Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 20, 2012

Vorteks #3 Turun Bila-Bila Masa


[1][2]




     Masih ada 15 minit sebelum pukul sembilan malam.
     Profesor Erman, lebih dikenali sebagai Prof. E, kelihatan sedang menuruni tangga bangunan pejabat universiti tempat dia mengajar sambil membelek jam tangannya. Masih ada 15 minit, sempat lagi kalau mahu tonton rancangan TV kegemarannya. Dia mempercepat langkahnya. Semasa keluar dari bangunan, dia menjeling ke arah langit malam.

     Gelap.
     Berangin kencang.
     Hujan akan turun bila-bila masa.
     Harapnya dia sempat sampai ke rumah sebelum hujan sempat sampai ke tanah.
     Sampai sahaja di parkir, Prof. E membehentikan langkah, meratap pintu keretanya dan mengeluh panjang. Terdapat calar dari hadapan sisi kanan keretanya, panjang sehingga ke belakang. Dari kesan calar, ianya seperti disengajakan dengan menggunakan duit syiling.

     Prof. E hanya tunduk dan memejamkan matanya menahan marah.
     “Pelajar tak sedar dek untung. Nak belajar rajin-rajin, malas. Tapi bila markah peperiksaan rendah, nak salahkan pensyarah,” rungut sendiri Prof. E. Itulah hakikat yang harus diterimanya menjadi warga pendidik di universiti. Semakin dewasa seseorang itu, semakin besar juga ego dan kedegilan mereka, paling tidak itulah yang difikirkan Prof. E.

     Dengan hampa, dia membuka pintu kereta lama tahun 80-annya dan merebahkan punggung ke kerusi pemandu selepas meletakkan beg bimbit di kerusi sebelah. Tingkap diturunkan dengan memusingkan tuil, enjin dihidupkan selepas berkali-kali memusing kunci, lalu dia berlalu pergi.

     Selepas beberapa minit perjalanan menuju ke rumah, titisan air menghentam cermin hadapan kereta dan diikuti dengan beberapa lagi titisan seterusnya. Titisan itu semakin kerap, semakin banyak memberi isyarat hujan sudah turun. Prof. E menghidupkan fungsi penyelap cermin kereta dan memperlahan kelajuan keretanya. Sekali lagi dia mengeluh panjang, tetapi kali ini kerana hajatnya mahu sampai ke rumah sebelum hujan turun tidak kesampaian.

     Hujan makin lebat.
     Jarak antara universiti dengan rumah Prof. E tidaklah jauh mana, hanya dalam 15-20 minit perjalanan kereta. Tapi hujan akan melambatkan lagi waktu ketibaan kerana faktor jalan licin, penglihatan yang terhad dan paling utama, kemampuan kereta lama Prof. E untuk bertahan. Bukan kerana bakhil, tetapi faktor nilai sentimental yang membuatkan Prof. E tidak mahu bertukar kepada kereta yang lebih moden.

     Kereta Prof. E meredah hujan dan kini memasuki kawasan perumahan rumahnya. Dari jauh sudah nampak laman rumah banglo dua tingkat miliknya.

     Gelap. Tiada penghuni.
     Prof. E meletakkan keretanya di hadapan pintu pagar rumahnya. Memandangkan dia hanya tinggal sendirian, dia lebih gemar parkir keretanya di luar pintu pagar, memudahkannya untuk keluar masuk. Dia kemudian meraba-raba mencari payung yang difikirnya diletakkan di bawah kerusi tempat duduk belakang kereta.

     PLAAANNNGGGGG!
     Sekelip mata, petir menyambar loteng rumah banglo milik Prof. E. Kejadian itu menyebabkan beberapa kereta milik jiran di sekitar terhidup penggeranya. Lebih teruk, seluruh taman perumahan itu bergelap serentak kerana mengalami gangguan bekalan elektrik. Terdengar jiran-jiran mengeluh kuat.

     Prof. E segera keluar dari keretanya dan melupakan niatnya untuk berpayung. Dia mendongak melihat loteng rumahnya yang disambar petir. Matanya terbeliak.
     “Tak mungkin. Bukan hari ini. Aku dah buat kiraan dengan tepat. Patutnya ada enam hari lagi.”

     Segera dicapainya beg bimbit di kerusi sebelah, ditutup pintu kereta, dikuncinya, dan terus berlari masuk ke dalam rumah.
     Dari ruang tamu, ke tangga, ke tingkat dua, ke tangga loteng, Prof. E berlari anak tanpa menghiraukan kegelapan yang menyelubungi rumahnya. Dengan menggunakan kunci, segera dia membuka pintu bilik loteng, hanya untuk mendapati bilik itu dipenuhi dengan asap yang banyak.

     Terbakarkah?
     Bilik loteng adalah tempat Prof. E menjalankan kajian peribadinya. Segala fail sulit, perkakas dan kelengkapan, serta beberapa mesin yang berkaitan dengan kajiannya berada di situ. Jika bilik itu terbakar, maka habislah perjalanan kajiannya yang sudah diusahakan selama hampir 25 tahun itu.

     Tidak. Tidak terbakar.
Secara logik, jika wujud api kebakaran, bilik itu akan marak dengan cahaya dari api. Namun, bilik loteng gelap dan hanya dipenuhi asap, tiada sebarang cahaya. Yang peliknya, asap yang memenuhi bilik itu tidak bersifat panas. Tidak seperti asap kebakaran, ianya bersifat menyejukkan sehingga dapat dirasai Prof. E.

     Dalam kegelapan dan asap, Prof. E meraba kabinet tiga tingkat di sebelah pintu bilik loteng itu untuk mendapatkannya sebuah lampu suluh. Ditekannya suis penghidup, tapi tiada cahaya keluar. Selepas berkali-kali diketuknya, barulah lampu suluh itu hidup dan mengeluarkan cahaya.

     Perlahan langkah diambil, menerobos asap sejuk yang entah dari mana asalnya. Wajah Prof. E penuh tanda tanya. Apa yang berlaku? Dari mana asal asap tebal ini? Adakah ianya berkaitan dengan petir yang menyambar rumahnya tadi? Adakah aku sudah salah kira hari?

     Cahaya dari lampu suluh dalam asap membentuk jalur panjang cahaya. Cahaya itu berpusing-pusing, mengikut ke mana arah tangan Prof. E menghulurkan lampu suluhnya. Tiba-tiba Prof. E menetapkan cahaya lampu suluhnya kepada satu kelibat di lantai ruang tengah bilik itu. Dalam samar asap, kelihatan seperti kelibat sekujur tubuh manusia.

     Ya. Ianya memang kelibat manusia yang sedang terbaring dalam posisi fetal, tanpa seutas benang.

     Prof. E terkejut. Dia segera berlari kembali ke kabinet tiga tingkat di tepi pintu bilik dan mencari sesuatu di laci paling bawah. Sepucuk pistol, poin 38 BlackHawk berwarna perak.
Setelah dijumpanya barang yang dicari, dia kembali bergerak menghampiri manusia yang terbaring tadi.

     “Siapa kau?” Prof. E mengacukan pistolnya di tangan kanan ke arah manusia itu sambil tangan kirinya menghalakan lampu suluh. Tiada jawapan.

     “Siapa kau? Jawab sekarang atau aku tembak.” Masih tiada jawapan.
     “Macam mana kau boleh ada dalam bilik aku yang berkunci, dan terbaring bogel di situ?”


     Suasana masih sunyi, hanya kedengaran bunyi sayup penggera kenderaan di luar dan bunyi air hujan menghentam bumbung rumah berselangi dengan tiupan angin kencang.



BERSAMBUNG.
[4]

.




5 comments:

  1. kisah sai-fai yang berkaitan dengan kembara masa ataupun gerbang dimensi ataupun... ?

    kau try la hantar cerita ni pada Fixi nanti. Serius.

    ReplyDelete
  2. Adakah ia worm hole? 4 dimensional portal? time traveler? ok ok.. aku tunggu sambungan.. apa yang Prof. E kajikan?..

    ReplyDelete
  3. Next blogonovella aku pun sci fi...tapi aku takkan drag panjang panjang... kih kih kih

    ReplyDelete
  4. semangat tunggu sambungan nih.
    tak sangka aku baca dari awal sampai habis dengan penuh semangat & beredebar. haha. kau ni memang berbakat menulis novel laaaa..

    ReplyDelete
  5. <--- brtambah kerut kening ..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: