Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 27, 2012

Vorteks #4 Masa Bermasalah


[1][2][3]




     Anak mata Johan mengecil dek dihujani cahaya dari tingkap yang disingkap.
     Kesilauan itulah yang membuatkan dia terjaga dari lena. Dahinya berkerut, hatinya menyumpah siapa yang menyelak langsir dan membenarkan silau matahari pagi menerjah mukanya. Sehinggalah betul-betul sedar, Johan dapati dirinya terduduk di atas kerusi kayu dan diselubungi selimut. Kedua belah tangannya diikat ketat di lengan kerusi, manakala kakinya ditambat kemas di kaki kerusi. Dia meronta kuat beberapa ketika sehinggalah dia sedar tiada apa yang boleh dilakukannya untuk melepaskan diri.

     Di hadapannya, seorang lelaki tua berkaca mata berusia lewat 50-an berdiri di sisi tingkap memegang langsir yang baru disingkapnya.
     Johan mengecilkan matanya untuk melihat kelibat lelaki itu tapi silau cahaya tingkap membuatkan matanya tak mampu bertahan. Menyedari keperitan silau yang dialami, lelaki tua itu menarik semua langsir dan melindung tingkap. Suasana bilik kembali kelam.

     “Nama aku Profesor Erman. Aku pemilik rumah ini.” Lelaki tua itu mula bersuara.
     “Kalau kau berikan alasan yang kukuh kenapa aku terjumpa kau terbaring tidur dalam keadaan bogel dalam bilik loteng yang aku kunci dari luar, mungkin aku takkan panggil polis.”

     Tidur? Bogel?
     Fikiran Johan penuh dengan persoalan.
     Selepas mendengar kata-kata tersebut, barulah dia sedar bahawa selain selimut yang menyelubungi tubuh yang terikat di kerusi itu, tiada sehelai benangpun di badannya.

     “Maafkan saya,” kata Johan.
     “Kawan saya kata ini rumah kosong yang berhantu. Jadi, untuk menguji keberanian, kami masuk ke dalam. Saya tak tahu pun rupanya rumah ini masih berpenghuni.”


     “Habis tu, kenapa bogel?” Prof. E mempersoal.
     “Saya tak tahu. Mungkin mereka...maksud saya, kawan-kawan saya berpakat nak prank saya dan pengsankan saya dan tinggalkan saya dalam keadaan bogel.”

     Johan tidak pasti dengan jawapannya. Setahu dia, kawannya si Azlan itu bukan jenis yang suka kenakan kawan sebegitu teruk. Meninggalkan kawan dalam keadaan bogel dalam rumah orang, itu sudah melampau. Azlan tidak sejahat itu. Tapi melihat dirinya tertangkap bogel dalam rumah orang lain, tambahan pula dengan ugutan untuk dibawa ke muka polis, Johan tidak pasti masih mahu percayakan Azlan atau tidak. Dia mungkin akan dibuang status sebagai pelajar perubatan universitinya jika ada campur tangan pihak berkuasa.

     “Habis tu? Macam mana boleh masuk bilik yang aku kunci dari luar?” Prof. E mula meninggikan nada tanda tegas. Johan hanya menggelengkan kepala tanda tidak tahu dengan wajahnya yang penuh kekesalan. Dia hampir menjatuhkan airmata.

     Wajah itu.
     Prof. E sudah mengajar di universiti selama hampir 30 tahun. Dia kenal benar dengan muka pelajar yang jujur dan pelajar yang menipu. Dia cukup masak dengan alasan anak-anak muda bila ditanyakan tentang kerja yang tidak siap. Dia sangat tahu sejauh mana mereka mampu bertindak atas alasan berseronok, seperti contoh, mencalarkan kereta pensyarah yang tidak digemari dengan duit syiling, atau meninggalkan kawan dalam keadaan bogel dalam rumah orang lain.

     Namun, wajah yang ditunjukkan anak muda depannya itu adalah wajah sebenar yang penuh dengan kekesalan. Kekesalan atas kesalahannya mengikut naluri ingin tahu orang muda tanpa mengira akibat yang bakal ditanggung.

     “Tak apalah. Aku percayakan kau.” Prof. E menudingkan jarinya ke arah satu timbunan baju di atas lantai.
     “Itu baju spare untuk kau pakai. Aku akan buka ikatan tangan dan kaki kau, kemudian kau pakai baju itu dan ikut aku ke bawah, kita akan berbincang di ruang tamu.”


     Mendengar kata-kata Prof. E, Johan menguntum senyuman.
     “Terima kasih. Terima kasih.”
     Prof. E beredar, memberikan privasi untuk Johan menyarung pakaian yang diberikan.

     Sampai hati Azlan dan Fitri meninggalkan aku. Agaknya apa hukuman yang akan aku dapat? Hati Johan penuh dengan persoalan. Namun prioriti dia adalah untuk beredar dari rumah ini secepat mungkin tanpa masalah.

     Setelah selesai berpakaian, Johan melangkah keluar dari bilik loteng itu. Perlahan langkah diambil menuruni tangga untuk ke ruang tamu tingkat bawah bertemu dengan Prof. E. Sambil itu, dia memerhatikan sekeliling rumah.

     “Kenapa rasa lain? Kenapa penuh dengan perabot? Semalam perabot tak banyak macam ni. Yang ada pun, ditutup dengan kain putih.” Johan berbisik kepada diri sendiri. Sesudah sampai ke ruang tamu, kelihatan Prof. E sedang tepat memandangnya.

     “Duduklah,” kata Prof. E. Johan perlahan melabuhkan punggungnya di sofa. Dipandangnya muka Prof. E dengan rasa penuh bersalah.

     Kruuuukkk!
     Kuat keroncong perut Johan berirama. Memalukan. Lebih memalukan Prof. E juga mendengarnya dan sedang tersenyum ke arahnya. Prof. E bangun dari tempat duduknya.

     “Jangan takut. Aku dulu pun pernah muda dan nakal.” Prof. E berjalan menuju ke dapur sambil cuba menenangkan. Diambilnya satu bungkusan roti dan diberinya kepada Johan di ruang tamu. Kemudian, Prof. E kembali duduk di tempatnya tadi. Johan mengucapkan terima kasih kepada Prof. E.

     “Aku ingat kau buat perkara tak senonoh kat atas tu semalam. Mana tahu, kau bawa masuk perempuan dan buat seks kat loteng rumah aku. Yalah, bogel, tidur dan lapar. It explains.” Johan senyum janggal mendengar ayat-ayat tidak ditapis Prof. E itu. Tangannya rakus membuka bungkusan roti tadi.

     “Saya minta maaf. Saya janji takkan buat lagi.” Johan kemudian melahap roti di tangannya. Dia dapat merasakan perutnya kosong dan dirinya sangat lapar. Lapar yang luarbiasa.

     “Sedap roti ni. Tak pernah nampak pun jenama ni,” sambil Johan membelek-belek bungkusan roti menggunakan tangan kiri. Mata Johan terbeliak ternampak sesuatu di bungkusan itu. Spontan, disemburnya keluar segala isi di dalam mulutnya. Johan mencampakkan roti di tangan kanannya dan berdiri.

     “Orang tua! Kau nak racun aku ke?” Johan menjerkah.
     “Sanggup kau bagi aku makan roti yang dah expired lapan tahun!” Johan mencampakkan bungkusan roti itu ke arah Prof. E dan berlari menuju ke pintu keluar. Disarungnya sepasang selipar bukan miliknya dan terus berlari pergi.

     Perlakuan itu membingungkan Prof. E.
     “Roti expired 8 tahun?” Prof. E mengutip bungkusan roti yang dicampak Johan tadi dari atas lantai. Dibeleknya bungkusan plastik itu untuk mencari catatan tarikh luput.

     “Ada seminggu lagi nak expired. Kenapa lapan tahun pula?” Prof. E menggelengkan kepala.
     “Anak muda zaman sekarang. Masa bermasalah beriya merayu. Masa nak melepaskan diri, kreatif sampai reka cerita aku nak racun.” Prof. E pandang ke arah pintu rumahnya yang terbuka luas.

     “Mungkin aku tak patut cepat percayakan dia tadi.”





BERSAMBUNG...[5]




3 comments:

  1. Cis. Aku dah saspen ni. Sila update cepat.

    ReplyDelete
  2. ooo.. dia kembali ke masa silam.. ok ok.. XD

    ReplyDelete
  3. dia kembali ke zaman silam macam citer doremon.. hehe

    mak han kan suka citer doremon XD

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: