
“Lalu, selepas melalui dimensi keempat, kau muncul juga di loteng juga, tetapi pada lapan tahun sebelumnya.”

“Kenapa lapan tahun?” Johan mempersoal. Mereka berada di meja makan, berbincang sambil sarapan. Prof. E terdiam. Jelas di wajahnya, dia tidak tahu jawapan kepada soalan itu.
“Misteri dimensi keempat terlalu luas. Kita manusia pun belum habis kaji dimensi kita sendiri. Jadi, ada persoalan yang masih tidak dapat dijawab, tak kira berapa tinggi ilmu saintis itu.”

Johan tunduk mengangguk.
“Tapi, kau adalah bukti bahawa teori kami para saintis tidak salah. Cuma tidak lengkap.”
Prof. E begitu teruja bila berbicara berkaitan teorinya.
“Bukankah Prof kata tadi, seberapa tinggi ilmu seorang saintis itu sekalipun, ada persoalan yang masih tidak boleh dijawab. Jadi, kenapa Prof begitu pasti teori Prof tak salah? Pada saya, ianya seperti ada kuasa yang lebih tinggi dari kekuasaan manusia yang menguruskan semua ini.”

Prof. E mengerutkan dahinya.
“Kau cuba nak beritahu aku, ini semua kerja Tuhan?”
“Ya.” Johan menjawab, pendek.
“Sekarang aku ada beberapa perkara mahu bertanyakan kau.” Prof. E cuba mahu mengubah topik perbualan.
                “Kau mahu balik ke waktu kau? Lapan tahun akan datang?”
                Itu adalah soalan yang ditunggu-tunggu oleh Johan.
                “Ya. Sudah tentu.”
                “Begini, ada dua cara aku dapat fikir bagaimana nak hantar kau balik ke waktu kau lapan tahun akan datang. Pertama, aku letakkan kau dalam keadaan koma yang dikawal, dan lapan tahun kemudian, aku kejutkan kau balik dan kau akan lalui hidup seperti biasa.”

                “NO!” tegas Johan.
                Induced coma terlalu berisiko, saya tahu, saya pelajar perubatan.” Prof. E mengangguk.
                “Pilihan kedua pula, kita tunggu lagi lima hari, di mana waktu kilat Thor menyambar loteng dan cuba songsangkan proses yang kau lalui sebelum ini.”
                Johan berfikir seketika.
                “Adakah cara itu berkesan? Selamat?”
                “Itu aku tidak tahu. Macam yang aku beritahu tadi, maklumat yang aku ada terlalu sikit. Secara teori pun masih belum lengkap, apatah lagi nak dipraktikkan dan melibatkan manusia."
                Johan dan Prof. E terdiam seketika memikirkan segala kemungkinan.
               
                “Kewujudan kau di waktu ini terlalu bahaya. Kau adalah kewujudan yang tak sepatutnya ada. Walaupun aku gembira kehadiran kau yang melambangkan kajian merentasi masa adalah tidak mustahil, tapi kau mungkin berdepan dengan keadaan yang kita, sebagai manusia, tak mampu nak fikir.”
                “Keadaan seperti apa?” tanya Johan.

                “Paradoks masa.”



BERSAMBUNG...[8]




3 comments:

  1. fuuhhhh... lima kali baca untuk aku fahamkan.. wakakakakaka

    ReplyDelete
  2. Wow. Imaginasi yang sangat tinggi.
    Aku pun dah keliru whether ini fakta or rekaan cEro je.

    ReplyDelete
  3. mcm mana boleh tulis cerita macam ni? hmm

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: