Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 29, 2011

Penyimpan Dendam Sepenuh Masa



Aku tak pasti kalau kalian,
tapi, pada diri sendiri, aku dapat kesan satu perangai negatif aku yang memakan diri sendiri.

Aku seorang penyimpan DENDAM sepenuh masa.

Baru-baru ni aku dapat berita
seorang yang dulu pernah menghina, menjatuhkan, menburukkan, dan mencaci aku,
sedang mengecap kebahagiaan.

Sebahagian dalam diri aku menjerit,
dia bahagia selepas melonjak dari kesengsaraan aku.
Bahagian diri aku ini
merancang dan berniat untuk membalas dendam,
dendam yang seribu kali lagi sakit dari aku.
Bahagian ini membara menyal-nyala.


Sebahagian dalam diri aku bertenang,
dengan merosakkan kebahagiaan orang lain
merupakan perbuatan yang tak kurang keji dari apa yang dia pernah buat pada aku dulu.
Bahagian diri ini,
seolah-olah pasrah dan redha
dan menganggap pengalaman dulu tak lebih
dari sekadar mimpi ngeri.


Sebahagian dalam diri aku gembira,
akhirnya dia tahu erti bahagia.
Bahagian diri ini pula,
diam dan tersenyum
malah bersyukur kerana paling kurang
dia akan kenal apa itu kebahagiaan
dan mungkin menyesal kerana pernah memusnahkannya dahulu.

Dalam tiga bahagian ini,
dendam seperti sangat dominan.

Aku tahu aku perlu buang rasa itu.

Tapi, tak semudah berbicara
melakukannya seribu kali ganda lebih payah.

Beritahulah,
bagaimana boleh aku buang DENDAM ini?


[388]




Apr 27, 2011

Jangan Biarkan Jogging Anda Diselubungi Misteri...



Bila matahari condong ke barat,
aku selalunya buat rutin aku, berjogging..
Tapi hanya dengan syarat ada matahari..
Belakangan ni, matahari selalu dilindung hujan..

Satu petang yang nyaman dek kerana lepas hujan,
aku lakukan rutin aku..

Pada permulaan berjogging,
aku memotong seorang gadis, yang juga berjogging.
Berambut merah gelap, berbaju-t kuning kecil, berseluar ketat perang,
siapa pandang dia pun akan terpandang dua kali.



Dengan muka bangga aku memotong dia,
dan meneruskan rutin aku.
Aku berkeputusan nak mengambil laluan terpendek mengelilingi tasik,
sebab konon nak pusing 2-3 kali..

Jika dilihat dalam peta tasik di awal entri,
aku mula berjogging di titik A.

Non-stop power-jog memang menyemputkan.

Jadi, nak didramatikkan cerita,
bila aku berjogging dari titik A ke titik B,
aku terkejut beruk di tahap beruk pun tak terkejut macam aku.
Jantung aku macam berhenti berdegup 0.5 saat
dan bersambung degup selepas tu dengan kerancakkan
berkali lagi hebat dari lagu Auburn - All About Him.

Apa yang aku nampak?



Aku nampak di depan aku,
gadis berambut merah gelap, berbaju-t kuning kecil, berseluar ketat perang,
yang aku potong setengah tasik tadi.
Dia di depan aku. HADAPAN.

Aku pelik seribu persoalan.
Aku dah laa buat power-jog,
dengan mengambil laluan paling pendek jaraknya,
masakan pula orang yang aku potong setengah tasik tadi
boleh berada di hadapan aku?

Alasan yang masuk akal pada aku ialah:
  1. Gadis tu ikut jalan jauh tapi berlari dengan super-pantas semata-mata nak mengejut-berukkan aku di pertengahan tasik.
    .
  2. Gadis tu berenang merentasi tasik dengan pantas dan tukar baju jadi kering dengan kelajuan cahaya, dan kemudian mengejut-berukkan aku di pertengahan tasik.
    .
  3. Gadis itu ada kuasa membengkok kontinuum masa-ruang, ataupun kuasa berlari laju seperti kilat, atau kuasa melompat jauh seberang tasik, atau kuasa teleportasi dan muncul dipertengahan tasik untuk mengejut-berukkan aku. (Terlampau banyak layan siri Heroes ni)
    .
  4. Gadis itu ada kembar seiras yang dah berjogging separuh tasik darinya dan dengan hebatnya mereka pun ada tompok peluh di baju dengan corak yang sama dengan kembarnya dan kemudian mengejut-berukkan aku di pertengahan tasik.
    .
  5. Gadis itu secara tidak sengaja memasuki pintu dimensi yang tembus di pertengahan laluan tasik dan mengejut-berukkan aku.


..dan misteri itu sampai sekarang,
MASIH TIADA JAWAPAN.

Anda ada teori?




Apr 25, 2011

Tiga Jejaka, Satu Bunga, Lif dan Kentut.


Mesti kalian pernah berhadapan dengan kawan yang banyak cakap.
Aku ada seorang kawan, yang memang banyak cakap.
Dan lagi teruk, selalunya dia banyak cakap sampai salah cakap.

This is the story of my friends...



Di sebuah pusat membeli-berambus,
ada tiga sekawan,
si rambut cacak (Cacak)
si rambut serabai (Serabai)
si rambut mangkuk (Mangkuk).

Mereka bertiga masuk ke dalam lif untuk ke tingkat atas.
Belum sempat pintu lif tertutup,
ada seorang gadis tahan pintu, lalu memasukinya tergesa.

Gadis itu, memang dalam kelasnya, adalah comel.


Muka si Cacak riang.
Mereka bertiga tahu jenis gadis begitu adalah kegemaran si Cacak.
Masing-masing tersenyum sesama sendiri.

Maka bermulalah perjalanan satu lif berisi 3 jejaka dan seorang bunga.


Tiba-tiba,
Suasana sunyi dalam lif bertukar.

Cacak : Bau apa ni?? Busuk betoi...
Mangkuk : Uih...
Serabai : Kentut...
Si Gadis : ....

Cacak : Ampa kentut ka? Busuk nak mampuih eh!!


Dengan konfiden melambung ke langit, si Cacak tu menuduh salah seorang dari kawannya yang kentut. Al-maklumlah, siapa yang bersuara kuat pasti nampak hebat, terutamanya di hadapan si gadis comel pujaan hati..

Cacak : Kentut busuk habes, bau teloq..Ngaku cepat sapa buang nih..
Serabai : Hush!!! Shhhh!! Diam laaa...

Cacak : Hang ka kentut bai?? Apsal nak hush hush? Buruk perangai eh..
Mangkuk : Hm...
Si Gadis : ....


Dek kerana over-confident yang dah nak sampai planet Jupiter dalam usahanya menuduh Serabai yang kentut, maka mulut pun tak reti nak diam dah..

Cacak : Buat naya anak orang ja..Kentut busuk menyengat sampai ke tulang eh..Nak tengok sikit sapa mak abah dia..Hahaha
Serabai : Adoiyai...Hang tak reti senyap ka?

Cacak : Nak sengap wat apa? Hang tu kentut busuk sangat..
Mangkuk : Haha..
Si Gadis : ....

DINGG!!!
Lif berhenti. Pintu terbuka.
Si Gadis tu cepat meluru keluar.

Cacak : Hang tengok, awek cun dah lari. Sapa suruh kentut..

Si Serabai dan Si Mangkuk berpandangan sesama sendiri.

Serabai : Biar aku habaq mai kat ang.. Jujurnya, bukan aku yang kentut.
Cacak : Memang laa, sapa nak ngaku kentut dalam lif? Kan?

Serabai : Serius laa, bukan aku. In fact, bukan kami pun.
Cacak : Ampa nak kata awek tu laa yang kentut? Camtu?
Mangkuk : Yup. Awek tu laa orangnya.

Cacak : Tak mungkin dia...
Serabai : Sebab apa ang kata tak mungkin dia?

Cacak : Sebab dia perempuan..
Mangkuk : Kenapa pulak sebab dia pompuan, bukan dia yang kentut?

Cacak : Sebab takkan pompuan nak kentut depan orang ramai. Pompuan kan pemalu, lembut.
Mangkuk : Memang dia laa kentut. Kentut tak mengenal erti jantina.

Si Cacak terdiam seketika.

Serabai : Biar aku tanya hang sat..Bagi perempuan, tindakan pertama dia kalau terbau busuk dalam tempat tertutup adalah apa?
Cacak : Err..Hm...Tutup hidung?

Serabai : Correcto mundo! Perempuan akan tutup hidung dan buat muka berkerut jika terbau busuk di tempat tertutup dan tak mampu melarikan diri. Tapi, kalau ang perasan, awek tadi tak tutup hidung pun, kan?
Cacak : Err...

Serabai : Ianya sama ada dia terbiasa dengan bau busuk tu, ataupun rasa bersalah lebih kuat dari rasa mahu tutup hidung. Mana-mana sebab ni pun, dua-dua merujuk kepada dialah dalang di sebalik kentut.

Si Cacak hanya mampu berdiam diri.

Mangkuk : Lagipun, masa dia masuk tadi, dia tekan butang 4 untuk ke tingkat 4. Sedangkan tadi dia turun hanya di tingkat 1A. Dan tingkat 1A adalah level untuk parking sahaja.
Cacak : Mungkin dia nak melarikan diri dari kita?

Mangkuk : Bagi perempuan yang berani masuk ke dalam lif yang hanya ada 3 lelaki separa hensem macam kita ni, melarikan diri bukanlah alasan yang kuat. Jadi, alasan dia keluar di tingkat bukan kehendaknya adalah nak lari dari rasa bersalah kentut dalam lif tertutup bersama 3 lelaki.

Si Cacak mula tergelak.


Mangkuk : Aku tahu tujuan kau bising-bising dalam lif tu adalah untuk menarik perhatian awek tu dek kerana sindrom 'orang-yang-bising-akan-kelihatan-hebat' kau tu..Tapi tanpa kau sedari, kau laa orang yang paling kejam dan mengguris perasaan dia paling teruk sekali.

Serabai : SETUJU. Apa laa salahnya kita diam dan menikmati kentut awek tu seketika. Lagipun, bukan selalu dapat bau kentut busuk dari awek yang lawa, kan?

Si Cacak terdiam. Bersalah.


Maka berakhirlah kisah satu lif berisi 3 jejaka dan seorang bunga.

Jika kalian berada dalam lif dan terbau kentut,
APA TINDAKAN KALIAN?

postquam-scriptum:
Sindrom 'orang-yang-bising-akan-kelihatan-hebat' adalah satu penyakit di mana dalam sekumpulan manusia, pasti ada yang bersuara kuat dan bising, gelak kuat-kuat, dan suka pukul-pukul demi untuk menunjukkan bahawa dia adalah alpha-male/alpha-female dalam kumpulan itu. Sindrom ini juga termasuklah orang yang suka mencarut kuat-kuat dalam sekelompok kumpulan yang konon hebat, selalu berlaku di sekolah-sekolah di kalangan puak pelajar bermasalah.




Apr 23, 2011

A Billion Acts of Green®











"Treat the earth well: it was not given to you by your parents, it was loaned to you by your children. We do not inherit the Earth from our Ancestors, we borrow it from our Children."
- Native American Quote.

Earth Day is celebrated on April 22nd every year.
Year 2011 theme was 'A Billion Acts of Green®'

Now, tell me,
what is (are) your act(s) of green?


Lagipun, Kita Hanya Ada SATU BUMI
#1 Save Water, Save The World
#2 Dunia Hebat Tanpa Beg Plastik




Apr 21, 2011

Kisah Beg Sarat Berisi Perasaan



Berjalan dengan beg yang berat memang susah.
Apatah lagi setelah ditinggal keseorangan.
Beg yang dibimbit penuh berisi buku-buku.
Apa yang mampu aku buat hanyalah meneruskan langkah.

Lalu aku disapa lelaki berpakaian merah.
Ditanyanya, "Mengapa perlu bawa beban yang berat?
Izinkan saya meringankan bebanmu."
Lalu dia mengambil senaskah buku bertajuk 'Sakit Hati'.
Kemudian aku meneruskan langkah pergi.

Lalu kemudian disapa aku seseorang berkemeja biru.
Ditanyanya, "Mengapa berkerut di muka?
Izinkan aku meringankan bebanmu."
Lalu dia mengambil sejilid buku bertajuk 'Dendam'.
Kemudian pergi aku tanpa muka suram.

Lalu seterusnya disapa aku pemuda berbaju kuning.
Ditanyanya, "Mengapa bermuram durja?
Izinkan aku meringankan bebanmu."
Lalu dia mengurangkan sebuah buku berjudul 'Sedih'.
Kemudian berlalu aku tanpa kata.

Seketika,
perjalananku dihalang aral bernama realiti.
Datang muncul jejaka serba putih dan berkata,
"'Sakit Hati', 'Dendam' dan 'Sedih'
sudah dikurangan dari bebanmu
Tapi kenapa masih tiada senyuman dibibirmu?"

Aku menjawab,
"Aku sendiri bingung, terangkan kepadaku"

Disuruhnya aku berpaling ke belakang.
Mata aku menjadi bundar, terkejut.

Rupanya
lelaki berpakaian merah, berkemeja biru, dan berbaju kuning
selama ini mengiringi perjalanan aku dari belakang
tanpa aku sedari.

"Memang Amarah mampu membawa pergi Sakit Hati.
Memang Benci mampu membawa pergi Dendam.
Memang Airmata mampu membawa pergi Sedih.
Ya, memang mereka sudah mengurangkan bebanmu.
Tapi, sama ada kau sedar atau tidak,
kau tidak melepaskan sepenuhnya."


"Tinggalkan sepenuhnya begmu itu.
Harungi langkahmu dengan nafas baru."

Pada saat itu, iaitu ketika ini,
adakah aku mampu melakukannya?



"Perkara paling tak disukai
semasa seorang kawan menasihati kita tentang perasaan,
ialah pasti akan keluar kata-kata seperti
'Kau akan dapat seseorang yang lebih baik.'"




Apr 19, 2011

Terjun ke Satu Kesimpulan yang Jitu







Bila aku buka balik folder gambar dalam laptop,
tatap gambar aku dari sekolah dulu sampai sekarang,
aku dapat terjun ke satu kesimpulan yang jitu,
iaitu...

AKU TAK FOTOGENIK!

Hampir semua gambar yang aku lihat,
semua menampilkan jelas muka buruk aku...

Sekian...

(kecewa dan menyorok di sudut bilik...)




Apr 17, 2011

Ketahuilah...



"Ketahuilah,
betapa aku merindui saat memerhatikan kamu dari belakang
dan pada masa yang sama aku tahu aku sedang tersenyum..."




Apr 15, 2011

Revolusi Karipap Sardin

Dari kecil, aku suka karipap sardin.
Tambahan waktu karipap tu baru panas digoreng,
bila masuk mulut, rasa nak menangis kenikmatan.
Sampai sekarang, pantang nampak karipap sardin,
mesti aku nak cuba merasa kesedapannya.

Namun, karipap sardin pun mengalami revolusi.



















Okey,
bahagian terakhir tahun 2020 tu hanyalah sarcarsm.


Aku pernah tanya seorang makcik jual kuih,
"Kenapa harga kuih naik?"

"Gempa bumi kat jepun laa dik.."

Sampai sekarang aku tak mampu kaitkan gempa bumi kat jepun dengan harga kuih naik.




Apr 13, 2011

Terima Kasih...Terima Kasih



Aku tak berapa pandai dengan nombor,
aku sedar akan kenyataan itu,
isteri tercinta aku pun tahu mengenainya.

Suatu hari,
selepas solat Isya' berjemaah berdua,
si dia bersalaman, mencium tangan aku.
Sejurus semasa dia mengangkatkan kepala,
tangan kiri aku sedang menunjukkannya sekotak hadiah.

"Bukalah.." aku kata.

Si dia membuka hadiah tersebut di hadapan aku
dan wajahnya seperti kanak-kanak yang ingin tahu
akan isi yang terkandung di dalamnya.

Lalu,
dia terpegun melihat rantai leher idaman yang sering kali dia tatap ketika melintasi sebuah kedai barangan kemas di kompleks membeli belah berhampiran, kini, berada di hadapan mata di dalam tangannya.
Muka dia bersinar dengan senyuman.

"Abang, apa ni semua?" dia menyoal aku dalam senyuman.

"Selamat ulangtahun, sayang..."

Dia terdiam.
Lalu tergelak kecil.

"Abang, ulangtahun apa ni?"

"Ulangtahun kita."
Aku masih melihat senyuman di bibir dia.

Dia letakkan rantai leher itu di atas riba,
lalu kedua tangannya rapat memegang tangan aku.

"Abang. Saya tahu abang dan angka memang tak serasi.
Tapi tarikh ulangtahun kita lambat lagi,
beberapa bulan ke depan lagi."

Aku masih melihat senyuman di bibir dia.

"Abang belikan rantai ni, kan dah membazir."

Aku sedikit kecewa sebab tiada kata terima kasih yang aku dengar.

"Tapi, saya tetap suka hadiah ni.
Jadi, terima kasih banyak-banyak ye, sayang."

Bagaikan dia mampu membaca fikiran aku,
kata terima kasih yang diucapkannya meredakan hati.

Lalu aku berkata,

"Awak, hari ini memang ulangtahun kita.
Bukan ulangtahun perkahwinan kita,
tapi pada hari ini, beberapa tahun sudah,
saya pertama kali melihat awak
dan sejak itu, awak tetap di hati saya.
Sampai sekarang, sampai bila-bila."

Mata dia berkaca.
Kerana tak dapat menahan lebih lama,
dia peluk bahu aku sambil berulangkali berkata,
"Terima kasih...Terima kasih.."

--------------------------------


Maaf kalau terlebih dramatik,
tapi itulah impian dunia perkahwinan aku.

'Aku mahu mengimami solat jemaah bersama isteri aku dan di akhir selepas doa, kami berbual kecil mengenai kehidupan, diselangi dengan gelak tawa, kata serius, mahupun cerita sedih.'

Aku cuma mahu hidup seperti manusia normal.




Apr 11, 2011

Kini, Semua Orang Mampu Melukis cEro

















Jom lukis cEro..
kita mulakan dengan dinding tandas kalian sebagai kanvas.

postquam-scriptum:
Aku nak tengok kemampuan kalian melukis cEro,
jom kongsi dengan aku jom...




Apr 9, 2011

#2 Dunia Hebat Tanpa Beg Plastik

#2 Dunia Hebat Tanpa Beg Plastik
Siri cErolian Go Green: Make the world a better place.

Duduk semeja dengan seorang pelajar jurusan sains persekitaran memberi aku ilham untuk menulis artikel ini.

Ikuti perbualan antara aku dan kawan aku.



Aku:
Setiap sabtu adalah hari tanpa beg plastik, apa pendapat kau?

Kawan:
Total BS! Cara baru orang bisnes nak kaut untung dengan menggunakan alam sekitar sebagai 'marketing strategy'.

Kata-kata yang kasar untuk seorang pelajar sains persekitaran.
Aku tergamam.

Aku:
Kenapa kau kata macam tu?

Kawan:
Ambil contoh satu pasaraya besar bernama Nobita.
Seorang surirumah ni, ambil barang keperluan rumah dengan banyak, hampir RM300-RM400. Semasa bayar, katanya si cashier bahawa hari sabtu hari tanpa plastik beg, tapi setiap plastik beg yang diperlukan akan dicaj 20sen. Dengan barang yang banyak, agaknya apa tindakkan surirumah tu?

Aku:
Ntah! Barang banyak, tiada pilihan selain bayar 20sen setiap satu beg plastik.



Kawan:
Itu kebanyakkan orang akan buat. Tapi, apa jadi jika si cashier beritahu mereka ada jual beg guna semula dengan harga RM3.50 satu. Di mana, beg itu boleh digunakan semula berkali-kali. Dengan membayar RM3.50, kita boleh elak beg plastik, dan selamatkan dunia. Apa tindakan kau sebagai surirumah?

Aku:
Of cos aku beli beg tu.

Kawan:
Dan sudah tentu satu beg tidak cukup mengisi barangan kan? Jadi, paling kurang beli 2, 3 atau mungkin sampai 5. Jumlahnya dah bertambah berlipat kali ganda.

Aku:
Aku nampak point kau tu. Tapi, itu sekali guna, kan beg tu boleh diguna berkali-kali?

Kawan:
Baiklah. Rasa-rasa, dalam 10 orang surirumah yang beli beg guna semua tu,berapa banyak yang bawa beg itu semula di kemudian waktu membeli belah?

Aku:
Hmm, mungkin ada yang bawa.

Kawan:
Memang ada, tapi berapa yang dia bawa? Lima? Aku rasa hanya satu, kan? Dan satu takkan cukup untuk mengisi barangan. Jadi, dia kena beli lagi, atau beli beg plastik, kan? Beg guna semula sekarang memang didesign untuk mudah dilipat dan disimpan, tapi kebanyakkannya mempunyai tapak yang sempit, dan kurang sesuai untuk diisi barang yang besar seperti bungkusan gula yang dibeli sekali 5 paket, kan?

Aku:
Oh! Jadi, setiap kali membeli barang, mereka akan beli beg guna semula yang baru. Untung supermarket tu kan?

Kawan:
Bagi yang sedar hal ni, mereka akan terus gunakan beg plastik, kerana beg plastik hanya 20sen satu, dan mampu mngisi pelbagai barang dan mudah dibawa.
Tapi mereka sudah tidak mesra alam, kan?

Aku:
Yup. Bukan sahaja sudah tak mesra alam.
Mereka juga menguntungkan pihak supermarket dengan membayar 20sen satu plastik, di mana sepatutnya kita boleh dapat dengan percuma sebelumnya, kan?



Kawan:
Pandai. Kalau di luar negara, mereka guna beg kertas. Selalunya, boleh dilipat dan disimpan, tapi jika basah dan koyak, masih boleh dikitar semula menjadi beg kertas semula. Tapi kenapa hal ini tidak diamalkan di Malaysia?

Aku:
Ntah. Kita kedekut kertas kot?

Kawan:
Bukan laa. Sebab Malaysia negara yang beriklim panas dan lembab sepanjang tahun. Hujan turun sepanjang musim. Kertas tak sesuai digunakan. Lagipun, dengan tabiat membeli sekali banyak yang diamalkan masyarakat kita, beg kertas adalah mustahil kerana siapa mampu bawa beg kertas sekali harung sampai 10 beg. Dah laa tak ada pemegang.

Aku:
Jadi, pada kau, apa jalan terbaik nak kurangkan penggunaan beg plastik ketika membeli barang.

Kawan:
Secara peribadi, ada beberapa jalan yang bagus.
  1. Rancang PEMBELIAN ANDA.
    Walaupun beg guna semula yang berlambak di pasaraya tu kurang praktikal dan mahal, ada pencinta alam sekitar kita sedang sedaya upaya mencipta satu beg yang bersifat eco-friendly, murah, praktikal dan mudah dibawa, ringan, dan tahan lama. Sehingga wujudnya benda itu, apa kata kita guna beg plastik yang kita ada. Bawa dalam 10-15 beg plastik pelbagai saiz yang kita simpan di rumah ketika mahu keluar beli barang keperluan.
    .
    .
  2. Simpan BEG PLASTIK dan poket/beg tangan.
    Kalau kita beli benda sikit dan kecil di kedai runcit, instead of dia bungkuskan guna plastik, bagi dia plastik yang kita bawa sendiri dari rumah. Kalau lelaki, apalah sangat bawa satu plastik dalam poket. Perempuan pula, selit satu plastik dalam beg tangan tak membawa imej yang buruk pun.
    .
    .
  3. Beli BEG GUNA SEMULA kerana praktikaliti, bukan kerana FESYEN.
    Beg guna semula di pasaraya selalunya dibuat dari cotton, atau kanvas dengan alasan boleh lupus. Tapi, bahan ni kurang tahan, kadang-kadang hanya sebuah buku baru yang berbucu tajam sudah mampu membuatkannya koyak. Abaikan corak yang trendy dan menarik, cari beg guna semula yang luas, senang dipegang, dan tahan lama. Simpan satu atau dua di dalam kenderaan.
    .
    .
  4. Elak langsung BEG PLASTIK.
    Beli barang sekadar sebungkus keropok Twisties dan satu tin Air Nescafe Mocha, tak payah laa nak berbungkus plastik. Ada sebab tangan ada dua, dan setiap tangan ada 5 jari.
    .
    .
  5. Amalkan BUKAN HANYA HARI SABTU.
    Amalan kurangkan penggunaan beg plastik ini perlu dilakukan bukan hanya hari sabtu, tapi sedaya upaya setiap hari di mana-mana, bila-bila masa. Istiqamah yang paling penting, bukan sehari dua je semangat.



Aku:
Banyak kau bercakap hari ni. Selalu kau diam dan hanya cakap bila ditanya.

Kawan:
Aku hanya sampaikan apa yang perlu disampaikan. Lagipun kau yang tanya, kan?

Aku:
Hehe, THANKS A LOT. Banyak aku belajar.

Kawan:
You are welcome.

Ada pandangan?
JOM KONGSI di ruangan komen.

Siri cErolian Go Green adalah terbitan setiap sabtu.
Ikuti bacaan lain untuk menjadikan dunia sebuah tempat yang lebih baik.
Lagipun, Kita Hanya Ada SATU BUMI
#1 Save Water, Save The World

You read this because YOU CARE.

*UPDATED:

Tips dari kawan-kawan:

~* chirpy_chummy *~ :
Be creative, guna kertas surat khabar lama untuk dibuat sebgai 'paper bag'.

jaaFahiza :
Tips dr Martha Stewart; guna baju terpakai jadikan beg mengisi barangan.

kudozu :
Rancang pembelian, jangan beli belah semasa lapar, bawa duit hanya cukup untuk barangan yang sudah dilistkan.




Apr 8, 2011

Tanpa Tajuk #4 [Jogging]

Segmen 'Tanpa Tajuk' adalah entri di mana aku mahu berkongsi sesuatu yang ringkas, tapi still ada maksud tersirat di dalamnya. (jika anda memahaminya)



Bagi yang kenal aku,
mereka akan tahu kebelakangan ni aku selalu
keluar jogging ke tasik pada waktu petang.




Kenapa badan tak taf-taf?

Pada suatu hari,
adik aku berkata,
"Alang selalu kuaq jogging, tapi apsal badan macam tu jugak?
Tak taf-taf pon?"

Aku terdiam,
lalu aku menjawab,
"Orang jogging bukan sebab nak badan taf.
Orang nak maintain stamina je."

"Apa fungsi nak maintain stamina?
Bukan Alang selalu bersukan pun.
Main bola pun tak pandai."

"Orang maintain stamina supaya
kalau suatu hari nanti tersebar virus zombie
bangunkan orang mati, dan diorang kejar kita.
Dengan stamina, kita boleh lari lagi laju dan lama
dan peluang untuk selamatkan diri adalah tinggi."

"Macam laa virus zombie tu wujud."

"Beb, pencairan ais di kutub,
kebocoran nuklear di Jepun,
malah sekarang orang boleh buat telur tiruan,
dan hang kata 'zombie' tak mungkin wujud?"

Adik aku tergamam,

Aku pusing dan pergi dengan senyuman jahat di bibir.
Sebenarnya, aku pun tak tahu apa sebab aku nak maintain stamina.






~~~~~~~~~~




I am single, mom!

Melihat anak mereka buat sesuatu yang tak pernah mereka nampak sebelum ni,
mak dan abah aku panggil aku duduk untuk bercakap.

"Mak nak tanya hang ni,
tapi hang jawab jujur yek..."

"Apa dia mak? Macam menakutkan je.."

Mak dan Abah aku berpandangan.

"Kebelakangan ni hang kerap keluar jogging.
Mak just nak tahu je,
hang jogging sorang ke, atau ada teman??"

"Maksud mak?"

"Lelaki ubah perangai selalunya sebab dua perkara;
DUIT dan PEREMPUAN.
Mak tak nampak kaitan jogging dengan DUIT.
Jadi..."

Aku buat muka pelik kat mak.
Aku rasa Mak banyak tengok drama Melayu ni.



"Mak, orang keluar jogging sebab nak sihat.
Kebelakangan ni kerap sebab jogging tu best.
Orang bukan buat sebab perempuan.
Orang single lagi laa, Mak!
Kalau orang ada calon nanti, Mak dan Abah laa orang pertama
orang bagitahu."

Mak aku senyum.
Abah aku hanyalah penonton yang menganggukkan kepala.
Tiada kata langsung dari dia.

Dalam hati,
"sebenarnya, ada juga sebab PEREMPUAN kenapa aku jogging."




~~~~~~~~~~




Malangnya orang macam aku

Yang best tentang jogging adalah
bersepahan makhluk perempuan yang berpakaian ketat.
Dan jika kita melihat pun, diorang tak kisah
sebab tak ada masa untuk perasan.

Tapi, untuk orang macam aku
YANG RABUN
untuk menikmatinya adalah mustahil.
Memakai cermin mata semasa berjogging agak menyusahkan.
Memakai contact lens lagi laa menyusahkan.
Jadi, untuk aku
semasa jogging, aku nampak perempuan dan lelaki sama je.

Malangnya orang macam aku.
(Mungkin aku patut kata aku untung, kan?)




~~~~~~~~~~




Sebelum apa-apa,
apa kata kalian ke sebuah blog kawan aku ni,
bayangkan, jika ada kata-kata baik untuk kita
dari orang yang tak dikenali
sudahpun membuatkan kita bangga,
tapi, jika kata-kata baik itu datang dari kawan lama zaman sekolah
yang aku kenal dari tahun 1999 lagi,
ianya adalah perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan perkataan.

Pergi lawat blog penyokong setia skuad 'Hobin Jang Hobin' ni,
follow him, like him,
dan tinggalkan komen seperti
'i like you'
hehehe..
(btw, pemilik blog ni dah bertunang, nak tunggu waktu je..)





Apr 6, 2011

Bagaimana Wujudnya Lukisan Buruk cEro



Dah banyak kali dah orang tanya satu soalan ni,
melalui Formspring, melalui twitter
satu soalan yang berbunyi;
"Ko lukis lukisan ko yang buruk tu guna apa?"

Jadi ini jawapannya!

Aku pemilik Nokia 5800XpresMusic.
Melalui Ovi Store, aku dapat satu aplikasi yang pada aku,
pencetus arena conteng-menconteng aku ni..

Aplikasi 'Paint Pad'



Aplikasi 'Paint Pad' ni umpama aplikasi Paint dalam Microsoft
cuma lebih kecil dan mempunyai fungsi tambahan yang sedikit.

Oleh kerena Paint Pad adalah aplikasi percuma,
beberapa fungsinya disekat.
Sebagai contoh, fungsi 'save image' hanya untuk sesiapa yang berdaftar di bawah Nokia HongKong,
jadi pemilik Nokia yang berasal dari Kuala Lumpur (macam aku) tak boleh save gambar lukisan mereka.
Apakejadah boleh lukis tapi takleh save, kan?

Jadi, aku perlukan satu aplikasi lain sebagai sokongan
yang bernama 'ScreenSnap'.
'ScreenSnap' adalah satu aplikasi mengambil gambaran screen henset Nokia.
Yup! Macam fungsi 'PrtSC' (Printscreen) dalam PC.

'PaintPad' + 'ScreenSnap'
= Kebahagiaan dalam menconteng!




Jadi bagaimana aku melukis?

Bayangkan aku mahu satu entiti, kasut Converse warna hijau.
Aku google 'kasut converse' dan cari satu gambar idaman.



Tapi, nak ambil secara terus,
takut ada masalah hakcipta di kemudian hari.
jadi aku lukis dalam 'Paint Pad'.



Sebab kemungkinan lukisan tu adalah besar dan teliti,
aku selalunya pecahkan kepada beberapa entiti.

Dan selepas selesai melukis di 'Paint Pad',
aku 'ScreenSnap' lukisan tu,
dan bluetooth fail berformat .jpg ke laptop terchenta.



Sampai ke laptop,
aku edit sedikit sebanyak dalam perisian lain seperti Photoshop atau Paint.NET,
tapi oleh sebab aku tak suka layout Photoshop yang serabut
padahal nak guna satu dua fungsi je,
jadi aku lebih prefer guna Paint.NET



Selalunya gabung image, buang slack dan kotoran,
letak warna, letak tulisan dan sebagainya.

Selepas korek hidung beberapa kali,
akhirnya lukisan yang dimahukan SIAP!



dan image inilah yang aku guna pakai dalam entri sebelum ni.

Itulah kisah untuk setiap lukisan buruk yang kalian nampak di dalam blog ni.
Header, footer, dan lukisan lain yang aku lukis.
Walaupun ada juga bila masa aku malas aku terus rembat dari Google Image,
tapi aku selagi mampu, nak lukis sendiri.
Bukan apa, nak melatih tangan aku yang berkarat ni supaya cekap kembali.
Sapa suruh merempit? Kan dah sakit tangan..

Aku macam berangan nak ada tablet komputer
macam iPad ke, atau Samsung Galaxy Tab ke,
tapi mata aku dah terpesona dengan Acer Iconia Tab,
cam cool je...

Tapi, buat masa sekarang, aku suka dengan 'Paint Pad' aku,
dampaikan aku mampu lukis semasa dalam kereta,
tu yang ada beberapa lukisan aku macam orang sakit Parkinson je gayanya.

Pernah gak berangan nak beli graphic tablet,
tapi bila ada duit je, kena belanja ke tempat lain,
selalu impian tu terpaksa dilupakan..
Tapi kalau ada antara kalian nak belanja aku sebijik graphic tablet,
aku terima je dengan tangan yang terbuka..
HEHEHEHE...



~~~~~~~~~






Apa kata kalian yang belum 'like' Facebook Page untuk blog ni
tekan butang 'like' di atas..
Alaa, sekali-sekala kita memeriahkan Facebook Page tu, apa salahnya..
Boleh laa kita berinteraksi secara lebih intim, kan??




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: